Ucapannya
yang antara lain mengingatkan mengenai sumpah Ahli Parlimen untuk
berkhidmat kepada rakyat, gesaan mengisytiharkan harta bagi menteri,
timbalan menteri dan Ahli Parlimen kepada sebuah badan bebas dan saranan
menangguhkan perlaksanaan cukai GST, tidak lain merupakan reaksinya
yang jujur, bukan saja berdasarkan pengalamannya tetapi juga keadaan
semasa dalam negara.
Walaupun
ada yang mengkritik Ku Li atas ucapannya termasuk mengatakan ia hanya
retorik, sudah terlambat, melabelnya sebagai ahli politik lama yang
ketinggalan zaman dan ada juga memberi gambaran seolah-olah beliau tidak
memahami GST, hakikatnya beliau berani memberikan pandangan serta
tegurannya.
Sama
ada kerajaan mahu menerima atau mengabaikan saja semua teguran itu,
yang penting Ku Li telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memperbaiki
lagi imej kerajaan di mata rakyat.
Berkenaan
pengisytiharan harta yang disarankannya kepada sebuah badan bebas yang
dipilih oleh Parlimen, ia akan membantu menaikkan imej kerajaan
berbanding amalan sekarang di mana para anggota pentadbiran kerajaan
hanya membuat pengisytiharan kepada Perdana Menteri saja.
Tetapi dalam konteks amalan yang ada sekarang, Perdana Menteri mengisytiharkan hartanya kepada siapa?
Dengan
adanya sebuah badan bebas yang diwujudkan itu, semua anggota
pentadbiran kerajaan serta Ahli Parlimen, baik daripada kerajaan mahupun
pembangkang diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing dan ini
secara langsung membantu kewibawaan dan ketelusan sebagaimana yang
diinginkan oleh rakyat masa kini.
Begitu
juga dengan perlaksanaan GST dan ke mana wang cukai itu bakal
disalurkan, apa yang disuarakan oleh Ku Li adalah kebimbangan umum yang
boleh didengari serta dipekatakan di mana-mana.
Soal
GST baik untuk negara dan mampu menambah sumber kewangan negara
bukanlah soal utama tetapi yang menjadi kerisauan ialah sejauh mana ia
bakal menambahkan lagi beban kewangan rakyat, terutama golongan
berpendapatan rendah.
Dalam
keadaan ekonomi tidak menentu, ringgit menjunam dan kos sara hidup kian
meningkat, kebimbangan Ku Li tentunya ialah perlaksanaan GST akan
merobekkan lagi poket rakyat.
Ini
kerana sudah kedengaran beberapa perkhidmatan dan barangan akan
meningkat harganya apabila GST dilaksanakan seperti bil utiliti,
tuisyen, ubat-ubatan, hiburan dan sebagainya dan semua ini mampu
meningkatkan lagi suhu badan mereka yang berpendapatan rendah.
Sebagai
bekas Menteri Kewangan, Pengerusi Bank Dunia, IMF, Bank Pembangunan
Asia, Pengasas Petronas dan puluhan jawatan lain di peringkat
antarabangsa dan dalam negara, mengatakan kritikan dan saranannya agar
ditanggguhkan perlaksanaan GST seolah-olah beliau tidak faham mengenai
GST barangkali amat keterlaluan dan tidak masuk akal sama-sekali.
Hanya
kerana pandangannya sedikit berbeza dengan kerajaan, cemuhan tidak
sewajarnya dilontarkan kerana Ku Li sekurang-kurangnya sudah memberi
peringatan mengenai kesan tidak baik yang bakal dihadapi nanti.
Selebihnya
terpulanglah kepada kerajaan menilainya, terutama kemungkinan kemuncak
kesan GST itu kepada rakyat bertembung dengan tarikh pilihanraya umum
akan datang. (SH 18/03/2015)