Teguran bekas Exco Selangor Ean Yong Hian Wah semalam bahawa perlantikan Menteri Besar (MB) Selangor yang baharu selepas Datuk Seri Azmin Ali menjawat Menteri Ekonomi di peringkat persekutuan perlu dirujuk kepada Pakatan Harapan (PH) negeri adalah sesuatu yang tidak sewajarnya dipandang ringan.
Selama ini berlaku pemusatan kuasa dalam perlantikan MB Selangor. Calon hanya diputuskan dalam kalangan pemimpin PKR dan tidak pernah diperbincangkan kesesuaiannya bersama parti-parti komponen lain.
Perlantikan demokratik
Perlantikan calon MB, Dr Wan Azizah Ismail pada 2014 lalu mungkin yang terakhir memperlihatkan pilihan secara terbuka dan berdasarkan keputusan majoriti. Bagaimanapun, Pas menentang Dr Wan Azizah dan memberi nama Azmin serta beberapa pemimpin parti berkenaan kepada Sultan Selangor.
Perlantikan MB seterusnya selepas pilihan raya umum (PRU) 14 hanya dibuat oleh kepimpinan PKR Selangor semata-mata. Boleh diterima apabila calonnya adalah MB sedia ada, Azmin Ali. Mungkin Azmin dilihat oleh pemimpin parti komponen lain berjasa besar dan tidak ada sesiapa yang mempertikaikan beliau.
Sebaliknya, apabila Azmin mengosongkan kerusi maka pilihan wajar dibuat secara konsensus atau pun suara majoriti. Tidak sepatutnya Azmin menamakan sesiapa yang rapat dengan beliau tanpa persetujuan parti komponen.
Lebih buruk lagi, terbongkar nama-nama calon yang didakwa akan diberikan Azmin kepada Sultan Selangor. Dua nama yang disebut-sebut, iaitu ADUN Sungai Tua Amiruddin Shari atau ADUN Sungai Kandis, Suhaimi Shafie.
Tidak layak
Dua nama ini dianggap kurang sesuai oleh parti komponen PH bagi menduduki jawatan MB. Bukan sahaja mereka kurang berpengalaman tetapi dianggap ‘pengampu’ setia Azmin. Dalam PKR sendiri kedua-dua mereka dilabel sebagai ‘geng kartel’. Geng ini menganggap Azmin adalah bos, bukannya Dr Wan Azizah atau Anwar.
Adakah Azmin mahu seseorang yang kurang berkebolehan menjadi MB agar beliau boleh mengawal mereka? Politik reformasi jenis apakah yang dibawa Azmin jika niat beliau seburuk itu?
Peranan kecil
Suhaimi memang tidak pernah diberi peranan besar dalam pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim atau Azmin. Beliau lebih berperanan sebagai setiausaha politik Azmin dan tidak pula cemerlang dalam menjawab isu-isu berkaitan Selangor. Bakat kepimpinannya juga diragui kerana tidak pernah dilantik sebagai exco atau mengetuai sebarang jawatankuasa khas.
Sementara Amiruddin lebih dikenali sebagai Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan yang bergaduh dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sehingga akhirnya pasukan Red Giants tidak dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam dalam mana-mana perlawanan bola sepak.
Amiruddin tidak berbakat menyelesaikan konflik sukan. Pasukan Red Giants yang gah namanya tidak wajar dilayan sedemikian rupa biar pun FAS diakui dikuasai pemimpin Umno yang sombong.
Bagaimanakah pemimpin muda yang belum pun mencecah umur 40an ini akan menjadi MB Selangor jika tidak mempunyai pelan penyelesaian konflik? Adakah pentadbiran beliau nanti akan menyaksikan MB berkonflik dengan rakyat pula?
Pemilihan lemah
Namun Amiruddin adalah calon utama selepas Suhaimi dijangka tidak diterima istana kerana pernah terbabit dalam kes mempersenda Sultan Selangor dan pernah dibicarakan di bawah Akta Hasutan sebelum ini.
Pemilihan yang lemah ini menimbulkan ketidakpuasan hati pemimpin DAP, parti kedua terbesar dalam kerajaan negeri. Bagi mereka Azmin tidak boleh bertindak diktator dalam menentukan calon MB.
DAP, Amanah dan Bersatu tidak boleh menerima alasan Azmin bahawa nama-nama yang lebih besar seperti Adun Ijok, Dr Idris Ahmad atau Adun Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin tidak layak kerana mereka bukan orang kepercayaan Azmin.
Dua tokoh ini lebih berpengalaman sama ada dalam bidang politik atau mempunyai rekod cemerlang dalam kerjaya akademik.
Utamakan merit
Selangor yang dimulakan dengan mengutamakan merit oleh MB Khalid Ibrahim akan bertukar menjadi negeri kronisme sekiranya Amirudin atau Suhaimi dilantik sebagai MB. Malah rekod mereka yang tidak memuaskan akan menyebabkan negeri itu terumbang ambing dan tidak mustahil dalam dua tahun lagi Anwar akan menukar MB selepas beliau menjadi perdana menteri. Satu lagi krisis akan berlaku di Selangor.
Apakah penyebab Azmin begitu bersungguh-sungguh mahukan kroninya menjadi MB? Rakyat Selangor tertanya-tanya? Adakah Azmin cuba melindungi sesuatu di pejabat MB? Oleh itu perlu sahabat yang paling dipercayai mengambil alih kerusi beliau?
Azmin tidak boleh menghilangkan kepercayaan rakyat dalam hal ini. Rakyat telah memberi sokongan padu kepada beliau dengan hanya membenarkan 4 DUN dikuasai pembangkang. Hampir sama dengan rekod cemerlang BN di bawah Khir Toyo dalam PRU 2004 lalu.
Humban Pakatan
Namun harus diingat pada PRU 2008 rakyat menghukum kerajaan BN yang dilihat menyeleweng dan menaikkan Pakatan Rakyat. Sekiranya Azmin meneruskan juga rancangannya maka rakyat akan berfikir perkara yang sama. Iaitu mana-mana parti selepas menang besar tidak akan lagi memperdulikan akauntabiliti, bakat dan kaliber. Mereka akan melanggar apa sahaja disiplin yang mereka janjikan untuk pentadbiran yang baik.
Sekiranya Amiruddin atau Suhaimi pula gagal menunjukkan kepimpinan yang diharapkan maka keputusan PRU 15 hanya satu: Selangor akan dikuasai kerajaan campuran BN dan Pas.
Terlalu berkuasa
Azmin terlalu berkuasa di dalam PKR ketika Anwar menjalani hukuman penjara sejak 2015. Banyak keputusan di Selangor tidak diketahui oleh presiden PKR. Malah perlantikan beliau ke kabinet Tun Mahathir pun didakwa kesan lobi langsung kepada Tun, bukannya melalui senarai 10 nama menteri yang dihantar oleh presiden PKR, kerana ketika nama-nama itu dihantar Azmin sudah pun menghadap Sultan Selangor untuk terus menjadi MB.
Rakyat mengharapkan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bertindak dalam hal ini. Rakyat Selangor mahu calon MB dibuka untuk perbincangan bersama parti-parti komponen PH.
Selangor terlalu merbahaya untuk ditadbir oleh seseorang yang kurang pengalaman. Negeri terkaya dan mempunyai majoriti rakyat berpendidikan tinggi akan dengan mudah menghumban PH ke dalam tong sampah sejarah sekiranya mereka mendapati dipermain-mainkan praktik kronisme yang ditentang sejak bermulanya gerakan reformasi 20 tahun lalu.
____________________________________________________________________________
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara pakatan daily