SHAH ALAM - Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak boleh terus mengunci mulut terhadap dakwaan yang dilemparkan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang mendakwa Hadi merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor dan menuntut presidennya itu menafikan dakwaan itu sekiranya ia tidak benar.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, Presiden Pas itu perlu menjawab dakwaan terhadap dirinya itu secepat mungkin bagi mengelakkan isu persepsi terus menebal.
Oleh: Pukul Canang
Ulasan: Keengganan Pas untuk membincangkan idea menandatangani kerjasama antara parti itu dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor akan hanya akan memberi masalah kepada Menteri Besar Azmin Ali pada jangka panjang.
Pada 10 November lalu, Pengerusi Biro Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Samad mencadangkan Pas yang enggan menyertai PH agar menandatangani satu perjanjian kerjasama rasmi dengan pakatan memerintah Selangor.
Perjanjian yang berakhir sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri terbubar itu adalah perkara biasa dalam kerjasama politik di negara-negara maju Eropah. Di mana parti-parti yang bersaing sentiasa tidak mendapat cukup kerusi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Parti-parti akan membentuk kerajaan campuran untuk memerintah pusat mahu pun negeri.
Perjanjian dilakukan agar urusan pentadbiran berjalan lancar. Perkara-perkara yang diutamakan adalah dasar-dasar bersama. Tanpa perjanjian maka dasar bersama sangat kabur dan parti-parti mungkin bertelingkah apabila keputusan penting ingin diambil.
Tidak mahu berstrategi
Tindakan Pas ternyata tidak menghiraukan strategi politik sedemikian. Malah alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden parti itu Tuan Ibrahim Tuan Man kelihatan dangkal sama sekali.
Alasan Pas tidak akan bekerjasama dengan Amanah dan telah memutuskan hubungan dengan DAP terlalu bodoh untuk diterima rakyat. Sekiranya alasan itu digunakan maka Pas perlu sedar diri dan segera meninggalkan kerajaan Selangor. Mereka tidak mempunyai apa-apa sebab untuk kekal di kerusi exco dan meneruskan pemerintahan seperti biasa.
Sebaliknya, perjanjian kerjasama yang dicadangkan itu boleh menyelamatkan air muka Pas. Parti itu akan diiktiraf secara rasmi sebagai sekutu. Dalam pemberitaan media, kerajaan Selangor akan dikenali sebagai kerajaan campuran PH dan Pas atau PH + Pas.
Tidak ada faedahnya Pas terikat dendam setelah ditinggalkan pemimpin Amanah. Mereka mengakui falsafah ‘politik adalah seni serba kemungkinan’. Apa sahaja boleh berlaku, termasuk kerjasama parti itu dengan Umno.
Azmin guling Wan Azizah?
Oleh itu, sepatutnya mereka tidak ada masalah menerima kedudukan lebih rendah daripada ahli Pakatan Rakyat sebelum ini. Sekutu rasmi lebih baik berbanding kedudukan yang tidak pasti sekarang.
Kekuatan Pas kerana faktor Azmin Ali berasa terhutang budi kepada Presiden Hadi yang mencadangkan namanya sebagai Menteri Besar.
Pas juga yakin Azmin mempunyai cukup penyokong dalam PKR untuk menggulingkan Dr Wan Azizah sebagai presiden dalam pemilihan sekiranya presiden bertegas mahukan kerajaan PH di Selangor. Namun keyakinan itu bukanlah selama-lamanya. Dalam keadaan Anwar di penjara, Azmin tidak boleh mencabar Wan Azizah dalam pemilihan parti tahun 2016.
Simpati penyokong terhadap Dr Wan Azizah tinggi dan beliau dilihat mampu mempertahankan kedudukan. Azmin sekiranya berbuat sedemikian maka beliau terpaksa mengosongkan kerusi Timbalan Presiden dan tempat itu akan diganti oleh pemimpin lain seperti Rafizi Ramli atau Nurul Izah.
Sekiranya senario Azmin tanpa jawatan tinggi dalam parti menjadi kenyataan maka dalam pilihan raya umum ke 14, andainya Pakatan Harapan menang maka Azmin tidak lagi menjadi MB dan Pas akan ditendang secara rasmi dari pakatan Selangor.
Adakah pemikir Pas, Dr Zuhdi Marzuki dan ‘empat doktor dari UKM’ telah berfikir ke arah itu atau mereka masih berfantasi Pakatan Rakyat masih hidup di Selangor?
Pas tidak matang
Menurut dakwaan sumber dalaman, pemimpin PKR semakin berbulu terhadap presiden Pas. Mesyuarat kerjasama dua hala PKR – Pas yang diadakan tidak mampu menyelesaikan hal-hal berbangkit kerana tidak dihadiri Presiden Hadi. PKR tidak mahu keputusan yang dibuat akhirnya diveto oleh Hadi sebagaimana sebelum ini.
Adakah politik tidak matang seperti itu mahu ditonjolkan terus-menerus oleh Pas? Rakyat bosan dengan pemerintahan BN yang sering berdolak dalih dalam isu 1MDB dan dana akaun Najib RM2.6 bilion. Kini rakyat mempunyai satu kebosanan lain, iaitu sikap tidak konsisten pemimpin Pas.
Pas semakin dilabelkan sama seperti Umno. Tidak boleh dipercayai serta tidak kredibel. Dalam situasi Selangor, untuk terus mendapat kepercayaan pengundi dalam pilihan raya umum akan datang Pas perlukan satu pakatan.
Tidak ada kerugian sekiranya Pas bekerjasama di Selangor. Pas negeri memang tidak akan menuntut hudud dikuat kuasakan di di negeri itu atau mengharamkan arak serta judi seperti di Kelantan. Halangan yang wujud hanyalah resolusi Muktamar Pas ke 61 yang memutuskan kerjasama dengan DAP.
Terma ‘kerjasama’ itu ditafsirkan terhad pada peringkat parti dan bukannya kerajaan negeri. Mustahil Pas Selangor kekal sebagai exco sekiranya mereka tidak mahu bekerjasama dengan DAP di peringkat kerajaan. Bagaimanakah pemimpin Pas bermesyuarat dengan pemimpin DAP tanpa wujud kerjasama?
Dendam bukan pilihan
Kebodohan dan dendam bukanlah pilihan dalam politik. Dibuktikan di mana-mana bahagian dunia parti yang tidak mahu melupakan masa silam dan tidak pragmatik akan ditinggalkan oleh rakyat. Rakyat mengundi untuk kesejahteraan bukannya ingin beremosi dan meneruskan dendam pemimpin-pemimpin Pas yang jumud.
PKR mendapat pengajaran pahit dalam PRU 2004, apabila kalah teruk di seluruh negara kerana mengutamakan isu Anwar. Rakyat meninggalkan mereka dan Anwar.
Pada 2008 PKR membawa isu keadilan untuk semua kaum dan mereka mendapat keyakinan yang amat tinggi dari pengundi bukan Melayu. Sekiranya Pas tidak mahu mengambil pengajaran dari sejarah itu maka mereka akan mengulangi nasib PKR pada PRU akan datang.
Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suarapakatandaily