Membaca kenyataan saksi dalam kes Bella betul-betul menyedihkan. Bagaimana seorang budak OKU didera sebegitu rupa.
Marilah sama-sama di bulan Ramadan ini kita berdoa agar keadilan ditegakkan buat anak kecil ini.
Dr Rozaimi Ramle
GEORGE TOWN: Sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan membina projek lapangan terbang Kulim dicadangkan hari ini menafikan mereka meraih “keuntungan atas angin” seperti didakwa bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.
Penjelasan itu menyusul dakwaan Mukhriz yang dilaporkan berkata, ECK Development Sdn Bhd (ECK) sudah meraih keuntungan dengan memeterai perjanjian pembinaan rumah, walaupun belum membayar sesen pun bagi projek berkenaan.
ECK yang menafikan dakwaan itu berkata, ia sudah melunaskan bayaran tertunggak dan belum meraih keuntungan daripada projek berkenaan.
“ECK belum menandatangani sebarang perjanjian atau berurusan dengan mana-mana pihak. Kami tidak meraih sebarang keuntungan atau manfaat setakat ini.
“Kami telah didekati pelabur yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan lapangan terbang dan aerotropolis.
“Aerotropolis itu masih tertakluk kepada kelulusan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim,” kata jurucakap syarikat itu kepada FMT.
ECK berkata, ia sudah menjelaskan bayaran tertunggak kepada syarikat berkaitan kerajaan Kedah, KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd, selepas menandatangani perjanjian usaha sama itu. Bagaimanapun, jurucakap itu tidak mendedahkan jumlah yang dibayar.
Jurucakap itu berkata, lapangan terbang dan keseluruhan pelan induk itu perlu diluluskan pihak berkuasa terlebih dulu.
“Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara perlu disiapkan sebelum projek itu boleh dimulakan.”
Pada 2 Ogos 2021, ECK memeterai perjanjian dengan kerajaan Kedah bagi membina lapangan terbang berkenaan.
Lapangan terbang itu akan dibina di tapak seluas 1,7000 hektar di Sidam Kiri, berdekatan Sungai Petani, dan dijangka mampu mengendalikan 15 juta penumpang setahun apabila siap kelak. Kerajaan negeri sebelum ini menjangkakan penerbangan pertama seawal 2024.
Dalam kenyataan 5 April lalu, Mukhriz berkata, kerajaan Kedah menulis surat kepadanya memaklumkan tiada wang yang telah dibayar untuk projek lapangan terbang itu.
Katanya, Kumpulan ECK sehingga kini tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak KXP Airportcity Holdings Sendirian Berhad (KXPACH) mahupun kerajaan negeri.
Katanya, beliau dimaklumkan kerajaan negeri bahawa ECK akan membelanjakan RM6 bilion dalam fasa pertama pembangunan, termasuk RM2 bilion bagi tujuan pengambilan tanah.
Mukhriz mendakwa ECK telah memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat hartanah untuk membangunkan kawasan perumahan di sebahagian tanah yang diperolehi bagi projek itu tanpa membuat sebarang bayaran untuk tanah lapangan terbang itu.
PETALING JAYA: Perbicaraan kes 1MDB di Malaysia mesti disegerakan selepas mahkamah di Amerika Syarikat menjatuhi hukuman bersalah terhadap bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng, atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat itu, kata Muhyiddin Yassin.
Bekas perdana menteri itu, percaya mahkamah di negara ini akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam perbicaraan.
“Saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding. Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Muhyiddin berkata, keputusan perbicaraan kes Ng mendedahkan bukti mengenai penyelewengan 1MDB yang melibatkan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia, ketika itu.
“Bagaimana tidak amanahnya mereka menyeleweng berbilion ringgit wang 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pelaburan strategik dan melaksanakan projek pembangunan ekonomi negara. Wang ini, sebaliknya digunakan untuk memperkayakan diri sendiri dan kroni.
“Saya telah menentang perbuatan jenayah mereka sejak dari awal dan akan terus berjuang menghalang kumpulan kleptokrat ini daripada kembali berkuasa,”katanya.
Semalam, Ng disabitkan bersalah kerana bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah dan pengubahan wang haram dan kini berdepan kemungkinan hukuman 30 tahun penjara.
Tatkala kes melibatkan 1MDB serta kes rampasan ratusan juta di
Kota Kinabalu masih belum terungkai kini muncul pula kes rasuah melibatkan
lapan individu yang direman berhubung kes rasuah melibatkan projek milik
syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bernilai lebih RM2.3 bilion.
Pendedahan
kes seperti ini menunjukkan bahawa negara kita semakin rosak akibat budaya
rasuah yang berskala besar. Ia ternyata satu tragedi yang menimpa negara
tatkala rompakan oleh pemimpin dan golongan elit mencecah puluhan bilion tanpa
titik noktah, dan rakyat miskin serta golongan yang terpinggir hampir pasti
tidak akan mendapat pembelaan.
Malah
kes-kes seperti ini semakin rancak dan tiada ketegasan dari segi tindakan dan
undang-undang oleh pihak berwajib.
Saya
alukan langkah tegas SPRM dalam beberapa kes mutakhir ini, namun kami tetap
mendesak agar tindakan terus diambil terhadap pimpinan politik dan penjawat
awam.
ANWAR IBRAHIM
IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti laporan Lembaga Peperiksaan sebelum sebarang tindakan diambil susulan dakwaan penggunaan set soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang sama untuk sesi kedua peperiksaan yang bermula Khamis lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Mah Hang Soon berkata, mana-mana pihak berkaitan juga diharap tidak melakukan sebarang spekulasi bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.
“Saya sendiri pun baru terima maklumat tersebut dan saya fikir apa pun (andaian), kita perlu tunggu laporan daripada Lembaga Peperiksaan. Selepas itu, kita akan buat perbincangan sebelum tindakan susulan berpatutan diambil,” katanya selepas perjumpaan bersama ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini, hari ini.
Semalam, melalui laporan media, beberapa pihak menggesa KPM dan Lembaga Peperiksaan menjawab tuduhan berkaitan soalan peperiksaan Bahasa Melayu (Ujian Mendengar) sesi kedua sama seperti sesi pertama SPM yang dikongsi secara meluas.
Sesi kedua SPM khusus itu adalah untuk pelajar yang tidak dapat mengambil peperiksaan baru-baru ini ekoran Covid-19, banjir serta mereka yang diberi pengecualian khas oleh pengarah peperiksaan.
Dalam perkembangan lain, Mah berkata, sebanyak 4,932 kekosongan jawatan guru di bawah pengambilan khas secara “one off” akan diselesaikan dalam masa terdekat, selain tertakluk di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
“Perkara ini telah banyak kali dibincangkan. Ia sebenarnya ada satu proses yang berterusan. Sebenarnya, ia di bawah kendalian dan perlu melalui (tanggungjawab) SPP. Apa pun, proses ini masih berjalan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.”
Katanya, meskipun mengakui terdapat rungutan daripada pelbagai pihak berhubung kelewatan lantikan bagi kekosongan jawatan itu, namun ia perlu diperhalusi berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPP.
“Saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan SPP bertanyakan perkara sama (lewat). Apa yang diberitahu, mereka ada SOP tersendiri dan ia memerlukan sedikit masa.”
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kuota kekosongan berkenaan akan diisi rata-rata calon yang tidak mempunyai kontrak perkhidmatan (COS) ikhtisas pendidikan.
Pada 29 Mac lalu, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin menjelaskan, setakat ini 13,770 daripada 18,702 kekosongan bagi jawatan guru di bawah pengambilan khas secara “one off” telah diisi di seluruh negara.
Katanya, hanya terdapat 4,932 baki kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas ini yang perlu diisi oleh calon berkelayakan.
Pertubuhan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengharapkan kelewatan membentang Rang Undang undang (RUU) Anti Lompat Parti akan membawa kepada pembentukan akta yang lebih baik dan sempurna.
Menurut kenyataan BERSIH, kelewatan pembentangan yang dijanjikan pada 11 April ini sedikitnya menimbulkan kekecewaan dalam kalangan rakyat yang mahukan pilihan raya adil pada masa hadapan, namun diharapkan kerajaan akan berusaha keras membentangkannya pada sidang Julai nanti.
“BERSIH menuntut kerajaan agar komited membentangkan RUU anti-lompat baharu dan lebih kukuh pada minggu pertama sidang Parlimen Julai.
“Bagi mengelak kelewatan selanjutnya, (dicadangkan) RUU Anti-Hopping Recall yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said harus diterima pakai untuk rundingan dan penyempurnaan segera.
“Namun BERSIH berasa kecewa dengan berita terkini bahawa Kabinet Persekutuan telah membuat pusingan U pada pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang dijadualkan pada Isnin ini, biarpun Menteri Undang-undang Datuk Seri Wan Junaidi dilaporkan berkata sidang khas Parlimen akan diteruskan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang akan memudahkan pengenalan RUU anti-lompat pada masa hadapan,” kata mereka.
Menurut BERSIH lagi, RUU Anti Lompat Parti sedia ada masih terdapat beberapa kelemahan dan boleh diperbaiki sementara tempoh penangguhan kerana ketua parti boleh memecat Ahli Parlimen sekiranya tidak sehaluan dan boleh mengosongkan kerusi untuk diadakan Pilihan Raya Kecil.
Oleh itu, BERSIH mempromosikan RUU yang mana rakyat diberi peluang menentukan sama ada wakil rakyat tersebut perlu dipecat atau dikekalkan melalui Undang-undang Anti-Hopping Recall yang telah digubal oleh BERSIH dan dimajukan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini.
“Dalam reka bentuk itu, kerusi mana-mana Ahli Parlimen boleh dikosongkan atas tiga alasan; Ahli Parlimen keluar atau dipecat oleh parti, Ahli Parlimen Bebas menyertai parti, serta lompat parti oleh parti yang tidak dilindungi oleh Akta Anti Lompat parti.
“Dengan menyerahkan keputusan kepada pengundi, Undang-undang Anti-Hopping Recall boleh mengatasi dua kecacatan dalam cadangan semasa Akta Anti Lompat Parti,” kata mereka.
Namun walau apa pun tafsiran dan RUU yang akan dibentangkan, BERSIH berharap proses itu dapat disegerakan dan kerajaan tidak melakukan sekali lagi pusingan U yang akan merosakkan keyakinan pengundi kepada proses pilihan raya.
Menurut BERSIH, apabila RUU Anti Lompat Parti dibentangkan pada Julai, Ahli Parlimen atau parti yang enggan menyokong rang undang-undang itu perlu bersedia untuk menghadapi kemarahan pengundi yang terpaksa mengalami ketidakstabilan politik selama bertahun-tahun dan melihat undi mereka dikhianati oleh ahli politik.
Pakatan Harapan (PH) mengulangi pendirian tegas mereka bahawa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen merupakan antara syarat utama di dalam Memorandum Kerjasama (MoU) PH dan Kerajaan Persekutuan.
Menurut Majlis Presiden PH, meskipun gabungan itu memahami keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10 bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti, namun pembentangan RUU berkenaan perlu disegerakan dan tidak boleh ditangguhkan sehingga sesi Parlimen Julai.
“Pakatan Harapan akan menyokong Pindaan Perlembagaan pada sidang khas Parlimen 11 April ini.
“Namun, syarat utama ialah draf RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan, dan perkara ini telah ditegaskan Jawatankuasa Pemandu MOU yang telah bermesyuarat semalam.
“Ketua Pembangkang juga telah menyampaikan pendirian PH ini kepada Perdana Menteri semalam,” kata kenyataan Majlis Presiden.
Sehubungan itu, PH mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sidang khas Parlimen seterusnya dilakukan pada sidang khas Parlimen Isnin ini.
“Kami menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan komitmen bahawa RUU Anti Lompat Parti tersebut akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh sidang khas kedua ini perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April.
“Kami turut menggesa agar Menteri yang bertanggungjawab membentang Pindaan Perlembagaan pada 11 April menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan diluluskan dalam sidang khas kedua nanti.
“Pakatan Harapan percaya dengan meluluskan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi berparlimen akan dapat dipulihkan,” kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau.
TAWAU: Tiga penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH2664 Ahad lalu (3 April), meminta Malaysia Airlines Berhad serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia menjalankan siasatan telus berhubung insiden cemas pesawat itu.
Penumpang terbabit iaitu Abdul Rahim Awang Nong, 48, Halimah Nasoha, 39, dan Chui Ka Wai, 48, yang masing-masing tampil membuat laporan polis semalam, turut mendesak laporan terperinci siasatan didedahkan kepada umum.
Mereka tidak bersetuju dengan kenyataan Malaysia Airlines disiarkan Selasa lepas menyatakan, penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Tawau berpatah balik ke KLIA, disebabkan isu teknikal dan keadaan cuaca yang buruk.
Abdul Rahim berkata keadaan cuaca pada ketika itu baik dan juruterbang juga memadamkan lampu isyarat tali pinggang, selain pramugari sedang menghidangkan makanan sebelum tiba-tiba pesawat hilang kawalan.
“Saya yakin kedudukan pesawat menjunam, ketika itu saya hanya ingat mati dengan penumpang lain menjerit dan menangis ketakutan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Halimah mendakwa beliau melambung dari tempat duduknya ketika insiden cemas itu berlaku dan sehingga kini masih berasa trauma dengan kejadian kira-kira 10 minit itu.
“Cuaca sangat baik ketika itu, dan saya ada ambil gambar beberapa minit sebelum kejadian, langit biru, tidak ada hujan, cerah panas.
“Seharusnya siasatan terperinci perlu dilakukan dengan segera ke atas rakaman kotak hitam, kerana ia membabitkan keselamatan awam,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Chui berkata berikutan insiden itu menyebabkan dirinya mengalami masalah tidur kerana masih terbayang dengan situasi berkenaan.
“Sehingga kini dada saya masih sakit, pada ketika itu saya lepas minum dan mahu melelapkan mata tiba-tiba pesawat jatuh, saya melambung, saya pun ingat waktu itu mati, sewaktu selamat mendarat dan keluar pesawat pula, saya perhati semua penumpang dalam itu muka pucat,” katanya lagi.
Menurutnya laporan polis itu dibuat bukan untuk menuntut ganti rugi daripada Malaysia Airlines, tetapi mendesak agar mengeluarkan kenyataan betul kerana keadaan cuaca pada ketika itu adalah baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Jasmin Hussin mengesahkan pihaknya telah menerima laporan itu, dan pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.
Pencalonan bagi Pemilihan KEADILAN 2022 bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah ditangguhkan ke 28 Mei 2022.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, pencalonan bagi Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Pusat (MPAMKP) dan Ahli Majlis Wanita Pusat (MPWP) juga ditangguhkan ke tarikh yang sama.
"JPP ingin membuat pengumumam penting ekoran daripada pandangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis Biro Politik yang bersidang pada 6 April 2022 baru-baru ini.
"Iaitu tarikh pencalonan bagi 20 Ahli MPP di Kongres Nasional, 20 Ahli MPAMKP di Kongres Angkatan Muda KEADILAN dan 20 Ahli MPWP di Kongres Wanita yang dijangkakan akan diadakan pada akhir Jun 2022 ini, ditangguhkan daripada 11 April 2022 kepada 28 Mei 2022.
"JPP menerima baik pandangan Biro Politik dan merasakan penangguhan dan pertukaran tarikh ini bertepatan dengan proses pemilihan yang bakal dilaksanakan di Kongres kelak
"Di mana kempen yang boleh dilakukan calon-calon menjadi lebih bersasar apabila siapa yang menang akan diketahui lebih awal iaitu pada 21 Mei setelah pemilihan dilaksanakan secara hibrid di peringkat Cabang selesai pada 20 Mei
"Mereka yang menang inilah yang bakal menjadi perwakilan ke Kongres dan layak memilih pada hari tersebut," katanya.
Manakala pencalonan bagi jawatan tinggi parti, menurut Zaliha, tidak berubah dan tetap dilaksanakan pada 11 April ini.
"Tarikh pencalonan bagi 6 jawatan Pimpinan Utama MPP iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan 4 Naib Presiden serta 5 jawatan Utama MPAMKP dan MPWP iaitu Ketua, Timbalan Ketua dan 3 Naib bagi sayap masing-masing yang tersebut, akan tetap kekal pada 11 April 2022 ini," katanya lagi.