Rohingya: Jangan sekadar retorik, kata Jokowi
Dimana Najib dan Haji Hadi dalam soal ini???
Presiden Joko Widodo (Jokowi) mahu isu krisis kemanusiaan Rohingya di Rakhine, Myanmar diselesaikan secara objektif dan bukan sekadar retorik untuk mengecam kerajaan negara berkenaan.
Katanya, Indonesia komited membantu krisis kemanusiaan yang sedang berlaku itu dan telah menghantar Menteri Luar Retno Marsudi untuk bertemu dan berbincang dengan pimpinan kerajaan Myanmar.
Retno hari ini dijadual menemui Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk membahas isu kemanusiaan di Rakhine bagi mendesak Myanmar agar segera memulihkan keamanan di Rakhine.
"Saya dan seluruh rakyat Indonesia, kita menyesalkan aksi kekerasan yang terjadi di Rakhine State, Myanmar, perlu aksi nyata bukan hanya pernyatan (kenyataan) kecaman-kecaman dan pemerintah berkomitmen terus untuk membantu krisis kemanusiaan, bersinergi dengan kekuatan masyarakat Indonesia dan juga masyarakat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Jakarta.
Beliau berkata, penganiayaan terhadap etnik Rohingya harus dihentikan dengan segera dan masyarakat di seluruh dunia harus bersinergi untuk membantu kaum yang sedang dianiyai itu.
Jokowi juga berkata selain bertemu dengan kerajaan Myanmar, Retno juga diarah ke Bangladesh untuk berbincang mengenai misi bantuan bagi kaum Rohingya.
Media-media melaporkan puluhan ribu warga Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh sejak seminggu lepas.
Pihak berkuasa Myanmar mendakwa mereka sedang melancarkan serangan tentera terhadap pasukan militan yang dikenali sebagai Tentera Penyelamat Arakan Rohingnya (ARSA) di Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung yang mempunyai kira-kira 800,000 penduduk.
Sementara itu polis Indonesia sedang menyiasat kejadian dan telah mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi mengenai insiden lontaran bom molotov di Kedutaan Besar Myanmar di sini awal pagi semalam.
Bom itu bagaimanapun berjaya dipadam oleh pengawal keselamatan dan tidak menjejaskan bangunan kedutaan berkenaan serta tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.
Sebelum itu pada Sabtu, ratusan orang menganjurkan demonstrasi di Kedutaan Besar Myanmar untuk membantah tindakan zalim kerajaan negara terbabit terhadap kaum Rohingya.
Mereka membawa poster yang tertulis pelbagai bantahan termasuk mengutuk kepimpinan Aung San Suu Kyi yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.
Demonstrasi itu juga mendesak ASEAN agar mengambil tindakan drastik dengan memecat Myanmar dari menjadi negara anggotanya.
Sebuah pertubuhan penganut Budha di Indonesia yang dikenali sebagai Keluarga Buddhayana Indonesia (KBI) turut mengutuk tindakan Myanmar dan menyifatkan perbuatan itu sebagai biadap serta tidak mencerminkan ajaran Budha.
Ketua Dewan Pengawas KBI, Sudhamek dipetik oleh media atas talian sebagai berkata tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Myanmar adalah biadab dan pengecut kerana membunuh wanita dan kanak-kanak.
‘SURAT ANWAR HANYA NASIHAT, BUKAN POLISI RASMI PARTI’
‘Surat Anwar hanya nasihat, bukan polisi rasmi parti’
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memberi garis panduan berhubung rundingan antara PKR dan Pas dan bukannya merestui usaha itu sehingga menjejaskan kepentingan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menjelaskan, dalam isu rundingan kerusi dengan Pas, Anwar yang menjalani hukuman penjara mempunyai keterbatasan maklumat dan satu-satunya saluran maklumat adalah melalui para peguam beliau seperti Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang diketahui pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan Pas untuk mengelak pertandingan 3 penjuru.
Sehubungan itu, katanya, kenyataan Anwar semalam tidak boleh disalahertikan sebagai persetujuan untuk menggantung rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan demi memujuk Pas sehingga ke saat akhir penamaan calon.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu rundingan kerusi di antara KEADILAN dengan Pas yang banyak membantu menjelaskan latar belakang persetujuan beliau mengenai rundingan tersebut (ketika isu ini timbul dua tahun lalu) dan pandangan mutakhir beliau setelah dua tahun perkara ini berlanjutan.
“Saya ada pilihan untuk tidak mengulas lanjut kenyataan tersebut, namun saya khuatir ia disalah erti sehingga menyebabkan Datuk Seri Anwar menjadi sasaran cemuhan rakyat apabila kenyataan itu ditafsirkan secara sekerat-sekerat sehingga ia keluar dari konteks sebenar.
“Sejak semalam, saya lihat ada pihak yang mendakwa kenyataan Datuk Seri Anwar itu menjadi bukti bahawa strategi berunding dengan Pas hingga ke saat akhir itu datangnya dari Datuk Seri Anwar sendiri. Ramai penyokong Keadilan (PKR) dan PH serta rakyat terbanyaknya yang kecewa, tidak kurang juga yang menyerang Datuk Seri Anwar,” ujar Rafizi dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Rafizi, pandangan Anwar dalam sesuatu perkara ketika beliau terpenjara adalah berbentuk panduan umum yang memberi garisan jelas pertimbangan-pertimbangan yang mesti diambil kira dalam membuat keputusan.
Anwar, jelas Rafizi menyenaraikan sempadan-sempadan (parameters) supaya keputusan yang dibuat mengambil kira perkara-perkara penting yang ditetapkan oleh sempadan-sempadan itu.
Bagaimanapun tambah beliau, keputusan diserahkan untuk dibincangkan dan dimuktamadkan oleh pemimpin PKR dan Pakatan Harapan kerana Anwar mempunyai keterbatasan dari segi maklumat terkini yang diperolehi.
Kenyataan Anwar semalam, ujar Rafizi mengulangi perkara-perkara prinsip yang telah ditegaskan sejak dua tahun lalu iaitu;
1. Segala bentuk kerjasama dengan Pas, kalau pun berlaku, mestilah dalam bentuk kerangka komitmen PKR dengan PH (dan bukannya atas dasar PKR bersendiri dengan Pas).
2. Segala bentuk kerjasama dengan Pas, kalau pun berlaku, mestilah dalam konteks strategi pilihanraya nasional (yang merangkumi semua parti di dalam PH dan semua kerusi di seluruh negara) dan bukannya terbatas kepada Selangor semata-mata.
3. Pendekatan PKR untuk tidak memusuhi Pas bagi tujuan berunding adalah bersyarat kepada kesediaan Pas untuk saling berunding; dan (penilaian sama ada Pas masih bersedia untuk berunding itu) tertakluk kepada penilaian pimpinan PKR dan PH dari semasa ke semasa.
4. Kebimbangan mengenai sikap Pas terhadap Umno dan kemungkinan kerjasama di antara dua parti itu adalah satu pertimbangan penting; dan Datuk Seri Anwar berpegang kepada penafian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini.
5. Tempoh masa rundingan yang lama yang tidak membuahkan hasil membawa risiko besar kepada persediaan menjelang PRU14.
“Kesemua perkara di atas adalah panduan-panduan yang telah digariskan oleh Datuk Seri Anwar sejak dua tahun lalu. Oleh sebab itulah, Keadilan (PKR) mengambil pendekatan untuk membidani penubuhan PH dan pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan dengan Pas selepas itu,” jelas Rafizi.
Beliau turut menyenaraikan perkembangan terkini yang membolehkan PKR membuat keputusan segera berpandukan garis prinsip yang ditetapkan Anwar iaitu:
i. Segala bentuk kerjasama dengan Pas mestilah dalam kerangka komitmen PKR dalam Pakatan Harapan – Majlis Presiden PH telah membuat keputusan muktamad menolak sebarang bentuk rundingan kerusi dengan Pas pada saat ini memandangkan ia akan melengah-lengahkan persediaan di peringkat PH jika pembahagian kerusi tidak dapat dimuktamadkan.
ii. Segala kerjasama dengan Pas mestilah melibatkan seluruh negara dan bukannya terbatas kepada Selangor sahaja – kenyataan pimpinan Pas secara berterusan mengesahkan parti itu akan bertanding di kesemua kerusinya semasa bersama Pakatan Rakyat di seluruh negara. Kenyataan terkini Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menegaskan rundingan hanya boleh berlaku jika kerusi-kerusi Pas tidak disentuh di seluruh negara. Ini menyebabkan mustahil boleh berlaku sebarang kerjasama kerana tidak ada ruang langsung untuk AMANAH dan PPBM bertanding, sedangkan dua parti rakan PH ini wajar diberi ruang sebaiknya untuk sama-sama membantu menjana kemenangan.
iii. Rundingan dengan Pas adalah bersyarat kepada kesediaan Pas untuk saling berunding dan tertakluk kepada penilaian pimpinan PKR dan PH dari semasa ke semasa – Sehingga hari ini, Pas terus berpendirian untuk tidak berunding dengan PKR atau PH. Malah, Pas Selangor yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Selangor telah mengisytiharkan untuk bertanding di 42 kerusi Dun Selangor, termasuk Parlimen Gombak yang diwakili Datuk Seri Azmin Ali sendiri.
iv. Kebimbangan rakyat mengenai sikap Pas terhadap Umno. Sehingga kini, presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum menafikan perbincangannya secara berterusan dengan presiden Unmo Datuk Seri Najib Razak mengenai kemungkinan kerjasama Pas-Umno untuk merampas Selangor dalam PRU14 seperti laporan media baru-baru ini. Malah jika timbalan presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mampu mempengaruhi keputusan JK Pas Pusat, kenyataan beliau yang “berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB” selepas mengadakan pertemuan dengan CEO 1MDB (Arul Kanda Abdullah) tidak membantu meredakan kebimbangan rakyat mengenai sikap Pas terhadap Umno.
v. Tempoh masa rundingan yang lama dengan tiada sebarang kemajuan apabila wakil PKR yang diberi tanggungjawab berunding dengan Pas iaitu naib presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin tidak mengemukakan laporan yang kukuh sedangkan PRU14 semakin dekat.
“Justeru, saya mengalu-alukan saranan Datuk Seri Anwar supaya segala keputusan perlu dimuktamadkan segera memandangkan PRU14 yang terlalu dekat.
“Sebab itu bagi saya, isu ini tidak lagi berbangkit dan kenyataan Datuk Seri Anwar semalam tidak boleh disalah ertikan sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan kerusi di peringkat PH demi memujuk Pas sehingga ke saat akhir penamaan calon.
“Membawa isu rakyat adalah strategi yang lebih baik untuk memenangi undi penyokong Pas, bukannya rundingan dengan pimpinan yang secara jelas telah menemui jalan buntu,” tegas beliau.
KEPUTUSAN PH MUKTAMAD, AGIHAN KERUSI TAK LIBATKAN PAS
Keputusan PH muktamad, agihan kerusi tak libatkan Pas
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau maklum berkaitan warkah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa parti itu tetap berunding dengan PAS.
Bagaimanapun, katanya, parti-parti Pakatan Harapan, termasuk PKR terikat dengan beberapa kenyataan berkaitan perundingan kerusi pilihan raya.
“Sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) boleh membuat gesaan untuk membuka rundingan dengan PAS, hakikatnya HARAPAN telah membuat keputusan dan keadilan (PKR) sendiri terikat dengan keputusan Pakatan Harapan.
“Hampir dua tahun gesaan DSAI (Anwar) dan rundingan dengan PAS dibuat oleh beberapa pimpinan PKR namun tidak sampai kepada rundingan pembahagian kerusi.
“Pimpinan PAS sendiri mengumumkan akan bertanding lebih 100 kerusi parlimen termasuk (kerusi PKR) di Gombak, Permatang Pauh dan Lembah Pantai,” kata Saifuddin kepada Malaysiakini.
Beliau berkata PAS telah meletakkan syarat-syarat, malah sebelum parti itu mahu terlibat dalam rundingan dengan PKR.
“Manakala pimpinan (PKR) yang berunding dengan PAS pula memaklumkan bahawa PAS letak syarat jangan usik kerusi PAS, pimpinan PKR jangan turun berkempen di Kelantan dan lain-lain lagi sebagai syarat untuk PAS sedia bincang dengan PKR,” kata beliau.
Dengan latar yang sedemikian, Saifuddin berkata HARAPAN akan meneruskan rundingan kerusi, mengagihkan kerusi PAS di kalangan empat parti komponen gabungan itu.
“Dalam proses ini semua kerusi PAS turut dibuat tuntutan oleh semua parti tanpa kecuali. Masih ada pertindihan tuntutan antara parti dan ada yang telah bersih tidak bertindih.
“Yang bertindih sedang diselesaikan secara bilateral dan trilateral. Langkah ini bertepatan dengan keputusan majlis presiden HARAPAN yang tidak lagi berurusan dengan PAS.
“Adalah sukar untuk PKR membuat rundingan dengan PAS soal pembahagian kerusi kerana proses yang sedang berlangsung hanya melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan,” kata Saifuddin yang terlibat rundingan kerusi itu.
Setakat ini, Saifuddin berkata HARAPAN telah selesai pusingan pertama rundingan untuk kerusi parlimen di semenanjung Malaysia dan kesemua parti telah menyatakan kerusi yang dituntut untuk ditandingi.
“Apakala selesai rundingan kerusi bertindih parlimen, keadilan dan parti-parti dalam HARAPAN akan teruskan dengan kerusi-kerusi dewan undangan negeri di setiap negeri. Kerusi-kerusi ditandingi PAS akan turut diagihkan,” kata beliau.
Saifuddin berkata pesan yang ingin disampaikan beliau adalah di sebalik gesaan untuk berunding dengan PAS, para pemimpin yang mewakili PKR merundingkan kerusi dalam HARAPAN perlu meneruskan tugasan itu tanpa mengambil kira ‘faktor PAS’.
“Masa makin suntuk. Langkah yang lebih realistik adalah bekerja dalam kerangka HARAPAN,” kata beliau.
Saifuddin berkata PKR komited dengan rangka kerja HARAPAN dan keputusannya berkenaan rundingan kerusi di antara parti-parti komponen.
Beberapa minggu ini, PKR menyaksikan perpecahan berlaku di kalangan kumpulan yang setuju rundingan lanjut bersama PAS dengan kumpulan yang menentang tindakan itu.
Di sebalik perbalahan itu, majlis presiden HARAPAN yang turut dianggotai presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pakatan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS.
Bagaimanapun warkah Anwar Sabtu lalu menggesa supaya pintu rundingan sentiasa dibuka untuk PAS.
Beliau turut menyatakan kepedulian terhadap perundingan dengan PAS boleh memperlahankan persediaan pilihan raya HARAPAN yang katanya bermaksud PKR perlu bersatu dan bertindak pantas.
‘REAL POLITIK’ ADALAH PERTANDINGAN 3 PENJURU – KIT SIANG
‘Real politik’ adalah pertandingan 3 penjuru – Kit Siang
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berpandangan Pakatan Harapan perlu berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru termasuk di Selangor dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
“DAP dan pemimpin Pakatan Harapan mesti menghadapi realiti politik yang akan berlaku pertandingan tiga penjuru yang melibatkan Pas, walaupun di Selangor, dalam PRU14.
“Realiti politik yang dihadapi inilah sebabnya semakin besar peluang Pakatan Harapan akan dapat mengalahkan Umno-BN walaupun dalam pertarungan tiga penjuru untuk membawa perubahan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan Kerajaan Negeri Johor untuk kali pertama dalam sejarah negara kelak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog Kopitiam di Batu Pahat semalam.
Ahli Parlimen Gelang Patah ini juga berkata, beliau meramalkan jika terdapat 10% pengundi Melayu dan 5% pengundi bukan Melayu dari Umno-BN menyokong PH dalam RPU14 berbanding PRU13, maka kemungkinan besar ujarnya, PH akan mampu membentuk kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri Johor.
Jelasnya lagi, pada pilihan raya umum 2013, Pas hanya memperoleh 22% sokongan pengundi di Negeri Johor, tetapi majoriti sokongan terhadap Pas datang daripada sokongan DAP dan PKR.
“Pas tidak dapat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam 10 pilihan raya umum dari 1959 hingga 1999, dan memenangi kerusi Dun yang pertama di Johor pada pilihan raya umum 2004.
“Tetapi Pas dilihat seperti menang tiket loteri kerana ia menang secara tidak langsung kerana calon Umno hilang kelayakan pada pilihan raya 2004 ketika itu.
“Pas memenangi dua kerusi Dun pada 2008 dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri di Johor pada pilihan raya umum 2013, sebahagian besarnya mendapat sokongan DAP dan PKR.
“Saya percaya jika berlaku pertandingan tiga penjuru di Johor dalam PRU14, Pas tidak akan memenangi satu kerusi Dun di Johor dan peratusan undi yang ditonjolkan dalam negeri oleh calon Pas akan berkurangan antara 5% hingga 8 %,” ujarnya.
Kit Siang berkata, perubahan peratusan itu boleh berlaku kerana beliau tidak percaya, majoriti pengundi Pas akan bersetuju dengan sokongan politik Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak, yang terkait dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membawa Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrat.
Katanya lagi, untuk mencapai kemenangan bagi Pakatan Harapan masih belum terlewat untuk menarik dan menyakinkan 3.5juta ahli Umno bahawa Najib perlu disingkirkan untuk menyelamatkan Malaysia dari negara kleptokrat.
Dalam pada masa sama ujarnya lagi, perlu diberi penerangan kepada sejuta ahli Pas bahawa sokongan Hadi terhadap Najib dan kleptokrasi globalnya adalah sesuatu yang Nik Aziz, Fadhil Noor atau Yusuf Rawa tidak akan pernah menyenangi atau menyokongny