JIKA TELUS DAN TIADA PELUANG NAK MENIPU DALAM PILIHANRAYA, KENAPA TIDAK DIBENARKAN SAJA KEHADIRAN PEMANTAU ANTARABANGSA?
Kata Najib Razak, sistem pengundian dalam pilihanraya negara ini telah ditambah baik menjadi lebih telus dan tidak memungkinkan akan berlaku penipuan.
Katanya, sistem pengundian yang ada sekarang juga jauh lebih baik berbanding ketika zaman Tun Mahathir Mohamad dahulu.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyifatkan tindakan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan mengadu kepada diplomat Kesatuan Eropah serta menuntut kehadiran pemantau antarabangsa dalam PRU 14 akan datang sebagai tindakan tersepit dan cubaan untuk mendapatkan bantuan kuasa asing.
Soalnya, adakah sistem pilihanraya kita benar-benar telus dan tidak berlaku penipuan?
Kiranya Najib 100 peratus yakin mengenainya dan tiada apa yang mahu diselindungkannya, beliau tidak sepatutnya terus berdalih dan memberi banyak alasan mengenai kehadiran pemantau antarabangsa untuk menyaksikan bagaimana pilihanraya kita diadakan.
Beliau seharusnya membenarkan dengan senang hati, bukan saja kehadiran pemantau antarabangsa, malah sesiapa saja untuk hadir memantau perjalanan PRU 14 akan datang diadakan.
Hanya dengan berbuat demikian saja Najib dapat membuktikan kepada dunia bahawa pilihanraya negara kita betul-betul berjalan dengan baik dan tiada unsur-unsur meragukan seperti penggunaan jentera kerajaan, pembelian undi, amalan "cash is king" dan sebagainya.
Tetapi, mengapa dalam mengatakan pilihanraya kita telus dan tidak mungkin berlaku penipuan, Najib masih tiada keberanian membenarkan kehadiran pemantau antarabangsa?
Mengapa masih mengatakan kehadiran pemantau antarabangsa sebagai cubaan menjemput bantuan kuasa asing?
Apa yang ditakuti dan dibimbanginya?
Semua perbuatan mesti dibuktikan dengan tindakan. Cakap saja tidak berguna. Seperti beliau mengaku wang RM2,600 juta yang masuk ke akuan peribadinya adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, ia mesti dibuktikan dengan Najib wajib menunjukkan slip transaksinya.
Begitu juga dengan ketelusan dan tidak mungkin wujud penipuan dalam pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR. Najib mesti membuktikan kepada dunia mengenai kesahihan kata-katanya itu dengan tidak ragu-ragu menjemput kehadiran pemantau antarabangsa menyaksikannya sendiri.
Beranikah Najib? (ShahbudinHusin 31/01/2018)
TUN MAHATHIR POPULAR DI LUAR BANDAR – PROF REDZUAN
Tun Mahathir popular di luar bandar – Prof Redzuan
Momentum sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) meningkat selepas Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon perdana menteri, kata penganalisis.
Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kebanyakan responden yang bersetuju Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH kerana pengalamannya memerintah negara.
“Tetapi masyarakat nak tengok, apa yang Dr Mahathir nak tawarkan sebagai alternatif kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak,” kata Redzuan dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di Shah Alam baru-baru ini.
“Selain itu, sokongan kepada dia meningkat kerana di Malaysia pada hari ini, hanya Dr Mahathir yang dilihat paling berani menyerang Najib.”
Selepas PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri pada 7 Januari lalu, IDE menurunkan pasukan penyelidiknya di seluruh negara untuk melihat sentimen rakyat.
IDE akan mendedahkan dapatan daripada tinjauan kepada umum tidak lama lagi.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003. Sekarang beliau memimpin PH yang dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.
Katanya, pada peringkat awal selepas Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri, terdapat reaksi negatif kerana faktor umur pengerusi PH itu yang sudah lebih 90 tahun.
“Tetapi yang menariknya, 80 peratus yang tak terima Dr Mahathir itu kerana usia dia sudah tua. Itu bagi yang tidak terima. Bagi yang terima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, kerana pengalaman dia memerintah Malaysia.
“Yang terima kerana pengalaman memerintah, yang tak terima kerana dia sudah tua,” kata Redzuan yang juga naib cancelor Universiti Selangor (Unisel).
Menurut Redzuan, yang menjadi kebimbangan responden yang ditemui IDE dengan usia tua Dr Mahathir kerana ia dikaitkan dengan keuzuran.
“Tetapi walaupun tua, kalau kita berhujah balik umur 92 tahun, masa konvensyen PH, Dr Mahathir berucap selama 41 minit. Umur 92 tahun boleh bercakap lama macam tu. Biasanya orang umur 50 pun tak larat nak bercakap lama macam tu.
“Maknanya umur tu dikaitkan dengan keuzuran. Tetapi ini tidak terpakai kepada Dr Mahathir. Kenapa orang tak nak umur tua? Kerana bila dah tua ni, uzur dan sebagainya, tetapi tidak bagi Dr Mahathir,” kata Redzuan yang pernah menjadi dekan fakulti sastera dan sains sosial Universiti Malaya (UM) dan pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMcedel).
Redzuan berkata, disebabkan Dr Mahathir, parti serpihan Umno dipimpinnya dikenali dengan begitu cepat di kawasan luar bandar walaupun baru ditubuhkan pada Ogos 2016.
“Dalam survey kita, kita tanya soalan begini, apa pandangan tuan terhadap Umno? Mereka kata Umno ini parti yang memerintah. Apa pandangan terhadap PAS? Mereka kata PAS parti yang perjuangkan Islam.
“Bila kita tanya tentang Bersatu, mereka kata parti Dr Mahathir. Maksudnya mereka dah kenal. Menunjukkan itu dia punya trade mark dia. Ini yang ada dalam kepala mereka.
“Tanpa perlu fikir mereka dah boleh jawab. Sekali je. Jadi itulah dalam kepala dia. Kalau Bersatu parti Dr Mahathir. Itu je, dia tak kata parti bunga raya, parti serpihan Umno. Ada banyak option.
“Tapi yang paling top sekali mereka jawab parti Dr Mahathir. Ini menunjukkan bahawa, Dr Mahathir ada kekuatan dia di luar bandar,” katanya.
Menurut Redzuan, disebabkan Umno sudah memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun dan mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh, PH memerlukan sosok yang kuat dan dikenali untuk melawannya.
“Sebab itulah, menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri pada waktu ini sebagai satu-satunya orang yang paling layak.
“Sebab sekarang kita nampak Dr Mahathir menjadi tarikan di mana sahaja beliau pergi, di kawasan Felda, kawasan luar bandar,” katanya.
KECOH SEBELUM PRU BAIK, SELESAI AGIHAN KERUSI
Kecoh sebelum PRU baik, selesai agihan kerusi
Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui ada di kalangan perwakilan partinya yang tidak puas hati dengan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.
Tetapi, katanya, mereka menyelesaikan hampir semua masalah berhubung pengagihan kerusi sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Tidak ada pertubuhan politik tidak menghadapi masalah, berjaya atau tidak sesuatu pertubuhan itu bergantung kepada cara mereka selesai masalah, kalau tak boleh selesai tak payah jadi (parti politik).
“Apabila berlaku perkara yang tidak diingini ini, kita masih boleh betulkan kerana kita masih mempunyai masa.
“Saya yakin apabila PRU diadakan, kita dapat bertanding dan mencalonkan satu calon bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN.
“Jadi, ini bukanlah perkara yang akan menjejaskan parti, sebaliknya kita merapatkan parti dan bergerak sebagai sebuah gabungan yang boleh mencabar kerajaan yang ada sekarang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PPBM hari ini.
Dr Mahathir mengulas kekecohan yang berlaku pada Konvensyen PH Negeri Sembilan, Ahad lalu, disebabkan akar umbi PPBM tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi DUN negeri itu.
Lebih 50 ahli PPBM dilapor melaungkan “ini tidak adil” di belakang dewan, sejurus Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selesai berucap.
Menerusi rundingan itu, PKR diperuntukkan 12 kerusi DUN, DAP (11), Amanah (7) dan PPBM (6).
Sementara itu, pengerusi PH itu berkata, sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk rundingan pengagihan kerusi di Selangor, susulan kekeliruan dalam peranan Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor.
“Berkenaan dengan Selangor, terdapat sedikit salah faham tentang pihak mana yang perlu melihat tentang agihan kerusi. Kami telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas dan mereka akan mengambil alih dan masalah itu akan diselesaikan.”\
Dr Mahathir berkata, PH tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi mengelakkan pertandingan banyak penjuru.
“Di Sabah, kita ada Pakatan Harapan terdiri daripada DAP, Amanah dan PKR, tapi mereka telah adakan kerjasama di Sabah dan mereka sedar ada Parti Warisan di situ, kalau kita bertembung dengan Warisan, kita rugi dia pun rugi.
“Jadi satu jenis kerjasama mungkin akan dijalankan antara Warisan dengan PH.”
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, logo PH belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) selepas 7 bulan permohonan dikemukakan.
“Sehingga hari ini tiada jawapan daripada JPPM, jadi kita dapati ini sengaja dibuat demikian supaya kita habis masa dan tidak dapat buat persiapan untuk PRU kerana kita tidak tahu sama ada kita punya simbol diterima atau tidak, dan kita tak tahu sama ada parti kita ini diiktiraf secara rasmi atau tidak.
“Saya berpendapat tindakan kerajaan macam ini adalah suatu penganiayaan kepada rakyat.”
PH menyerahkan permohonan mendaftarkan simbol gabungan itu pada 28 Julai 2017. JPPM kemudian mengarahkan PH menggunakan nama penuh “Pakatan Harapan” pada simbol itu bagi menggantikan “Harapan”, dan mereka membuat pindaan mengikut permintaan jabatan itu.
Pada 31 Oktober lepas, Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, JPPM masih menilai permohonan PH itu.
PENGUNDI PUTRAJAYA ‘MESRA’ TUN MAHATHIR
Pengundi Putrajaya ‘mesra’ Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin dianggap ‘musuh’ kerajaan namun nampaknya dia masih merupakan watak popular di sekitar kawasan pentadbiran negara, Putrajaya.
Beberapa peniaga dan pengunjung awal di pasar malam di Presint 2 bergilir-gilir mengambil kesempatan bersalaman dengan Dr Mahathir dan berswafoto dengan bekas perdana menteri itu hari ini.
Calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berada di sana untuk beramah mesra dengan rakyat.
Putrajaya yang merupakan ilham Dr Mahathir merupakan salah satu daripada tiga parlimen yang dipertimbangkan beliau untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.
Penduduk Putrajaya kebanyakannya merupakan pegawai kerajaan, golongan yang sering dianggap pro-BN.
Beberapa individu yang kelihatan seperti memakai kad keselamatan pejabat kementerian selain ada yang memakai seragam jururawat merupakan antara yang mengambil kesempatan mengabadikan swafoto bersama Dr mahathir.
Ikan Sekinchan, tapi bukan Jamal
Semasa bersalaman dengan orang ramai, seorang wanita melaungkan “Hidup PM baru” yang dipercayai merujuk kepada langkah HARAPAN menamakan Dr M sebagai calon perdana menteri.
Sementara itu seorang penjual ikan berjenaka dengan pengerusi HARAPAN itu bahawa ikannya daripada Sekinchan tapi bukan ikan Jamal.
Dipercayai dia merujuk kepada Ketua Umno Sekinchan Datuk Seri Jamal Mohd Yunos, yang pernah menjadi sensasi dengan gimik-gimiknya mempertahankan Umno.
Sebelum pulang, Dr Mahathir sempat membeli ikan daripada peniaga itu yang menurutnya akan digoreng di rumah.
Selain Putrajaya, Dr Mahathir juga mempertimbangkan untuk bertanding di Langkawi dan bekas kawasan parlimennya di Kubang Pasu
PRU 14 SELEPAS 18 MAC, BN BERPOTENSI KALAH?
PRU 14 selepas 18 Mac, BN berpotensi kalah?
Dua perkara menjadi perbualan hangat menjelang pembukaan sesi Dewan Rakyat Mac 2018, iaitu bilakah tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 14 selepas sempadan baharu pilihan raya diluluskan, dan adakah BN akan kalah buat pertama kalinya sejak merdeka.
Bagi Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran, beliau menjangkakan Parlimen akan dibubar selepas PM Najib Razak pulang dari Persidangan Khas ASEAN – Australia pada 17-18 Mac. Menurutnya, tarikh itu amat sesuai untuk PRU dilaksanakan sebelum bulan Ramadan pada pertengahan Mei.
“Oleh yang demikian, pada masa sekarang terdapat banyak kajian yang meramalkan sama ada BN ataupun PH (Pakatan Harapan) yang akan menang PRU14. Tetapi yang penting sekali ialah di peringkat akar-umbi. Pihak PH yakin dari sumber yang boleh dipercayai bahawa BN akan kalah atau menang tipis sahaja.
“Ini adalah disebabkan oleh isu kos sara hidup dan pelbagai kelemahan BN.
“Di Pahang, masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asal semua merungut pasal kos sara hidup. Secara terus-terang saya kata walaupun ramai orang Melayu tidak suka pada PH kerana ada DAP dalam koalisi ini, namun lebih ramai lagi orang Melayu yang merasa marah berkenaan kos sara hidup dan mereka memberitahu saya mereka akan mengundi Pakatan kali ini,” kata Manogaran kepada Suara pakatan daily.
Pemimpin DAP Pahang itu bagaimanapun tidak bersetuju kenaikan nilai ringgit dan bursa saham akan mendorong rakyat kembali memilih BN sebagaimana diuar-uarkan dalam media arus perdana.
“Kadar Polisi Semalaman (Overnight Policy Rate) dinaikkan Bank Negara kepada 3.25 mata dan Bursa Saham melebihi 1850 mata tetapi bukan semua orang yang ‘main’ saham.
“Di kalangan rakyat biasa, ramai orang sedang hidup susah dan ada juga yang tidak mampu membayar bil-bil bulanan mereka kerana mereka sedang bergelut dengan perbelanjaan untuk anak-anak sekolah, pinjaman bank, perniagaan yang merosot dan sebagainya,” kata Manogaran.
Beliau berpendapat detik paling baik untuk PM Najib memanggil PRU telah pun berlalu. Kini, katanya, Najib sudah terperangkap dalam pasir jerlus dan oleh sebab itu beliau kurang yakin untuk membubarkan parlimen.
“Sekarang sudah terlambat tetapi PRU14 pasti akan diadakan sebelum Anwar Ibrahim keluar dari penjara (Jun 2018). Dengan Tun Dr Mahathir berkempen untuk PH, PM Najib pun sudah rasa tergugat, apatah lagi kalau Anwar turut serta berkempen.
“Walaupun media arus perdana menguar-uarkan bahawa BN mudah menang, tetapi hakikatnya BN berdepan dengan kekalahan kerana gagal menurunkan kos sara hidup,” kata Manogaran lagi.
PAS HANYA DAPAT UNDI DARI PENENTANG NAJIB, MAHATHIR
Pas hanya dapat undi dari penentang Najib, Mahathir
Senario yang bakal dihadapi Pas dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 agak tidak menyenangkan kerana hanya mampu menarik undi dari pihak yang tidak menyokong PM Najib dan bekas PM Tun Mahathir, selain penyokong tegar parti itu.
Hal itu dinyatakan oleh seorang pemerhati politik yang mahu dikenali sebagai Mutalib. Menurut beliau yang aktif dalam aktivisme pembangkang sejak 1980an, Pas pada kali ini tidak mampu lagi untuk menarik undi golongan atas pagar yang progresif dan undi bukan Islam sebagaimana dua pilihan raya sebelumnya.
“Sejujurnya Pas hanya akan dapat undi daripada pengundi yang menolak Mahathir dan Najib. Tiada lagi undi Cina atau golongan progresif.
“Sebab itu Harakah (lidah rasmi Pas) digunakan habis-habisan mengorek kesalahan dan kesilapan pemerintahan Mahathir selama 22 tahun
“Saban minggu Harakah akan memainkan emosi penentang Mahathir dengan memaparkan apa yang dipanggil kezaliman era Mahathir
“Tragedi Memali pula dijadikan isu besar dan penting kerana ahli-ahli Pas sangat sensitif isu ini
. Dengan cara itu Pas bakal mendapat undi yang mencukupi pada PRU 14 untuk memperolehi 40 kerusi parlimen,” katanya kepada Suara pakatan daily.
. Dengan cara itu Pas bakal mendapat undi yang mencukupi pada PRU 14 untuk memperolehi 40 kerusi parlimen,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Mutalib tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Dewan Penyelidikan Pas Pusat Dr Zuhdi Marzuki yang membangkitkan kerjasama dengan Umno. Menurutnya, kenyataan itu akan melemahkan Pas dan menyebabkan penyokong tegar tidak akan keluar mengundi kerana pembabitan Pas bersama Umno amat sensitif terutama di negeri-negeri Pantai Timur.
“Kenyataan Zuhdi beberapa hari lalu terpaksa dijawab oleh Setiausaha Agung Pas melalui kenyataan media, iaitu tiada kerjasama dengan Umno selagi tidak mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama dan AJK Pas Pusat serta muktamar khas
“Jawaban itu penting agar penyokong tidak meninggalkan parti
“Manakala kejayaan program Ummah oleh Pas dan Isma melalui lampu hijau Umno dan kejayaan perhimpunan MyAqsa dengan kerjasama agensi kerajaan iaitu Jakim diharap menaikkan semangat ahli-ahli Pas,” katanya lagi.
Pas juga, menurut Mutalib akan berusaha menyakinkan sokongan ke atas DAP adalah haram pada hukum syarak agar pengundi di Pantai Barat boleh memberi undi kepada parti berkenaan.
“Mengharamkan undi kepada parti DAP pula perlu disegerakan oleh agamawan demi merealisasikan cita-cita Pas mendapat undi mereka yang anti DAP dan bukan Islam
“Dengan riak dan cara kerja yang ditunjukkan Pas ini, dapat dipastikan parti itu tidak akan berpaling ke belakang lagi. Malah akan terus ke hadapan bersama kerajaan BN selepas pilihan raya.
“Pas tidak bersetuju menukar kerajaan untuk mengembalikan Mahathir sebagai PM dan sanggup mempertahankan Najib biarpun pelbagai kesalahan dilakukan oleh PM itu,” katanya.
KEMPEN PH DI JOHOR BAHRU DAPAT SAMBUTAN HANGAT
Kempen PH di Johor Bahru dapat sambutan hangat
Kehadiran orang ramai pada program ‘100 Hari Menuju Putrajaya’ yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) Johor telah mendapat sambutan yang hangat dikalangan masyarakat setempat.
Kehadiran orang ramai yang dianggarkan seramai hampir 2000 orang telah membanjiri Jalan Penjaja 3 (tapak lokasi program) seawal 8:30 malam
Menurut Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam ucapannya pada program tersebut, program ini adalah sebagai satu simbolik kepada menggerakkan jentera ke arah Pilihanraya Umum ke 14 (PRU 14) yang akan datang.
“Ini adalah seruan atau ketukan permulaan gendang peperangan yang berlaku di negeri Johor ini dan gelombang ini akan terus menyala sehingga PH berjaya menakluki Putrajaya.
“Gelombang ini akan disemarakkan lagi dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dibebaskan pada Jun yang akan datang,” ujarnya.
Amonolhuda Hassan ketika berucap di hadapan lebih kurang 2,000 rakyat di Jalan Penjaja 3, Johor Bahru semalam,
Dalam pada yang sama, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor Aminolhuda Haji Hassan berkata, kehadiran orang ramai adalah satu isyarat kepada Umno-BN mengenai gelombang perubahan rakyat.
“Saya yakin Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin oleh UmnoBN pastinya dalam kebimbangan dengan gelombang yang berlaku ini kerana bagi mereka selama ini rakyat tidak pernah menampilkan sikap mereka.
“Rakyat mulai sedar dengan kerosakkan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional dan mereka sekarang sudah menjadi berani untuk menunjukkan sikap mereka.
“Kami merasa yakin yang mana akan berlaku perubahan dalam PRU 14 terutamanya di negeri Johor ini. Saya merasa lebih bersemangat dengan kehadiran malam ini dan kami (PH) akan terus berusaha untuk memperjuangkan nasib rakyat,” kata Aminolhuda dalam ucapannya.
Program itu juga turut menampilkan semula tokoh ulung dari DAP, Lim Kit Siang dengan gimik ‘Selamat Pulang Semula’ bagi membantu menaikkan semula momentum khususnya pada masyarakat cina
JENTERA AMANAH SIAP SEDIA GEMPUR KUALA KANGSAR
Jentera Amanah siap sedia gempur Kuala Kangsar
Kesediaan jentera pilihan raya parti dan gelombang nasional yang mahukan perubahan kerajaan di Putrajaya adalah dua gabungan faktor penting dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Naib Ketua AMANAH Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli.
Menurutnya, kesediaan AMANAH dalam pilihan raya umum kali ini untuk menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan tidak terkecuali di Kuala Kangsar apabila bertindak menyambut hasrat rakyat yang tidak tahan lagi untuk membiarkan Umno-BN terus berkuasa.
“Jentera parti sebenarnya menyambut gelombang itu. Kalau gelombang yang hebat tidak disambut dengan jentera yang berpadanan, kita tidak boleh menjana kemenangan.
“Jadi, AMANAH sebagai anggota Pakatan Harapan menyumbang sebagai jentera yang cukup bersedia menyambut gelombang nasional itu pada pilihan raya kali ini,” ujar Pengerusi Biro Politik AMANAH Perak itu ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Jelas anak kelahiran Kampung Suak Petai, Manong itu, majoriti pengundi di Kuala Kangsar juga tidak terkecuali dengan gelombang di peringkat nasional apabila terpukul dengan keperitan kenaikan melambung harga barang dan rantaian kos sara hidup.
“Mungkin ada yang kata bahawa pengundi luar bandar seperti di Kuala Kangsar tidak terkesan dengan isu-isu nasional tetapi orang kampung pun sebenarnya turut sama terjerat akibat kerajaan yang salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, kedua-dua faktor jentera dan gelombang tersebut mesti seiring memandangkan Pas sebelum ini begitu sukar memenangi hati majoriti pengundi walaupun dikenali memiliki jentera pilihan raya yang kuat.
“Memang jentera pilihan raya itu amat penting tapi untuk menang, apa yang juga diperlukan gelombang adalah di peringkat nasional yang menuntut muafakat dalam gabungan bersama.
“Pas yang kuat jentera pun apabila tiada gelombang yang kuat, tidak menang juga sebab kita bukan sekadar dimenangkan oleh ahli parti. Kita dimenangkan daripada segenap lapisan rakyat,” ujar Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu.
Ditanya tentang perkembangan struktur organisasi AMANAH Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi memaklumkan sudah terdapat 26 cawangan berbanding dua sahaja ketika menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 18 Jun 2016.
“Alhamdulillah. Pertambahan cawangan ini bukti jentera dan petugas pilihan raya AMANAH Kuala Kangsar sudah cukup bersedia di gelanggang PRU-14 selepas pengalaman kita bertempur dalam PRK dua tahun lalu,” ujarnya lagi.
Dr Ahmad Termizi pada PRK Kuala Kangsar lalu memperoleh 4,883 undi; calon Pas, Najihatussalehah Ahmad mendapat 5,684 undi manakala calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid menang dengan majoriti 6,969 undi.
Parlimen Kuala Kangsar antara empat kerusi yang akan ditandingi AMANAH Perak selain Parit, Parit Buntar dan Lumut.
PENGUNDI SENYAP AHLI PAS AKAN BUAT KEJUTAN PRU 14?
Pengundi senyap ahli Pas akan buat kejutan PRU 14?
Sejak penubuhannya, PAS sentiasa yakin dengan ahlinya dalam mana-mana pilihan raya umum (PRU).
Tetapi kali ini, deposit tetap bank undi parti Islam itu tidak begitu meyakinkan lagi, kata penganalisis, susulan kekeliruan ahli terhadap hubungan rapat PAS dengan Umno dan kesan yang dibawa oleh parti serpihan Amanah.
Ahli parti yang teruji kesetiaannya mungkin memilih untuk tidak mengundi parti Islam itu pada PRU14 atau langsung tidak keluar mengundi, kata pemerhati politik.
Sehubungan itu, PAS diminta untuk tidak memandang mudah fenomena pengundi senyap daripada kalangan ahlinya yang masih tidak menyatakan secara jelas sokongan mereka dalam PRU
Menurut penganalisis, pengundi senyap ini melibatkan dua kumpulan iaitu pengundi yang keliru dengan hala tuju PAS dan juga kumpulan pengundi pro Amanah.
“Kedua-dua kumpulan ini tidak keluar dari PAS tetapi sebahagian besar dari mereka tidak lagi akan mengundi parti itu dalam pilihan raya umum akan datang,” kata pengkaji politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.
Mazlan berkata hasil empat kajiannya sejak 2015, beliau mendapati 35% pengundi PAS menyertai Amanah selepas parti itu berpecah.
Katanya, dari 65% yang tinggal, 10% penyokong Amanah yang digelar kumpulan harum manis, manakala 20% lagi golongan yang keliru dengan hala tuju parti itu.
“Saya berpendapat, lebih separuh daripada golongan keliru ini tidak akan mengundi PAS dalam pilihan raya umum akan datang atau tidak keluar mengundi sebagai tanda protes,” kata Mazlan.
Fenomena ini dapat dilihat apabila The Malaysian Insight membuat tinjauan ke atas pengundi di Terengganu yang dianggap kubu PAS pada hujung minggu lalu.
Penyokong PAS ini antara lain berpendapat, pertandingan tiga penjuru ini akan menyebabkan Barisan Nasional (BN) akan menang.
“Kami rasa PAS perlu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membolehkan kita lawan satu lawan satu dengan BN untuk membolehkan kita menang.
“Jika tiga penjuru, macam mana kita hendak menang kerana PAS dan PH merebut golongan pengundi yang sama, jadi BN yang akan menang,” kata Abdullah Samad, seorang pesara kerajaan.
Beliau menyokong kajian yang dibuat Dr Mazlan bahawa PAS hanya akan menang dua kerusi DUN atau lebih sedikit saja di Terengganu dalam PRU akan datang jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara PAS, PH dan BN.
“Jadi saya keliru, nak sokong PAS yang akan pasti kalah atau nak sokong PH yang belum tunjuk kekuatannya lagi,” kata Abdullah, menyokong kajian Mazlan itu.
Beliau akan mengundi PH jika terbukti menjelang PRU nanti gabungan pimpinan Dr Mahathir Mohamad itu memperlihatkan kesungguhannya untuk mengambil alih negeri ini manakala PAS terus mahu bersendirian.
“Buat masa sekarang kita belum nampak lagi momentum itu di Terengganu walaupun sudah nampak di pantai barat,” katanya.
Seorang lagi ahli PAS yang ditemui juga mengakui pening dengan situasi yang ada.
“Bagi saya PAS kena kerjasama dengan PH untuk jatuhkan kerajaan BN dalam pilihan raya ini demi kepentingan rakyat.
“Kita rakyat sedang susah sekarang kerana harga barang yang naik dengan mendadak yang disebabkan oleh GST.
“Jika bertanding PAS sendiri, macam mana kita hendak menang,” kata Mohamad Azmi Salleh, seorang kontraktor kecil dengan beberapa badan kerajaan.
Namun baginya, agak sukar kerana PAS sekarang dikuasai pemimpin baru yang kebanyakannya dari golongan ustaz.
Menurutnya, golongan ini meningkat naik dalam parti selepas dalam 1990-an ketika PAS sudah berada di pentas utama politik negara.
“Orang baru ini hendak jadi calon dalam pilihan raya. Bila kerjasama dengan parti lain kena bahagi kerusi pula.
“Jadi saya rasa kumpulan inilah penentang utama kerjasama ini kerana bimbang mereka atau orang yang mereka sokong tidak boleh jadi calon,” katanya.
Kekeliruan ini juga dirasai oleh petugas PAS dalam PRU14, Saodah Mohamad.
“Di kampung sebelah, sebuah kampung lari menyertai Amanah secara senyap-senyap padahal ketua dia dulu tu ketua cawangan PAS,” kata Saodah yang aktif bersama PAS kawasan Marang.
Katanya, apabila disemak dalam senarai keahlian, mereka ini kekal ahli PAS.
Kemaraan pengundi senyap ini juga disahkan oleh aktivis Bersatu di Kuala Terengganu, Azlan Che Mat yang sebelum ini pemimpin akar umbi PKR.
Azlan berkata jika dalam PAS, golongan ini takut dipulaukan oleh orang PAS, dalam Umno pula golongan ini takut disekat pelbagai bantuan dan projek oleh kerajaan negeri dan pusat jika isytihar keluar Umno atau sertai Bersatu.
“Sebelum ini, kita nampak fenomena ini di Kuala Terengganu saja tetapi sekarang kita sudah mulai merasainya di Marang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Azlan berkata beliau percaya selepas selesai pembahagian kerusi peringkat negeri di Terengganu yang dijangka pada 31 Januari ini, PH akan segera menemui pengundi.
Ia sahkan oleh Setiausaha Bersatu Terengganu Hambali Abdul Latif.
“Kita tunggu selesai pembahagian kerusi dulu, baru kita turun sepenuhnya,” kata Hambali.
Proses pembahagian kerusi sedang berlangsung di kalangan pimpinan PH sekarang. Mengikut persetujuan awal, setiap parti akan ada di setiap kawasan Parlimen di negeri yang mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN itu.
Dalam pembahagian kerusi Parlimen PH sebelum ini, Bersatu mendapat kerusi paling banyak di Semenanjung iaitu 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27).
Di Terengganu, Bersatu akan bertanding tiga Parlimen iaitu Hulu Terengganu, Setiu dan Besut. Amanah pula akan bertanding di Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus manakala Kemaman dan Dungun akan ditandingi oleh PKR
TERKINI : KENYATAAN MEDIA : AHLI ALIRAN KESEDARAN NEGARA DITAHAN
ALIRAN KESEDARAN NEGARA atau ALIRAN sebuah Ngo yang aktif di Pulau Pinang melahirkan rasa kesal dengan penahanan seorang ahlinya Sarajun Hoda Abdul Hassan yang ditahan petang tadi.
"Kami dimaklumkan bahawa beliau di bawa ke balai polis Dang Wang"demikian sumber dari Ngo's terbabit .
Menurut Ngo terbabit", beliau ditahan dibawah seksyen 298 dan 233 akta komunikasi dan multimedia.
Kesatuan itu juga menuntut agar pihak berwajib agar memberikan alasan keatas penahanan beliau dan membenarkan beliau mendapatkan rawatan dan perubatan yang diperlukan jika beliau memerlukannya.
ALIRAN KESEDARAN NEGARA
ALIRAN 29 JANUARI 2018
Aliran is gravely concerned that one of our members Sarajun Hoda Abdul Hassan has been arrested this evening.
We are told he has been taken to the Dang Wangi Police Station.
The reason for his arrest is unclear but it is believed he was detained under section 298 of the Penal Code and section 233 of the Communications and Multimedia Act.
We call on the authorities to state the reason for his arrest and to allow him immediate access to a lawyer. He must also be allowed access to any medication he may need.
Aliran executive committee
29 January 2018
29 January 2018
Kayu pengukur pendidikan tidak seharusnya sekadar gred purata, abjad A-F
Akui atau tidak, antara masalah pendidikan adalah disebabkan oleh jurang sosio-ekonomi yang wujud di Malaysia, ujar Farah Najihah.
“SPM 2016: GPN lebih baik, 8,647 calon dapat semua A.” Begitulah tertulisnya tajuk utama berita oleh portal Bernama berkenaan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2016.
“SPM 2016: GPN lebih baik, 8,647 calon dapat semua A.” Begitulah tertulisnya tajuk utama berita oleh portal Bernama berkenaan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2016.
Bagaimana kita mengukur kecemerlangan anak muda dalam pendidikan? Adakah sekadar menjadikan abjad A hingga F dan indeks Gred Purata Nasional (GPN) sebagai kayu pengukur?
Indikator pendidikan tidak seharusnya terhenti kepada penilaian angka semata-mata tanpa mengambil kira aspek lain yang menyumbang kepada kecemerlangan seseorang. Jika disingkap dengan lebih mendalam, saya melihat bahawa aspek sosio-ekonomi sering dipandang sepi oleh pihak yang bertanggungjawab dalam membuat penilaian.
Akui atau tidak, antara masalah pendidikan adalah disebabkan oleh jurang sosio-ekonomi yang wujud di Malaysia. Perbincangan tentang pendidikan tidak dapat dipisahkan dengan soal jurang sosio-ekonomi kerana kedua-dua aspek ini saling melengkapi.
Pendidikan penting bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara; sebaliknya keadaan ekonomi yang stabil membantu dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Masalah jurang sosio-ekonomi yang tidak diperhalusi dan diatasi akan merencatkan kualiti pendidikan.
Memetik pendapat penganalisis dari Institute of Strategic and International Studies (ISIS), Dr Abdul Wahed Jalal dalam artikelnya yang bertajuk “Rethinking our education”, beliau melihat bahawa Malaysia terperangkap dalam lingkaran pendapatan sederhana.
Oleh itu, sebilangan rakyat di Malaysia kurang mampu untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak mereka. Pelajar dari sekolah-sekolah berprestasi rendah kebiasaannya berlatarkan keluarga yang berhadapan dengan keadaan sosio-ekonomi yang mencabar.
Lebih menyedihkan apabila ada antara mereka yang tidak dapat menghabiskan zaman persekolahan. Rangka Tindakan Pendidikan Nasional 2013-2025 melaporkan bahawa satu daripada lima pelajar di Malaysia tidak berjaya menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah.
Antara kesan kepada perkara ini adalah hasil lanjutan kitaran ganas kemiskinan yang menghantui sebahagian populasi di Malaysia. Mereka yang terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan ini beranggapan bahawa kegagalan dilihat sebagai sesuatu yang normal. Sesetengah ibu bapa mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap perihal pembentukan masa hadapan anak-anak mereka.
Pengalaman saya ketika berkhidmat sebagai tenaga pengajar sambilan selepas waktu persekolahan di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang menimbulkan rasa yang tidak enak terhadap masa hadapan anak-anak muda yang berhadapan dengan situasi ini.
Beberapa pelajar Tingkatan Empat masih lagi tidak tahu membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris walhal mereka hanya mempunyai waktu yang singkat untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lebih menggusarkan apabila ada di antara mereka yang perlu bekerja usai waktu persekolahan untuk membantu menyara keluarga.
Sikap segelintir pihak yang menjadikan pendidikan sebagai ruang untuk mengaut keuntungan lebih memburukkan keadaan yang sedia ada.
Kita seharusnya sedar bahawa pendidikan tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan pelajar dalam subjek yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan semata-mata. Pendidikan secara adilnya mestilah bersifat holistik merangkumi literasi, pembangunan kendiri, pembentukan masa hadapan dan penjanaan nilai kritis dan kreatif.
Namun, sesetengah pihak melihat perkara ini sebagai alasan untuk menyediakan program pendidikan yang boleh membawa keuntungan yang lumayan kepada mereka. Hal ini menyebabkan ramai pelajar tidak mampu untuk melibatkan diri dalam program-program pendidikan yang sepatutnya boleh memberikan manfaat kepada mereka akibat kekangan kewangan.
TERIMA KASIH KU LI, LIMA TAHUN NAJIB MENJADI PM TANPA HAK MORAL RUPANYA....
Berkata tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, pihak yang tidak mendapat undi popular dalam pilihanraya bermakna kekurangan hak moral untuk memerintah negara, walaupun menguasai majoriti kerusi.
Kata beliau, selain mendapat hak memerintah secara fizikal melalui jumlah kerusi, parti yang memerintah juga perlu memiliki hak moral.
"Jika pilihanraya dijalankan berdasarkan prinsip kemenangan melalui 'first past the post', parti politik yang tidak memiliki undi popular, tetapi mempunyai majoriti kerusi, mereka akan sentiasa berada dalam keadaan sukar.
"Mereka boleh dianggap kekurangan hak moral untuk memimpin", katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan.
Dalam PRU 2013 lalu, meskipun BN menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat, tetapi undi popular yang diraihnya cuma 47 peratus saja.
Pakatan Rakyat, di sebalik hanya mendapat 89 kerusi Parlimen, namun mengungguli undi popular rakyat sebanyak 52 peratus.
Berdasarkan apa yang ditegaskan oleh Ku Li itu, bermakna Najib Razak telah memimpin negara ini sejak 2013 lalu tanpa hak moral yang sewajarnya.
Najib hanya memerintah berdasarkan kerusi fizikal, namun sokongan moral rakyat langsung tidak memihak kepadanya.
Tidak malukah Najib?
Tidak malukah juga kita dipimpin oleh pemimpin dan parti yang tiada hak moral seperti itu?
Dengan dipimpin oleh pemimpin dan parti yang tiada hak moral selama lima tahun ini sehingga tidak henti-henti timbul pelbagai kekalutan dalam negara, tentu ia dengan sendirinya membulatkan tekad kita semua untuk menyingkirkan Najib, UMNO dan BN secara fizikal pula dalam pilihanraya akan datang ini.
Najib sudah disingkirkan secara moral, tidak sukar lagi menyingkirkannya secara fizikal.
Terima kasih Ku Li kerana menyuluhkan jalan yang sudah semakin terang buat rakyat membuat pilihan. (ShahbudinHusin )
TUMBANGKAN BN DI 73 KERUSI PARLIMEN LUAR BANDAR
Tumbangkan BN di 73 kerusi parlimen luar bandar
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengakui ada banyak perkembangan penting Pakatan Harapan (HARAPAN) terjadi meskipun hanya beberapa bulan beliau tidak aktif dalam politik kerana terpaksa melalui pembedahan.
Bercakap dalam ceramah pertama selepas pembedahannya, Lim berkata antara perkembangan itu adalah posisi pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang masing-masing dinamakan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri HARAPAN.
Bagaimanapun, menurut beliau, ada beberapa persoalan yang perlu dijawab termasuklah sama aada Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri merupakan strategi terbaik bagi mencapai perubahan dalam kerajaan dan perubahan sistematik insititusi..
Menurutnya lagi, BN menang 60 peratus kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) lalu meskipun kalah undi popular yang disifatkan Perdana Menteri Najib Razak sebagai “tsunami Cina”.
Anggota Parlimen Gelang Patah itu menekankan, sebaliknya ia adalah “tsunami urban” dan menambah HARAPAN perlu meluaskan pengaruh untuk mendapat sokongan di kalangan penduduk luar bandar.
“Sekiranya ingin mengalahkan Umno-BN dalam PRU ke-14, HARAPAN mesti mampu melakukan lebih baik berbanding Pakatan Rakyat pada PRU ke-13, bukan hanya mendapatkan sokongan pengundi yang mahu perubahan, tapi juga memenangi hati pengundi luar bandar yang sebelum ini mengundi dan menyokong Najib serta Umno-BN.
“Tanpa sokongan pengundi Melayu luar bandar dalam 73 kerusi parlimen yang dimenangi Umno di Semenanjung pada PRU ke-13, tidak akan terjadi perubahan politik, institusi atau sistem.
“Oleh sebab itu HARAPAN membuat keputusan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Wan Azizah sebagai calon timbalan perdana menteri,” katanya.
Lim turut menegaskan bahawa pertembungan dalam PRU ke-14 bukan tentang Najib melawan Dr Mahathir tapi sebaliknya, Najib melawan rakyat Malaysia.