Laporan dari sumber dalaman PAS mendakwa puak profesional parti itu
seolah-olah kepanasan melawan puak Unity Government (UG) yang berusaha
menyingkirkan mereka dalam Muktamar pemilihan Jun depan.
Kempen
puak UG yang dianggotai para ustaz kini telah menyerap dengan mantap ke
peringkat akar umbi. Perwakilan PAS yang akan pergi ke muktamar dan
memilih pemimpin kelak terdiri daripada ketua dan AJK peringkat kawasan
yang kebanyakan dari ahli parti berlatarbelakangkan agama.
Sejak
beberapa bulan lalu wujud kempen agar seboleh-bolehnya kesemua jawatan
tertinggi; Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan AJK Pusat
adalah daripada kalangan ustaz.
Langgar profesional
Puak
profesional seboleh-bolehnya dihadkan hanya memegang jawatan di
peringkat kawasan hingga ke bawah. Kempen inilah yang menakutkan
golongan profesional.
Apatah lagi puak profesional tidak
mempunyai ketua. Mat Sabu, Khalid Samad, Husam Musa, Mujahid semuanya
menolak untuk mengetuai cabaran puak profesional. Husam yang terkenal
dengan sikap ‘play safe’ lebih gemar menyerang PasMa bagi menunjukkan
dirinya pro ulama.
Mat Sabu walaupun tidak sebulu dengan puak UG
tetap tidak mengeluarkan kenyataan keras ke atas Hadi yang mengaitkan
pilihan raya PBT dengan rusuhan 13 Mei walaupun hujah itu mengarut dan
dibidas penyokong Pakatan Rakyat.
Salahudin Ayub lebih senang
menjadi pengekor Hadi dan sekali-sekali cuba bersikap adil terhadap
PasMa. Mujahid anak bekas Presiden PAS, tidak mahu menjadi
ulama/profesional pertama yang mewaraskan puak Hadi.
Akhirnya PAS
bergerak di landasan yang tidak normal sama seperti Umno yang dituduh
mereka tidak normal kerana melawan Islam dan hak asasi manusia sebelum
ini.
Hujah mengarut
PAS pergi kepada
isu-isu perkauman untuk menarik sokongan. Menggunakan stail ketagih
kontroversi ala Mustafa Ali. PAS ditadbir oleh Hadi – Mustafa
sebagaimana Dr Mahathir mentadbir Umno suatu ketika dahulu.
Puak
UG gagal faham kehendak rakyat yang mengundi mereka. Bahawa mereka tidak
boleh berlagak seperti pemimpin Umno. Umno menguasai jentera negara dan
boleh melakukan apa sahaja. PAS apa yang ada?
Sebaik PAS ditolak
pengundi dalam PRU maka ahli politik mereka akan menjadi pendebat kedai
kopi. Sekurang-kurangnya ahli politik Umno yang kalah di Selangor dan
Pulau Pinang masih berkuasa dan dilantik ke pelbagai jawatan di
peringkat pusat.
Inilah perkara yang puak profesional perlu
sedarkan perwakilan PAS ke muktamar nanti. Puak UG telah membawa mereka
ke arah yang salah.
Malangnya, puak profesional gagal melantik
pemimpin. PasMa tidak ikut dalam pemilihan Muktamar. Alasan puak
profesional kononnya mereka tidak mahu PAS berpecah. Bagaimanakah yang
dikatakan tidak berpecah apabila Hadi terang-terangan telah menghalau
ahli PAS yang pro PasMa keluar parti? Sedangkan PasMa adalah NGO pro PR
dan bukan pesaing PAS.
Baru-baru ini, puak profesional telah
mendapatkan khidmat penganalisis politik untuk menilai tahap sokongan
mereka di muktamar Jun nanti. Hasil kajian itu mendapati profesional
akan dijadikan sate oleh puak UG dalam pemilihan kerana kelemahan gerak
kerja kempen mereka.
Profesional kalah
Lebih
memburukkan keadaan kebanyakan Ketua dan AJK Kawasan adalah individu
yang tidak berfikiran terbuka. Tidak seperti pemimpin PKR dan DAP atau
parti-parti Islam di Indonesia yang dibenar berfikiran bebas, para ustaz
ini dikhuatiri ‘walak tidak berbelah bahagi’ kepada Hadi dan puak UG.
Kenyataan
Hadi mengaitkan pilihan raya PBT dengan 13 Mei adalah bukti penting
bahawa mereka menerima apa sahaja pemikiran presiden walaupun pada tahap
yang mengarut dan tidak berfakta. Tidak ada seorang pun pemimpin PAS
yang sanggup menegur kecuali cikgu Ishak Surin, Yang DiPertua PAS Batu.
Dilaporkan
sebahagian puak profesional PAS mula menyerah kalah dan menganggap PAS
sudah hancur lebur. Sementara sebahagian lagi masih mahu mencuba
mewaraskan pendirian para perwakilan terhadap realiti politik Malaysia.
Bagaimanapun, jika bergantung kepada hasil kajian puak profesional telah pun ‘kalah’ sebelum Muktamar bermula.
Banyak pihak mengucapkan syabas kepada Yang DiPertua PAS Batu cikgu
Ishak Surin kerana berani menyangkal kenyataan Hadi kononnya pilihan
raya PBT akan menyebabkan berulangnya tragedi rusuhan kaum 13 Mei.
Bukan
calang-calang orang yang berani menyanggah hujah Hadi yang dianggap
suci. Menyanggah adalah ‘melangkah walak’ dan perbuatan yang sangat
bersalahan dalam parti itu.
Jawatan Presiden PAS yang agak
terbuka pada zaman Fadzil Noor kini tidak boleh dikritik pada zaman
Hadi. Majlis Syura Ulama yang lebih banyak menasihatkan PAS kini
melaksanakan kuasa perlembagaan, menjadi kuasa pemutus yang tidak
demokratik.
Potensi kalah
Majlis Syura
tidak sedar mereka bukan berfungsi seperti mana di Iran yang termaktub
di bawah perlembagaan negara. Majlis Syura PAS jika membuat keputusan
yang bertentangan dengan hasrat rakyat akan ditolak dalam pilihan raya
dan tokoh politik PAS kembali menjadi rakyat biasa yang tidak dihiraukan
sesiapa selepas PRU 14 nanti.
Menyedari potensi PAS akan kalah
dan ditolak oleh pengundi, veteran PAS cikgu Ishak Surin mengambil
tanggungjawab untuk menjadi tidak popular. Beliau menegaskan pilihan
raya PBT sangat diperlukan di Kuala Lumpur. Beliau juga menegaskan
rusuhan kaum tidak akan terjadi kerana pilihan raya itu. Jika benar ia
boleh berlaku maka rusuhan telah pun tercetus pada hari pilihan raya
umum lalu.
Cikgu Ishak paling berhak mengeluarkan kenyataan
sedemikian kerana sebahagian besar hayat beliau dihabiskan di Kuala
Lumpur. Hadi mungkin tidak melihat suasana kempen PRU 13 di kawasan
parlimen Batu yang diwakili Tian Chua.
PAS, DAP, PKR dan NGO
seperti satu keluarga mengangkat Tian sebagai YB penggal kedua di Batu.
Penduduk Islam kawasan itu amat senang dengan Tian yang boleh ke
surau-surau dan masjid mengambil tahu hal ehwal mereka.
Untuk
apakah rakyat merusuh jika pemimpin popular seperti itu menang pilihan
raya? Penduduk kota mengutamakan efisiensi dan bukannya bangsa. PAS
sekiranya ingin mengambil undi Cina boleh sahaja meletakkan calon
berbangsa Cina untuk menjadi Datuk Bandar.
Bagi Ishak, Hadi dan
puak UG keterlaluan. Mereka memainkan isu seolah-olah penyokong dan ahli
PAS tidak mampu berfikiran rasional. Berontak cikgu Ishak bermula sejak
sebulan lalu apabila Harakah yang mana beliau salah seorang pengasasnya
ingin dikuasai oleh puak UG dan menggunakan Setiausaha Agung PAS
Mustafa Ali menekan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi agar bersara awal.
Letak jawatan
Sedangkan
beberapa staf Harakah sebelum ini yang enggan melaksanakan arahan atau
enggan bertukar jabatan dibiarkan selama bertahun-tahun. Mustafa tidak
pula bertindak ke atas mereka. Hanya kerana Lutfi mengamalkan kebebasan
media dan menyiarkan berita berkaitan Anwar Ibrahim dan lain-lain yang
tidak menguntungkan UG maka ketua pengarang itu didesak meletak jawatan.
Mustafa
yang suatu ketika dahulu pada 1990an agak pro Anwar dan menolak berita
yang merugikan Anwar kini terbalik bertukar watak dengan Lutfi yang
suatu ketika dahulu anti Anwar.
Ishak yang sama-sama mengasaskan
Harakah kini akan menongkah arus demi untuk memastikan PAS kembali ke
zaman sederhana di bawah Fadzil Noor suatu ketika dahulu.
Hanya
yang diharapkan oleh cikgu Ishak ialah kebangkitan puak profesional
untuk mewaraskan parti. Ishak bukan PasMa yang awal-awal lagi dianggap
penderhaka, sama seperti puak profesional PAS yang tidak menentang
parti. Apa yang mereka mahu adalah PAS kembali ke aliran perjuangan
asal, bukannya dikuasai agenda Umno.
Hero pembaharuan
PAS
wajar menjadi parti yang menegakkan Islam yang luas dan jangan sama
sekali terpengaruh dengan dakwah Islam nasionalisme Umno yang sempit.
Tidak
mengapalah jika Hadi ingin terus menutup pintu kepada PR atau puak UG
ingin bersama Umno, puak profesional boleh membentuk parti baru seperti
Recip Tayib Erdogan yang meninggalkan parti Refah yang jumud dan
membentuk AK parti di Turki.
Politik adalah seni dinamisme. Puak
UG berkata dinamisme serupa prakmatisme iaitu mengambil perkara buruk
dan baik untuk disatukan.
Tibalah masanya puak profesional PAS untuk berkata tidak!
Cikgu
Ishak telah mencetuskan gelombang, diharapkan puak profesional akan
menyambutnya. Sekiranya Mat Sabu atau Husam takut untuk membawa
perubahan, apa salahnya Cikgu Ishak diangkat sebagai hero pembaharuan
PAS buat sementara.
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu sebuah pilihan raya pihak
berkuasa tempatan (PBT) dikembalikan di Kuala Lumpur, menyifatkan
langkah berkenaan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Majlis
Tindakan Kuala Lumpur (Bertindak) berpendapat, pilihan raya PBT ialah
satu platform bagi rakyat menyuarakan hak mereka dan ia tidak
bertentangan dengan Perlembagaan seperti didakwa pihak tertentu.
"Pilihan
raya ini ialah satu cara rakyat menentukan haknya. Ia tidak bercanggah
dengan Perlembagaan kerana hak rakyat ditentukan dalam Perlembagaan,
sepertimana juga hak berhimpun dan menyatakan pendapat.
"Semua
itu termaktub dalam Perlembagaan. Kalau kita menuntut diberikan hak
menentukan nasib kita, ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan," kata
pengerusinya, Ishak Surin pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari
ini.
Penganalisis politik dilaporkan semalam menyifatkan
perjuangan DAP yang mahu melaksanakan pilihan raya PBT di Pulau Pinang
sebagai mencabar keputusan mahkamah, sekali gus menentang Perlembagaan.
Dekan
Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti
Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, Mahkamah
Persekutuan pada Ogos tahun lepas memutuskan kerajaan Pulau Pinang tiada
bidang kuasa mengadakan pilihan raya PBT.
"Keputusan mahkamah
berdasarkan kepada Peruntukan Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976
yang menggariskan dengan jelas larangan kepada kerajaan tempatan untuk
mengadakan pilihan raya mereka sendiri," katanya kepada Bernama.
Ishak
yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu itu berkata, sejak pilihan
raya PBT digantung pada 1965, warga Kuala Lumpur dirampas hak memilih
wakil ibu kota mereka sendiri.
Katanya, dengan penafian hak
pilihan raya tersebut, warga kota tidak dapat melakukan semak dan imbang
terhadap pentadbiran, pembangunan dan hal yang berkaitan dengan Datuk
Bandar Kuala Lumpur.
“Apa yang kita hadapi selama ini ialah
pentadbiran dan perancangan pembangunan Kuala Lumpur yang sehala,
mendera rakyat kecil dan kerap kali sangat tidak bertimbang rasa.
“Sudah tiba masanya kami menuntut warga Kuala Lumpur diberikan hak memilih wakil mereka bagi mentadbir bandaraya ini,” katanya.
Pilihan
raya PBT pernah diadakan di bandar besar sehingga ia ditangguhkan pada
Mac 1965 berikutan Peristiwa Konfrontasi Malaysia-Indonesia ekoran
kegawatan hubungan dua negara dan suasana tempatan yang tegang.
Ia
akhirnya dimansuhkan sama sekali 11 tahun kemudian dengan lulusnya Akta
Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan Akta Pilihanraya Kerajaan
Tempatan 1960.
Ishak berkata, isu yang mendesak bagi sebuah
pilihan raya PBT diadakan di Kuala Lumpur ialah peruntukan bajet 2015
bagi Kuala Lumpur (RM2.44 bilion) yang lebih tinggi daripada Selangor
(RM2.42 bilion).
“Persoalannya, bagaimanakah wang yang begitu
besar ini dibelanjakan? Apakah warga Kuala Lumpur tidak berhak
mengetahuinya sedangkan mereka pembayar cukai?
“Di Selangor,
negeri besar, orang banyak, bajet kurang tetapi mereka boleh beri rakyat
mereka pelbagai kemudahan. Air percuma 20 meter padu, pergi universiti
diberi duit, orang meninggal diberi duit.
“Saya pergi ke rumah
pangsa di Batu Muda, mereka tanya bila kita akan dapat air percuma? Saya
kata, air percuma kita akan dapat bila ada pilihan raya wakil di Kuala
Lumpur,” katanya.
Mengulas penolakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang
terhadap pilihan raya PBT, Ishak mengatakan ia kerana presiden PAS itu
tidak menerima maklumat sebenar.
Ishak tidak setuju dengan
kenyataan Hadi yang mendakwa pilihan raya PBT akan mencetuskan peristiwa
rusuhan kaum 13 Mei berulang kerana pilihan raya persekutuan dan negeri
membuktikan sebaliknya.
“Bagi saya, Hadi mungkin tak dapat
maklumat sebenar. Kalau dapat pun, mungkin maklumat negatif. Mana
mungkin boleh timbul soal perkauman.
"Kami di Bertindak diwujudkan bagi membanteras perkauman sempit. Sudah sampai masa kita memandang ke depan.
"Kalau
ditakdirkan pilihan raya ini boleh menimbulkan kacau bilau kaum,
mengapa pilihan raya negeri dan persekutuan tiada kekacauan?” katanya.
P/S: Semoga cikgu Ishak boleh mewujudkan gerakan baru dalam
PAS untuk lebih mewaraskan parti itu. Berbekalkan isu Harakah, cikgu
Ishak boleh mengumpul sokongan untuk menolak S/U Agung Mustafa Ali dan
menyingkirkan puak UG yang berselindung di belakang Hadi.
Senioriti cikgu Ishak dan jasa cikgu sebaris dgn Hadi. Maka
cikgu blh memimpin golongan yg sudah jelek dengan permainan puak UG
dalam PAS yang mahu jd musuh dalam selimut dan api dlm sekam kepada PR.
Mereka suka PAS ditolak rakyat dalam PRU 14 dan balik semula di pondok-pondok atau berdebat di kedai kopi seperti 1980an dulu.