Hujah 13 Mei, PAS kembali ke zaman Asri Muda?

 Oleh : Jebon

Banyak pihak terkejut dengan hujah Presiden PAS Hadi Awang kononnya pilihan raya majlis tempatan akan membawa negara ke kancah huru-hara.

Berkata Hadi: "Pilihan raya majlis perbandaran seperti diperjuangkan DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihanraya dalam jangka yang sangat pendek.

"Apatah lagi apabila kita melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar.”

Hadi menegaskan pilihan raya itu hanya mengutamakan kaum Cina dan bukan ke semua kaum. Insiden tersebut, katanya, akan mencetuskan keganasan antara kaum.

"Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar.

"Yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi 'api dalam sekam' untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara," kata beliau.

Betapa jauhnya hujah Hadi menyimpang daripada realiti politik semasa. Malah jauh menyimpang daripada dasar PAS sejak kepimpinan ulama mengambil alih parti itu.


Hujah menyeleweng

Sejak 1990an, kepimpinan Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat menentang perkauman. Bagi Nik Aziz keimanan diutamakan. Islam didahulukan sebelum Melayu. Kerana itu Nik Aziz membenarkan salah seorang pemimpin PAS Kelantan berbangsa Cina Annuar Tan bertanding di DUN Kota Lama, Kota Bharu.

Bagaimanakah untuk menyesuaikan hujah Hadi bahawa pilihan raya majlis tempatan hanya akan menguntungkan Cina di bandar? Bukankah PAS juga menempatkan calon etnik Cina bertanding di kawasan Cina dan India di kawasan India dalam pilihan raya umum lalu?

Hujah Hadi menyeleweng daripada perjuangan parti itu apabila mahukan Datuk Bandar dilantik. Bukankah hujah yang sama  dimainkan Umno untuk mengekalkan sistem lantikan terus majlis tempatan, iaitu bagi membolehkan orang Melayu menduduki kerusi Datuk Bandar di kawasan penduduk Cina.

Bagi PAS, sejak 20 tahun lalu mereka lebih senang menempatkan Cina atau India yang menjadi ahli parti atau ahli kelab penyokong untuk bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu kerana percaya hanya individu dari sesuatu kaum yang tahu adat resam dan buadaya kaum berkenaan.

Dasar sederhana yang diperkenalkan sejak era Presiden PAS Fadzil Noor memimpin parti itu kini mahu dijungkir balik oleh Hadi yang berfahaman ekstrem. Fahaman ini akan membawa PAS ke era 1970an. Iaitu keadaan selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Ketika itu, demi menyelamatkan Melayu, Yang Di Pertua PAS Asri Muda membawa parti itu bersekutu dengan BN. Persekutuan ini hanya bertahan selama kurang 7 tahun sebelum Umno menendang PAS dengan muslihat licik pada 1978.

Persekongkolan Umno-PAS atau percubaan ke arahnya amat ditentang keras oleh Nik Aziz, Yusof Rawa dan Fadzil Noor. Hal itu yang menyebabkan PAS dijenamakan semula pada 1980an sebagai parti yang mendahulukan Islam berbanding kaum. Perjuangan Islam juga dipakejkan dengan amalan pentadbiran telus, akauntabiliti dan efisen di Kelantan.

Namun dalam setahun ini, Hadi menghancurkan semua yang dibina oleh generasi terdahulu. Kepercayaan etnik Cina dan India kepada PAS diperolehi secara sangat sukar dengan penubuhan CCC pada era Fadzil Noor. Sehinggalah saga Anwar Ibrahim membantu PAS pada 1998.

Keadaan kembali merosot apabila Hadi mengisytihar negara Islam pada 2003 dan PAS kalah teruk pada PRU 2004. Cina dan India kembali mempercayai PAS apabila Anwar bangkit semula menjelang PRU 2008. Nik Aziz dijadikan jaminan PAS tidak akan menyeleweng.

Kini, PAS masuk ke zaman pasca Nik Aziz. Masyarakat berbilang kaum mengharapkan kepimpinan Hadi akan lebih baik, atau sekurang-kurangnya meneruskan apa yang telah diasaskan oleh Fadzil dan Nik Aziz. Malangnya PAS kembali ke era belum kenal gabungan politik. PAS mahukan pemerintahan yang hanya berpaksikan parti itu semata-mata. Hadi menggunakan terlalu banyak Majlis Syura Ulama ketika krisis perlantikan MB Selangor.


Lunas demokratik

Sedangkan majlis syura ini tidak digunakan untuk memveto keputusan pada zaman Fadzil. Puak profesional PAS ketika itu menarik komitmen bukan Islam dengan hujah setiap pemimpin PAS telah diasuh dengan budaya demokrasi dan dipilih secara demokratik untuk menjadi pemimpin. Masakan pemimpin  itu mengetepikan demokrasi sekiranya mereka memerintah negara.

Terbukti hari ini Hadi bertindak tidak mengikut lunas demokratik. Beliau mahukan Malaysia bergerak seperti Iran, majlis syura menentukan segala-galanya. Terdapat pengawal republikan yang memastikan rakyat membuat apa yang dibenarkan oleh pemerintah sahaja.

Tidak mungkin rakyat Malaysia akan menerima cara pemerintahan seperti ini. Cara Hadi hanya boleh dicapai melalui revolusi, sebagaimana revolusi Iran. Dan tentunya revolusi seperti itu jika dipimpin PAS tidak akan mendapat sambutan bukan Islam.

Jadi, adakah pilihan lain bagi Hadi? Peluang nampaknya boleh diraih dengan kerjasama bersama Umno yang inginkan Hudud di Kelantan. Tetapi adakah Umno mahukan Islam sepenuhnya? Jika mahu menukar Malaysia menjadi Iran tentu sekali Umno yang pertama akan melancarkan muslihat untuk menumpas dan memenjarakan pemimpin PAS.

PAS tidak akan ke mana-mana dengan politik yang tanpa arah ini. Pakatan Rakyat tentunya tidak sebulu dengan parti itu dan Umno BN juga akan mengkhianati mereka jika bergabung sebagaimana era 1970an.



Bagi ahli PAS, mereka harus sedar agenda yang mahu dibawa oleh golongan di sekeliling Hadi ini.




Jika pada dua dekad lalu Melayu menolak PAS dan menjadikan pemimpin parti itu tukang debat kedai kopi, PRU ke 14 akan menyaksikan pemimpin PAS menghuni kedai kopi semula jika kenyataan-kenyataan yang kurang rasional terus dikeluarkan mereka.


DAP iktiraf puak Erdogan di Kelantan, bukan UG

 WEBMASTER

Ketika Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berbalas serangan dengan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke melalui kenyataan media masing-masing, sekumpulan pemimpin pertengahan parti Islam itu dari Kelantan yang diketuai Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah mengadakan mesyuarat dengan pemimpin DAP di Kuala Lumpur bagi membawa bantuan banjir ke Kelantan.

Bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu berbincang dengan Loke, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong di sebuah kelab di ibu negara bagi membolehkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu membantu mangsa banjir di Kelantan.

Inilah bentuk perhubungan antara DAP dan PAS sejak kebelakangan ini. DAP boleh berbaik-baik dengan sesetengah pemimpin PAS tetapi saling serang menyerang dengan sesetengah pemimpin lain parti Islam itu.

Ini berikutan perbezaan pemikiran di kalangan pemimpin PAS yang semakin ketara sejak kebelakangan ini - antara bekerjasama penuh dengan PR manakala sebahagian lagi mula menjauhkan diri daripada gabungan itu ekoran kegawatan dalam isu pertukaran menteri besar Selangor dan kini isu hudud, pilihan raya kerajaan tempatan dan akan datang ialah persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Loke yang membuat 2 kenyataan media bertulis menyerang Mustafa berkata, beliau sudah 5 kali ke Kelantan sejak banjir besar melanda negeri itu pada 22 Disember lalu.

"Kami hantar 15 kontena barangan yang bernilai kira-kira setengah juta ringgit dan RM270,000 wang  ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir.

"Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP pula menghantar RM1.1 juta ke Kelantan bagi membantu mangsa," kata Loke kepada The Malaysian Insider selepas berbincang dengan Wan Rahim pada Rabu malam di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur.

Jelas, DAP sudah memilih kawannya dalam PAS. Mereka dilihat tidak boleh bekerjasama secara erat dengan sesetengah pimpinan PAS dinamakan kumpulan Unity Government (UG) yang disokong kumpulan ulama namun dapat berbincang dengan baik dengan sekumpulan pemimpin lain pula iaitu kumpulan profesional atau Erdogan.

Mereka tidak begitu rapat dengan pimpinan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yakub yang dikira kumpulan pro ulama namun pada masa sama mereka sangat senang bekerjasama dengan Wan Rahim dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Pada 31 Januari ini, DAP bersama badan bukan kerajaan (NGO) dari Kuala Lumpur dijangka ke Dewan Perhimpunan Cina Kota Baru bagi melancarkan fasa kedua bantuan mereka kepada mangsa banjir di Kelantan.

Ia bakal menjadi kunjungan ke Kelantan kali keenam bagi Loke dan kelima untuk Penasihat DAP Lim Kit Siang yang juga dijadualkan hadir ke majlis pelancaran "Impian Kelantan" itu.

Ia dilakukan sebagai lanjutan projek 'Impian Sabah' dan 'Impian Sarawak' sebelum ini.

Pada majlis itu, DAP meminta bukan pimpinan utama kerajaan negeri (menteri besar atau timbalan menteri besar) yang menyertai majlis ini kerana kedinginan hubungan antara mereka tetapi wakil kerajaan negeri bertaraf exco saja akan menyertai majlis ini.

DAP bersama NGO lain dari Kuala Lumpur merancang untuk melancarkan projek pembaikan rumah mangsa banjir dan fokus akan diberikan di Gua Musang dan Kuala Krai yang paling teruk dilanda banjir baru-baru ini.

"Kami jangka untuk bermula dengan peruntukan RM500,000 bagi projek 'Impian Kelantan' ini," kata Loke kepada The Malaysian Insider.

Mereka akan menjadikan Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang yang teruk dilanda banjir sebagai kampung angkat mereka.

Di Kota Baru, DAP akan bekerjasama dengan NGO termasuk Yayasan Darul Hijrah pimpinan Husam, Cakna UT pimpinan Wan Rahim, R, Pasma dan lain-lain NGO Kelantan.

Dari Kuala Lumpur, individu terkenal seperti Datuk Ambiga Sreenevasan dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said akan dibawa memperkuatkan lagi rayuan bantuan dan sumbangan diberikan untuk menjayakan projek ini.

Hubungan DAP dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) juga dilihat sangat baik apabila kerajaan negeri Pulau Pinang menyumbangkan RM60,000 kepada NGO pro PR itu untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Sedangkan PAS memutuskan agar pemimpinnya tidak mengadakan sebarang hubungan dengan NGO yang dianggap menyusahkan PAS itu.

Wan Rahim berkata, senario politik di Kelantan juga berubah dengan mendadak sejak banjir besar baru-baru ini.

"Secara umumnya, rakyat tidak puas hati dengan prestasi kerajaan negeri dan kerajaan pusat tetapi sangat senang dengan NGO.

"Nama Datuk Husam harum semerbak selepas banjir ini," kata Wan Rahim yang selama ini berpandangan Husam sudah tidak ada tempat dalam politik Kelantan dan mencadangkan beliau memainkan peranan di peringkat pusat selapas istana menolak beliau dikekalkan dalam senarai exco kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, prestasi wakil rakyat PAS pada umumnya baik tetapi reputasi sekurang-kurangnya dua wakil rakyat Umno hancur ekoran banjir baru-baru ini.

"Nama Norzula (Mat Diah) Adun Paloh dan ahli Parlimen Tanah Merah (Ikmal Hisham Abdul Aziz) hancur dalam banjir ini. Norzula tidak berapa sihat, manakala Ikmal pula pergi bercuti ketika banjir," kata Wan Rahim.

Paloh di Gua Musang dan Tanah Merah antara kawasan yang teruk dilanda banjir baru-baru ini.

Nama Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak terjejas teruk kerana beliau turut bersama perdana menteri melawat ke kawasan banjir baru-baru ini berbanding Ikmal yang tidak datang langsung, katanya.

Bagaimanapun, semua pihak menyedari nama Datuk Seri Mustapa Mohamed, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Alwi Che Mat yang menjadi pemimpin utama Umno Kelantan sekarang juga baik dalam bencana banjir ini.

Bagi PAS pula, nama dua wakil rakyatnya teruk terjejas di kalangan mangsa banjir apabila membuat kenyataan yang tidak disenangi mereka.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah, yang membuat kenyataan banjir kali ini tidak sebesar banjir 1967 menerima kecaman daripada mangsa banjir ketika mereka berjuang untuk terus hidup ketika banjir itu melanda.

Jangan mudah lupa 'jasa' dan 'binasa' dari Dr Mahathir

Kenyataan Syed Ali Alhabshee bahawa Che'GuBard melagakan Mahathir-Najib adalah seperti orang yang sudah nyanyuk. Tidak perlu Che'GuBard untuk melagakan kerana ia sudah menjadi satu rahsia umum bahawa Mahathir-Daim sedang melancarkan serangan demi serangan untuk menjatuhkan Najib.

Lihat saja siri tulisan dan kenyataan oleh Mahathir, Daim, Kadir Jasin, Sanusi Junid dan Zainuddin Maidin. Tidak ketinggalan Anuar Mohd Nor, Zaharin Yassin dan ramai lagi pejuang siber UMNO.  Kesemua mereka ini berganti-ganti menyerang dan memburukkan Najib. Najib juga tidak ketinggalan menggunakan media arus perdana untuk menyerang Mahathir-Daim. Apakah ini tidak menunjukkan perang kuasa diantara Najib dan Mahathir-Daim?

Tanpa menafikan Mahathir banyak berjasa sepanjang 22 tahun tetapi kemusnahan yang dihasilkan juga tinggi. Mungkin Syed Ali Alhabshee yang kononnya seorang pejuang bangsa Melayu ini sudah hilang ingatan di zaman pemerintahan siapakah yang telah menjatuhkan maruah dan menghina Raja-Raja Melayu? Ini adalah satu contoh klasik bagaimana Mahathir merosakkan sistem bernegara.

Saya tidak pernah menjadi ahli UMNO tetapi ahli-ahli UMNO harus ingat Mahathir bukan sahaja menghancurkan sistem demokrasi negara malahan juga demokrasi dalam UMNO. Kerana Mahathir jugalah UMNO asal yang ditubuhkan pada Mei 1946 telah diharamkan. Kemudian, Mahathir dengan kuasa yang ada telah mencabul sistem perundangan dan menubuhkan UMNO baru.

Syed Ali Alhabshee ini perlu membuka mata hati untuk menilai Mahathir. Banyak kerosakan nyata dilakukan oleh beliau bukan sahaja memangsakan asas sistem bernegara malah turut menghancurkan UMNO itu sendiri yang telah diasaskan oleh Onn Jaafar.

Zulkifli Hj. Ibrahim
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia