Amalan terima wakil rakyat Umno tak sihat, DAP gesa gubal akta halang lompat parti


DAP menyifatkan tindakan parti komponen Pakatan Harapan (Harapan) menerima ahli Parlimen yang pernah menjadi ahli UMNO sebagai amalan yang ‘tidak sihat’.
Pengerusinya, Tan Kok Wai berkata demikian mengulas keputusan ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menyertai Bersatu.
Terdapat juga ura-ura 40 ahli Parlimen UMNO akan mengikut jejak langkah Mustapha seperti yang didakwa Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin.
“DAP tidak pasti sama ada lebih ramai Ahli Parlimen UMNO akan menyertai parti komponen Harapan termasuk DAP sendiri.
“Namun, kami tidak menggalakkannya kerana tindakan menerima mereka yang mahu melompat parti ini bukan sesuatu amalan yang sihat, memandangkan belum pun enam bulan sejak PRU yang lalu,” katanya seperti dipetik media.
Gesa akta halang lompat parti
Sementara itu, Sosialis Muda DAP (DAPSY) menggesa kerajaan segera memperkenalkan akta berkaitan lompat parti di negara ini.
Ketuanya, Wong Kah Woh, gesaan itu berdasarkan keadaan politik semasa negara yang menyaksikan kemungkinan lebih ramai wakil rakyat mungkin lompat parti.
“Saya percaya sudah sampai masa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan ini sekiranya mana-mana wakil rakyat, biarpun daripada UMNO, Pakatan Harapan, DAP, MCA atau mana-mana parti di Sabah dan Sarawak, sekiranya mereka hendak lompat dan keluar parti.
“Adalah menjadi satu asas demokrasi yang amat mudah untuk mereka melepaskan jawatan berkenan terlebih dulu dan Perlembagaan dipinda supaya mereka ini dibenarkan bertanding semula di kawasan sama pada pilihan raya kecil (PRK) akibat daripada kekosongan kerusi berkenaan,” katanya. 

Kes pembunuhan Altantuya akan terus hantui Najib


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak cuba menghalang proses keadilan di negara ini apabila menggesa kerajaan Pakatan Harapan berhenti mencari kesalahan dirinya, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.
“Adakah Najib mencadangkan bahawa Pakatan Harapan tidak harus membuka semula siasatan ke atas kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu bagi mencari motif pembunuhan tersebut, sesuatu yang gagal dilakukan oleh pentadbiran Najib sebelum ini, atau menyiasat skandal 1MDB?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan supaya kerajaan berhenti mencari kesalahan dirinya dan pentadbiran terdahulu, sebaliknya memberi tumpuan untuk menyelamatkan ekonomi negara.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen semalam, berkata tindakan sewajarnya akan diambil terhadap Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah jika mereka didapati terlibat dalam kes pembunuhan model warga Mongolia itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bertanya sama ada Najib dan Rosmah akan disoal siasat berhubung kes pembunuhan Altantuya susulan pendedahan ahli perniagaan Deepak Jaikishan mengenai penglibatan pasangan itu.
Menurut Kit Siang, kes Altantuya akan terus menghantui Najib dan Malaysia sehingga motif sebenar pembunuhan tersebut dapat dirungkai dan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan. 

‘Baju Komunis’ Chin Tong: Kementerian beri penjelasan jawab fitnah netizen


Kementerian Pertahanan menafikan tuduhan bahawa Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong “dengan sengaja” memakai pakaian tentera Komunis ketika membuat Pemeriksaan Kawalan Kuarter.
Menurut kementerian tersebut, pakaian yang dipakai oleh Timbalan Menteri Pertahanan itu adalah baju korporat rasmi (Bush Jacket) yang disediakan khas untuk Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan bagi tujuan lawatan kerja khususnya ke markas formasi dan kem.
“Ianya juga sebagai mematuhi arahan Menteri Pertahanan YB Tuan Hj Mohamad  bin Sabu bahawa pakaian seragam tentera tidak boleh dipakai oleh orang awam dan hanya boleh dipakai oleh anggota tentera sahaja yang telah melalui fasa latihan ketenteraan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Chin Tong mengadakan Pemeriksaan Kawalan Kuarter di Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Kuching pada 26 Oktober lalu.
Terdapat pihak tidak bertanggungjawab mendakwa kononnya Senator itu mengenakan pakaian menyerupai komunis semasa melakukan lawatan kerja. Ia menjadi tular di media sosial dan mengundang kecaman pelbagai pihak. –

AHLI PARLIMEN UMNO INTAI SERTAI PKR?





Di sebalik riuh rendah khabar angin seramai 40 Ahli Parlimen UMNO mahu menyeberang menyertai Bersatu, kini timbul pula desas-desus menyatakan ada antaranya sedang mengintai untuk menyertai PKR.

Salah seorang Ahli Parlimen UMNO dari Utara dikatakan sedang giat mendekati pemimpin tertentu dalam PKR untuk memudahkan laluannya menyertai parti itu.

Adalah dijangka sebaik saja selepas pemilihan PKR pada bulan November nanti, maka Ahli Parlimen itu akan segera mengisi borang keahlian menyertai PKR.

Sebab utama mengapa Ahli Parlimen berkenaan lebih memilih PKR berbanding Bersatu ialah kerana Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri selepas ini.

Atas alasan itu dikatakan pemilihan PKR sebagai wadah baru lebih menjanjikan masa depan yang cerah dari segi politik kepada Ahli Parlimen berkenaan berbanding jika  beliau menyertai Bersatu bersama sekian ramai Ahli Parlimen UMNO yang lain.

Sumber lain pula memberitahu, Ahli Parlimen tersebut turut sedang berusaha memujuk dan meyakinkan beberpa rakannya yang lain untuk turut bersamanya menyertai PKR.

Setidak-tidaknya, jika beliau dapat membawa dua atau tiga Ahli Parlimen lain untuk bersamanya menyertai PKR, sudah tentu nilai ‘sahamnya’ akan lebih meningkat di mata Anwar.

Bagaimanapun, beberapa pihak lain yang pro Pakatan Harapan jelas tidak senang dengan usaha Ahli Parlimen berkenaan melobi pihak tertentu dalam PKR bagi tujuan memudahkan laluannya menyeberang parti itu.

Terdapat usaha mengingatkan Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail agar berhati-hati dan tidak terlalu ghairah menerima kemasukan Ahli Parlimen yang pernah dilanda kontroversi itu.

Usaha juga turut dilakukan dengan cuba memberitahu pemimpin parti lain dalam Pakatan Harapan mengenai perkembangan terbaru itu dengan harapan mereka akan "berbisik"  meminta Anwar tidak menerima kemasukan Ahli Parlimen berkenaan ke dalam PKR.

Asasnya ia mereka bimbang kemasukan Ahli Parlimen yang pernah terpalit dengan kontroversi dan skandal itu hanya memberi kesan buruk kepada PKR serta menyebabkan penolakan rakyat kepada Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang. (ShahbudinHusin 31/10/2018)

JANGAN SERTAI PH UNTUK TUTUP SIASATAN

HATI-HATI .JANGAN JADI KERAJAAN SEPENGGAL




TEMPOH BERBULAN MADU SUDAH BERAKHIR


Tamrin Tun Ghafar
Selasa - 30/10/18
( 1 -  22 )

1.   A Kadir Jasin mencadangkan kesemua Menteri Pakatan Harapan ( PH )  perlu ‘disekolahkan'.

2.  Cadangan itu berputik dari kekecewaan dan ketakutan beliau melihat apa yang sedang berlaku di kalangan beberapa orang Menteri.

3.  Bukan sahaja beliau malah sudah ramai mereka yang menyokong PH termasuk diri saya sendiri mula mempersoalkan kewibawaan dan prestasi sesetengah mereka yang telah diberi peluang oleh Perdana Menteri itu.

4.  Kerisauan beliau ini ada asasnya :

i.  Menampakan seolah - olah mereka terlalu gelojoh  untuk menerima Bintang Gelaran sedangkan khidmat mereka baru sahaja menjangkau  6 bulan sejak PRU14 yang berlangsung pada 9hb Mei lepas. Ia umpama murid yang baru ke sekolah, belum lagi duduk peperiksaan, tetapi sudah beratur mengambil ‘certificate’.

Jika mengandung pun terpaksa menunggu 9 bulan sebelum melahirkan anak.

ii.  Prestasi mereka tidak menyerlah dan menyakinkan, malah ada yang bertindak tanpa menggunakan akal yang waras.

5.  Dalam masa yang sama pendirian Perdana Menteri pula agak berbeza dengan luahan Kadir; tapi ada logiknya.

6.  Sebagai Perdana Menteri beliau terpaksa menampakkan pendirian mempertahankan Ahli Kabinetnya dengan hujah walaupun terdapat beberapa orang Menterinya TIDAK membantu beliau namum mereka tidaklah merompak dan menyamun harta negara.

7.  Kepada saya teguran dan pendirian kedua-duanya (A Kadir Jasin dan Perdana Menteri) adalah betul.

8.  Menteri-menteri yang dilantik dan pegawai - pegawai mereka pula kenalah menyesuaikan diri tanpa terbawa - bawa tingkah laku lama iaitu dari Pembangkang kepada Pemerintah.

9.  Rakyat sedang meneropong setiap  perkataan
dan langkah menteri dan pegawai - pegawai mereka.

10.  Begitu juga mereka yang berjawatan Menteri Besar dan EXCO khasnya; mereka tidak harus bersikap kasar dan tidak menghormati pandangan masyarakat yang mengundi mereka.

11.  Hentikan  SERTA MERTA jika ada unsur - unsur salah guna kuasa dan rasuah di kalangan mereka.

12.  Selain dari itu, mereka perlu senantiasa ingat bahawa mereka terhutang budi kepada rakyat yang membolehkan mereka berkuasa, bukannya kepada Sultan dan keluarga atau kepada Yang Di Pertua Negeri; malah ada Sultan dan ahli keluarga seperti Johor dan Pahang dan Yang DiPertua Negeri Melaka yang berkempen untuk UMNO dan BN dalam pilihanraya yang lepas.

13.  Tun Khalil Yaakub umpamanya telah melawat beberapa Bilik Gerakan UMNO /BN dan memberi pandangan serta rangsangan kepada petugas - petugas pilihanrayanya.

14.  Perdana Menteri harus mengambil tindakan terhadap mereka yang telah melanggar Perlembagaan.

15.  Perlu diingatkan jika rakyat boleh menumbangkan UMNO/ BN yang telah berkuasa selama 61 tahun , rakyat juga boleh 
menumbangkan Kerajaan PH pada Pilihanraya Umum akan datang.

16.  Jika nak terus berkuasa lebih lama lagi maka segala amalan buruk MESTI diberhentikan segera.

17.  Saya mencadangkan beberapa perjumpaan hati ke hati di antara semua Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen PH dengan Perdana Menteri  (retreat) diadakan dalam masa terdekat dan diikuti dengan sekurang - kurangnya sekali setahun.

18.  Politik cantas mencantas, baling batu sembunyi tangan juga harus diberhentikan serta merta.

19.  'JANGAN  SEBAB  NILA  SETITIK , MAKA  ROSAK  SUSU  SEBELANGA’.

20.  Biarlah semalam berlalu untuk kecemerlangan Negara dan keselesaan rakyat pada hari ini dan esok.

21.  JANGAN  KECEWAKAN  HARAPAN  RAKYAT KHASNYA YANG  TELAH  MEMBERI  SOKONGAN KEPADA PAKATAN HARAPAN.

22.  Berkhidmat Untuk Rakyat , Bukan Untuk Diri dan Keluarga.

Terima Kasih.