Mengimbang neraca hati dan akal




Ketika membaca manifesto undi rosak tulisan sahabat saya, Zul Fikri Zamir, (yang disiarkan portal The Malaysian Insight) saya sedang kedinginan di pejabat. Matahari masih belum muncul di langit Kuala Lumpur. Boleh lah acah-acah winter sonata.
Bersama saya ketika itu adalah naskhah mock-up akhbar The Rocket edisi Bahasa Malaysia. Muka depannya menampilkan wajah calon perdana menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Saat saya membaca manifesto undi rosak tulisan Zamir, saya teringat lirik sebuah lagu nasyid yang sering meniti di bibir ketika berkecimpung dalam jemaah kampus satu ketika itu. Lirik nasyid dendangan kumpulan NowSeeHeart itu berbunyi:
“Rancang dengan apa yang ada di tangan
Bukan yang kita angan-angankan
Kita membina cita dan harapan
Bukan mimpi dan igauan”
Manifesto Zamir menghamburkan kekecewaannya terhadap parti-parti politik pembangkang yang kini mengangkat Mahathir sebagai ketua. Bukan sahaja jadi ketua, mahu dicalonkan sebagai perdana menteri pula. Justeru menurut Zamir, anak muda (sekurang-kurangnya) perlu memboikot pilihanraya, atau paling tidak pun bikin undi rosak.
Beliau turut marah dengan perbuatan “meletakkan Dr Mahathir sebagai muka depan PH”. Katanya perbuatan itu adalah “sejenis propaganda jahat untuk menipu orang Melayu di kampung-kampung.” Saya tenung kembali grafik muka depan akhbar yang saya karang itu, lalu saya senyum sendiri dan menggeleng kepala.
Sebenarnya bukan Zamir seorang yang sedang menyebarkan ide memboikot pilihanraya ini. Malah lebih awal lagi sejak Mahathir kembali ke gelanggang dan menyarung jersi Pakatan Harapan, demikian ramai aktivis parti yang dahulu berjuang melawan Mahathir telah bertindak bertawaquf daripada melakukan kerja politik.
Di media sosial, hampir setiap hari ada sahaja usaha dan upaya untuk menjustifikasi kempen undi rosak. Menurut mereka, adalah menjadi hak demokratik rakyat bagi membuat keputusan untuk tidak mengundi, merosakkan kertas undi, menolak penggunaan vaksin, menyertai urusniaga multi-level marketing, melabur bit-coin, menikah muda tanpa pendapatan tetap dan segala yang sewaktu dengannya.
Tidak dinafikan hak demokratik itu. Termasuklah untuk bertinggung di jamban duduk. Tetapi ada banyak hal demokratik yang jika dilakukan, membawa akibat yang tidak elok kepada orang lain.
Ini termasuklah berkempen supaya orang tidak mengundi, atau merosakkan kertas undi. Kempen inilah yang bagi saya menjadi simbol kepada pertarungan akal dan hati dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya mereka yang telah mendaftar mengundi.
Masalah utama kepada kempen sebegini ialah, ia langsung tidak menyelesaikan masalah, malah menimbulkan lebih banyak masalah kepada masalah sedia ada. Memboikot, merajuk, hartal kecil-kecilan dan yang sepertinya adalah tindakan kebudak-budakan. Demokratik, pastinya. Tetapi masih kebudak-budakan dan mementingkan diri. ‘Selfish’ kata orang kampung saya.
Lebih lucu lagi, mereka yang mahu memboikot dan buat undi rosak ini pula menyandarkan alasan kepada batang tubuh Mahathir semata-mata.
Zamir menulis, “Hari ini perlawanan politik yang sedang kita saksikan bukanlah perlawanan ideologi atau pertarungan dasar siapa yang paling ampuh untuk dimajukan kepada masyarakat.”
Dah kalau gelap mata dengan agenda Barisan Nasional menyimpan Mahathir di lipatan masa silam sejarahnya, memanglah tidak dipeduli langsung dasar dan tawaran yang dibawa menuju pilihanraya.
Pergi jahanamlah dasar apa pun, kalau faktor tak mahu mengundinya adalah hanya seorang manusia, karanglah dasar penuh satu buku tebal pun, orang tak peduli.
Ini satu lagi serabut yang tidak dapat saya rungkai daripada ide untuk memboikot pilihanraya kerana faktor pilihan calon perdana menteri ini. Ramai yang beriya membantah pencalonan Mahathir, tetapi enggan atau tidak mampu memberikan nama gantian.
Kata mereka rakyat tidak mahu diktator tua. Rakyat tidak mahu negara dipimpin ‘mahafiraun’. Eh rakyat belum kata apa-apa. Pilihanraya pun belum berlangsung. Dari celah mana kedengaran suara rakyat tidak mahu itu ini? Facebook? Twitter? Siri bercakap dengan cermin?
Apa yang menjadi ironi, kita sebenarnya tidak mengundi memilih perdana menteri. Kita semua tahu hal ini. Najib Razak misalnya, menjadi perdana menteri kerana kebetulan beliau adalah presiden UMNO, yang kebetulan pengerusi Barisan Nasional. Jawatan presiden UMNO ditentukan oleh perwakilan UMNO. Kalau orang Pekan tidak undi Najib Razak, tidak masuklah dia ke Parlimen. Mudah.
Tumpulah kepada dasar dan isu semasa yang sedang membebani rakyat hari ini, saat ini. Bukan tiga puluh tahun lalu ketika kita yang muda-muda masih berkuntau di lauh-mahfuz.
Kalau Anwar Ibrahim, manusia yang sepatutnya paling jenuh ‘move on’ daripada Mahathir boleh memaafkan dan bergerak maju demi menyelamatkan negara, kenapa kita pula yang lebih sudu dari kuah? Ini saya tidak mengerti.
Mahathir telah berpaling daripada partinya, dibangsatkan pengikut dan pemujanya, tercampak ke sudut dan hari ini terpaksa menelan ego untuk duduk sebaris dengan musuh-musuh lama, pada usianya 93 tahun, demi mengusung reformasi yang dahulunya ditentang.
“Seperti Pope masuk Islam,” kata saya kepada seorang rakan. Contoh yang tidak baik, tapi begitulah analoginya.
Mahathir adalah faktor terbesar untuk menggempur kubu-kubu UMNO. Tidak ada orang lain yang boleh buat perkara ini. Kalau ada, ‘bak datang’ seperti kata anak-anak muda sekarang.
Memecahkan deposit-deposit tetap UMNO adalah strategi menang pilihanraya, setelah angka parti-parti pembangkang mencecah tahap maksima 51% undi popular pada pilihanraya umum yang lalu. Demikianlah matematiknya.
Politik pilihanraya adalah politik matematik, dan ia boleh dikalahkan. Buktinya kita telah melihat bagaimana tsunami Mac 2008 membadai Barisan Nasional sehingga terdampar layu tidak bermaya. Kelam kabut kosongkan pejabat kerajaan, musnahkan rekod dan fail; sampaikan pensel pun tak ada ketika kerajaan baru mengambil alih.
Matematik boleh dikalahkan apabila betul congaknya. Matematik juga boleh menjahanamkan kalau cuai sedikit cuma. Langkah memboikot, apatah lagi menggerakkan kempen memboikot dan membuat undi rosak adalah kecuaian yang tidak boleh dibiarkan berlaku. Meski ia memang satu pilihan yang sah.
Tetapi janganlah cuai dengan nasib dan masa depan negara, di saat perubahan sudah sedang mengetuk pintu. Apa kita nak jawab dengan anak cucu?
“Ya, rejim berubah pada tahun 2018. Tapi… atuk tak mengundi”
Lebih celaka lagi kalau, “Ya, rejim berubah pada tahun 2018. Atuk tak mengundi. Tapi bila kawan-kawan menang, atuk datang menempel ajak selfie.” 

Terima kasih kerana tidak mengundi




Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada akhir 2016 kerana pengundi yang menganggap diri mereka progresif dan moderat tidak keluar mengundi. Mereka benci Trump tetapi mereka tidak puas hati dengan calon Demokrat Hillary Clinton yang dianggap tidak cukup progresif.
Malah, mereka mengatakan pilihan di antara Trump dan Clinton adalah sama seperti dipaksa memilih di antara Coca-Cola dan Pepsi Cola.
Trump yang mewakili konservatif Republikan dan Clinton yang sedikit moderat mendapat undi yang hampir sama banyak. Namun, 42% pengundi yang layak mengundi telah tidak keluar mengundi.
Hari ini, dunia melihat gelagat manusia yang digelar Presiden Trump. Dia menang dalam pilihan raya demokratik yang membenarkan rakyat berbuat apa sahaja yang mereka suka, sama ada mengundi, merosakkan undi atau tidak keluar mengundi.
Itu adalah AS. Sama ada kita suka atau tidak, demokrasinya sedikit-sebanyak lebih matang berbanding Malaysia walaupun ada banyak kecacatan. Struktur pentadbiran dan ekonominya lebih kukuh; ia tidak dikuasai mana-mana parti atau pemimpin politik.
Ia memang negara kapitalis tetapi ia juga membenarkan campur tangan kerajaan dalam hal-hal hak asasi dan hak pekerja, walaupun jaminannya masih lemah berbanding negara-negara Eropah Barat.
Namun, Eropah juga sedang mengalami kebangkitan politik perkauman yang sedang melanda AS pada masa ini.
Apa pun, ia tidak sama dengan Malaysia yang masih dikuasai sepenuhnya parti yang menjadi kerajaan. Ruang dan amalan demokrasi masih sempit untuk aksi- aksi demokrasi radikal.
Masih ada orang yang tidak dapat membezakan di antara kerajaan (pentadbir yang tidak berpihak) dan parti (penentu dasar kerajaan sepanjang tempoh pentadbirannya selepas menang dalan pilihan raya umum).
Masih ada orang yang menganggap apabila parti memenangi PRU dengan majoriti 50% + 1 kerusi (undi popular tidak menjadi ukuran di Malaysia), ia berhak berbuat apa sahaja atas nama kerajaan.
Oleh itu, perlu ada reformasi pentadbiran untuk memastikan suara rakyat diutamakan, dan bukannya kehendak pimpinan parti.
Asas reformasi ini adalah memberikan kuasa kepada Parlimen selaku wakil suara rakyat. Kuasa itu perlu diambil semula daripada Pejabat Perdana Menteri untuk dikembalikan kepada Parlimen. Perdana menteri pula tidak boleh terlalu berkuasa sehingga ditakuti mahkamah, pekhidmatan awam dan Parlimen.
Atas sebab ini, perlu ada perubahan kerajaan di Malaysia. Untuk mengubah kerajaan, pengundi berdaftar perlu keluar mengundi, dan memilih parti-parti Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi kerajaan baru. PH berjanji untuk melaksanakan reformasi pentadbiran sedangkan Barisan Nasional (BN) selesa di tampuk kuasa menolak perubahan.
Tetapi timbul persoalan. Bolehkah janji-janji PH dipercayai? Apakah PH akan menjadi lebih baik daripada BN? Atau kedua-duanya sama sahaja?
Jadi bermulalah idea untuk memboikot PRU akan datang dengan tidak keluar mengundi atau pergi mengundi dengan niat merosakkan undi.
Golongan ini mahu berkecuali kerana enggan dilihat memilih di antara Coke dan Pepsi. Mungkin lebih cool bagi mereka jika minum air mineral dalam botol plastik walaupun bahan sintetik itu merosakkan alam sekitar.
Namun, buatlah apa sekalipun, sikap berkecuali bererti menjamin kekalnya status quo – kemenangan untuk Najib Razak, Umno dan BN serta dasar-dasar diskriminasi, ketidakadilan, kemelut ekonomi dan tiada ruang kebebasan bersuara serta berekspresi.
Mengapa sikap berkecuali atau tidak mengundi tidak akan memberi sebarang kesan di Malaysia?
Pada 13 November lalu, Bajet 2018 yang dibentangkan Najib lulus apabila 107 ahli Parlimen BN menyokongnya walaupun ditolak 59 ahli Parlimen PH.
11 ahli Parlimen PAS berkecuali.
Bajet tersebut tidak membawa sebarang reformasi ekonomi kecuali pergantungan kerajaan kepada pelbagai jenis cukai.
Alasan PAS, jika membantah bajet tersebut pun, ia tidak membawa apa-apa perubahan. Hasilnya, kerana berkecuali, PAS mendapat ucapan terima kasih daripada Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Selepas itu, Bajet 2018 bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula diluluskan apabila BN mendapat 52 undi manakala PH 51 undi. Dua ahli Parlimen PAS berkecuali. PH melihat bajet kementerian tersebut sebagai tidak menawarkan idea bernas untuk mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan, termasuk kenaikan harga minyak.
Selepas bajet kementerian itu diluluskan, Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu Johari Baharom berterima kasih kepada PAS, yang seperti yang dilaporkan media, berkata: “Saya mengucapkan terima kasih kepada dua ahli Parlimen PAS tersebut yang tidak mengundi untuk pembangkang, sepatutnya memang perlu macam itu, barulah kita jadi kuat”.
Sama ada berkecuali atau tidak mengundi, malah jika merosakkan undi, keputusannya sama sahaja. Najib dan BN akan terus berkuasa, selama yang mungkin.
Namun, tidak semuanya kabur dan kelam. Harapan tetap bersinar. Majoriti rakyat masih percayakan peranan kerajaan. Majoriti rakyat yakin dengan sistem demokrasi. Majoriti rakyat bukan anarkis.
Rakyat hanya menuntut sistem yang lebih adil, pemimpin yang lebih bersih dan kerajaan yang sedia mendengar rintihan dan cadangan rakyat. Untuk membentuk kerajaan dan pentadbiran yang lebih bersih, titik permulaannya adalah dengan mengundi.
Kalau nak jadi cool juga, dan mahu berkecuali, yang pasti pimpinan Umno dan BN akan mengucapkan terima kasih kepada kita yang layak mengundi tetapi tidak keluar mengundi pada PRU ke-14 ini. 

#BOIKOT PRU, #ROSAK UNDI, NEGARA HANCUR