Walaupun desakan UMNO ketika ini mahu PRU segera seolah-olah menggambarkan parti itu tidak sabar dan begitu yakin mampu berkuasa semula, tujuan sebenarnya lebih daripada itu.
Tujuan utama UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dan keluar daripada kerajaan PN ialah lebih untuk mengelakkan parti itu daripada “dimampuskan” secara perlahan-lahan.
Selama 10 bulan berada dalam kerajaan PN dan berkubang dengan Bersatu, UMNO akhirnya sedar mereka banyak dibuli dan dilemahkan oleh parti serpihannya sendiri.
Hanya kerana Bersatu memiliki banyak kuasa, semua itu digunakan untuk melemahkan UMNO supaya akhirnya Bersatu dapat berperanan menjadi penggantinya.
Bukan saja dalam konteks memenangi kerusi pilihanraya di mana Bersatu mahu mengambil kerusi-kerusi milik UMNO, malah tanpa UMNO juga, Bersatu tidak mungkin mampu menang banyak kerusi Melayu.
Sebagaimana dalam PRU14, pergantungan UMNO adalah kepada PKR dan DAP, untuk PRU akan datang, sasaran berpaut mereka ialah kepada UMNO dan Pas pula.
Tetapi, kekuatan Pas semata-mata mungkin tidak mampu mengekalkan kuasa Bersatu, maka menjadi dedalu di atas dahan UMNO adalah pilihan yang paling munasabah untuk mengekalkan kuasa yang ada sekarang ini.
Yang pasti, selagi membiarkan dirinya ditumpangi dedalu Bersatu, UMNO pasti akan “mati” akhirnya kerana tidak ada dedalu yang tidak memakan dahan yang ditumpanginya.
Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bukan saja tidak akan membiarkan pemimpin UMNO diberi tempat sewajarnya dalam kerajaan, malah alan mengurangkan jumlah kerusi untuk UMNO agar tidak melebihi apa yang dimiliki Bersatu.
Sekarang ini, selain dibuli dalam banyak aspek seperti pembahagian jawatan dalam kerajaan dan sebagainya, dalam tempoh 10 bulan saja sudah ramai pemimpin UMNO yang hati dan kiblat politiknya lebih condong ke arah Bersatu.
Tetapi, pernahkah kita dengar ada pemimpin Bersatu yang pro kepada UMNO?
Semua itu berlaku kerana Bersatu sedang memiliki banyak kuasa serta mampu menawarkan pelbagai jawatan dan kemewahan.
Kelebihan yang ada itu sedang digunakan sepenuhnya untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu, melemahkan UMNO dan kemudian menjadikannya parti yang tidak lagi bermaya.
Jika hanya dalam tempoh 10 bulan saja sudah kedapatan ada pemimpin kanan UMNO yang pro Bersatu, ditambah dengan sekumpulan mereka yang khianat menyertai Bersatu sebelum, tidak dapat ditolak lagi lama masa berlalu, lagi macam-macam kemungkinan boleh berlaku.
Untuk itu, UMNO tidak ada pilihan selain bertindak menghentikan kemungkinan lebih buruk berlaku kepada masa depannya dengan sesegera dan secepat yang boleh.
Jika dirasakan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari nanti terlalu lama dan mungkin ia cuba dihalang atas pelbagai sebab, maka tindakan mengumumkan keluar segera daripada kerajaan dan menarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah pilihan yang tidak boleh dielak lagi.
Hanya dengan keluar daripada PN saja UMNO dapat menyelamatkan masa depannya dan ketika ini mereka jangan fikir bahawa tindakan itu mesti berakhir dengan PRU semata-mata.
Setelah jatuh Muhyiddin dan PN, kemudian jika kerajaan baru terbentuk juga dapat membuatkan UMNO lebih terjamin masa depannya.
Berbanding Muhyiddin dan Bersatu yang hanya boleh terus hidup jika UMNO berjaya dibuli dan dilemah sehingga akhirnya “dimatikan”, Anwar Ibrahim dan PKR sebaliknya tidak berniat sama sekali untuk “memampuskan” UMNO demi survivalnya.
PKR dan UMNO hanya musuh politik, tetapi bukan pesaing yang berkubang di lubuk yang sama.
Dalam hal berkaitan, jika UMNO sebelum ini pernah diharamkan untuk mengelakkan pemilihan 1987 daripada diadakan semula, seterusnya untuk menghalang Tengku Razaleigh Hamzah daripada terus berada dalam UMNO yang dibarukan, apakah tidak mustahil Muhyiddin juga melakukan hal yang sama kepada UMNO demi masa depannya?
Bukankah Muhyiddin dan Tun Mahathir, selain dalam kelompok Team A ketika bersama UMNO, mereka berdua juga sama-sama menubuhkan Bersatu sebelum ini?
Mustahilkah gaya politik Tun Mahathir menjadi tiruan bagi Muhyiddin?
(Shahbudindotcom 09/01/2021)