ANWAR TAK TERGUGAT DI PORT DICKSON....
Berbanding beberapa pilihanraya sebelum ini, pilihanraya kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan boleh dianggap satu pilihanraya yang paling banyak memberi kejutan kepada orang ramai.
Sebelum ini ramai yang terkejut apabila Anwar Ibrahim memilih Port Dickson sebagai kawasan untuk ditandingi bagi membolehkannya kembali menjadi Ahli Parlimen dan sebagai persediaan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.
Ramai yang bertanya dan tertanya-tanya, mengapa Port Dickson jadi pilihan dan apa istimewanya Port Dickson kepada Anwar?
Seketika, di sebalik keputusan itu, orang Port Dickson kemudiannya secara perlahan-lahan jadi teruja dengan adanya pilihanraya kecil ini kerana Port Dickson akan melahirkan seorang Perdana Menteri yang tidak pernah terbayangkan oleh sesiapa sebelumnya.
Dengannya ramai yang membayangkan kawasan Port Dickson akan lebih melimpah dengan pembangunan, kedatangan pelabur, pembinaan kilang-kilang, pelbagai kemudahan, keselesaan dan peluang-peluang pekerjaan untuk anak tempatan.
Selepas BN tidak sedia meletakkan calon dan hanya Pas merupakan pencabar yang dilihat sedikit "menggigit" untuk memberi cabaran kepada Anwar dengan meletakkan bekas tentera sebagai calon, Port Dickson seterusnya memberi satu lagi kejutan apabila Isa Samad tiba-tiba mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas.
Dengan kedudukannya sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun dan bekas Ketua UMNO Teluk Kemang (sekarang ditukar nama kepada Port Dickson) lebih 30 tahun, kehadiran Isa dilihat sesetengah pihak mampu memberi cabaran yang hebat kepada Anwar.
Apatah lagi dengan BN tidak bertanding, undi UMNO dan Melayu dijangka akan berpindah kepada Isa sebagai anak tempatan berbanding Anwar yang merupakan orang luar.
Tergugatkah Anwar dengan kehadiran Isa?
Malam tadi pula, satu lagi kejutan muncul di Port Dickson di mana daripada lapan calon yang didapati sudah membayar wang deposit untuk bertanding, salah seorang daripadanya ialah Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Anwar yang terkait dengan kes liwat 2 yang menyebabkan Presiden PKR itu dihukum penjara buat kali kedua.
Kehadiran Saiful tidak lain lantas memunculkan pertanyaan spontan - siapakah yang menajanya bertanding di Port Dickson ini?
Menjelang hari penamaan calon hari ini, kehadiran Isa dan Saiful dalam pilihanraya ini adalah paling banyak sekali diperkatakan orangramai di Port Dickson ini. Kehadiran kedua-duanya hampir menenggelamkan wujudnya Pas yang turut sama meletakkan calon.
Meskipun Isa anak tempatan dan dikenali ramai, tetapi kehadirannya mungkin tidak banyak menggugat Anwar kerana beliau hanyalah calon Bebas yang tidak mampu memberi apa-apa peruntukan kepada rakyat, selain zamannya juga dianggap sudah pun berlalu sekarang ini.
Memang tidak dinafikan akan ada undi Melayu beralih memihak kepadanya, namun ia tidak mungkin mampu menghasilkan kemenangan kepadanya berbanding penampilan Anwar yang dilihat sebagai bakal Perdana Menteri.
Undi Melayu akan berpecah kepada tiga - Anwar, Isa serta Pas dan disertai dengan banyak faktor lain, kelebihan tetap memihak kepada Anwar.
Kalau ada pun kelebihan Isa di Port Dickson ini, mungkin hanya undinya lebih tinggi berbanding Pas.
Begitu juga dengan Saiful, beliau sama ada akan mendapat undi dalam jumlah ratusan saja atau bakal kehilangan wang depositnya. Bertandingnya beliau sekadar gangguan kepada Anwar semata-mata.
Tetapi, kehadiran Saiful menggangu pilihanraya Port Dickson langsung tidak relevan kerana Anwar sudah pun diberi pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong, malah jika cerita-cerita liwatnya dijadikan bahan kempen, ia boleh dianggap suatu penghinaan kepada pengampunan yang diberikan itu.
Selainnya, kehadiran Saiful hanya menjanjikan kotornya pilihanraya kecil Port Dickson ini dengan ulangan cerita liwat yang tak berkesudahan dan bagaimana mereka yang bermusuh dan berdendam dengan Anwar nampaknya sanggup berbuat apa saja untuk memastikan beliau kalah dan tidak berjaya menjadi Perdana Menteri.
Baik sama ada dengan kehadiran Isa atau kemunculan Saiful, aura Anwar sebagai bakal Perdana Menteri tidak tergugat dan adalah melebihi penampilan kedua-dua calon tersebut.
Apakah yang mampu disumbangkan oleh wakil Bebas berbanding bakal Perdana Menteri?
Begitu juga dengan keputusan Pas meletakkan bekas tentera sebagai calon, ia dijangka tidak akan mendatangkan kesan yang maksima untuk mengalahkan Anwar. Ia mungkin sekadar menyebabkan undi askar berpecah saja.
Lebih-lebih lagi daripada lapan calon dijangka bertanding dan hanya Pakatan Harapan sebagai kerajaan satu-satunya yang ada kewibawaan di mata pengundi, tambahan lagi Anwar merupakan Perdana Menteri masa depan, adalah kerugian yang berpanjangan dan "rezeki" yang tidak datang dua kali jika pengundi Port Dickson tidak memberi undi kepadanya pada 13 Oktober nanti.
Kecuali, jika pengundi dan penduduk Port Dickson tergolong mereka yang menolak untung dan hanya mahu rugi!! (ShahbudinHusin 29/09/2018)
‘MEREKA CUBA HALANG SAYA SEJAK 20 TAHUN LALU’ – ANWAR
‘Mereka cuba halang saya sejak 20 tahun lalu’ – Anwar
Bakal presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun semua orang berhak membuat permohonan semakan kehakiman untuk mencabar peletakan jawatan Datuk Danyal Balogopal Abdullah sebagai ahli parlimen Port Dickson, namun beliau berharap rekod perkhidmatannya akan memenangi hati para pengundi.
Begitu juga, kata Anwar, PAS mempunyai hak untuk meletakkan mana-mana calon termasuk bekas anggota tentera dan seperti mana-mana pengundi yang mempunyai hak untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.
“Dalam (kes) peletakan jawatan itu, Speaker (Dewan Rakyat) telah menerima peletakan jawatan itu.
“Usaha memfailkan permohonan itu adalah untuk menghalang saya kembali. Ini telah berlaku selama 20 tahun tetapi biar mahkamah membuat keputusan,” katanya.
Anwar hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam penyelesaian kes saman fitnahnya ke atas bekas calon BN di Permatang Pauh, Mazlan Ismail yang memohon maaf kepadanya.
Mengenai PAS yang akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu, ketua umum PKR itu berkata rekodnya yang berjuang membantu anggota tentera dan veteran mampu membantunya.
“Saya bantah di Parlimen apabila (bekas perdana menteri) Najib Razak mahu membawa sebuah syarikat swasta untuk membangunkan pangkalan dan kem tentera udara di Sungai Besi.
“Ia dalam Hansard dan anggota tentera boleh semak walaupun saya akan terangkan ini kepada para pengundi di sana, mereka boleh nilai rekod saya,” katanya.
PRK PD: ANWAR SUDAH LAMA PERTAHAN PESARA TENTERA
PRK PD: Anwar sudah lama pertahan pesara tentera
Bakal presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau mempertahankan pesara tentera di Port Dickson daripada kerugian oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho.
Ditanya berhubung anggota tentera yang berpangkalan di Port Dickson akan cenderung kepada PAS yang meletakkan pesara tentera udara sebagai calonnya pada pilihan raya 13 Oktober ini, Anwar berkata: “PAS berhak untuk meletakkan sesiapa sahaja sebagai calon yang mereka rasakan layak untuk bertanding.”
“Namun setakat mempertahankan anggota tentera, rekod saya ada. Ia sudah dalam Hansard,” kata bekas timbalan perdana menteri itu kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
PAS mengumumkan calonnya, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar malam tadi. Nazari berasal dari Johor.
Anwar yang merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum dilucutkan pada 2015 berikutan sabitan kes liwat keduanya, berkata beliau telah mengkritik tindakan pentadbiran Najib Razak memindahkan kem tentera sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan untuk memindahkan tanah kepada tanah 1Malaysia Development Berhad.
“Datuk Seri Najib mencadangkan kem Sungai Besi diswastakan kepada Jho Low dan rakan. Saya bangkit dan pertahankan di Parlimen bahawa hak pesara tentera perlu diperahankan dan ianya sangat jelas dalam rekod.
“Dan saya percaya pengundi mempunyai akses untuk ini. Saya akan turun padang dan jelaskan kepada mereka, berjumpa dan tawarkan perkhidmatan saya.”
Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, memainkan peranan sebagai penasihat 1Malaysia Development Berhad pada 2009.
Syarikat pelaburan itu kemudiannya mengambil alih hak milik pangkalan tentera udara Sungai Besi daripada kerajaan persekutuan pada 2011 untuk membangunkan Bandar Malaysia dengan kerjasama syarikat daripada China.
1MDB bersetuju untuk memindahkan kem berkenaan dan menambah baik enam pangkalan tenetra udara dan kem pasukan udara polus sebagai pertukaran tanah itu.
Pelan ktu bagaimanapun gagal tahun lalu selepas China Railway Engineering Cooperation dan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd gagal mendapatkan RM7.4 bilion untuk pegangan 60% dalam projek pembangunan itu menerusi perjanjian perkongsian jualan.
Bekas menteri Negeri Sembilan Isa Samad turut menyatakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya itu yang mana hari penamaan calonnya adalah esok
ISA SAMAD TANDING BEBAS: KONSPIRASI ‘SAILANG’ ANWAR
Isa Samad tanding bebas: Konspirasi ‘sailang’ Anwar
Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa penyertaan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson adalah konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa, konspirasi ini dilakukan oleh “mereka” yang berada dalam Pakatan Harapan (PH) dan “pemain yang sama” pada 1998.
“Saya melihat perkara ini sudah menampakkan realitinya apabila berlaku pertembungan beberapa penjuru yang melibatkan calon bebas.
“Walaupun pada peringkat awal Umno memboikot proses pemilihan ini, tetapi yang dilihat keadaan pada hari ini menjurus kepada persoalan mengapa Isa Samad mahu bertanding? Dan kenapa pula dia nak bertanding? Atas sifat sebagai apa?,” katanya kepada FMT di ibu pejabatnya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mengumumkan akan bertanding pada PRK Port Dickson 13 Oktober ini sebagai calon bebas, semalam.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding di PRK Port Dickson.
Pengerusi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara Umno, MCA dan MIC.
Mengulas lanjut, Abdullah turut menegaskan PKR tidak boleh mengizinkan “sahabat-sahabat” dalam PH cuba mensabotaj atau melakukan konspirasi berkenaan.
“Kita tak boleh mengizinkan ada kalangan sahabat-sahabat kita yang cuba mensabotaj atau melakukan konspirasi untuk menidakkan konsensus ini.
“Ingat, konsensus ini dibuat atas sebab rakyat memberi mandat. Rakyat memberi mandat disebabkan kepercayaan kepada konsensus itu dan konsensus itu tidak boleh dikhianati,” katanya merujuk Anwar sebagai calon perdana menteri ke-8.
Ditanya adakah “pemain yang sama” yang dimaksudkannya itu ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata: “Mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung serta saya akui bicara itu tidak serupa dengan kenyataan yang berlaku dalam gelanggang yang ada.
“Yang saya lihat kesungguhan mereka ini untuk menjatuhkan Anwar nampak ketaraannya,” katanya yang enggan mendedahkan identiti individu tersebut.
Mengulas mengenai tindakan PAS meletakkan bekas pegawai tentera udara, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon mereka, Abdullah berkata ia adalah untuk memecahkan undi kepada Anwar.
“Mengapa nak letakkan leftenan kolonel di situ, sedangkan orang tak kenal? kelihatannya ini untuk mensabotaj undi tentera beri kepada leftenan kolonel ini. Kalau nak tengok rancangan yang mereka lakukan ini, InsyaAllah tak berhasil.
“Yang pertama sekali anggota tentera ini mesti memikirkan masa depan mereka (seperti) siapa yang boleh mengangkat agenda reformasi mereka setelah bersara, keduanya siapa nak memberikan kepentingan kebajikan kepada anggota yang bersara ini, apakah sistem pada hari ini cukup bahawa tentera ini dijaga hak mereka,” katanya.