JIKA TELUS DAN TIADA PELUANG NAK MENIPU DALAM PILIHANRAYA, KENAPA TIDAK DIBENARKAN SAJA KEHADIRAN PEMANTAU ANTARABANGSA?
Kata Najib Razak, sistem pengundian dalam pilihanraya negara ini telah ditambah baik menjadi lebih telus dan tidak memungkinkan akan berlaku penipuan.
Katanya, sistem pengundian yang ada sekarang juga jauh lebih baik berbanding ketika zaman Tun Mahathir Mohamad dahulu.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyifatkan tindakan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan mengadu kepada diplomat Kesatuan Eropah serta menuntut kehadiran pemantau antarabangsa dalam PRU 14 akan datang sebagai tindakan tersepit dan cubaan untuk mendapatkan bantuan kuasa asing.
Soalnya, adakah sistem pilihanraya kita benar-benar telus dan tidak berlaku penipuan?
Kiranya Najib 100 peratus yakin mengenainya dan tiada apa yang mahu diselindungkannya, beliau tidak sepatutnya terus berdalih dan memberi banyak alasan mengenai kehadiran pemantau antarabangsa untuk menyaksikan bagaimana pilihanraya kita diadakan.
Beliau seharusnya membenarkan dengan senang hati, bukan saja kehadiran pemantau antarabangsa, malah sesiapa saja untuk hadir memantau perjalanan PRU 14 akan datang diadakan.
Hanya dengan berbuat demikian saja Najib dapat membuktikan kepada dunia bahawa pilihanraya negara kita betul-betul berjalan dengan baik dan tiada unsur-unsur meragukan seperti penggunaan jentera kerajaan, pembelian undi, amalan "cash is king" dan sebagainya.
Tetapi, mengapa dalam mengatakan pilihanraya kita telus dan tidak mungkin berlaku penipuan, Najib masih tiada keberanian membenarkan kehadiran pemantau antarabangsa?
Mengapa masih mengatakan kehadiran pemantau antarabangsa sebagai cubaan menjemput bantuan kuasa asing?
Apa yang ditakuti dan dibimbanginya?
Semua perbuatan mesti dibuktikan dengan tindakan. Cakap saja tidak berguna. Seperti beliau mengaku wang RM2,600 juta yang masuk ke akuan peribadinya adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, ia mesti dibuktikan dengan Najib wajib menunjukkan slip transaksinya.
Begitu juga dengan ketelusan dan tidak mungkin wujud penipuan dalam pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR. Najib mesti membuktikan kepada dunia mengenai kesahihan kata-katanya itu dengan tidak ragu-ragu menjemput kehadiran pemantau antarabangsa menyaksikannya sendiri.
Beranikah Najib? (ShahbudinHusin 31/01/2018)
TUN MAHATHIR POPULAR DI LUAR BANDAR – PROF REDZUAN
Tun Mahathir popular di luar bandar – Prof Redzuan
Momentum sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) meningkat selepas Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon perdana menteri, kata penganalisis.
Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kebanyakan responden yang bersetuju Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH kerana pengalamannya memerintah negara.
“Tetapi masyarakat nak tengok, apa yang Dr Mahathir nak tawarkan sebagai alternatif kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak,” kata Redzuan dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di Shah Alam baru-baru ini.
“Selain itu, sokongan kepada dia meningkat kerana di Malaysia pada hari ini, hanya Dr Mahathir yang dilihat paling berani menyerang Najib.”
Selepas PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri pada 7 Januari lalu, IDE menurunkan pasukan penyelidiknya di seluruh negara untuk melihat sentimen rakyat.
IDE akan mendedahkan dapatan daripada tinjauan kepada umum tidak lama lagi.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003. Sekarang beliau memimpin PH yang dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.
Katanya, pada peringkat awal selepas Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri, terdapat reaksi negatif kerana faktor umur pengerusi PH itu yang sudah lebih 90 tahun.
“Tetapi yang menariknya, 80 peratus yang tak terima Dr Mahathir itu kerana usia dia sudah tua. Itu bagi yang tidak terima. Bagi yang terima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, kerana pengalaman dia memerintah Malaysia.
“Yang terima kerana pengalaman memerintah, yang tak terima kerana dia sudah tua,” kata Redzuan yang juga naib cancelor Universiti Selangor (Unisel).
Menurut Redzuan, yang menjadi kebimbangan responden yang ditemui IDE dengan usia tua Dr Mahathir kerana ia dikaitkan dengan keuzuran.
“Tetapi walaupun tua, kalau kita berhujah balik umur 92 tahun, masa konvensyen PH, Dr Mahathir berucap selama 41 minit. Umur 92 tahun boleh bercakap lama macam tu. Biasanya orang umur 50 pun tak larat nak bercakap lama macam tu.
“Maknanya umur tu dikaitkan dengan keuzuran. Tetapi ini tidak terpakai kepada Dr Mahathir. Kenapa orang tak nak umur tua? Kerana bila dah tua ni, uzur dan sebagainya, tetapi tidak bagi Dr Mahathir,” kata Redzuan yang pernah menjadi dekan fakulti sastera dan sains sosial Universiti Malaya (UM) dan pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMcedel).
Redzuan berkata, disebabkan Dr Mahathir, parti serpihan Umno dipimpinnya dikenali dengan begitu cepat di kawasan luar bandar walaupun baru ditubuhkan pada Ogos 2016.
“Dalam survey kita, kita tanya soalan begini, apa pandangan tuan terhadap Umno? Mereka kata Umno ini parti yang memerintah. Apa pandangan terhadap PAS? Mereka kata PAS parti yang perjuangkan Islam.
“Bila kita tanya tentang Bersatu, mereka kata parti Dr Mahathir. Maksudnya mereka dah kenal. Menunjukkan itu dia punya trade mark dia. Ini yang ada dalam kepala mereka.
“Tanpa perlu fikir mereka dah boleh jawab. Sekali je. Jadi itulah dalam kepala dia. Kalau Bersatu parti Dr Mahathir. Itu je, dia tak kata parti bunga raya, parti serpihan Umno. Ada banyak option.
“Tapi yang paling top sekali mereka jawab parti Dr Mahathir. Ini menunjukkan bahawa, Dr Mahathir ada kekuatan dia di luar bandar,” katanya.
Menurut Redzuan, disebabkan Umno sudah memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun dan mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh, PH memerlukan sosok yang kuat dan dikenali untuk melawannya.
“Sebab itulah, menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri pada waktu ini sebagai satu-satunya orang yang paling layak.
“Sebab sekarang kita nampak Dr Mahathir menjadi tarikan di mana sahaja beliau pergi, di kawasan Felda, kawasan luar bandar,” katanya.
KECOH SEBELUM PRU BAIK, SELESAI AGIHAN KERUSI
Kecoh sebelum PRU baik, selesai agihan kerusi
Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui ada di kalangan perwakilan partinya yang tidak puas hati dengan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.
Tetapi, katanya, mereka menyelesaikan hampir semua masalah berhubung pengagihan kerusi sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Tidak ada pertubuhan politik tidak menghadapi masalah, berjaya atau tidak sesuatu pertubuhan itu bergantung kepada cara mereka selesai masalah, kalau tak boleh selesai tak payah jadi (parti politik).
“Apabila berlaku perkara yang tidak diingini ini, kita masih boleh betulkan kerana kita masih mempunyai masa.
“Saya yakin apabila PRU diadakan, kita dapat bertanding dan mencalonkan satu calon bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN.
“Jadi, ini bukanlah perkara yang akan menjejaskan parti, sebaliknya kita merapatkan parti dan bergerak sebagai sebuah gabungan yang boleh mencabar kerajaan yang ada sekarang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PPBM hari ini.
Dr Mahathir mengulas kekecohan yang berlaku pada Konvensyen PH Negeri Sembilan, Ahad lalu, disebabkan akar umbi PPBM tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi DUN negeri itu.
Lebih 50 ahli PPBM dilapor melaungkan “ini tidak adil” di belakang dewan, sejurus Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selesai berucap.
Menerusi rundingan itu, PKR diperuntukkan 12 kerusi DUN, DAP (11), Amanah (7) dan PPBM (6).
Sementara itu, pengerusi PH itu berkata, sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk rundingan pengagihan kerusi di Selangor, susulan kekeliruan dalam peranan Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor.
“Berkenaan dengan Selangor, terdapat sedikit salah faham tentang pihak mana yang perlu melihat tentang agihan kerusi. Kami telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas dan mereka akan mengambil alih dan masalah itu akan diselesaikan.”\
Dr Mahathir berkata, PH tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi mengelakkan pertandingan banyak penjuru.
“Di Sabah, kita ada Pakatan Harapan terdiri daripada DAP, Amanah dan PKR, tapi mereka telah adakan kerjasama di Sabah dan mereka sedar ada Parti Warisan di situ, kalau kita bertembung dengan Warisan, kita rugi dia pun rugi.
“Jadi satu jenis kerjasama mungkin akan dijalankan antara Warisan dengan PH.”
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, logo PH belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) selepas 7 bulan permohonan dikemukakan.
“Sehingga hari ini tiada jawapan daripada JPPM, jadi kita dapati ini sengaja dibuat demikian supaya kita habis masa dan tidak dapat buat persiapan untuk PRU kerana kita tidak tahu sama ada kita punya simbol diterima atau tidak, dan kita tak tahu sama ada parti kita ini diiktiraf secara rasmi atau tidak.
“Saya berpendapat tindakan kerajaan macam ini adalah suatu penganiayaan kepada rakyat.”
PH menyerahkan permohonan mendaftarkan simbol gabungan itu pada 28 Julai 2017. JPPM kemudian mengarahkan PH menggunakan nama penuh “Pakatan Harapan” pada simbol itu bagi menggantikan “Harapan”, dan mereka membuat pindaan mengikut permintaan jabatan itu.
Pada 31 Oktober lepas, Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, JPPM masih menilai permohonan PH itu.
PENGUNDI PUTRAJAYA ‘MESRA’ TUN MAHATHIR
Pengundi Putrajaya ‘mesra’ Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin dianggap ‘musuh’ kerajaan namun nampaknya dia masih merupakan watak popular di sekitar kawasan pentadbiran negara, Putrajaya.
Beberapa peniaga dan pengunjung awal di pasar malam di Presint 2 bergilir-gilir mengambil kesempatan bersalaman dengan Dr Mahathir dan berswafoto dengan bekas perdana menteri itu hari ini.
Calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berada di sana untuk beramah mesra dengan rakyat.
Putrajaya yang merupakan ilham Dr Mahathir merupakan salah satu daripada tiga parlimen yang dipertimbangkan beliau untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.
Penduduk Putrajaya kebanyakannya merupakan pegawai kerajaan, golongan yang sering dianggap pro-BN.
Beberapa individu yang kelihatan seperti memakai kad keselamatan pejabat kementerian selain ada yang memakai seragam jururawat merupakan antara yang mengambil kesempatan mengabadikan swafoto bersama Dr mahathir.
Ikan Sekinchan, tapi bukan Jamal
Semasa bersalaman dengan orang ramai, seorang wanita melaungkan “Hidup PM baru” yang dipercayai merujuk kepada langkah HARAPAN menamakan Dr M sebagai calon perdana menteri.
Sementara itu seorang penjual ikan berjenaka dengan pengerusi HARAPAN itu bahawa ikannya daripada Sekinchan tapi bukan ikan Jamal.
Dipercayai dia merujuk kepada Ketua Umno Sekinchan Datuk Seri Jamal Mohd Yunos, yang pernah menjadi sensasi dengan gimik-gimiknya mempertahankan Umno.
Sebelum pulang, Dr Mahathir sempat membeli ikan daripada peniaga itu yang menurutnya akan digoreng di rumah.
Selain Putrajaya, Dr Mahathir juga mempertimbangkan untuk bertanding di Langkawi dan bekas kawasan parlimennya di Kubang Pasu