JAM 930 MALAM INI.
DULU DI KEDAH, KINI SUDAH MEREBAK KE JOHOR
Satu-satunya pemimpin UMNO yang ternampak masih rasional dan berani mengakui wujudnya cabaran besar berikutan penggantungan jawatan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin ialah Menteri Besar Johor, Khaled Nordin.
Saya akui keputusan itu menjadi cabaran besar bagi kami di Johor dan saya percaya UMNO perlu bekerja lebih keras, katanya lagi.
Sementara yang lain masih khayal dengan kenyataan-kenyataan ampu, bodek dan puji yang menggambarkan sudah "kenyang termakan dedak" atau dengan harapan diberikan lebih banyak lagi "tambahan dedak" berbanding mahu melihat realiti yang sebenar di depan mata.
Hanya beberapa hari setelah penggantungan Muhyiddin, tanda-tanda cabaran besar yang dibimbangi Khaled itu sudah muncul di Johor dan dipercayai akan terus membesar dari semasa ke semasa.
Jika sebelum ini pengguguran Mukhriz Mahathir menyebabkan banyak lambang BN diterbalikkan di Kedah sebagai tanda protes, sekarang ini perkara yang sama sudah berlaku juga di Johor.
Sama seperti Kedah, perubahan mungkin semakin sukar dielakkan di Johor. Dengan pembangkang sudah mempunyai 18 daripada 56 kerusi DUN, segala-galanya tidak mustahil berubah dalam pilihanraya akan datang ekoran ketidakadilan yang dimangsakan terhadap Muhyiddin. (SH 28/02/2016).
Modul baharu JPA rugikan bakat muda negara
28 Februari 2016 oleh Fatih Hassan Nordin
KUALA LUMPUR 28 FEB: Kerajaan UMNO BN digesa menyemak semula keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menukar modul biasiswa kepada pinjaman boleh ubah jika peminjam bekerja di sektor kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menyifatkan ia tidak masuk akal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata tindakan JPA yang hanya membenarkan 100 peratus pinjaman penuh dikecuali jika seseorang itu bekerja dalam sektor kerajaan, merugikan bakat tenaga muda.
“Peranan sektor swasta sama penting dengan sektor kerajaan. Untuk keluar dari kepompong gaji-kelas pertengahan, ekonomi Malaysia harus pantas berubah kepada pengetahuan-intensif dan ekonomi berteraskan inovasi.
“Mengikut sistem baharu JPA, kita akan membiarkan pelajar JPA yang berbakat, yang mungkin melakukan penyelidikan hebat dan membolehkan ia dikomersial, terpaksa membayar balik biasiswa itu disebabkan dia memulakan perniagaan, bukannya bekerja di sektor swasta,” katanya.
Mengikut model baharu itu, pelajar yang bekerja di sektor kerajaan 100 peratus pengecualian bayaran balik pinjaman, manakala mereka yang bekerja di sektor GLC perlu membayar 50 peratus manakala yang bekerja di sektor swasta terpaksa membayar keseluruhan pinjaman.
Bee Yin berkata, model itu harus disasar kepada graduan yang mencapai prestasi baik dari segi akademik mahupun bukan akademik kerana ia lebih efektif dan adil berbanding sistem baharu itu, malah tidak merugikan wang pembayar cukai.
“Mengikut polisi baru JPA, pelajar yang memperoleh CGPA 2.8 tetapi tidak bekerja di sektor swasta, dan hanya menunggu untuk sektor kerajaan dapat pelepasan tetapi pelajar yang memperoleh CGPA tinggi tetapi bekerja dalam sektor swasta, terpaksa bayar semula.
“Terma dan syarat pinjaman boleh ubah itu tidak wajar kerana ia akan mengakibatkan wang pembayar cukai digunakan untuk menanggung pelajar tidak berpotensi,” katanya pada kenyataannya hari ini.
Beliau berkata, kewujudan agensi kerajaan, Talen Corp yang melaksanakan program Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR) bercanggah dengan tanggungjawab JPA, sekaligus mengakibatkan pembaziran dana kerajaan.
“Sukar dibayangkan, Talen Corp melakukan sebaliknya. Melalui program STAR membantu pelajar tajaan kerajaan untuk bekerja di syarikat sektor swasta “sebagai cara untuk menyumbang balik kepada kerajaan”.
“Tetapi mengapa pula JPA mewajibkan pelajar tajaannya bekerja di sektor kerajaan sedangkan STAR melakukan sebaliknya? Kenapa buat dua kerja? Kenapa rugikan wang pembayar cukai untuk Talen Corp sedangkan JPA boleh melakukannya,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan menyemak semula keputusan itu untuk memastikan setiap bakat muda diberi hak saksama untuk mencapai potensi mereka.
“Untuk Malaysia menjadi berdaya saing di arena antarabangsa, kita harus segera menguruskan bakat yang ada dengan baik,” katanya.
Cybertrooper Umno ubah artikel Forbes fitnah Guan Eng
28 Februari 2016
KUALA LUMPUR, 28 FEB: DAP yang sering kali dijadikan sasaran fitnah oleh media milik UMNO BN, kali ini sekali lagi menjadi mangsa berikutan penyebaran fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tersenarai kononnya antara 50 individu terkaya di Malaysia.
Mengutuk keras penyebaran fitnah yang jelas berniat jahat itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia dipalsukan daripada senarai yang disiarkan majalah Forbes dan diubah secara tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan Ahli Parlimen Bagan itu.
“Saya melakukan carian pantas dan mendapati ia diubah dari artikel Forbes, 50 Individu Terkaya di Malaysia, dan kesemua senarai itu betul, kecuali di kedudukan ke-22, bukannya Guan Eng, tetapi Lim Wee Chai,” katanya pada kenyataan media semalam.
Menurutnya, Guan Eng tidak tersenarai pun dalam kedudukan itu, malah beliau bukan antara 500 atau 5,000 atau 50,000 orang terkaya di Malaysia, tetapi cybertrooper UMNO sanggup merendahkan martabat mereka sendiri untuk mencipta fitnah keji tersebut.
Malah, katanya, fitnah mereka sama seperti pembohongan kononnya Israel memberi derma RM1.5 bilion kepada DAP untuk membina pangkalan tentera laut di Port Dickson, kononnya ada resolusi DAP untuk menjadikan Malaysia “negara Kristian”, dan kononnya beliau (Kit Siang) berada di Kuala Lumpur dan mengetuai perarakan 13 Mei 1969 – yang mana semua itu tidak berasas dan palsu belaka.
Sehubungan itu, Kit Siang membidas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang didakwa mengamalkan dwi-standard dengan tidak menghiraukan penyebaran bahan palsu seumpama itu walaupun ia jelas satu fitnah yang tidak berasas.
Sedangkan, kata beliau lagi, portal berita The Malaysian Insider (TMI) yang mengeluarkan artikel atau berita yang sahih berkaitan salah laku yang dilakukan pemimpin tertinggi UMNO BN pula dikenakan tindakan keras sehingga menyaksikan laman itu disekat aksesnya.
“Pengalaman DAP dengan SKMM sering mengecewakan, walaupun banyak laporan sudah dibuat kepada SKMM terhadap penyebaran berita fitnah dan berbahaya oleh media milik UMNO, tidak ada sebarang tindakan diambil agensi itu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai sekatan terhadap TMI, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, kerajaan seharusnya meraikan kebebasan bersuara dan tidak menyekat amalan demokrasi di negara ini.
“Kerajaan UMNO BN tidak sepatutnya mengambil tugas dengan menentukan untuk rakyat Malaysia apa yang betul, separuh betul, fitnah dan pendapat untuk membuat pengadilan sendiri, sebaliknya harus terus jujur dan setia terhadap jaminan hak Perlembagaan untuk setiap rakyat Malaysia,” katanya. – Roketkini.com
HUSAM SERTAI KEMPEN ‘SELAMATKAN MALAYSIA’
Husam sertai kempen ‘Selamatkan Malaysia
Pidato sempena pelancaran Kempen Selamatkan Malaysia di Kulai malam tadi menyaksikan Datuk Husam Musa terus mengingatkan rakyat tentang masalah kepimpinan di negara ini.
Selain kepincangan di pihak rejim Umno-BN yang diketahui umum, bekas Naib Presiden Pas itu di depan hampir 1,000 hadirin turut mengkritik kepimpinan partinya yang pada masa ini diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Al-Quran datang kerana membetulkan masalah kepimpinan. Dalam Al-Quran nabi berhadapan pemimpin yang rosak dan bersifat diktator.
“Nabi Musa tidak jadi penasihat Firaun. Nabi Musa sampaikan mesej kepada Firaun yang memperhambakan Bani Israel. Nabi Musa tidak segan, tidak gerun,” tegasnya serentak disahut teriakan ‘Haji Hadi’ oleh beberapa hadirin di dewan Hotel Creator.
Lebih berterus-terang, Husam menyebut tentang kepentingan istiqamah atau usaha berterusan untuk melakukan perubahan yang berbeza dengan pendekatan kepimpinan Pas yang dilihat lunak terhadap Umno-BN.
“Empat negeri kita ‘goncang’ (Kelantan, Johor, Kedah dan Sabah) Insya Allah. Istiqamah. Macam mana? Bukan istiqamah jadi penasihat. Istiqamah (ada) macam-macam. Saya ahli Pas tapi berbeza pendirian dengan pimpinan akhir-akhir ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan gejala tidak boleh menegur pemimpin yang wujud dalam Pas pasca pemergian Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tahun lalu seolah-olah menyamai sikap Umno.
“Saya mahu Islam dilihat indah lebih baik dari sistem lain. Kalau Pas tak boleh ditegur, Umno tak boleh ditegur, Pas dua kali lima,” ujarnya dalam pidato selama 30 minit itu yang turut sempat memuji pendekatan politik berhemah dan bersama dengan hasrat rakyat oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu pada sesi dialog seterusnya, peranan Pas penting dalam usaha melakukan perubahan bagi menyelamatkan Malaysia daripada kepincangan kepimpinan Umno-BN.
“Maafkan saya kerana menegur. Bahkan dalam Islam wajib menegur. Kalau tidak tegur berdosa. Pas nak tumbang, tongkat Umno, nak buat macam mana. Kalau Pas tidak mahu berubah, kita jalan terus,” ujarnya menjawab soalan salah seorang peserta.
Sehubungan itu, beliau turut berharap kepemimpinan Pas berani mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin yang bercanggah dengan prinsip parti dan landasan Islam.
“Pemimpin yang buat kenyataan cauvinis, rasis bercanggah dengan dasar Islam mesti diambil tindakan. Islam mengatasi batasan kaum,” tambahnya lagi sambil berterus-terang menyebut nama Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Untuk rekod, Ahli Jawatankuasa Pas itu pada Muktamar Majlis Amal lslami Malaysia (MAIM) 2016 di Masjid Wilayah Persekutuan, 25 Februari lalu berkata, perlu ada kerjasama antara Pas dan Umno bagi menangani kerusi marginal iaitu di kerusi yang pengundi Islam antara 30 hingga 60 peratus kerana kerusi berkenaan yang menyebabkan kemungkinan DAP menang dalam pilihan raya.
Forum berkenaan turut disertai dua lagi panel iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman, manakala moderator ialah Timbalan Presiden Isma, Aminuddin Yahaya.
REFORMASI TOTAL: ‘MUHYIDDIN CONTOHILAH ANWAR’ – RAFIZI
Reformasi total: ‘Muhyiddin contohilah Anwar’ – Rafizi0
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memimpin gerakan besar membabitkan semua pihak untuk melaksanakan reformasi jika ditakdirkan mengalami situasi serupa seperti apa yang dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang.
Beliau yakin Anwar akan berjiwa besar dan mengenepikan perbezaan lampau untuk mengalu-alukan sesiapa pun menyertai gerakan besar ini sementara terus kekal pada prinsip menuntut reformasi dan perubahan sistem secara keseluruhan.
Mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno (MT Umno) menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno petang semalam, beliau melahirkan rasa sedih setelah meneliti kenyataan Muhyiddin yang dikeluarkan hari ini.
“Sesiapa pun yang telah menghabiskan masa dewasanya menyumbang kepada parti yang dianggotai tidak wajar diperlakukan begitu, apatah lagi setelah beliau cuba membetulkan sesuatu yang beliau rasa adalah salah.
“Sudah tentu pihak media bertanyakan reaksi saya kepada kenyataan beliau kerana saya pantas melahirkan kebimbangan apabila Dato’ Zaid Ibrahim menyeru rakyat Malaysia bersatu menyokong Tun Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
“Antara perkara pertama yang terlintas di fikiran saya setelah membaca kenyataan Tan Sri Muhyiddin itu adalah Anwar Ibrahim. Saya terfikir tindakan bagaimana agaknya Anwar Ibrahim akan ambil dalam keadaan unik sekarang yang membuka ruang besar untuk melaksanakan reformasi (tetapi ruang itu juga penuh dengan risiko dan ketidaktentuan),” ujarnya yang mengulas atas kapasiti aktivis reformasi 1998.
Menurut Rafizi, beliau yakin Anwar akan mengambil kesempatan ini untuk membawa semua pihak di dalam satu gerakan besar menuntut perubahan dan melaksanakan idea reformasi yang beliau perjuangkan selama ini.
“Sebelum ini, beliau gigih berusaha mencari titik temu di antara pihak-pihak yang berbeza pandangan dan berlainan puak agar dapat membina kekuatan bersama memperjuangkan reformasi.
“Sebelum ini, beliau gigih berusaha mencari titik temu di antara pihak-pihak yang berbeza pandangan dan berlainan puak agar dapat membina kekuatan bersama memperjuangkan reformasi.
“Banyak perubahan dan kesedaran politik yang ada dalam masyarakat kita hari ini dimungkinkan dek kerana jiwa besar Anwar Ibrahim dan kesabaran beliau membina gerakan besar yang memberi ruang kepada semua pihak itu,” katanya.
Menurut Rafizi, rakyat kini berada di persimpangan yang unik kerana buat pertama kalinya negara berada di kedudukan kritikal apabila sebahagian rakyat sudah memahami bahawa perubahan dan reformasi dalam negara tidak boleh ditangguhkan.
Tan Sri Muhyiddin, ujar beliau menekankan keperluan mengembalikan kebebasan dan integriti kepada institusi utama di negara ini selari dengan tuntutan yang dilaungkan pembangkang selama ini.
Muhyiddin, tambah Rafizi telah menyatakan secara terbuka bahawa kuasa membuat lantikan ketua-ketua institusi utama yang kini dipusatkan di tangan Perdana Menteri mesti dirungkai.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti saya atau Pakatan Harapan. Saya tidak akan cuba bercakap bagi orang lain. Saya hanya boleh bercakap sebagai seorang aktivis reformasi yang telah bersama-sama dengan arus menuntut perubahan ini sejak 1998.
“Saya hulurkan persahabatan kepada sesiapa yang bersetuju dengan agenda reformasi yang kami bawa. Keutamaan sekarang ialah menjana kekuatan rakyat untuk menuntut reformasi yang menyeluruh dalam sistem sekarang yang banyak menindas,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan Muhyiddin untuk bersama-sama gerakan rakyat yang mahukan perubahan itu dan menghulurkan persahabatan supaya semua pihak (tidak kira latar belakang) dapat menyumbang ke arah sebuah Malaysia baru yang adil dan saksama, yang meletakkan keadilan undang-undang mengatasi kepentingan peribadi.
“Saya berharap lebih ramai rakyat biasa (tidak kira apa latar belakang) memilih untuk berbuat sesuatu supaya kita boleh menukar Dato’ Seri Najib Tun Razak dan melantik seorang Perdana Menteri baru yang bertanggungjawab kepada rakyat di bawah satu sistem baru,” ujarnya.