‘HATI-HATI PROPAGANDA BN, PEMIMPIN DATANG 5 TAHUN SEKALI’ – AMANAH
Naib Presiden Amanah, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus percaya dalam menghadapi PRN Sarawak yang sedang berlangsung sekarang ini, kerja-kerja semakin banyak dan tidak sepadan dengan kemampuan Amanah yang baharu berusia lapan bulan.
Oleh itu, beliau menyeru kepada jentera pilihan raya Amanah agar teruskan perancangan dan pengorbanan dengan meninggalkan satu ruangan yang besar dalam hati bahawa Tuhan akan menentukan segalanya.
“Tuhan akan memberi kejayaan kepada kita.
“Lapangkan dada, jangan bersedih, urus perbezaan pendapat dgn baik, jangan berkecil hati kerana ia akan menutup pertolongan Tuhan,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, AJK Amanah Nasional, Mazlan Aliman berkata, apapun yang dilalui rakan-rakan gabungan Pakatan Harapan, khususnya PKR dan DAP, ia tidak sesekali merencatkan fokus Amanah untuk memberi saingan sengit dan tidak memberi laluan mudah kepada BN.
“Jangan terpedaya dengan perang propaganda BN samada melalui media dan penggunaan IT. Ingat, BN adalah parti yang sangat korup dan menindas rakyat.
“Pemimpinnya sedang bersandiwara hanya 5 tahun sekali untuk mempertahankan kuasa pemerintahan melalui umpan dan janji manis mereka.
“Selepas pilihanraya, hakikatnya, rakyat terus di abaikan. Derita dan sengsara terus berpanjangan tanpa kesudahannya,” tegas beliau.
Mazlan menggesa para petugas dan sukarelawan yang sedang berkampung di 13 Dun yang ditandingi Amanah, agar meneruskan kempen memenangi hati pengundi seperti motto ‘Amanah, Progresif, Peduli’.
Tegas beliau lagi, kesatuan dalam Amanah dan Pakatan Harapan wajar dikekal dan diperkasakan.
“Perpaduan ini sangat mahal harganya meskipun ada cubaan memecahbelahkannya samada oleh musuh dan individu yang mempunyai agenda peribadi,” ujarnya.
Bagi pemimpin yang dihalang masuk ke Sarawak dan mereka yang tidak berkesempatan ke sana, Mazlan mengajak mereka membantu dan memberi sumbangan dalam bentuk kewangan sebanyak mungkin demi kelancaran kempen dan gerakerja.
PRN Sarawak tegas beliau adalah antara ujian awal dan besar maknanya buat Amanah dan Pakatan Harapan.