TERUSKAN SANGGAH NAJIB, SEJARAH TELAH MEMBUKTIKAN BELIAU ADALAH PENAKUT

 

Dalam ucapannya di Kongres Nasional PKR Sabtu lalu, Rafizi Ramli menekankan laporan polis yang dibuat terhadap Najib Razak bukan saja untuk menyanggah pembohongan, propaganda palsu dan mainan sentimen perkauman yang dimainkannya, bahkan juga kerana menganggap bekas Perdana Menteri itu seorang yang penakut.

“Kita kena sanggah, tak boleh biarkan dia bermaharajalela, tak boleh biarkan Najib syok racun rakyat.

“Mulai hari ini semua kita bila balik, kita terus sanggah Najib sehingga kita hantar dia ke penjara.

“Hari Selasa nanti kita buat laporan polis secara besar-besaran, tak boleh biarkan dia main isu perkauman.

“Selepas ini kalau Najib berbohong kita buat laporan polis demi laporan polis…sebab saya tahu Najib penakut.

“Dia sembang kencang selama ini kerana tidak ada orang sanggah dia,” tegas Timbalan Presiden PKR itu lagi.

Benarkah Najib seorang yang penakut?

Seseorang itu, kalau dia seorang yang berani, dia pasti lebih berani apabila sedang berkuasa.

Malah, dengan adanya kuasa juga, seorang yang penakut pun mampu bertukar menjadi berani.

Lebih-lebih jika kuasa yang dimiliki itu ialah sebagai Perdana Menteri yang kekuasaannya tanpa sempadan dan mampu menundukkan ramai orang.

Tetapi, adakah Najib seorang yang berani ketika memegang jawatan Perdana Menteri?

Dengan kekuasaan dalam tangan sebagai Perdana Menteri ketika itu, tanpa keraguan, Najib boleh dianggap seorang yang amat penakut dan langsung tidak berani.

Beliau hanya sembang kencang ketika berucap secara sehala, tetapi tidak pernah berani untuk berdebat, waima berdialog sekali pun.

Di dalam Parlimen, semua isu berkaitan 1MDB dilarang sama sekali untuk dibincangkan kerana beliau takut untuk berhujah.

Semua sidang akhbar beliau hanya dihadkan kehadiran kepada media pembodek saja, manakala media yang kritikal dilarang terus untuk menghadirinya lantaran takut dengan soalan wartawan.

Dinding FB beliau langsung tidak berfungsi, kecuali menyiarkan berita dan gambar program-program yang dihadirinya saja.

Kenapa demikian?

Sebab utama, khususnya berkaitan skandal 1MDB, ialah kerana tingkah laku beliau ketika itu diasak dan disanggah oleh segenap lapisan rakyat daripada pelbagai penjuru.

Apa saja kenyataan, ucapan, idea dan cadangannya disanggah sebagai tidak relevan, malah asakan rakyat di media sosial berkaitan 1MDB hampir membuatnya terhimpit ke dinding.

Dengan sanggahan sedemikian rupa, walau ada kuasa sebagai Perdana Menteri dan dikelilingi puluhan penasihat serta pegawai di PMO, beliau akhirnya jadi penakut dan kecut.

Setelah UMNO hilang kuasa dan Najib dijatuhkan yang diikuti pelbagai pergolakan politik muncul kemudiannya, tumpuan kepada beliau beransur-ansur berkurangan, meski di ketika yang sama rakyat tidak lupa tentang barang kemas, beg tangan, wang tunai dan pelbagai perhiasan yang dirampas daripada kediamannya, selain kes mahkamahnya yang masih bertali-arus.

Dalam keadaan kurangnya tumpuan dan sanggahan itulah Najib mengambil kesempatan mempopularkan dirinya melalui slogan dan kempen Malu Apa Bossku, di samping lebih kerap turun bersosial bersama rakyat di kawasan tumpuan ramai dan memperlihatkan seolah-olah dirinya teraniaya.

Pokoknya Najib jadi popular melalui sembang kencangnya selaku “Perdana Menteri FB” sejak hilang kuasa tidak lain adalah kerana sanggahan rakyat terhadapnya tidak lagi sekuat ketika beliau berkuasa kuasa.

Kini, dengan tanpa kuasa dan bakal ke penjara, Najib sebenarnya bukanlah sudah bertukar menjadi berani.

Kalau ketika ada kuasa pun beliau penakut, tidak mungkin setelah tiada kuasa seperti sekarang, dirinya tiba-tiba jadi berani.

Beliau tampak berani dan macam serba tahu dengan pelbagai cadangan serta idea, walau terbukti di mahkamah dianya seorang yang serba tidak tahu, adalah semata-mata kerana tiada sanggahan sekuat dulu terhadapnya.

Walaupun kini beliau berani menyahut cabaran berdebat dengan Anwar Ibrahim, ia tidaklah membuktikan beliau benar-benar berani.

Ini kerana, Najib meletakkan pelbagai syarat dalam dalam debat tersebut, sementara Anwar langsung tidak meletakkan apa-apa syarat.

Pemimpin PH, kecuali beberapa orang tertentu saja, terutama selepas tidak lagi menjadi kerajaan, hampir tidak lagi menyanggah apa yang dilakukan Najib.

Hanya kini, setelah Rafizi kembali dan menjadi orang nombor dua dalam PKR, ternampak arus sanggahan terhadap Najib itu dilihat berpotensi bertukar daripada riak-riak kecil pada mulanya kepada ombak yang kian membesar.

Rata-rata netizen di media sosial memberi respon yang positif terhadap usaha Rafizi dalam menyanggah Najib itu dan beberapa isu yang beliau bangkitkan sejak kebelakangan ini seolah-olah kejutan kepada rakyat daripada lena yang panjang.

Percayalah, Rafizi dengan usahanya melakukan sanggahan terhadap Najib dalam pelbagai isu, bahkan laporan polis besar-besaran berkaitan waris Sulu juga sudah dilakukan, tidak mustahil ombak akan bertukar menjadi gelombang dalam beberapa bulan akan datang.

Dan percayalah juga, jika sanggahan ketika berkuasa pun mampu menjadikan beliau kecut dan penakut, sanggahan ketika laluan ke penjara semakin terbuka ini pasti lebih mudah lagi membuatkannya dibelenggu oleh rasa takut semula.

Dalam hal ini, tidak dinafikan ada benarnya apabila Rafizi kata Najib sebenarnya seorang yang penakut.

Yang penting, jangan berhenti menyanggah Najib dan semua pembohongan, propaganda palsu serta autanya mesti cepat-cepat disanggah. – ShahbudinHusin 22/07/2022.



DALAM KEADAAN BERSERABUT PUN NAK BUAT PILIHANRAYA...BOLE MENANG KE...

 

Umno mohon semakan kehakiman jika pindaan perlembagaan tak lulus, kata Tok Mat




Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, berkata tindakan melakukan semakan kehakiman bergantung kepada keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) terlebih dulu. (Gambar Facebook umno)

PETALING JAYA: Semakan kehakiman akan dilakukan Umno sekiranya notis pindaan perlembagaan penangguhan pemilihan parti tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), kata timbalan presidennya, Mohamad Hasan.

Katanya, parti itu akan membuat semakan kehakiman dengan merayu kepada Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata, bagaimanapun tindakan susulan itu bergantung kepada keputusan JPPM, yang diramal diterima pada awal Ogos.

“Kita tunggu sehingga awal Ogos, namun kita di peringkat parti sudah buat persiapan. Jika lulus (pindaan perlembagaan Umno), maka Alhamdulillah.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Jika tidak lulus sekali pun, jadual waktu mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian sudah pun disusun, di mana mesyuarat cawangan akan berlangsung mulai Sept hingga Okt dan di peringkat bahagian pula sekitar Nov diikuti PAU (Perhimpunan Agung Umno) pada hujung Dis.

“Pada peringkat ini juga, jika ia lulus maka tidak perlu ada agenda pemilihan. Namun, jika tidak lulus, kita tidak boleh buat apa-apa kerana JPPM mempunyai kuasa penuh. Jika nak buat ‘judicial review’ (semakan kehakiman), kita kena rayu kepada menteri dalam negeri (Hamzah Zainuddin) terlebih dahulu,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pertemuan Bersama Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Perlis di Dewan Warisan, Kangar.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata JPPM dijangka memberi keputusan terhadap notis pindaan perlembagaan Umno dalam tempoh kurang dari dua minggu lagi, iaitu awal Ogos.

Ia berdasarkan tujuh maklumat tambahan diberikan parti itu bagi melancarkan proses permohonan berkenaan.

Sementara itu, Mohamad yang juga timbalan pengerusi BN, berkata jika rayuan dilakukan sekali pun, pihaknya tidak boleh menunggu lama untuk melaksanakan pemilihan parti.

“Kalau tunggu lama nanti kita akan ‘tersepit’ kerana edah pegang jawatan dalam parti itu bertahan sehingga penghujung Dis dan jika terlalu lewat nanti, kita tak sempat untuk melakukan pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian dan ia akan menyusahkan kita nanti.

“Kita ikut proses di mana rayuan boleh dibuat kepada pihak menteri dan jika tak boleh juga hendak dapatkan lagi (keputusan JPPM), kita akan lakukan pemilihan di peringkat parti dan dalam masa yang sama membuat ‘judicial review’,” katanya.

Mengulas semakan kehakiman itu, beliau berkata ia penting kerana pihaknya ingin mengetahui sebab di sebalik kegagalan keputusan JPPM itu.

“Seandainya gagal keputusan itu, kita hendak tahu jugalah apa sebab boleh gagal kerana setiap kehendak seperti kehendak undang-undang, kehendak peraturan JPPM dan juga kehendak dalam parti kita sendiri sudah dipenuhi semuanya.

“Malah, setiausaha agung juga sudah berjumpa JPPM dan bertanyakan apa lagi permintaan diperlukan dan ia sudah pun selesai semuanya,” katanya.

Umno sebelum ini meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum, untuk memberi ruang kepada ahli fokus kepada gerak kerja pilihan raya.

Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada JPPM, pada 17 Mei.


PAS MEMERINTAH PUN ORNG HINA ISLAM JUGA...KEH..KEH

 

TUBUH JAWATANKUASA DAH SETAHUN, PELAJAR TETAP PERIKSA HAID


CUTI HAID: ELOK KERAJAAN BN TUMPU KEMISKINAN HAID SAJA


PELAJAR TAK MINAT BELAJAR, GURU PULA SUDAH MULA HILANG SELERA MENGAJAR.



Generasi kini sebenarnya generasi yang mempunyai kelebihan dan kekuatan sehinggalah mereka ini dianggap 'Multiple Intelligences Task'. Mereka mempunyai tahap kecerdikan, kepintaran serta kecerdasan yang tinggi berbanding generasi yang dahulu.
Generasi kini juga bukanlah generasi yang lemah bahkan ianya telahpun melalui proses kemajuan dan kemodenan sehingga potensi mereka boleh lebih jauh kehadapan berbanding dengan dahulunya.
Walaubagaimana pun, generasi kini seakan-akan hilang selera untuk belajar dan hilang minat untuk menyambung pembelajaran sehinggalah ada yang beranggapan ianya tidak penting serta tidak berbaloi untuk teruskannya.
Di mana silapnya?
Mungkin kesilapan ini datangnya daripada pelbagai aspek. Saya letakkan 5 aspek yang telah berlaku kini.
.
1. Terlalu banyak eksperimen sistem dalam pendidikan.
Apabila penggubal pendidikan terlalu banyak mengubah sistem mengikut citarasa dan menjadikan ia seperti bahan ujikaji maka mangsanya adalah pelajar dan guru yang mendidik. Silibus yang susah juga membuatkan pelajar sudah hilang minat belajar dan mencari haluan sendiri yang lebih memudahkan bagi mereka. Guru pula mula resah sehinggah ada yang mula berundur daripada mengajar dan mendidik.
.
2. Pendidikan hanya untuk meraih keuntungan dan menjadi perniagaan semata-mata.
Apabila ada tangan-tangan orang atasan yang ingin mengambil keuntungan peribadi dan organisasi di dalam sistem pendidikan maka berlaku saat kejatuhan generasi. Pendidikan bukan lah untuk dibuat perniagaan dan pendidkan juga bukanlah alat untuk menjadikan seseorang itu robot. Apabila ada mentaliti atasan seperti ini maka sistem pendidikan kini bukan lagi untuk proses memandaikan bangsa dan ummah.
.
3. Pengangguran dikalangan mahasiswa masih ramai.
Walaupun Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan 2021 mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2 peratus dengan 687,600 orang, tetapi mahasiswa tetap masih ramai yang mengalami keadaan pengangguran. Ini menyebabkan persepsi generasi kini mula tidak mahu mengejar pendidikan serta menyambung pelajaran kerana ianya tidak dapat menjamin akan kerjaya mereka nanti.
.
4. Pengaruh media sosial yang menjadi 'gula-gula'.
Pengaruh media sosial juga menjadi daya tarikan kepada generasi kini menjadi malas dan lesu untuk menyambung pelajaran kerana kini gambaran bahawa tanpa pelajaran pun boleh berjaya dan menjadi kaya. Generasi kini telah disemai dengan pengaruh, pengikut, kemewahan dan popular di media sosial sehingga mereka lupa akan pembelajaran itu menjadi keutamaan. Hasilnya banyak lagi cara boleh "hidup" walaupun tanpa pelajaran.
.
5. Kesan ekonomi yang menghantui generasi kini.
Kini sudah ada ibu-bapa yang tidak mengharapkan anak-anak mereka mempunyai pendidikan bahkan menyambung pelajaran kerana kesan dan kos ekonomi telah menghantui golongan mereka ini. Kita tidak boleh menyalahkan golongan yang tersepit seperti ini kerana mereka hanya memikirkan bagaimana untuk mendapatkan sesuatu bagi menyara kehidupan setiap hari. Kini anak muda lebih rela bekerja sebagai 'delivery' makanan dengan income yang cukup-cukup makan dari makan gaji dengan majikan.
.
KESIMPULANNYA
Sekiranya benar kajian menyatakan 72.1 peratus enggan sambung belajar selepas SPM maka bagi saya sistem pendidikan kini sudah makin tenat dan perlu mencari solusi. Tidak perlu banyak mengubah tetapi carilah jalan supaya memudahkan pelajar serta guru kembali ke jalan pendidikan yang betul.
Sekiranya pelajar kini ramai yang tidak mahu menyambung pelajaran, guru juga kini sudah hilang selera untuk teruskan mendidik dan mengajar pelajar generasi kini. Mana silapnya?
Selamatkanlah pendidikan generasi baru di Malaysia #selamatkanpendidikan .

NEGERI BANYAK SUMBANGAN KEKAYAAN, PALING DI ANAK TIRIKAN.

 

22 Julai 2022
1. Akhirnya isu tuntutan waris kesultanan Sulu keatas aset Malaysia hanya dibenarkan dibincang ahli Parlimen di hotel Sari Pacific dan bukan di Parlimen semalam.
2. Tuntutan waris kesultanan Sulu keatas aset Petronas berkaitan isu Sabah telah membuka luas mata rakyat tentang sikap serta kelemahan pihak kerajaan Malaysia hari ini terhadap Sabah.
3. Kalau ini boleh berlaku keatas Sabah, yang kaya dengan sumber asli, perkara sama juga mungkin boleh berlaku kepada Negeri Terengganu dan Kelantan, yang kaya dengan minyak dan gas serta pernah menjadi sebahagian dari kerajaan di Selatan Siam.
4. Dengan sikap cuai serta acuh tak acuh kerajaan Malaysia hari ini yang hanya banyak mengutamakan hasil bumi yang dapat dikaut dari negeri negerinya, perkara ini tidak mustahil.
5. Kerajaan Malaysia dibawah pentadbiran Najib telah menghentikan bayaran mengikut perjanjian kepada pihak kesultanan Sulu sebanyak RM5,300 setahun pada 2013 selepas serangan keatas Lahad Datu kerana Najib marah.
Tetapi ianya tidak mengikut lunas perundangan.
6. Jumlah RM5,300 setahun yang di hentikan mungkin tidak cukup pun untuk membeli sehelai baju berjenama seperti dipakai oleh Perdana Menteri atau para Menteri kita hari ini,tetapi tindakan Najib telah menimbulkan masalah tuntutan besar berpuluh billion ringgit keatas Malaysia di seluruh dunia.
7. Pelanggaran perjanjian Sulu menunjukkan sikap buruk Malaysia tidak menghormati perjanjian antarabangsa seperti juga pelanggaran perjanjian pekerja asing Indonesia yang ditandatangani baru baru ini yang ditegur keras oleh Duta Indonesia. Pelanggaran tersebut lebih memudaratkan lagi ekonomi Malaysia.
8. Sikap suka melanggar perjanjian dengan negara jiran sewenang wenangnya menunjukkan sikap kerajaan yang cuba menjadi "jaguh kampung" atau seperti "samseng Kampung Dusun" dalam filem P. Ramlee, Seniman Bujang Lapok, tetapi tersalah tempat diluar negara.
9. Kerana kerajaan terlalu sering tidak mengikut peraturan sendiri dalam negara atau mempraktikkan budaya undang undang antara dua darjat, pemerintah Malaysia lupa Waris Kesultanan Sulu dan Indonesia bukan dibawah jajahan takluk atau sebahagian dari Malaysia.
10. Indonesia negara berdaulat yang bergerak lebih maju dari kita hari ini dari banyak aspek tetapi kita berlagak sombong.
11. Bekas Menteri Luar Malaysia Anifah Aman bersama puluhan ahli Parlimen lain turut mendesak isu tuntutan Sulu di bincang di Dewan Parlimen tapi ini diremehkan.
12. Apa yang berlaku, kerajaan cadang mengadakan perjumpaan "tertutup" di hotel 5 Bintang - Hotel Seri Pacific untuk ahli ahli Parlimen!
13. Ini adalah perbincangan cara budaya pintu belakang oleh memang "KERAJAAN PINTU BELAKANG".
14. Sikap sebegini akan membuat negara kita dicemuh dan tidak dihormati dunia.
15. Sikap tabiat suka melanggar perjanjian dengan sesama negeri dalam Malaysia telah diamalkan dalam isu perjanjian Royalti minyak dan gas termasuk Terengganu, Kelantan, Sabah dan Serawak yang dibatalkan lebih 20 tahun dahulu walaupun Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah dengan Petronas dan juga mantan Menteri Kewangan dari UMNO-BN membantah.
16.Setelah kerajaan Pakatan Harapan mengembalikan Royalti pada tahun 2019 kepada Terengganu dan Kelantan, Kerajaan sedia ada hari ini sekali lagi membatalkan Royalti pada 2021.
17. Yang mengejutkan lagi Parti PAS yang dahulu berdegar degar berceramah tuntut Royalti, membisu seribu bahasa seperti tikus jatuh kedalam beras, walaupun Terengganu dan Kelantan negeri PAS yang 97% terdiri rakyat Islam Melayu .
18. Menteri dan Senator PAS lebih menjaga kedudukan diri dalam kerajaan dari kepentingan rakyat.
19. Kesimpulannya Kerajaan hari ini banyak pentingkan mengutip hasil kejayaan negeri negeri tetapi mengabaikan nasib harian sedih rakyat negeri berkenaan yang di anak tirikan.
20. Mesej sebenar filem Mat Kilau tidak difahami kerajaan kerana "penjajahan" dan salah guna kuasa keatas rakyat sendiri masih dilakukan di mana hasil bumi tidak banyak menguntungkan orang tempatan.
21. Kerajaan hari ini terlalu biasa memperalatkan undang undang dalam negara bukan untuk mencapai keadilan perjanjian tetapi untuk agenda sendiri dan kuncu kuncunya.
22. Dalam situasi sikap angkuh hari ini, amat berbahaya kepada negara apabila kerajaan melanggar dan tidak mengendah perjanjian antarabangsa.
23.Tidak ada mahkamah antarabangsa hendak mendengar dan melayan karenah sikap purba kerajaan Malaysia ala jaguh kampung yang terlalu lama dan biasa salah guna kuasa membuli rakyat di negara sendiri.
24. Malaysia akan terus berhadapan masalah lain terutamanya dipentas antarabangsa dengan sikap purba mereka.
25. Ini akan membawa Malaysia kearah kehancuran memasuki era persaingan serba canggih serta maju dengan pemimpin bersikap kuno dan angkuh kurang ilmu tinggi yang diperlukan.
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi AMANAH Terengganu