PASUKAN KHAS SIASAT 1MDB

TUN M IKRAR KEMBALIKAN KEGEMILANGAN MALAYSIA

‘Dari musim katak ke musim kotak’


Sejak 11 hari berlalu meninggalkan tarikh bersejarah 9 Mei 2018, negara sedang memasuki fasa ‘Malaysia Baru’ bersama Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Sepanjang tempoh singkat ini, pelbagai spekulasi, perubahan dan kejutan berlaku.
“Minggu lalu banyak ‘katak’, minggu ini banyak ‘kotak’!”
Demikian sindir tokoh veteran DAP Lim Kit Siang dipercayai merujuk kepada ‘drama’ melompat parti dan skandal puluhan billion 1MDB yang sedang disiasat polis.
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, kejayaan rakyat mencipta sejarah menukar kerajaan secara aman melalui peti undi tidak akan terhenti setakat itu.
“Rakyat selama ini hilang kepercayaan terhadap institusi penting negara dan sudah tiba masanya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat melibatkan pemulihan peringkat Eksekutif, Parlimen dan Perundangan,” katanya dalam kenyataannya
Selain itu, Kit Siang berkata sudah tiba masanya untuk menetapkan semula dasar pembinaan dan hala tuju negara bagi mencapai ‘Impian Malaysia’ yang boleh menjadi contoh kepada dunia.
“Sebagai sebuah negara pelbagai suku bangsa, agama, bahasa dan budaya yang mampu hidup harmoni, bersatu, demokratik, progresif dan makmur yang mana kita meletakkan diri kita sebagai Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah dan kedudukan sosio-ekonomi,” katanya lagi

Najib harus jawab ‘jenayah’ terhadap rakyat – Anwar Ibrahim



Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ekoran pemenjaraannya.
Beliau sebaliknya mengulangi dakwaannya bahawa pemenjaraan ke atasnya dibuat atas alasan politik.
“Saya tidak menyimpan sebarang perasaan benci peribadi, saya tidak mahu isu Anwar dipenjarakan dijadikan isu yang dibuat menentangnya.
“Tetapi isu ketidakadilan terhadap rakyat, jenayah yang dilakukan terhadap rakyat, gejala rasuah yang menjadi budaya di negara ini – dia harus jawab,” katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Segambut hari ini lapor Malaysiakini.
Jelas Anwar, pertuduhan sehingga menyebabkan beliau dipenjara direkayasa untuk membunuh kerjaya politiknya.
Anwar dibebaskan dari penjara setelah menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.





Kewangan negara dicabul, BN tinggal beban hutang RM1 trilion




Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan penyelesaian menyeluruh bagi menyelesaikan beban hutang yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sebanyak RM1 trilion.

Menurutnya, kewangan negara telah dicabul dengan begitu besar sehingga kerajaan berhadapan masalah untuk menyelesaikan jumlah hutang yang naik mendadak yang belum pernah dialami sebelum ini.
“Bagaimana kita hendak menyelesaikan hutang ini adalah bergantung kepada usaha dan daya fikir kita untuk menghadapi cabaran ini.

“Justeru, kita perlu ada kerjasama antara pihak yang menjadi kerajaan menerusi wakil rakyat yang dipilih dan anggota pentadbiran kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan amanat di warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

Keadaan buruk ini ujarnya tidak pernah berlaku sewaktu pentadbirannya dahulu dengan hanya RM300 bilion berbanding saat ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemisahan tiga institusi utama iaitu badan perundangan, eksekutif dan kehakiman adalah penting bagi mengelakkan penyelewengan. 


NASIB SUDAH BERUBAH, TAPI NAJIB NYATA MASIH TIDAK BERUBAH




Semalam, buat pertama kalinya setelah kehilangan kuasadan tidak lagi bergelar Perdana Menteri, Najib Razak pulang ke Pekan, kawasan Parlimen yang diwakilinya sejak 42 tahun lalu.

Beliau pulang atas dua kapasiti - Ahli Parlimen dan juga Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Dengan masih menjadi Ahli Parlimen Pekan, ia dengan sendirinya menolak dakwaan Najib bahawa beliau kini adalah seorang penganggur. Jawatan sebagai Ahli Parlimen masih memberinya gaji dan elaun bulanan dan dengan itu, Najib bukanlah penganggur, walaupun sudah kehilangan jawatan Perdana Menteri.

Dalam ucapan ketika merasmikan mesyuarat UMNO cawangan-cawangan dalam bahagian Pekan, apa yang tergambar ialah Najib sebenarnya masih tidak berubah. Najib yang dulu dengan Najib yang sekarang lebih kurang sama sahaja.

Walaupun nasibnya sudah berubah dengan hilang jawatan sebagai Perdana Menteri dan membawa UMNO serta BN buat pertama kali kehilangan kuasa pemerintahan, perangai dan lagaknya nyata tidak berubah.

Beliau masih tidak mahu mengakui beban yang ada pada diri dan isterinya serta skandal 1MDB adalah punca utama kekalahan BN dalam pilihanraya 9 Mei lalu.
Sebaliknya Najib mendakwa punca kekalahan UMNO dan BN ialah kerana fitnah yang ditaburkan oleh Pakatan Harapan, serangan peribadi dan kempen kebencian yang keterlaluan.

Apakah skandal 1MDB suatu fitnah?

Apakah menerima wang RM2,600 juta juga suatu fitnah?

Adakah perbuatan Rosmah bermewah dengan memiliki barangan kemas mahal dan beg tangan berjenama turut merupakan fitnah?

Jika fitnah, serangan peribadi dan kempen kebencian yang dikesalkannya, apakah Najib, para pemimpin UMNO dan segala jentera maya pro beliau tidak pernah melakukan perkara yang sama kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan?

Lupakah Najib bahawa hampir dalam setiap ucapannya beliau mengejek dan mempersenda Tun Mahathir yang kononnya sudah terlalu tua, malah dikatakan nyanyuk juga?

Tidak sedarkah Najib bagaimana Nazri Aziz, Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan dan Puad Zarkashi misalnya kerap mengata itu dan ini tentang Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan lain-lain pemimpin Pakatan Harapan?

Tidakkah semua itu merupakan serangan peribadi dan kempen kebencian juga?

Tetapi, bagaimanakah Tun Mahathir masih mampu membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan di sebalik semua serangan seperti itu?

Dalam ucapannya di Pekan itu, Najib masih menafikan beliau adalah pencuri kekayaan negara sebagaimana yang selalu disebut oleh Tun Mahathir dalam kempen-kempennya.

Adakah dengan rampasan 72 beg mengandungi wang tunai dan barang kemas yang menurut sebuah akhbar Cina jumlahnya melebihi RM100 juta serta 284 kotak beg tangan mewah yang nilainya juga tentu berjuta-juta, Najib masih mahu menafikan apa yang selalu didakwa oleh Tun Mahathir itu?

Sebetulnya, sebab utama kekalahan UMNO dan BN ialah berpunca daripada Najib sendiri. Boleh dikatakan 80 peratus beban kekalahan itu ada pada dirinya.

Semua isu yang berlaku dalam negara - 1MDB, Rosmah, Jho Low, Riza Aziz, suka bermewah, pembaziran, kos sara hidup dan 1001 macam masalah yang lain yang timbul adalah berpunca daripada kelemahan dan kegagalan Najib sebagai Perdana Menteri yang dilihat langsung tidak mewarisi kerja baik ayahnya, Allahyarham Tun Razak Hussein.
Malah, Najib selalu menutup kelemahannya dengan budaya "cash is king" sehingga menjadikan pemimpin lain hanya tahu mengampu, memuji dan mencium tangannya saja.

Lebih buruk daripada itu ialah Najib juga terlalu memandang rendah terhadap wibawa dan aura Tun Mahathir. Ia kemudian menjadikan beliau dan pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO terlalu terdorong untuk mempersenda dan mengejek bekas Perdana Menteri selam 22 tahun itu, sedangkan hakikatnya penerimaan dan pengharapan rakyat terhadap Tun Mahathir amatlah tinggi.

Dalam banyak tulisan di blog ini, kerapkali dibangkitkan bagaimana sambutan hangat rakyat terhadap semua program Tun Mahathir serta diingatkan bahawa tsunami rakyat pelbagai kaum akan melanda negara kali ini.

Malangnya, Najib lebih dibuai dengan keyakinan palsu yang selalu dilontarkan oleh Salleh Said Keruak, Nazri Aziz, Rahman Dahlan dan lain-lain pemimpin yang kononnya beliau adalah Perdana Menteri terbaik dan BN mampu menang dengan cemerlang mengatasi Pakatan Harapan.

Akhirnya, bukan saja beliau hilang jawatan Perdana Menteri dan BN kehilangan kuasa, bahkan wang tunai dan segala kemewahan yang ada dalam rumahnya juga tidak sempat untuk disorokkan atau dibawa lari.

Logiknya, jika Najib tahu beliau akan kalah, adakah wang tunai, barang kemas, jongkong emas dan himpunan beg tangan mewah masih mahu dibiarkan tersimpan di rumahnya? (ShahbudinHusin 21/05/2018)