Tanding Timbalan Presiden: Kesilapan besar Khalid Ibrahim? siri 6
Tanding Timbalan Presiden: Kesilapan besar Khalid Ibrahim?
- Ahad, 06 April 2014 02:15
Meskipun Khalid mengakui mendapat sokongan meluas atas populariti sebagai MB Selangor paling bersih dalam sejarah, namun perhitungan politik bersih atau kotor bukanlah ukuran utama untuk memenangi kerusi Timbalan Presiden.
Sokongan diberi sekiranya ahli parti puas terhadap khidmat, layanan dan karismatik pemimpin yang bertanding. Khalid tidak mampu memenuhi kehendak ahli PKR di Selangor. Malah yang menunjukkan sokongan terhadap beliau pun mungkin tidak mengundinya semasa pemilihan. Apatah lagi di negeri lain yang kurang mengenali Khalid.
Polisi kedekut
Di kalangan ahli PKR Selangor, Khalid disifatkan sebagai MB kedekut dan sukar meluluskan projek-projek yang difikirkannya tidak menguntungkan negeri. Namun projek tersebut kadang-kala menguntungkan dari segi politik.
Misalnya, untuk menaja konsert kecil anak muda atau aktiviti frinjan tentulah tidak jelas keuntungan kepada negeri, terutama apabila aspek pulangan kewangan diambil kira. Tetapi aktiviti seumpama itu amat bernilai meraih sokongan politik. Anak muda yang berasa dihargai akan mengundi PKR/PR dalam pilihan raya, selain menghindar mereka daripada melakukan perkara-perkara yang lebih melalaikan.
Begitu juga projek-projek yang sepatutnya diluluskan dengan pertimbangan tertentu ke atas kontraktor tertentu sebagai sokongan membangun usahawan baru bumiputera. Prinsip harga paling murah dan berkualiti tentu sekali hanya boleh diberi oleh kontraktor bermodal besar dan berpengalaman. Kontraktor baharu mustahil mampu meletakkan harga paling rendah.
Akibat polisi itu, kontrak tertentu, misalnya pungutan sampah didakwa pergi kepada kontraktor besar Umno yang telah sekian lama menjalankan perniagaan. Sedangkan kontraktor Umno ini bermula secara kronisme, menikmati untung berlipat kali ganda ketika BN memerintah Selangor suatu ketika dahulu.
Sesebuah negeri tidak boleh ditadbir secara urustadbir korporat mutlak. Tetapi Khalid didakwa banyak pihak melaksanakan pentadbiran seolah-olah beliau masih CEO konglomerat Guthrie. Semua perbelanjaan mesti mendapat pulangan tertentu. Barangkali faktor ‘keuntungan’ itu menyebabkan kerajaan negeri penggal ini menghapuskan kebudayaan dan kesenian dalam potforlio Exco Selangor.
Kebudayaan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kewangan. Hasilnya, banyak penggiat seni melopong kerana Selangor, negeri terkaya di Asia Tenggara (Singapura dan Brunei adalah negara walaupun saiz lebih kecil) tidak menyediakan dana untuk kegiatan seni dan kebudayaan.
Lebih buruk lagi, dana tidak boleh didermakan untuk aktiviti kepartian. Menjadi resam kerajaan Umno terdahulu memberi projek kepada syarikat berkaitan Ketua Bahagian BN dan keuntungan atau wang ‘mark up’ projek akan digunakan untuk perbelanjaan politik. Malah banyak syarikat yang memang diwujudkan untuk mendanai parti.
Memanglah PR tidak menyokong langkah merembat duit rakyat seperti itu. Bagaimanapun perlu ada sedikit pertimbangan untuk memberi tanah TOL atau sesetengah lesen untuk kegunaan ahli parti mengusahakan bengkel, kedai dan sebagainya. Dana boleh digunakan oleh parti peringkat cabang misalnya. Semua urusan dilakukan secara telus dan tidak meminta kewangan secara langsung daripada kerajaan negeri.
Semua tidak boleh
Oleh kerana semuanya tidak boleh, maka dalam PRU 13 lalu PKR Selangor sangat miskin. Seorang Exco merungut kawasannya di Shah Alam tidak mempunyai dana untuk membelanja pekerja parti memasang poster pilihan raya. Sedangkan pada PRU 2008, katanya, walaupun PR tidak memerintah, bilik gerakannya mampu menyediakan sedikit upah dari sumbangan derma. Derma tidak datang lagi setelah PR memerintah negeri.
Hal inilah yang membuat ADUN dan ahli parti teruja terhadap pelan menggantikan MB Selangor. Malah kini cadangan untuk menggantikan MB juga dipersetujui oleh ADUN PAS dan DAP yang terasa peritnya berkhidmat di bawah Khalid.
Jika benar Khalid tidak suka kepada pemberian secara sembunyi terhadap parti maka ia boleh dilakukan secara telus. Di negara maju Barat, kerajaan memberi dana khusus kepada calon pilihan raya untuk berkempen. Calon-calon yang disahkan bertanding akan menerima wang untuk mencetak poster, menyediakan bilik gerakan dan sebagainya. Tujuannya untuk mengelak pemimpin parti menerima sumbangan syarikat swasta dan kelak terikat untuk meluluskan bisnes tertentu setelah dipilih menjadi anggota kerajaan.
Mengapakah Khalid tidak melakukan sedemikian untuk ADUN-ADUN Selangor? Sebaliknya, dalam hal pentadbiran negeri, banyak pula dakwaan keputusan-keputusan penting dirunding bersama setiausahanya tanpa perbincangan telus dengan pemimpin parti, hal ini amat membingungkan.
Di atas sebab-sebab tersebut Khalid semakin tidak popular di kalangan ahli-ahli PKR. Ahli tidak akan menyokong pemimpin yang sukar untuk meluluskan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat bersama. Malah mula timbul suara-suara tidak puas hati dengan dasar kedekut Khalid. Mereka bimbang jika pada PRU depan dana masih tidak wujud untuk memasang poster di Selangor maka lebih baik negeri itu diberikan sahaja kepada BN.
Untuk Khalid memimpin di peringkat nasional tentulah akan lebih memeningkan ahli dan pemimpin PKR. Apatah lagi Khalid kurang karismatik dalam berceramah dan beramah mesra dengan rakyat.
Secara kasar, sokongan terhadap Khalid tidak mungkin boleh melepasi 30 peratus pada pemilihan kali ini. Itu pun sekiranya tiga lagi calon, termasuk Tian Chua, tidak menarik diri sebelum pengundian bermula. Sekiranya mereka kekal bertanding maka undi untuk Khalid akan lebih kecil lagi.