PRU 15 segera: Najib jangan pentingkan diri sendiri – Hannah Yeoh
Bekas PM Najib Razak ditempelak oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh kerana tergesa-gesa mencadangkan pilihan raya umum ke 15 ketika wabak Covid 19 masih bergejala, sekolah ditutup dan ekonomi menderita
Menurut Ahli Parlimen Segambut itu, Najib amat tidak bertanggungjawab mencadangkan pilihan raya bagi menyelesaikan ketidaktentuan politik di negara ini
Beliau merujuk kenyataan Najib pada 3 Jun, apabila menyarankan Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai menyusun prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya.
“Ketika sekolah masih belum lagi dibuka, kedai gunting rambut hilang pendapatan selama 3 bulan dan sebahagian rakyat diberhentikan kerja, pemimpin Umno ini hanya sibuk mencadangkan untuk diadakan pilihan raya.
“Beliau malah sampai peringkat mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan SPR untuk segera merangka SOP untuk menghadapi pilihan raya,” kata Yeoh dipetik The Malaysian Insight.
Bekas timbalan menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu menambah kanak-kanak di seluruh negara masih belum dapat kembali ke sekolah sehingga menyebabkan ibu bapa terpaksa tinggal di rumah untuk menjaga mereka.
Walaupun perniagaan dibenarkan untuk beroperasi, kenyataannya banyak di antara mereka yang bergelut untuk terus bertahan, tambahnya.
“Adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal apabila cadangan seperti itu datang daripada seorang Najib Razak.
“Sekiranya ada keperluan untuk meyakinkan rakyat bahawa Umno/Perikatan Nasional (PN) hanya mahu merebut kuasa dan jawatan dalam GLC, ingatlah cadangan di atas.
“Ini adalah bukti paling jelas betapa Najib telah meletakkan kepentingan politiknya mengatasi kepentingan negara.”
Beliau berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus mengarahkan Najib meruntuhkan pemerintahan majoriti tipisnya.
Dalam catatan di Facebook semalam, Najib juga menuduh PH bermain politik dengan cuba membeli anggota Parlimen PN untuk menjatuhkan kerajaan.
Beliau juga mengingatkan pembangkang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata keadaan politik dan kerajaan perlu stabil.