BUKAN SEKAP JARANG, ADA BUKTI ANASIR CUBA TUKAR KERAJAAN

KERAJAAN PERPADUAN: UMNO, PAS CUBA HALANG ANWAR PM KE 8?

KENAPA PERLUNYA TARIKH PENYERAHAN JAWATAN PM DITETAPKAN



Walaupun dinafikan oleh Hishammuddin Hussein berhubung dakwaan penglibatannya untuk menubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang, tetapi PKR berpendirian sebaliknya.
Menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pihaknya mempunyai bukti tidak langsung berkaitan perkara tersebut.
Katanya lagi, PKR mempunyai bukti tentang komplot mahu merampas kuasa daripada gabungan PH yang sedang mentadbir negara dan akan berusaha memberi amaran kepada orangramai mengenainya.
“Ada semacam circumstantial evidence. Dia tak perlu satu evidence (bukti) yang (langsung), politik mana ada evidence macam itu.
Circumstantial evidence – cukup untuk kami mengingatkan bahawa pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil pendirian bahawa rakyat harus melihat tentang adanya kemungkinan percubaan untuk hijack (merampas) agenda reformasi yang telah pun dijalankan sekian lama dan rakyat telah membuat keputusan melalui pilihan raya umum yang lepas,” kata Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Kenyataan Saifuddin ini dengan sendirinya mewajarkan tindakan Majlis Setiausaha PH minggu lalu yang mengeluarkan amaran kepada Hishammuddin agar berhenti mengajukan idea mengenai penubuhan kerajaan baru itu.
Tanpa ada bukti, meskipun tidak langsung, bukan saja mustahil Majlis Setiausaha PH mengeluarkan kenyataan media, malah tidak mungkin juga Anwar Ibrahim sendiri berani menyebutnya di dalam Parlimen.
Sekali pandang, memang terlihat Hishammuddin secara sendirian tidak cukup kekuatan untuk mengusahakan penubuhan kerajaan baru itu, tetapi segala-galanya jadi tidak mustahil jika ada “dalang” di belakang beliau.
Dalam hal ini, tentulah Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Larut yang banyak diperkatakan sebagai orang di belakang tabir yang bekerja kuat menjayakan penubuhan kerajaan baru itu bukan “dalang” yang sebenarnya.
Hamzah mungkin hanya bertaraf pekerja atau “macai” semata-mata yang kerjanya hanya mengadakan pertemuan dengan para pemimpin UMNO dan PH bagi menjayakan rancangan tersebut.
Tetapi, “dalang” di belakang tabir yang memberi arahan, merestui, mengatur strategi dan tidak mustahil turut menyediakan peruntukan kewangan itulah yang berperanan besar, sekaligus pengkhianat yang sebenarnya.
Lebih-lebih lagi Hamzah bukanlah pemimpin yang pernah ada “track record” cemerlang sebelum ini, tetapi beliau terbukti boleh melakukan apa saja perkara luar biasa jika ada “dalang” berada di belakangnya.
Maka itu, setelah mengesahkan adanya bukti tidak langsung ke arah wujudnya kerajaan baru tersebut, baik PH atau PKR, mesti mulai berusaha merungkai dan mendedahkan siapa “dalang” tersebut.
Selagi “dalang” ini tidak didedahkan, selagi itulah usaha menggugat kerajaan PH akan terus berlaku.
Mungkin dalam sebulan dua akan datang, isu kerajaan baru ini akan reda buat seketika berikutan apa yang terdedah ini, namun oleh kerana “dalangnya” masih bebas berkeliaran, tiada jaminan gugatan lain tidak muncul lagi selepas ini.
Seperkara lagi, oleh kerana idea penubuhan kerajaan baru ini berkait rapat dengan isu peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar, adalah penting tarikh penyerahan jawatan itu dimuktamadkan dengan seberapa segera.
Hanya dengan kesediaan Tun Mahathir, selain ketegasan Majlis Presiden PH menetapkan tarikh peralihan kuasa saja, yang dapat mematikan segala usaha ke arah mewujudkan kerajaan baru yang lain selain kerajaan PH yang telah diberi mandat rakyat pada PRU14 lalu dan sah sehingga 2023 akan datang. (ShahbudinHusin 20/10/2019)


KOMPLOT JATUHKAN KERAJAAN MUNGKIN TERKAIT RASUAH.SPRM DIGESA SIASAT



1. Pendirian tegas PKR yang dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya Dato Seri Saifuddin Nasution hari ini dalam isu wujudnya komplot menjatuhkan kerajaan amat dialu2 kan.
2. Pendedahan yang dibuat oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim didalam sidang Parlimen tempohari adalah serius dan perlu kepada tindakan tegas kerajaan.
3. Penafian Dato Seri Hishamudin Hussein tentunya tidak memadai. Siasatan mesti dilakukan oleh pihak berwajib kerana kemungkinan wujud unsur jenayah dan rasuah sebagai faktor utama tidak boleh dipandang ringan.
4. SPRM mesti mulakan siasatan segera terhadap dakwaan motif komplot ini adalah untuk lari daripada dikenakan tindakan terhadap jenayah rasuah pemimpin2 yang terbabit. Kita semua sedia maklum kewujudan beberapa kes penyelewengan Kementerian Pertahanan semasa Menterinya adalah Hishamuddin sendiri. SPRM perlu tampil berikan penjelasan.
5. Kita juga sedia maklum beberapa nama yang disebut sebagai rakan komplot Hishamuddin juga terbabit kes jenayah terutamanya Dato Seri Azmin Ali yang masih dalam siasatan Polis kes video seks sumbang. Justeru teori komplot untuk lari dari tindakan undang2 jenayah dan rasuah memang ada asasnya.
6. Dato Seri Hamzah Zainuddin, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri juga disebut rakan komplot dan ianya juga mengundang persoalan serius kerana pegawai tinggi Kementerian itu semasa beliau menjadi Menteri baru sahaja dihadap ke Mahkamah atas tuduhan rasuah.
7. Kerajaan hari ini khususnya PM tidak boleh membenarkan elemen2 yang merosakkan seperti ini samada didalam dan diluar kerajaan menjadi hambatan kepada kestabilan sebuah kerajaan pro reformasi dan perubahan.
8. Makanya keperluan tindakan tegas dan pantas diambil terhadap tokoh2 politik yang mempunyai masalah jenayah dan rasuah itu crucial dan menentukan. Kelewatan atau tiada tindakan terhadap mereka seperti didalam kes Azmin dan Hishamuddin membuka ruang kepada mereka mengatur langkah menyelamatkan diri mereka dari timdakan undang2 seperti komplot menjatuhkan kerajaan ini.
9. PM seharusnya sedar mereka yang berpotensi bermasalah ini cuba berselindung dan bergayut dibawah pengaruh PM sendiri untuk tujuan dan kepentingan mereka.
10. Kita tidak boleh membenarkan agenda perubahan dan kerajaan itu sendiri diganggu gugat oleh elit2 politik yang bermasalah ini.
11. Kisah komplot jahat menjatuhkan kerajaan ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kerajaan khususnya PM sendiri agar mempastikan undang2 negara dijalankan dengan pantas khususnya yang membabitkan elit politik seperti Menteri dan bekas Menteri yang mempunyai sumber dan pengaruh untuk menganggu perjalanan sebuah kerajaan demi kepentingan diri mereka.
12. Kami juga alu2kan kenyataan bersama PH didalam menolak sebarang bentuk komplot jahat menjatuhkan kerajaan sediaada melalui pintu belakang. Namun ianya tidak memberi makna dan kesan yang positif sekiranya pihak berwajib didalam kerajaan sendiri seperti PDRM, SPRM tidak bertindak.
13. Ketegasan dan kesungguhan kerajaan khususnya PM didalam mempastikan keadilan undang2 ditegakkan terhadap bekas PM mesti juga diperlihatkan didalam kes membabitkan bekas Menteri termasuk Menteri hari ini. Tidak harus ada kompromi dalam soal jenayah dan rasuah.
14. Kita tidak mahu wujud persepsi negatif tindakan terpilih dilakukan atas pertimbangan politik peribadi. Sekiranya ini berlaku ianya tragedi terbesar kepada sebuah kerajaan yang dibina atas nama perubahan dan keadilan bagi rakyat. Kita tidak boleh benarkan ianya berlaku. Agenda perubahan dan reformasi tidak boleh gagal hanya kerana kepentingan dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Ianya pengkhianatan terbesar kepada rakyat dan negara.
Mohamad Ezam Mohd Nor
19 Okt 2019, 20 Safar 1441H.

JIKA NAK BERCAKAP SOAL MARUAH, BERCAKAPLAH MENGENAI MARUAH SWMUA WARGANEGARA



Dua minggu telah berlalu sejak Kongres Maruah Melayu diadakan pada 6 Oktober 2019 lalu di Shah Alam Selangor. Kongres itu adalah satu perhimpunan aman yang telah berlangsung dengan aman.
Hak berhimpun secara aman itu dijamin dan dilindungi oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10.
Walaupun Kongres itu satu perhimpunan aman, tetapi bagaimana dengan ucapan, laungan, tuntutan, serta usul yang disuarakan dan diluluskan di dalam Kongres tersebut?
Hal ini perlu dibincang dan dianalisis kerana ia boleh membawa keadaan tidak aman kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Hak bersuara dan membuat tuntutan serta menzahirkan pandangan juga dijamin oleh undang-undang dan perlembagaan negara. Namun begitu kebebasan bersuara tersebut tidaklah bersifat mutlak. Ada batas yang perlu dijaga.
Sekiranya suara, pandangan, tuntutan dan usul Kongres tersebut bersifat ekstrim dan boleh menimbulkan keadaan permusuhan dan ketegangan di kalangan rakyat maka ada undang-undang dan peraturan yang akan berkuatkuasa.
Sebagai seorang Melayu dan seorang ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat pelbagai kaum di kawasannya, saya ingin bertanya kepada pihak penganjur Kongrers Maruah Melayu itu dan semua pemimpin-pemimpin Melayu yang hadir di kongres berkenaan, sama ada yang berucap atau tidak berucap.
Soalan saya mudah sahaja iaitu berbunyi begini: Bagaimana pula kalau ada aorang-orang Cina ingin mengadakan Kongres Maruah Cina sebagai membalas Kongres Maruah Melayu. Kemudian bagaimana kalau kaum India pula datang dengan cadangan untuk mengadakan Kongres Maruah India. Diikuti pula rakyat kita keturunan Kadazan, Murut, Dusun, Iban dan, Bidayuh juga ingin mengadakan Kongres Maruah kaum masing-masing?
Apakah hanya kaum Melayu sahaja yang boleh mengadakan Kongres Maruahnya? Bagaimana dengan yang lain? Ke arah mana negara kita hendak kita bawa sekiranya selepas lebih 62 tahun Persekutuan Tanah Melayu Merdeka dan 56 tahun Malaysia ditubuhkan jika kaum-kaum di dalam negara kita tampil dengan tuntutan, seruan, jeritan, laungan dan usul dari Kongres Maruah masing-masing?
Apakah kita sebenarnya sudah gagal membina sebuah Bangsa Malaysia yang merdeka dan bersatu padu?
Sebagai seorang ahli parlimen, semasa saya mengangkat sumpah pada 16 haribulan Julai 2018 selepas Pilihanraya Umum Ke-14 yang bersejarah, bahawa saya telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia. Saya memulakan sumpah itu dengan membaca kalimah Bismillah.
Sebagai seorang Islam saya bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi rakyat Malaysia dari semua kaum, agama dan budaya supaya semuanya dapat hidup bebas, merdeka serta menikmati keadilan sosial di dalam sebuah negara Malaysia yang demokrasi yang bergerak atas landasan hukum yang adil lagi saksama.
Saya ingin menyatakan kepada semua para pemimpin Melayu khususnya sama ada pemimpin politik ataupun tidak, sama ada di pihak kerajaan yang memerintah sekarang ataupun di pihak pembangkang supaya secara jujur dan ikhlas berani menerima hakikat bahawa negara Malaysia yang di dalamnya terdapat tiga wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, Sabah dan Sarawak di Borneo bukanlah negara untuk orang Melayu sahaja secara eksklusif.
Ia juga bukan sebuah negara untuk orang-orang Islam sahaja secara eksklusif. Negara Malaysia ini adalah sebuah negara pelbagai kaum dan agama serta perlbagai budaya, satu kurniaan dari Allah, Tuhan Maha Pencipta untuk kita semua hidup rukun dan bersatu dalam sebuah negara yang dianugerahkan dengan kekayaan hasil bumi dan laut yang tidak terkira banyaknya.
Kepada kaum Melayu dan Islam yang menjadi kaum majoriti di negara ini, maka saya menyeru supaya kita bersikap inklusif iaitu menerima kepelbagaian yang ada di negara kita dan itu sebenarnya adalah satu kekuatan serta satu kelebihan, dan sekiranya kita urus dan tadbir dengan baik secara beramanah, maka Malaysia ini akan menjadi sebuah negara yang maju, progresif dan bersatu.
Justeru itu, sebagai seorang ahli parlimen Melayu dan Islam, saya secara terbuka membuat seruan yang patriotik ini. Inilah jawapan saya terhadap Kongres Maruah Melayu yang diadakan dua minggu yang lalu. Maruah orang Melayu tidak dapat dibela dengan seruan dan usul yang sempit secara eksklusif hanya untuk kepentingan satu kaum sahaja.
Maruah orang Melayu hanya dapat diperjuangkan di dalam kerangka bersama maruah Bangsa Malaysia keseluruhannya yang bergerak seiring untuk merapatkan jurang kaya miskin dan jurang maju mundur tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.
Sudah sampai masanya kita tidak bercakap atas nama kaum itu dan kaum ini. Kita bercakap atas nama semua warganegara yang menjadi rakyat Malaysia. Kalau kita mahu bercakap soal maruah, maka kita bercakap soal maruah seluruh rakyat dan seluruh warganegara.
Maruah rakyat Malaysia. Maruah Bangsa Malaysia. Inilah jawapan saya terhadap Kongres Maruah Melayu tersebut.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
19 Oktober 2019


PERJANJIAN PETRONAS SEBUT ‘WANG TUNAI’, BUKAN ROYALTI