Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob nampaknya sudah mula berani menunjukkan “taring dan kukunya” kepada Perikatan Nasional atau PN.
Berikutan terus diasak untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu, walaupun pada awalnya setuju untuk bertemu delegasi BN, beliau kemudian membatalkan pertemuan itu pada saat-saat akhir.
Pembatalan itu membuatkan ada pemimpin Bersatu jadi naik darah sehingga tercetus perbincangan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan.
Begitu pun, perbincangan menarik sokongan itu hanya sekadar perbincangan semata-mata untuk melihat kesan baik dan buruknya tanpa ada sebarang keputusan yang dipersetujui.
Berdepan persoalan itu, Ismail Sabri tidak mengambil masa lama untuk memberi tindak balasnya.
Kata beliau, jika ada parti yang menarik sokongan terhadap kerajaan, maka PRU15 terpaksa diadakan dengan seberapa segera.
Makna kata, Ismail Sabri dalam hal ini tidak akan membiarkan dirinya seperti Tun Mahathir Mohamad dan Mahiaddin Md Yasin yang terus meletak jawatan apabila berdepan kehilangan sokongan.
Beliau sebaliknya ingin melawan tindakan tersebut dengan membubarkan Parlimen untuk sama-sama berhadapan dengan undi daripada rakyat.
Sebagaimana ramai faham, tujuan Bersatu menuntut jawatan nombor dua dalam kerajaan itu adalah untuk kepentingan menghadapi PRU15 kerana seorang Timbalan Perdana Menteri mempunyai peruntukan khas sebanyak RM400 juta dari segi pemberian projek-projek pembangunan.
Bayangkan betapa selesanya Bersatu dan PN jika jawatan Timbalan Perdana Menteri jadi milik mereka?
Dengan Ismail Sabri memberi gambaran bahawa Parlimen akan dibubarkan jika ada parti yang menarik sokongan, sudah tentu Bersatu terus “kecut telur” untuk berbuat demikian.
Ini kerana Bersatu hanya mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu dan tidak mahu PRU15 diadakan dalam kadar masa yang segera.
Kalau menarik sokongan dan PRU15 diadakan segera dalam keadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diperolehi, mudah kata…habislah mereka.
Situasi ini akan menjadikan PN dan Bersatu tiada pilihan lain selain terus menyokong kerajaan, walau pelbagai perasaan ada dalam hati kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri yang diidam-idamkan gagal diperolehi.
Melihat kepada keberanian Perdana Menteri membatalkan pertemuan dengan delegasi PN itu, yang jelas ini adalah petunjuk bahawa dalam fikiran Ismail Sabri kini sudah ada tarikh yang dekat untuk beliau membubarkan Parlimen.
Disebabkan tarikh untuk mengadakan PRU15 itu sudah terlalu dekat, Ismail Sabri barangkali beranggapan tiada keperluan dan membazir saja untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri.
Oleh kerana tiada keperluan membuat lantikan, maka tiada keperluan jugalah untuknya bertemu dengan delegasi PN itu.
Jika tiada aral melintang, dijangka Ismail Sabri akan bertindak membubarkan Parlimen sebelum berakhir Ogos ini dan pengundian bakal dilangsungkan pada September.
Dalam erti kata lain, tindakan berani Ismail Sabri membatalkan pertemuan dengan delegasi PN itu adalah isyarat bahawa PRU15 sudah terlalu dekat, selain petunjuk Bersatu akan selamanya kempunan untuk memperolehi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Khusus kepada Hamzah Zainuddin atau Azmin Ali yang sama-sama mengidam jawatan Timbalan Perdana Menteri…sabor jelah!! – ShahbudinHusin 06/08/2022.