Memperingati pelopor perjuangan melalui Internet di Malaysia – Roger Kinkladze
April 19, 2014
Penulis terlupa untuk meletakkan website Reformasi Nasional RN dalam senarai 3 website di awal zaman REFORMASI. Selain Mahazalimtwo, RN Reformasi Nasional, Harakahdaily muncul antara yang tertinggi , dan dizaman tepu 2004...Laman Marhaen mungungguli website sekitar tahun 2004 keatas,,,kesemua pengendali laman ini masih wujud sama ada masih mengendalikan blog dan website dan bekerjaya..
Sejarah kehidupan merupakan satu kitaran yang berulang, sebuah
perjalanan tanpa henti yang bermula dan berterusan di sebuah paksi yang
sama.
Sejarah kini berulang, dan kini gerakan Reformasi dilahirkan semula sebagai Reformasi 2.0.
Dengan berulangnya tekananoleh pihak berkuasa, inilah masanya untuk mengkaji semula momentum pergerakan Reformasi.
Pergerakan ini bermula sejak pelancaran Reformasi pada tahun 1998.
Ketika itu sebelum pilihanraya 1999, PAS, DAP, PRM dan Keadilan
bergabung atas nama parti alternatif.
Disebabkan sekatan pihak berkuasa terhadap media dan aktivisme politik
ketika itu, sebahagian besar momentum perjuangan terpaksa diteruskan
melalui “tangan ghaib”.
Maka lahirlah “kewartawanan siber”, permulaan aktivisime politik siber di Malaysia.
Aktivisme siber bukan sahaja salah satu cara untuk menyampaikan berita
dan peristiwa terbaru malah juga cara untuk berkongsi harapan, motivasi,
komedi, dan meningkatkan keakraban rakan dan taulan.
Pada masa itu, adalah agak sukar untuk mengikut segala maklumat baru
tentang gerakan Reformasi; Internet hanya wujud beberapa tahun
sebelumnya.
Tiada templat untuk rangkaian laman web, tetapi ramai perlu mengurus
laman web melalui pengaturcaraan HTML untuk setiap warna, saiz font,
yang memerlukan 5-6 jam untuk dimuat naik dan dimuat turun.
Blog masih belum lagi wujud, dan media sosial seperti Facebook, dan Twitter hanya lahir dalam beberapa tahun yang akan datang.
Astro masih belum lagi diperkenalkan kepada orang ramai, dan kabel
televisyen yang mempunyai 5 saluran sudah dikira sebagai agak mewah bagi
memecahkan autonomi media arus perdana RTM1 dan sebagainya.
Gerakan reformasi menjadi pemangkin kepada peningkatan sokongan melalui
Internet, dan juga penganjuran protes pertama yang berskala besar di
Malaysia pada era 90-an.
Beberapa bulan selepas itu, sebanyak 50 laman web pro-reformasi wujud.
Laman web yang banyak memberi maklumat terbaru dan artikel mengenai
pergerakan ini adalah dua laman web bermula dengan “Maha”: Mahazalim dan
Mahafiraun.
Walaupun pada mulanya terdapat laman web lain seperti Dot Moi, momentum
untuk teruskan tidaklah begitu mampan dan tiada laman web yang boleh
memberi maklumat kepada rakyat di Malaysia, mahupun di luar negara.
Mahazalim merupakan laman web asas yang membawa pendapat dan berita
berkaitan dengan peristiwa-peristiwa terbaru, demonstrasi dan berita
mengenai kes mahkamah DSAI.
Banyak artikel disumbangkan oleh rakyat dan dimuat naik ke laman web ini.
Mahafiraun adalah laman web yang hampir sama asasnya, tetapi juga
mempunyai satira dan karikatur terhadap pimpinan Barisan Nasional pada
ketika itu.
Boleh dibayangkan pada ketika itu, usaha untuk merekabentuk karikatur kartun sudah tentu memakan masa yang agak panjang.
Laman web dua Maha itu adalah amatlah popular. Kadar penetrasi Internet
pada masa itu masih lagi di peringkat awal, dan mungkin hanya 10% (kini
adalah 67%), kedua-dua laman web itu mempunyai seramai 100 ribu pelawat
unik dan sebanyak 40 ribu pelawat setiap hari.
Ramai penjawat di sektor swasta mula mencetak artikel daripada laman
web tersebut dan membawa pulang ke kampung-kampung untuk bahan bacaan
bagi ahli keluarga mereka sebagai alternatif kepada media arus perdana.
Pada masa itu, sokongan orang Melayu untuk gerakan Reformasi berada di kemuncaknya.
Sumber tidak rasmi menyatakan bahawa sokongan orang Melayu terhadap
gerakan Reformasi adalah antara 55% - 70% bergantung kepada kawasan.
Dan ia adalah disebabkan oleh perasaan marah terhadap kepimpinan yang
zalim dan juga penyebaran maklumat melalui gerakan “Balik Kampung”.
Laman-laman web ini mempunyai ramai sukarelawan dan “wartawan” di peringkat akar umbi.
Segala akaun peristiwa seperti demonstrasi dan ceramah dimuat naik
dengan cepat, terdapat juga pandangan daripada mata penulis mengenai
pelbagai peristiwa yang berlaku pada ketika itu.
Pidato dan program mahasiswa di luar negara, termasuk di
kawasan-kawasan pedalaman seperti Lampeter, Wales mahupun di London atau
Dublin begitu cepat dilaporkan.
Di United Kingdom, NGO Mahasiswa Muslim Malaysia dibahagi kepada tiga
kumpulan, Hizbi yang dipelopori PAS, JIM yang diilhamkan daripaa
kumpulan Ikhwan, dan juga ABIM UK.
Setiap kumpulan ini mempunyai pengikut masing-masing, pemikiran yang
berlainan dan cara berlainan untuk menyebarkan fikrah masing-masing
kepada golongan mahasiswa.
Tetapi semasa zaman Reformasi, ketiga-tiga NGO ini berganding bahu untuk menyokong pergerakan yang sama.
Salah satu program yang diadakan adalah sebuah kem mega musim panas di Lampeter, Wales.
Antara fakta paling menarik tentang program ini, dalam masa kurang
daripada satu jam ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan,
satu laporan dimuat naikkan di laman web Mahafiraun.
Pihak kerajaan Barisan Nasional juga proaktif pada ketika ini,
Malaysian Student Department (MSD) di London menganjurkan sebuah ceramah
yang disampaikan oleh Tun Mahathir, mantan Perdana Menteri ketika itu
yang dihadiri oleh ramai golongan mahasiswa dan juga pekerja-pekerja
rakyat Malaysia di United Kingdom.
Salah seorang peserta, seorang graduan Melayu, menimbulkan kekecohan
apabila beliau, tanpa perasaan gentar, meminta Tun Mahathir untuk
meletak jawatan dengan serta merta.
Peristiwa ini dengan cepat dimuat naik ke laman web pro-Reformasi dan menjadi berita sensasi di kedai-kedai kopi.
Aktivisme Internet merupakan salah sebuah kuasa utama untuk meneruskan agenda Reformasi ketika itu.
Aktivisme ini disalurkan daripada rakyat, dan akan terus daripada rakyat dalam masa akan datang.
Pada tahun 1998, satu kumpulan anak muda yang mempunyai idealisme
perjuangkan keadilan ingin membawa perubahan di Malaysia, tetapi berada
di luar negara untuk menghabiskan pengajian pada masa itu.
Saya ucapkan terima kasih daun keladi terhadap pengorbanan mereka.
Artikel ini didedikasikan kepada Allahyarham Adlan Benan Omar, Pengarah Cantab Pertama.
Walaupun berfikiran lain dari yang lain, arwah merupakan mentor dan guru kepada semua. – 19 April, 2014.
* Roger Kinkladze merupakan seorang jururunding.