DAP menganggap seruan agar umat Islam sepakat menolak parti itu dengan menggunapakai hujah bersifat perkauman amat memalukan dan terlalu naif bagi seorang pemimpin ulama seperti Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Penolong Setiausaha DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata, Abdul Hadi gagal memahami keutamaan apabila negara yang kini berhadapan dengan rasuah melibatkan pemimpin nombor satu negara, sebaliknya beliau menyeru orang Melayu melawan orang Cina dalam DAP.
“Beliau seakan-akan masih berada di bawah tempurung dan terus mengelamun dalam dunianya sendiri.
“Apa yang diserukan oleh Hadi agar umat Islam sepakat menolak DAP dengan meggunapakai hujah bersifat perkauman pada saya amat memalukan dan terlalu naif.
” Ini seolah-olah membawa makna, Pas kini telah menemui teori baru bahawa agenda paling utama untuk menyelamatkan Malaysia bukanlah lagi melawan skandal rasuah, korupsi dan pengkhianatan Najib terhadap rakyat sebaliknya melawan DAP.
“Nada seruan Hadi ini mirip sekali nada yang dilaung-laungkan selama ini oleh Umno dan NGO ultra rasis seperti Perkasa.
“Mereka telah lama menjadikan perkara ini sebagai senjata. Anehnya, dahulu (sewaktu bukan Hadi menjadi Presiden Pas) Pas bersama membantu menangkis serangan ini. sekarang berbeza, Pas turut serta memetik picu menembak DAP. ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sheikh Omar merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi pada Selasa lalu yang berkata, umat Islam di Malaysia perlu bersatu menentang dan mengagalkan rancangan DAP yang dikategorikan sebagai parti sekular daripada memerintah negara ini.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, majoriti orang Cina dalam DAP tidak mempunyai hak untuk membentuk kerajaan yang memerintah, kerana orang Islam melebihi bilangan orang Cina di negara ini
Sheikh Omar menganggap Najib dan angkatannya sudah kehilangan perisai untuk berselindung dari dihujani persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat.
Ditambah dengan serangan bertubi-tubi Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepimpinan akar umbi serta ahli Umno sendiri, langkah terbaik bagi Najib adalah membina skrip baru – menjadikan DAP sebagai musuh nombor satu negara demi menyelamatkan bahtera Umno yang diambang karam.
“Barangkali, jika pembangkang merasakan inilah masa paling ranum untuk membina ‘grand coalition’ dikalangan rakyat menolak Najib dan memperbetulkan semula sistem bernegara Malaysia, mungkin bagi Hadi inilah masanya untuk pulun suara orang Melayu-Islam berjihad menentang Cina-kafir DAP,” ujarnya.
Tambah Sheikh Omar lagi, di pihak Umno pula peluang mensensasikan penampilan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir dan pemimpin senior DAP Lim Kit Siang yang telah sama-sama menandatangani Deklarasi Rakyat pada 4 Mac 2016 lalu juga merupakan usaha untuk membantutkan gelombang kemarahan rakyat terhadap dirinya.
“Mendapatkan Hadi dan menjadikan Pas sebagai rakan sekutu (walaupun tidak sekapal) dapat mengukuhkan lagi skrip untuk menjadikan DAP sebagai musuh nombor satu negara dan ‘parti kafir’ yang wajib ditentang oleh umat Islam seluruh dunia!
“Najib tahu, menguasai Pas menerusi Hadi tidaklah sesukar berhadapan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz. Jika tidak, masakan di era kepimpinan Hadi dalam Pas terbitnya ‘seruan jihad’ kepada umat Islam agar menolak DAP.
“Namun pada saya seruan Hadi adalah suatu kesilapan besar yang mencalarkan imej beliau sendiri dan parti Islam. Ia seolah-olah memperlihatkan Islam sebagai suatu agama yang menyeru kearah prejudis dan menyemarakkan api perkauman sempit antara rakyat.
“Lebih malang lagi, beliau sebagai seorang individu yang berstatus ulama gagal menyeru rakyat khususnya umat Islam agar menjadi agen kepada kerukunan negara yang sebenar berteraskan roh kebenaran, keadilan dan silaturrahim tanpa mengenal warna kulit sepertimana yang digagaskan oleh Islam.
“Tidak perlulah kita ungkapkan kembali dosa dan kezaliman yang telah dilakukan oleh Umno terhadap tokoh-tokoh pejuang tanah air, termasuklah ahli-ahli parti Hadi sendiri yang pernah dipenjara, ditembak mati dan sebagainya.
“Semoga kita dapat melihat sesuatu yang benar itu sebagai kebenaran dan diberi kekuatan untuk mengikutinya. Dan melihat sesuatu yang batil itu sebagai kebatilan dan dikurniakan kemampuan untuk menjauhinya.” jelasnya.