Nik Aziz harap tiada p'raya baru S'gor
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini
bersetuju dengan segala keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
semalam yang menolak kepimpinan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim.
Nik Abdul Aziz berkata keputusan menyokong itu dibuat selepas beliau
mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali di Kota Baharu.
"Saya telah mendengar penjelasan daripada Presiden PAS dan Setiausaha
Agung dan saya bagi sokongan penuh terhadap keputusan Jawatankuasa PAS
Pusat itu.
"Alhamdulillah keputusan itu kita kekal dalam Pakatan (Rakyat) dan saya
menyokong apa yang diputuskan semalam," katanya dalam sidang akhbar di
pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darul Naim di Kota
Baharu.
Abdul Hadi dan Mustafa juga turut hadir dalam sidang akhbar itu.
Sebelum ini, Majlis Syura Ulama PAS yang diketuai Nik Abdul Aziz telah
membuat keputusan menyokong penuh Abdul Khalid untuk kekal sebagai
menteri besar.
Semalam, Jawatankuasa Kerja PAS pusat itu turut mencadangkan dua nama
iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
dan timbalannya Mohamed Azmin Ali bagi sebagai calon menteri besar yang
baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.
Ketika ditanya kenapa bertindak menyokong Wan Azizah sedangkan keputusan
sebelum itu berbeza, Nik Abdul Aziz kemudiannya berkata: "Siapa jadi MB
(menteri besar) itu terpulang kepada perkenan Sultan".
Sementara itu, Abdul Hadi berkata keputusan yang diputuskan parti itu
adalah berdasarkan kepada keadaan semasa iaitu pada masa menyokong Abdul
Khalid adalah kerana ketika itu beliau ia masih merupakan anggota Parti
Keadilan Rakyat (PKR).
"Masa itu, Abdul Khalid masih dalam PKR dan kini telah dipecat dan
masalah berkaitan dengannya sudah tidak timbul lagi," katanya.
Beliau berkata persoalan sama ada Abdul Khalid bersalah atau tidak
terhadap tuduhan yang dilemparkan parti termasuk dakwaan salah laku, itu
merupakan isu yang berbeza dan tiada kaitan dengan keputusan yang
dibuat semalam.
Abdul Hadi juga berkata keputusan PAS memilih Wan Azizah itu juga tiada
kaitan dengan dakwaan menyokong nepotisme yang cuba diamalkan oleh PKR.
"Saya tidak mahu komen dengan nepotisme atau tidak atau ia telah
bercanggah dengan keputusan Majlis Syura Ulama. Terpulang kepada Sultan
untuk menentukan dan itu bukan hak kita," katanya.
Ketika ditanya adakah Abdul Hadi telah menasihatkan Abdul Khalid dalam
soal itu, beliau hanya berkata: "Nanti saya jumpa dia (Abdul Khalid) dan
bukannya nasihat melalui akhbar".
Abdul Hadi berkata, PAS berharap pilihan raya negeri tidak akan diadakan, tetapi tetap bersiap sedia menghadapinya.
"Bubar dewan itu hak Tuanku dan tiada siapa boleh campur tangan tetapi kita harapkan ia tidak berlaku," katanya.
- Bernama