PH TIDAK PERLU PANIK DENGAN KERJASAMA UMNO – PAS













Melihat kepada reaksi kebanyakan pemimpin PH berhubung kerjasama rasmi yang termetrai antara UMNO dan Pas, dapat dirasa seperti ada nada panik daripada mereka.

Pengerusi PH, Tun Mahathir Mohamad mempersoalkan hubungan itu dengan mengatakan apakah Pas sudah menganggap UMNO sudah Islam berikutan pernah mengkafirkan parti Melayu itu sebelum ini?


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melihat kerjasama dua parti Melayu itu sebagai bertujuan memerangi bukan Melayu, meskipun kemudian mengubah perkataan memerangi itu kepada menyasarkan berikutan kecaman pelbagai pihak yang kurang senang dengan reaksinya yang dianggap keterlaluan.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut terkejut bagaimana Pas boleh bekerjasama dengan UMNO yang merupakan sebuah parti yang disifatkannya sudah rosak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad melihat kerjasama UMNO dan Pas ibarat kerjasama antara “perompak dan penipu”
Liew Chin Tong, Ketua Strategik DAP mengibaratkan kerjasama UMNO – Pas seperti strategi “bumi hangus” yang mana percantuman dua parti Melayu itu bersama bantuan MCA dan MIC bersamanya adalah bertujuan menghapuskan semuanya untuk menang dalam apa jua keadaan.


Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, kerjasama UMNO dan Pas akan memecah-belahkan rakyat serta menjadikan negara ini seperti Taliban jika gabungan itu berjaya memperolehi kuasa mentadbir negara.
Beberapa pemimpin PH lain yang mengulas kerjasama itu juga turut memberi reaksi dengan nada yang hampir serupa.
Hanya Anwar Ibrahim yang kelihatan tidak panik dengan mengatakan bukan semua orang Melayu menyokong UMNO atau Pas, selain menegaskan kerjasama itu mesti dilawan dengan pemulihan ekonomi serta kepedulian yang lebih tinggi terhadap nasib rakyat.

Mengapa PH perlu panik dan memberi reaksi yang agak keterlaluan berhubung kerjasama UMNO – Pas itu.


Bukankah sebelum PRU14 lalu, PH juga mengecam Pas kerana memilih bersendirian bersama kuasa ketiga Gagasan Sejahteranya lantaran beranggapan jika parti itu bekerjasama secara langsung dengan UMNO yang menyebabkan hanya pertandingan satu lawan satu yang berlaku, maka BN akan lebih mudah dikalahkan?
Tetapi, dengan kesatuan kuasa rakyat yang mahukan perubahan, melalui pertandingan tiga penjuru pun UMNO tetap tumbang juga akhirnya.

Bermakna, bukan saja PH boleh menang sama ada berlaku pertandingan satu lawan satu atau tiga penjuru, yang penting kerjasama UMNO dan Pas sekarang ini adalah merupakan keinginan PH sendiri.

Kenapakah setelah memperolehi kuasa sebagai kerajaan, PH tiba-tiba panik dan tidak setuju dengan kerjasama UMNO dan Pas itu?
Tidakkah dengan pertandingan dua penjuru yang akan berlaku nanti, ditambah dengan kedudukan PH sebagai kerajaan kini, UMNO dan Pas yang sudah bersatu akan lebih mudah lagi untuk dihanguskan dalam pilihanraya akan datang?

Cabaran besar bagi PH sebenarnya bukanlah kerana wujudnya kerjasama UMNO dengan Pas atau berapa banyak parti yang bergabung untuk berlawan dengannya, tetapi sejauh manakah PH mampu menjadi kerajaan yang lebih baik, menunaikan janji dan memberi kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhannya.
Peringatan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 yang mahu PH segera memberi penekanan kepada aspek pemulihan ekonomi dan kepedulian kepada rakyat adalah sesuatu yang tepat dan tidak harus dipandang ringan oleh semua.
 
Jika rakyat selesa dengan kerajaan yang ada dan semua isu dapat ditangani dengan baik, tiada sebab sama sekali untuk mereka menukar kerajaan apabila pilihanraya diadakan.

Mudah kata, berbaki tempoh 4 tahun dua bulan sebelum pilihanraya umum akan datang, wujudnya kerjasama UMNO dan Pas ini haruslah dijadikan cermin oleh PH untuk mereka tampil lebih baik, lebih bergaya dan menepati janji-janji yang pernah dibuatnya sebelum ini.

Jangan panik dan segeralah bangun untuk buat kerja dengan lebih baik demi rakyat. Bersikap panik dan menyerang kerjasama itu hanya menunjukkan PH tidak sedia menjadi lebih baik atau tidak ingin menunaikan segala janji-janji kepada rakyat.
Kalau Tun Mahathir boleh bekerjasama dengan DAP dan kembali mencari Anwar yang pernah dipecat dan dipenjarakannya, apa hairannya Pas dan UMNO boleh berbaik juga? (Shahbudindotcom 09/03/2019)

Sidang Parlimen: MP PKR akan bawa soalan peralihan kuasa

Sidang Parlimen: MP PKR akan bawa soalan peralihan kuasa

Sidang Parlimen: MP PKR akan bawa soalan peralihan kuasa

Proses peralihan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim adalah antara soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen apabila Dewan Rakyat bersidang minggu depan.

Soalan tersebut ditanyakan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim daripada PKR, yang mahu memastikan proses tersebut berjalan segera dengan lancar dan tertib.

Dalam soalannya yang dilihat oleh The Malaysian Insight, Hassan meminta perdana menteri menyatakan apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan proses peralihan kuasa seperti dalam perjanjian manifesto Pakatan Harapan (PH) dapat berjalan dengan lancar dan tertib.

“Betul. Memang ada satu soalan yang saya hantar begitu. Kita tunggu apa perdana menteri jawab,” kata Hassan ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Pada kertas yang dilihat The Malaysian Insight, soalan itu ditetapkan dalam kertas aturan untuk 4 April, soalan Nombor 18.
Sekiranya sempat dikemukakan dalam tempoh soal jawab menteri selama satu jam setengah, Hassan akan diberi peluang mengemukakan soalan tambahan sebelum ahli Parlimen lain mengemukakan soalan mereka atas isu yang sama.

Sekiranya tidak sempat dikemukakan dalam tempoh tersebut, soalan berkenaan biasanya akan dijawab secara bertulis oleh perdana menteri.

Menurut Hassan, terlalu banyak khabar angin dan konspirasi berlegar ketika ini seperti undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan PH.

“Saya inginkan proses peralihan itu berjalan dengan tertib dan lancar sebab itu saya bawa ke Parlimen. Kita mahu perdana menteri sendiri yang bercakap di Parlimen dan bukannya di pentas ceramah atau majlis lain.

“Cakap di Parlimen tidak boleh bohong, politiking sebab Parlimen platform membuat undang-undang.
“Itu tujuan saya, tidak ada niat apa-apa sebab semua orang sudah tahu, sebelum pilihan raya sudah ada perjanjian bertulis peralihan kuasa ini,” katanya.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH membuat ketetapan setuju Dr Mahathir jadi perdana menteri dan akan digantikan dengan Anwar.

Dalam tempoh 10 bulan lalu, Dr Mahathir dan Anwar berkali-kali menegaskan pelan peralihan kuasa itu akan dihormati pada tempoh yang akan dipersetujui bersama antara dua pemimpin itu.
Pada Januari lalu, Ketua Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah menjelaskan ia tidak menetapkan tempoh Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

“PH cuma mempunyai keputusan dan perjanjian bahawa selepas Tun M (Dr Mahathir), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perdana menteri seterusnya. Kita tidak bincangkan tempoh kerana mereka saling memahami,” kata Saifuddin, yang juga menteri luar negeri.
Menurut Hassan, peralihan kuasa ini perlu berjalan dengan lancar dan aman seperti mana yang dilakukan oleh Barisan Nasional selepas tewas kepada PH dalam PRU14 Mei tahun lalu.

“Kita puji peralihan kuasa kerajaan apabila Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU14 dahulu kepada PH berjalan dengan harmoni, teratur dan tiada huru-hara. Rakyat suka dan dunia puji.
“Sekarang fasa berikutnya daripada perdana menteri ketujuh kepada perdana menteri kelapan, kita mahukan perkara yang sama. Kita tidak mahu ada ketegangan dan salah faham.

“Sekiranya perkara ini dapat dijelas secara terbuka di atas platform yang sepatutnya, kerajaan boleh fokus kepada sosio ekonomi dan dasar,” ujarnya.

Hassan adalah ketua PKR Johor, yang dilantik semula ke jawatan itu oleh Anwar selepas terpilih sebagai presiden parti pada November lalu.

Pelantikannya pada Disember lalu jadi perhatian selepas dikritik secara terbuka antaranya oleh bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya yang mendakwa ada amalan kronisme dan nepotisme dalam lantikan pimpinan negeri.

Hassan kemudian menolak pelantikan tersebut, sehari selepas Nurul Izzah Anwar menolak jawatan sebagai ketua PKR Pulau Pinang, tetapi selepas itu dipujuk untuk menerimanya oleh akar umbi di Johor.

Isu undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir diperkatakan secara terbuka selepas perdana menteri mendakwa PAS memberitahunya tidak akan menyokong Umno dalam pilihan raya kecil Semenyih, baru-baru ini.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan kemudian membuat penjelasan yang PAS hanya memberi sokongan kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU15.
Takiyuddin membayangkan dua komponen PH iaitu PKR dan DAP mahu menjatuhkan Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat, berdasarkan tanggapan PAS semasa pertemuan Presidennya Abdul Hadi Awang dengan perdana menteri di Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mendakwa PAS merasakan ada yang tidak kena dengan cara Dr Mahathir bercakap tentang komponen PH yang lain.

Hadi kemudian mengulangi penegasan PAS akan menyokong Dr Mahathir sekiranya undi tidak percaya berlaku, mendakwa pihaknya ada maklumat dan isu bukan cerita yang dibuat-buat.
“Kita mempunyai maklumat (akan ada undi tidak percaya kepada perdana menteri) sebab itulah kita bagi sokongan… kalau tiada angin masakan pokok bergoyang,” katanya pada 22 Februari lalu.
Presiden PKR Anwar Ibrahim bagaimanapun menafikan ada gerakan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir selaku perdana menteri.

Ahli Parlimen Port Dickson itu sebaliknya berkata cakap-cakap seperti itu hanya helah Hadi dan PAS mahu memecahbelahkan PH.
Menurut Anwar, beliau sudah bertemu dengan pemimpin komponen PH yang lain dan semua mereka tidak tahu adanya usaha membawa usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir.
Dewan Rakyat dijadual bersidang esok dengan titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong membuka mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-14. Dewan Rakyat ditetapkan bersidang sehingga 11 April.