Biar rakyat nilai ke arah mana perjuangan Pas – Izzah
Kerjasama politik antara Umno dan Pas tidak dapat dinafikan lagi, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, rakyat boleh menilai sendiri sejauh mana hubungan parti pembangkang itu selepas PRU14 lalu.
“Sudah terang lagi bersuluh. Kita biar rakyat yang menilai (tentang hubungan Umno dan Pas).
“Apa pun kita harus pastikan agenda untuk mengangkat kepedulian rakyat dibuat dengan jelas,” katanya kepada wartawan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehadiran ramai pemimpin tertinggi Umno ke Muktamar Tahunan Pas ke-64, yang selesai beberapa hari lepas.
Hubungan Umno dan Pas kelihatan semakin mesra terutama pada beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung sebelum ini.
Keakraban Umno dan Pas tidak dapat disembunyikan lagi apabila Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut hadir pada muktamar parti Islam itu.