Najib tiba di Penjara Kajang
KAJANG: Bekas perdana menteri, Najib Razak tiba di Penjara Kajang, pada 6.05 petang tadi, bagi menjalani hukuman 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Najib yang tiba dengan kawalan ketat polis diperintah menjalani hukuman selepas mahkamah tertinggi itu menolak rayuan terakhirnya.
Bekas presiden Umno itu dibawa menaiki kenderaan SUV hitam dikawal anggota polis, termasuk dari unit kenderaan motosikal pengiring.
Sementara itu, kawalan ketat di pintu masuk utama penjara turut dilakukan petugas penjara dengan melakukan sekatan jalan raya bagi menghalang orang awam dari memasuki Kompleks Penjara.
Pihak polis juga turut mengawal ketat laluan menuju ke pintu masuk penjara.
Orang awam juga turut berkumpul di sekitar laluan masuk Penjara Kajang, bagaimanapun diarah polis supaya bersurai.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas Najib dalam kes SRC International.
Ini bermakna bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan akan mula menjalani hukuman.
Najib pada 28 Jul 2020 didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC, menyusuli perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 mengekalkan hukuman dan sabitan ke atas Najib.