Serang Anwar: Mahathir, jadilah warga emas yang segera bertaubat

Serang Anwar: Mahathir, jadilah warga emas yang segera bertaubat

(Oleh Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung KEADILAN)

Saya ingin memberi reaksi serangan terbaru Dr Mahathir ke atas Anwar Ibrahim seperti dilapor Bernama bertarikh 14 Mei 2014. Saya kira Dr Mahathir melatah lagi.

Kali ini beliau menyerang Anwar Ibrahim kerana dijemput menyampaikan syarahan di Universiti Al-Azhar, Jakarta Indonesia. Bahkan penganjur yang menjemput Anwar juga diserang Dr Mahathir. Kata Dr Mahathir, Anwar tidak layak menyampaikan syarahan tentang Islam kerana moralnya rendah!

Terserlah ketakutan Mahathir
Izinkan saya menceritakan kepada Dr Mahathir yang mudah lupa, lama sebelum Anwar berkawan dengan Dr Mahathir, Anwar sudah pun mengenali dan berguru dengan Dr Yusof Qardawi, Dr Ismail Faruqi, Dr Sheikh Taha Jabir Al-Awani, Pak Natsir, Pak Hamka, Sheikh Hassan Turabi, Dr Rashid Ghanousi, Sheik Mehdi Aqif dan ramai lagi.

Anwar terlibat dengan gerakan Islam sejak zaman sekolah, mahasiswa, belia dan tidak pernah bersara hingga hari ini. Tokoh-tokoh ilmuan dan gerakan Islam seantero dunia seperti Dr Yusof Qardawi, Dr Wahbah Zuhaily, Dr Abu Hamid Sulaiman, Dr Ahmad Totonji, Dr Tariq Suwaidan dan Dr Tariq Ramadan sentiasa mengunjungi Anwar setiap kali mereka berkesempatan datang ke Malaysia berbincang isu-isu umat sejagat.

Biarlah saya mengingatkan Dr Mahathir walau bersungguh-sungguh  beliau berusaha untuk membunuh karakter Anwar dengan fitnah liwat selama lebih 15 tahun, fitnah jijik itu tidak mampu menjauhkan tokoh-tokoh ilmuan Islam daripada Anwar.

Kalau Dr Mahathir ingin tahu apa sebabnya, jawapannya cukup terang. Islam melarang dan mengharamkan seorang muslim memfitnah saudara muslimnya yang lain dengan fitnah zina atau liwat. Dr Mahathir lah yang mereka fitnah liwat terhadap Anwar.

Namun Dr Mahathir tidak pernah berupaya menampilkan empat saksi sepertimana yang Al-Quran wajibkan. Rakan-rakan Anwar dari kalangan tokoh-tokoh Ilmuan Islam ini terus mendokong Anwar kerana kayu ukur mereka ialah Al Quran. Keyakinan mereka ialah Anwar menjadi mangsa fitnah jahat Dr Mahathir.

Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri memperalatkan seluruh jentera pemerintah termasuk media, polis, peguam negara dan mahkamah untuk  melengkapkan fitnahnya terhadap Anwar.
Dipenjarakan tujuh tahun, bebas dan Anwar terus berjuang. Apakah Dr Mahathir berhasil “membunuh” Anwar? Tidak sama sekali! Kalau dahulu ketika masih berkuasa Dr Mahathir boleh sahaja menyekat dan memenjarakan Anwar. Hari ini pun kerajaan Umno/BN boleh terus menyekat Anwar menyampaikan syarahan di universiti-universiti awam dan swasta di negara kita. Kerajaan Umno/BN malah boleh mengugut mahasiswa-mahasiswa Malaysia di luar negara agar jangan mengikuti syarahan Anwar.

Namun Dr Mahathir dan kerajaan Umno/BN tidak boleh menyekat universiti-universiti terkemuka di rantau Asean, di Eropah, di Amerika Syarikat dan di Timur Tengah dari terus mengundang Anwar.
Anwar sering dijemput mengupas pelbagai tajuk menyentuh persoalan umat Islam dan dunia seluruhnya. Saya pernah bepergian bersama Anwar ketika beliau diundang menyampaikan syarahan di Mesir, Turki, Singapura, Indonesia dan banyak negara-negara lain. Siapa yang hadir mengikuti syarahan Anwar? Untuk makluman Dr Mahathir, mereka ialah menteri-menteri, tokoh-tokoh pemikir dan sarjana Islam, golongan korporat, pimpinan media, professor universiti, tokoh-tokoh ekonomi dan teknokrat.

Di Tunisia misalnya Dr Rashid Ghanousi menjemput Anwar menyampaikan pandangannya kepada seluruh ahli-ahli parlimen dan anggota jemaah menteri Tunisia. Di Turki, Perdana Menteri Tayyib Erdogan menjemput Anwar berucap di Istana Presiden mengupas topik Islam dan kebangkitan dunia Arab.

Satu ketika di Mesir seingat saya tahun 2010, Anwar dijemput menyampaikan ucaputama persidangan antarabangsa Islam dan Demokrasi. Di Singapura, bertempat di World Trade Center, ucapan Anwar pula ditujukan kepada tokoh-tokoh media dunia.

Di Indonesia pengaruh Anwar bukan kepalang. Seorang teman saya asal Bogor pernah bergurau, katanya tokoh-tokoh Indonesia saling berselisih dan berbeda pendapat antara satu sama lain, namun mereka boleh sahaja bersatu kalau mengkagumi Anwar. Pesantren, Universiti, Badan-badan pemikir dan intelektual Indonesia sering mengundang Anwar menyampaikan pidatonya.

Anwar boleh berbicara karangan Shakespeare, Confucius, Mohamad Iqbal, Rabindranth Tagore, Jose Rizal atau mendeklamasi puisi Rendra. Pada masa yang sama Anwar giat mempelopori Maqasid Syariah dan membentang kertas seminar Islam dan demokrasi di serata dunia.

Tidaklah menghairankan sebaik keluar dari penjara Anwar dilantik sebagai fellow di Universiti Oxford dan menjadi professor di Universiti New Hopkins Amerika Syarikat. Anwar juga dilantik penasihat ekonomi Qatar dan beberapa institusi perbankan di negara arab.

Elok juga saya mengingatkan Dr Mahathir bahawa Anwar yang cuba dibunuh karakternya oleh Dr Mahathir cuma manusia biasa. Hormat orang kepadanya bersebab.

Fitnah Dr Mahathir hanya “berhasil” di dalam kalangan Umno. Itupun bukan semua. Ramai kenalan saya di dalam Umno yang kini menduduki jawatan-jawatan utama dalam parti dan kerajaan mengakui hakikat ini. Cuma yang tiada pada mereka ialah keberanian untuk berkata benar di hadapan pemimpin pencipta fitnah.

Bagaimana sebenarnya Dr Mahathir mahu diingati? Berkuasa selama dua puluh tiga tahun legasi yang ditinggalkannya ialah merosakkan institusi kehakiman, menekan kebebasan media, menyuburkan budaya rasuah, memunggah kekayaan negara menjadi kekayaan peribadi, memusuhi institusi raja-raja Melayu dan berkekalan memusuhi ulama.

Ketika Anwar masih terus dengan tradisi ilmu dan rapat dengan Dr Yusof Qardawi, Dr Tariq Suwaidan, Dr Wahbah Zuhaily, Dr Mahathir pula rapat dengan Ananda Krishna, Francis Yeoh dan Syed Mokhtar Bukhary.

Ketika anak-anak Anwar membesar dan membina kerjaya yang cukup sederhana, Dr Mahathir pula cemerlang membantu anak-anaknya mencipta nama tergolong kelompok mahakaya di Malaysia! Ketika Anwar terus berjuang membela rakyat, menolak politik perkauman, mengajak rakyat mencari titik persaudaraan, menuntut kekayaan negara diagih secara adil, Dr Mahathir pula kekal dengan gaya politik lama, usang, tidak pernah puas menimbun kekayaan dan penuh dendam kesumat.

Saksikanlah pada usia lebih 80an tahun Dr Mahathir terus menyerang Anwar tanpa henti. Tidak pernah ada tanda-tanda beliau sedar dan insaf perbuatan fitnahnya terhadap Anwar.


Pesanan buat Dr Mahathir, sesungguhnya Allah SWT menyayangi hamba-hambanya yang sentiasa bertaubat dan membersihkan diri. Sebaliknya Allah juga bencikan orang yang tidak mahu bertaubat dan paling dibenciNya ialah orang tua yang tidak mahu bertaubat. Doa saya agar Dr Mahathir tidak tergolong dalam kalangan jenis itu dan dibuka pintu hatinya. Amin ya Rabb.




Krisis Umno Terengganu: Babak kedua baharu bermula – Azan

Krisis Umno Terengganu: Babak kedua baharu bermula – Azan

(Oleh: Rusnizam Mahat)

KUALA LUMPUR 15 MEI: Krisis peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu belum berakhir, sebaliknya babak kedua baharu sahaja bermula dan mungkin menjadi lebih buruk, kata Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail.

Katanya, terdapat desas desus tiga Adun yang mengikuti Ahmad Said dan keluar daripada Umno dijanjikan jawatan sebagai Exco sekiranya kembali semula ke pangkuan parti itu.
“Ini menimbulkan rasa sangat tidak berpuas hati di kalangan Adun yang tidak dilantik sebagai exco dan menyebabkan muncul beberapa kumpulan kecil (di kalangan Adun).

“Jadi masalah ini tak akan selesai, malah akan memburukkan suasana. Babak kedua adalah apabila pelantikan exco baru menggantikan exco yang lama.
“Episod ketegangan dan pergaduhan mungkin lebih berpanjangan. Babak kedua ini akan diikuti babak ketiga di dalam DUN apabila menteri besar yang baru akan diuji dengan undi tak percaya,” ujar Azan.

Katanya, sama ada undi tidak percaya itu diusulkan Pakatan atau BN sendiri, beliau yakin kalangan ADUN yang tidak terpilih sebagai exco akan memberontak.
Selain itu, katanya, Umno kini bimbang jika pihak tertentu membawa kes itu ke mahkamah berikutan keputusan Ahmad Said bersama tiga lagi Adun mengisyitiharkan diri mereka sebagai Adun bebas baru-baru ini.

“Dari segi perundangan, BN tidak punya hak memerintah Terengganu kerana beberapa Adun menjadi bebas dan mereka hilang kuasa majoriti. Mereka bimbang jika ada pihak tertentu usul ke peringkat mahkamah dan menjadikan isu ini isu perundangan. Kerajaan negeri yang ada tak boleh bertahan lama selagi tidak mendapat fresh mandate daripada rakyat,” ujarnya.

Azan yang juga Adun Bandar berkata, episod di Terengganu kini dilihat menjadi lebih parah apabila terdapat pegawai kerajaan negeri ditukar kerana dilabel pengikut setia Ahmad Said.

“Mereka ini dilabelkan sesetengahnya masih bersama bekas menteri besar. Pertukaran pimpinan adalah perkara biasa, tetapi pertukaran dan pemecatan pegawai kerajaan tidak ubah seperti mengulangi kesilapan pertama dengan menukar Ahmad Said sebagai MB serta merta,” katanya menganggap keputusan itu politik balas dendam oleh menteri besar yang baharu, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman.

Beliau merujuk tiga pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar yang ditukar berkuatkuasa 14 Mei lalu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Berhad, Datuk Wan Ahamad Wan Muda yang ditukar sebagai Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.
“Sekarang banyak pihak beranggapan, isu ini telah reda. Sebenarnya ini baru tamat babak pertama kerana babak kedua baru saja bermula,” kata Azan.


Katanya suasana politik di Terengganu ini menyebabkan arahan daripada pentadbiran kerajaan negeri masih kabur dan tidak jelas, sehingga mengganggu kelancaran pentadbiran.
“Terdapat politiking dalam jabatan kerajaan atau perkhidmatan pentadbiran negeri. Ada fail dilapor hilang, surat yang dibatalkan atau tidak sah.


“Tambahan exco yang ada tidak pasti kedudukan dan nasib masing-masing. Maka berlaku suasana seperti keretapi yang terputus kepala, huru hara dan kelicinan pentadbiran tidak berlaku,” ujar Azan.
“Saya melihat bahawa ujian sangat getir jelas diletak kepada menteri besar yang baru yang tidak mempunyai pengalaman dan hanya dua penggal sebagai Adun. Dia kini diberi tanggungjawab sebagai MB dan memasuki pejabat MB dalam suasana yang genting dalam krisis sebegini,” ujarnya.

Umno uruskan krisis Terengganu dengan lemah, kata Dr Mahathir

Umno uruskan krisis Terengganu dengan lemah, kata Dr Mahathir

May 14, 2014
Kepimpinan tertinggi Umno perlu menangani kemelut politik di Terengganu secara berhati-hati dan menggunakan diplomasi agar parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus mendapat kepercayaan mentadbir negeri itu.

Menegaskan demikian, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) berkata, jika pemimpin Umno pusat menggunakan pendekatan yang “kasar”, ia hanya mengundang masalah seperti dilakukan bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang bertindak meninggalkan parti berkenaan.

"Kalau kita ambil tindakan yang kasar, bagi dia (Ahmad) kalau tinggalkan Umno, tiada masalah.
"Kedua-dua pemimpin (di peringkat pusat dan negeri) mesti terima ada kesalahan di kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah Doktor Kehormat dalam bidang pembangunan politik dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah di Jakarta hari ini.

Terengganu menjadi tumpuan selepas Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal dilaporkan keluar Umno selepas meletak jawatan sebagai menteri besar.

Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud juga dilaporkan keluar Umno dan menjadi wakil Bebas berikutan krisis politik di Terengganu itu.

Roslee, bagaimanapun dilaporkan kembali kepada Umno semalam.

Ahmad menarik kembali keputusan beliau untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas, setelah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tengah hari tadi.
Turut menarik balik peletakan jawatan itu ialah Ghazali.

Di Terengganu, Dr Mahathir berkata tindakan pemimpin Umno keluar dari parti itu bukan isu besar berbanding di negeri lain.

Menurutnya, di Terengganu, tukar parti perkara biasa dan mereka gemar melakukan percubaan.
"Dia cuba Umno selepas itu dia cuba PAS. Lepas itu dia cuba Umno semula.

"Itu cara dia (orang Terengganu), jadi kita kena berjaga-jaga kerana dia mudah beralih. Ini karakter orang Terengganu." ( kah..kah...kah...macam sesumpah juga rupanya)

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno berkata krisis politik yang berlaku di Terengganu itu berpunca daripada kelemahan parti Umno sekarang.

"Umno kini lemah. Sedikit sebanyak kerana pandangan (anggota) ialah (fokus) kerajaan terhadap masalah orang Melayu, masing-masing berkata, berkurangan kerana layanan yang kuat diberi kepada parti lawan dan orang Cina dan sebagainya.

"Jadi ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu.

"Bagi mereka sokong pun bukan kerana kepimpinan tetapi kerana tidak suka kepada parti lawan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kepimpinan tertinggi Umno perlu memahami sentimen penyokong di peringkat akar umbi bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau menegaskan pemimpin Umno tidak seharusnya mendengar bulat-bulat individu yang berada di sekeliling mereka sahaja, sebaliknya perlu memahami keluhan anggota parti yang sentiasa menyokong Umno.

"Pemimpin mesti sedar tentang perasaan orang di bawah. Jangan harap orang yang dekat sahaja. Kita kena tahu orang di bawah dia rasa macam mana.

"Rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan cara dasar pentadbiran tetapi mereka tidak tahu macam mana nak gunakan saluran (menyuarakannya) kecuali melalui pilihan raya," katanya.

Dr Mahathir berkata sebenarnya Umno banyak melakukan kesilapan yang serupa, namun tidak ramai pemimpin parti itu yang berani tampil memperbetulkan kesalahan tersebut.

Ini menyebabkan kepimpinan tertinggi merasakan apa yang dilakukan mendapat sokongan, kata beliau.

"Umno jarang belajar... saya dah kata berkali-kali tetapi mereka tidak sedar. Kita akan kehilangan (kuasa) kerana Umno tidak belajar dan buat kesalahan yang sama," katanya. – Bernama, 14 Mei, 2014.