Rakyat bukan sahaja memerlukan kerajaan yang progresif malah pembangkang yang berkesan supaya dapat menjadi ejen semak imbang yang baik kata Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji.
Justeru, sebarang kritikan kepada pihak pembangkang khususnya UMNO tidak wajar semuanya dianggap sebagai percubaan ‘campur tangan’ terhadap urusan dalaman parti itu sebaliknya haruslah ditanggapi dengan matang.
“Bagi sebuah negara demokrasi, negara perlukan pembangkang yang bagus bagi mengimbangi kerajaan yang sedia ada supaya berada di landasan yang betul.
“Tapi adakah wajar jika ada pembangkang yang asyik mainkan isu perkauman dan fitnah? Adakah ini bagus untuk negara?” soalnya.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu berkata demikian sebagai mengulas ‘serangan’ UMNO kepada tokoh veteran DAP Lim Kit Siang yang dituduh cuba mencampuri urusan pemilihan parti tersebut.
Kit Siang dalam beberapa kenyataannya sebelum ini memberi peringatan kepada UMNO supaya menghentikan segala pembohongan dan ‘berita palsu’ yang sering dilemparkan terhadap DAP.
“Saya memberi peringatan serius kepada pemimpin, pendokong dan propagandis UMNO bahawa mereka akan didedahkan sekiranya terus menyebarkan pembohongan, berita palsu dan maklumat salah tentang DAP,” katanya.
Antara dakwaan berniat jahat yang pernah dimainkan UMNO pada pemilihan parti itu pada tahun 2016 ialah kononnya ‘PRU14 merupakan pertembungan antara DAP dan UMNO’, ‘DAP anti-Melayu dan anti-Islam’ dan ‘Orang Melayu akan menderita jika UMNO hilang kuasa’.
Tegas Kit Siang, beliau sendiri tidak mahu campur tangan dan tidak mempunyai sebarang isu dengan pemilihan UMNO yang bakal berlangsung hujung bulan ini.
Namun, UMNO digesa supaya tidak terus menjadikan DAP sebagai kambing hitam dengan pelbagai fitnah berunsur perkauman yang sering dimainkan parti itu menjelang pemilihan parti, begitu juga dalam kempen-kempen pilihan raya.