Catatan: Membawa cahaya ke Kampung Ulu Papar


IMG_8212
UDARA pagi yang nyaman menyapu wajah ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda itu. Sesekali kami yang berada di belakang terpaksa menutup hidung apabila kenderaan menelusur sisa-sisa tanah merah.
Pemandangan sekeliling tak ubah seperti memasuki ke kampung Melayu di Manong. Ada rumah kayu, ada rumah batu, ada warung-warung kecil dan kedai runcit begitu juga dengan bengkel kampung. Bezanya, ada gereja-gereja kecil, ada banyak anjing di depan rumah.
Setiba di kota Jeselton, nama asal bagi Kota Kinabalu, saya sudah berada dalam hutan jauh di pedalaman Ulu Papar. Jalan ke situ melalui pekan Penampang, bumi Kadazan Dusun terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar raya itu.
Jantung luruh apabila melihat keindahan sungainya yang luas ditemani pokok dan padi bukit menghijau. Terpukau dengan keindahan itu, ia seperti pernah saya impikan sejak kecil. Atau mungkin pernah melihatnya di kaca televisyen. Syurga!
Kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong, Kuala Lumpur bosan, sesak, banyak karbon monoksida, “Not adventure like here lah…” katanya sambil membetulkan duduk di sebuah batu tepi sungai. Hampir saya khayal merenung kocakan sungai.
Jimmy ramah, senang didekati dan sangat sederhana. Orang kata dia tak macam ahli politik lain. Dia aktivis! kata seorang kawan yang sungguh-sungguh mengagumi Jimmy. Dia pernah mogok lapar dan dipukul hingga membuatkan pihak berkuasa di Tawau terpaksa akur dengan tuntutannya melibatkan isu bekalan elektrik.
“Hafiz, hidup kau tak lagi flat saja… full off experience and exitement! Sini kita naik bukit, turun bukit, lompat-lompat belakang kereta, masuk kampung keluar kampung, mandi air gunung. Air sini tak sama dengan sungai sana…” kata Jimmy, ketawa kecil.
20151008_155814Saya hanya tersenyum mengangguk-angguk kepala ralit memerhati lenggok deru sungai yang makin membeku. Alangkah indahnya jika saya terbuang di sini tanpa perlu sibuk dengan media sosial, terpisah dengan dunia luar yang bingit dan hanya menguruskan kebun ubi kayu atau padi bukit.
Hari sudah santak petang. Alice, rakan sejawat baru turun ke sungai. Kawan-kawan lain ada baru hendak ke sungai, ada membantu kak Eton dan Francis memasak. Malam nanti katanya akan ada sebuah ‘persembahan magik!’
Jarak antara pekan Penampang dengan Kampung Pongobonon, Ulu Papar sekitar 20 kilometer dari pekan Penampang. Tetapi, kami menempuh perjalanan dua jam setengah untuk tiba dengan empat kenderaan pacuan empat roda akibat laluan tanah merah berlopak, tidak stabil dan berbatu-batu.
Mungkin jika tiada projek penanaman getah berkelompok, perjalanan kami akan mengambil masa lebih lama, antara tiga hingga empat jam. Mungkin jadi ‘sangat-sangat adventure‘.
Dengan projek penanaman getah berkelompok kerajaan itu, akses jalan tanah merah elok sedikit dari sebelumnya apabila traktor dan jentolak digunakan untuk meratakan tanah supaya mudah lori balak keluar masuk mengambil balak yang sudah ditebang bagi menyediakan tanah bagi anak getah pula.
“Pedalaman sudah kurang hutan. Kalau ada pun semua hutan sekunder,” kata Ayong masa berbual dengan Julian yang bertubuh lampai yang menjadi pelatih di Tonibung.
Patutlah tak nampak pokok-pokok besar. Paling-palingpun sebesar dua, tiga pemeluk, itupun tidak banyak. Yang lain hanya pokok-pokok hutan yang masih mentah dan pokok-pokok jenis palma, mungkin pokok rumbia yang tak laku.
Tak tahu bagaimana projek penanaman getah berkelompok akan menguntungkan penduduk kampung dan siapakah yang mengambil laba dari balak yang ditebang untuk menyemai anak getah – itulah yang saya, Ayong dan Julian bualkan hampir sepanjang perjalanan dua jam 30 minit sambil terlompat-lompat di belakang kenderaan pacuan empat roda.
Kira-kira separuh perjalanan, kami merentas anak sungai kecil berbatu. Kawasan itu ada beberapa kain rentang dan sepanduk dengan mesej “Hentikan Projek Empangan Kaiduan”, “StopKaiduan Dam” dan lain-lain yang mencela pihak yang memusnahkan syurga kecil itu.
Lewat sungai itu, kenderaan kami dipandu lebih perlahan, jalannya curam, berbecak dan lebih kecil.
“Sini lori tak masuk sebab itu jalan lagi teruk…” kata Ayong.
“Hmmm. Tengok sana habis semua…. Tinggal semak saja,” sampuk saya.
“Kalau dari satelit, memang nampak semua hijau…” kata Ayong.
“Main tipu itu bah,” tambah saya.
Daerah itu menjadi panas apabila kerajaan BN Sabah bersetuju membina Empangan Kaiduan bernilai RM2.8 bilion yang diluluskan pada 13 April 2009. Bagaimanapun, ia mendapat bantahan keras dari kumpulan sivik dan masyarakat Orang Asal.
Mengikut laporan bulan lalu, kerajaan mahu meneruskan projek itu atas alasan untuk menampung keperluan air yang mendesak. Bermakna, seluruh kawasan melibatkan sembilan kampung, akan tinggal kenangan manakala penduduk asal dipaksa meninggalkan tanah warisan nenek moyang mereka.
“Jadi pertanian kelompok itu seperti tindakan buffer (penampan) sebelum semua proses untuk melaksanakan Empangan Kaiduan siap sepenuhnya…?” soal saya.
“Nampaknya begitulah,” kata Julian.
Sepanjang perbualan dengan masyarakat setempat, pertanian berkelompok biasanya melibatkan isu sensitif, lebih sesuai dipanggil skandal melibatkan syarikat tempatan yang ada pertalian dengan agensi kerajaan. Ia tidak hanya melibatkan pertanian berkelompok tetapi juga pembalakan haram.
Saya percaya, masih banyak kawasan hutan di Sabah belum diwarta sebagai hutan simpan dan ada keresahan kuat bahawa hutan itu bakal digantikan menjadi hutan sawit sahaja.
Selepas mungkin 20 atau 30 tahun, ‘hutan-hutan sawit’ itu akan berubah menjadi hutan-hutan konkrit. Tanah berstatus pertanian akan ditukar kepada status komersil. Harganya melonjak dan sudah tentu kerajaan akan mendapat kutipan cukai lebih banyak.
IMG_2542Sebelum tiba di Kampung Pongobonon, kami berhenti makan tengah hari di salah sebuah rumah penduduk yang juga pusat komuniti masyarakat setempat di Kampung Buayan.
Kelilingnya ditanam pokok tembakau, jambu, betik, rambutan. Cuaca panas meruap tak mematahkan semangat walaupun lutut berasa longgar akibat terlompat-lompat di belakang kenderaan pacuan empat rodai.
Merasa juga saya masakan kampung masyarakat Dusun. Nasi ulam dan kerabunya dimakan dengan sup ayam dan beras padi bukit yang ditanam sendiri.
Sembat berbual dengan bekas JKKK kampung, Mositol Sondigon yang berusia 64 tahun. Katanya segala kemudahan percuma, bukan kerana diberi kerajaan tetapi diusahakan NGO. Kemudahan air menggunakan sistem paip air graviti manakala elektrik menggunakan sistem mikro hidro.
Kampung itu terhampar antara bukit dan lembah di pinggir Sungai Ulu Papar. Ia istimewa dengan kewujudan Sekolah Kebangsaan Buayan yang dibina tanpa akses jalan raya. Jarak antara rumah penduduk dan sekolah itu sekitar 300 meter sahaja.
Jadi, kami berjalan kaki menadah terik matahari. Biasanya, jika ada menteri datang melawat kampung, mereka naik helikopter manakala orang kampung terpaksa mengusung motorsikal mereka di jalan tanah merah.
Masa berkunjung ke sekolah itu, sempat bertemu beberapa guru. Rumah mereka hanya seberang padang sekolah. Masa cuti sekolah, mereka berehat santai tak berbaju sambil merokok. Saya bersembang dengan mereka.
Ada seorang guru dari Terengganu yang sudah berkhidmat 15 tahun. Tanpa menyebut namanya, saya bertanyakan pendapatnya tentang Kampung Buayan. Dia kata dia suka. ‘Tenang’.
“Macam mana dengan jalan cikgu?” soal saya.
“Itu kami memang dah biasa. Tak ada masalah…” katanya tersenyum. Mungkin tidak mahu mengulas panjang memandangkan kami bawa logo ‘Roket’.
IMG_8263Sebenarnya, DAP tiada masalah memasuki kampung pedalaman Sabah. Mereka sentiasa terbuka walaupun ada saja pihak cuba mengeruhkan suasan dengan melontarkan sentimen, DAP parti Malaya (semenanjung). Hakikatnya, DAP parti Malaysia.
Kami kemudian berangkat ke Kampung Pongobonon kerana perlu memasang khemah. Perjalanan ke pedalaman kampung itu bertujuan melihat kejayaan pemasangan sistem mikrohidro oleh NGO Tonibung dengan bantuan modal insan dari Impian Sabah supaya rumah orang kampung tidak lagi bergelap, malah dapat memperoleh elektrik percuma.
Namun, bukan sekejap orang kampung tunggu bekalan elektrik. Jika Tonibung dan Impian Sabah tidak masuk, mungkin penduduk tidak sempat menikmati kemudahan elektrik kerana air Empangan Kaiduan telahpun menenggelamkan semuanya sekali.
Kejayaan itu usaha keras Adrian Lasimbang yang menerajui Tonibung sejak penubuhannya pada 1991. Ia giat memberi perkhidmatan dan pendidikan kepada penduduk pedalaman melibatkan pembangunan modal insan dan kemudahan asas.
“Kos tak mahal tapi hairan kenapa kerajaan tak boleh buat?” kata Adrian.
“Kalau belum jadi kerajaanpun boleh buat, kalau jadi kerajaan lagi macam-macam boleh buat,” tambah Jimmy.
“Baiklah kita mulakan sekarang,” kata Adrian
“Satu, dua, tigaaa….yyeeaahh!” semua bertepuk tangan. Lampu di atas kepala kami di rumah pam bercahaya.
IMG_2511Jimmy memetik suis. Malam yang gelita kemudian diterangi lampu, bermula dari rumah pam kemudian rumah tuan tanah dan di tapak kem. Inilah ‘magik’ NGO Tonibung bersama Impian Sabah membawa cahaya buat penduduk kampung itu.
“Sistem janakuasa akan beri elektrik kepada 12 rumah sekitar sini,” kata Adrian.
Dari rumah pam, kami kembali ke tapak kem dengan menyeberang titi gantung, makanan sudah tersedia secara gotong royong, sup ayam, tumis ikan masin, ayam bakar, beberapa jenis kerabu, dua jenis nasi menjadi santapan kami malam itu.
Paling tidak boleh dilupa ialah keenakan ‘ikan polian’ dalam bahasa tempatan atau ikan kelah segar dari sungai Ulu Papar.
Bukan semua orang boleh ambil ikan di sungai itu, asal sahaja ia di Tagal, perlulah dapat kebenaran penduduk. Jika tidak, boleh didenda Jabatan Pertanian atau secara tradisi, boleh disoget (didenda) – biasanya dengan seekor babi atau kerbau.
Usai makan, Jimmy dan beberapa ahli jawatankuasa DAP Sabah masuk ke rumah bersebelahan kem bersama yang lain untuk beramah mesra dan memberi penerangan. Beliau duduk bersila di tengah-tengah, dikelilingi penduduk kampung.
Gayanya yang spontan dan sederhana itu begitu mencuri perhatian.
“Kita sudah lama di sini. Kita sendiri tengok, parti-parti tempatan di Sabah datang dan pergi sesuka hati mereka. Yang penting bagi mereka ialah kuasa. Lepas dapat kuasa mereka diam-diam di sana.
Tak sama macam kita Roket, DAP. Kami datang terus masuk ke kampung-kampung berjumpa tuan-tuan….” kata Jimmy.
Asap rokok daun berhembus-hembusan. Sempat saya menyibuk di dapur melihat proses perahan tapai ubi yang telah diperam beberapa minggu lalu.
“Ubi-ubi direbus, dimasukkan dalam baldi ni, tabur yis. Biar beberapa minggu…” kata seorang makcik.
“Air yang mula-mula keluar itulah dipanggil ‘lehing’, sesuai juga buat ubat demam…” kata Francis yang memerah tapai. Baunya tak ubah seperti tapai ubi yang dibungkus dalam daun getah yang dijual di gerai Melayu di kampung. Proses pengeramannya sama sahaja.
Seperti mana-mana perkhemahan, tak lengkap jika tanpa lagu. Kebetulan Adrian, Alice dan Joe Lugai-Lugai boleh bermain gitar. Kami bersuka-ria malam itu dengan menyanyi dan bersembang politik hingga ke pagi.
Suara kami malam itu mengiringi deruan sungai dan salakan anjing di hutan memecah keheningan malam sehingga santak dua pagi.
Esok, ada tugas lain di Kampung Teriang. Entahlah bila lagi akan ke sini? Mungkin, suatu masa akan datang, mungkin beberapa tahun lagi, saya hanya mampu melawat sebuah empangan raksasa yang menelan segala memori manis saya di syurga kecil ini.

SANTAI HARI MINGGU - MENGHAYATI ANTARA CEBISAN SEJARAH DUNIA


Presiden Tunisia, Zine El Abidin Ali tersungkur oleh revolusi rakyat.  Bersamanya ialah wanita pertama Tunisia, Laila Trabelsi yang melarikan diri ke luar negeri.  

Gaya hidup dia yang gila-gila mewahnya, sedangkan rakyat umumnya dalam kancah kemiskinan adalah antara faktor tumbangnya Presiden tersebut.

Emelda Marcos atau nama sebenarnya Imelda Remedios Visitacion Trinidad Romualdez menjadi wanita pertama Filipina mulai 30 Disember 1965 sehingga 25 Februari 1986.  

Isteri kepada Presiden Ferdinand Marcos itu terkenal sebagai seorang yang suka mencampuri urusan negara sewaktu suaminya menjadi Presiden. Bayangkan sewaktu menjadi isteri Presiden, dia juga adalah seorang ahli Parlimen bagi kawasan IV-A Filipina (12 Jun 1978 hingga 25 Februari 1986), Ambassador Plenipotentiary and Extraordinary (1978–1986) dan Menteri Pembinaan Insan (1978-1986).  

Sebagai wanita pertama dia sudah memiliki segalanya, termasuk seorang Presiden di dalam genggamannya. Apa lagi yang diperlukannya dengan memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan?

Dia sangat mewah berbelanja menggunakan wang kerajaan. Misalnya membeli belah di New York, Rome dan Copenhagen pada 1983 dengan RM5 juta dollar. Membeli hartanah di Manhattan, antaranya Crown Building 51 juta dollar dan Herald Centre bernilai 60 juta dollar. Nafsunya untuk membeli koleksi barangan mewah tidak dapat ditahan, dia akan berbelanja besar setiap kali ke luar negeri. 

Setiap kritikan rakyat terhadap tingkah lakunya dijawab dengan selamba bahawa, itu adalah tugasnya untuk memberi cabaran positif atau memotivasi golongan miskin. 

Iyalah, mungkin golongan miskin akan lebih teruja berusaha menjadi kaya dengan melihat kemewahannya.  Selepas kejatuhannya, dia menjadi bualan dengan pendedahan koleksi kasut mewahnya sebanyak 2,700 pasang tersimpan rapi di istana tinggalannya.
Seorang lagi wanita pertama yang suka menyibuk mencampuri urusan kerajaan pimpinan suaminya ialah Elena Ceausescu, isteri diktator Rumania Nikolai Ceausescu. 

Sewaktu suaminya sedang menakah karier politik, dia juga tidak ketinggalan membina karier politiknya sendiri. Bermula 1972, dia memegang pelbagai jawatan penting dalam Parti Komunis Romania. 

Pada Jun 1973 dia muncul sebagai orang kedua terpenting dalam heiraki parti selepas suaminya, menjadi penasihat utama partinya dalam isu isu antarabangsa.

Pada tahun 1980, dia menjadi Timbalan Perdana Menteri Pertama, sewaktu saminya menjadi Presiden Romania. Gandingan Nikolai dan Elena menjadi sangat berkuasa, melakukan pelbagai penindasan terhadap rakyat. 

Senarionya sama dalam pemerintahan mana mana diktator, di mana presiden dan kroni adalah kaya raya sewaktu rakyat dihimpit kemiskinan.

Revolusi rakyat Romania 1989 berjaya menjatuhkan rejim Nikolai. Elena dan suaminya ditangkap di Targoviste, dibicarakan lalu dijatuhi hukuman mati. Dia dan suaminya sehidup semati, terbukur kaku bersebelahan di sisi bangunan selepas ditembak. 

Dia semasa hayatnya mungkin tidak seghairah Emelda dalam membelanjakan harta rakyat untuk barangan mewah, tetapi dia sibuk mencampuri urusan pentadbiran suaminya.

Farah Diva Pahlavi adalah permaisuri kepada raja Iran, Shah Mohd Reza Pahlavi. Seperti juga wanita utama bagi mana mana diktator, dia muncul sebagai watak pemboros menghabiskan duit negara. 

Majlis penabalannya sebagai Permaisuri era Iran moden tahun 1967 menelan belanja 10 juta dollar, angka yang cukup besar pada masa itu.

Dia seorang yang sangat meminati seni budaya, menghabiskan duit yang banyak untuk menganjurkan pelbagai program kegemarannya itu. Dia mempunyai pekerja yang ramai untuk menjayakan apa apa program yang selaras dengan kehendaknya. 

Kehidupan diraja mereka sangat mewah, sedangkan rakyat bawahan tidak terbela. Mana mana rakyat yang bangkit menentang kerajaan akan menerima padah seksaan dari perisik Savak.

Akhirnya Revolusi Iran berjaya mengusir Shah, Farah serta seluruh keluarga diraja mereka. Mereka pernah hidup mewah di istana tetapi menjadi pelarian di beberapa buah negara.

Laila, Emelda, Elena, & Farah Diva adalah antara nama nama besar di sisi suami mereka yang dianggap diktator. Sifat utama mereka ialah boros dan sibuk mencampuri urusan suami selaku ketua kerajaan.

Artikel ini adalah petikan daripada laman Facebook Suara Tun Suara Rakyat dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa di negara kita yang tercinta dan aman permai ini sama ada yang pernah berkuasa, sedang berkuasa,  bakal habis kuasa atau mereka yang sedang mengejar kuasa.

Kata orang, sejarah ialah guru yang tidak pernah menipu dan belajar daripada sejarah adalah pedoman yang bermanfaat kepada sesiapa saja. (SH 27/12/2015).