Pakar ekonomi berpandangan kerajaan tidak boleh membezakan golongan B40 dan M40 dalam menyalurkan bantuan kerana semua pihak terkesan dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, sekiranya M40 diabaikan sedangkan mereka turut terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0, golongan itu akan menjadi golongan rentan.
Bahkan ketika mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengatakan kerajaan tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menentukan apa yang dapat disediakan oleh moratorium bank atau bagaimana ia dilaksanakan, Muhammed menegaskan ia tidak tepat sama sekali dan kerajaan pernah melakukannya pada PKP 1.0. Ikuti temubual penuh Muhammed bersama Sinar Harian pada Rabu.
SH: Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) bernilai RM40 bilion dilihat tidak memfokuskan kepada golongan M40. Contohnya moratorium hanya untuk golongan B40 dan bersasar. Sedangkan golongan M40 juga perlu dibantu kerana turut terkesan. Adakah Dr merasakan golongan M40 juga perlu dibantu?
MUHAMMED: Golongan M40 harus dibantu kerana mereka juga terkesan dengan pandemik ini. Lockdown kali ini merupakan total lockdown seperti mana PKP 1.0 dilaksanakan iaitu semua diwajibkan tinggal di rumah kecuali 95,142 syarikat yang dibenarkan untuk beroperasi selama PKP ini.Ramai daripada golongan M40 akan terjejas pendapatan mereka dan hilang pekerjaan. Kita boleh menjangka peningkatan pengangguran jika PKP ini berlanjutan dan pastinya golongan M40 akan menjadi golongan rentan jika tidak dibantu oleh kerajaan.
Lihat saja tahun lepas selepas PKP 1.0 diperkenalkan, jumlah yang hilang kerja naik 245,200 dan kadar pengangguran melonjak setinggi 5.1 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh 30 tahun di Malaysia.
Walaupun kerajaan berkata mereka yang hilang kerja atau kurang pendapatan boleh menghubungi bank, ini semua proses birokrasi yang tidak perlu. Ini hanya akan menyebabkan mereka yang sepatutnya mendapat bantuan menjadi terpinggir disebabkan oleh syarat-syarat tertentu oleh pihak bank.
Umum saja moratorium pinjaman automatik, seperti PKP 1.0 kepada semua. Kita kena ingat, ramai rakyat telah menggunakan segala simpanan yang mereka ada dan sudah habis selepas setahun berhempas pulas melawan pandemik ini demi kelangsungan hidup. Simpanan untuk masa depan juga telah mengecil sebab terpaksa mengeluarkannya dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Matlamat utama dasar moratorium ini adalah untuk membantu rakyat di waktu yang mencabar ini. Jadi apabila peminjam, terutamanya dalam kalangan B40 masih dikenakan faedah, ini adalah amat tidak bertepatan dengan matlamat ini. Kadar faedah terkumpul ini hanya akan membebankan peminjam B40 untuk jangka masa panjang. Ia akan menjadikan mereka lebih miskin daripada sebelum ini
Menteri Kewangan mendedahkan kerajaan tiada kuasa dalam pemberian moratorium sebaliknya ia ditentukan oleh Bank Negara Malaysia.
Secara keseluruhan, sebenarnya rakyat yang terpaksa membantu diri sendiri melawan pandemik ini. Bantuan tunai daripada kerajaan dari segi Bantuan Prihatin Rakyat, Geran Khas Prihatin dan subsidi upah berjumlah lebih kurang RM51 bilion. Bukan RM340 bilion seperti yang digembar-gemburkan. Bandingkan pula dengan duit rakyat yang dikeluarkan dari KWSP yang berjumlah hampir RM80 bilion dan tangguhan hutang bank sebanyak RM150 bilion yang rakyat kena bayar kelak.
Saya mencadangkan supaya bantuan tunai yang lebih diberikan kepada semua golongan B40 dan M40, sebanyak RM1,500 sebulan selama tiga bulan. Ini kita mampu, dan harus dilakukan. Sudah hampir 3,000 rakyat Malaysia terkorban. Bertindaklah sekarang. Jangan kedekut. Alasan kita tidak ada duit ini tidak berasas sama sekali. Apa guna jimat duit jika setiap hari berpuluh rakyat meninggal dunia dan berpuluh puluh ribu hidup dalam kesempitan?
SH: Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menentukan apa yang dapat disediakan oleh moratorium bank berkaitan pemberian moratorium kepada M40. Adakah benar kerajaan langsung tidak boleh campur tangan sedangkan sewaktu PKP 1.0 sebelum ini semua peminjam mendapat manfaatnya?
MUHAMMED: Ini amat tidak benar sama sekali. Pertama, ini pernah dibuat tahun lepas. Kerajaan mengarahkan moratorium melalui Bank Negara Malaysia (BNM) seperti mana PKP 1.0 sebelum ini. Malah, negara lain juga mengamalkan polisi yang sama, lebih kurang 22 negara maju memperkenalkan moratorium pinjaman kepada rakyat.
Kedua, ada enam bank yang dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya iaitu Bank Pembangunan Malaysia, SME Bank, EXIM Bank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank. Ini semua milik penuh kerajaan. Jadi di mana logiknya bahawa kerajaan tidak kuasai bank?
Ketiga, ada juga bank-bank lain yang dimiliki atau dikuasai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Kementerian Kewangan, contohnya Maybank dan CIMB. Maybank dikuasai oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), di mana ia pula dikuasai oleh Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). Siapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi YPB? Pengerusinya ialah Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi pula Menteri Kewangan. CIMB juga begitu, dikuasai oleh Khazanah, di mana pengerusinya adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah ahli lembaga pengarah.
Tidak ada satu bank pun akan jatuh muflis jika mereka memberikan moratorium pinjaman selama tiga bulan. Tahun lepas, moratorium automatik dijalankan selama enam bulan, namun tiada satu pun bank-bank di Malaysia telah bankrap mahupun mencatatkan kerugian.
Ini krisis terburuk menghimpit negara, semuanya harus berkorban membantu satu sama lain, bukan hanya mengharapkan rakyat berhadapan sendiri melawan krisis ini. Kerajaan seharusnya harus membantu rakyat, bukan membantu bank sahaja.