Meneruskan Langkah Kajang SIRI 5
Meneruskan Langkah Kajang
Langkah Kajang ini bertelur, dieram dan menetas dengan pantas. Ini dilakukan dengan tujuan untuk menafikan ‘musuh’ politik luar dan dalam dari berupaya melakukan sesuatu untuk menggagalkan Langkah Kajang.
Setelah Langkah Kajang diumumkan – orang ramai telah melihat bagaimana Langkah Kajang ini telah menakutkan hati perut Daim Zainuddin dan Mahathir Muhamad. Dua bengolan ini pernah bekerja dengan Anwar Ibrahim. Mereka dalam satu kabinet. Justeru Daim dan Mahathir tahu fikrah dan keupayaan Anwar Ibrahim.
Ketakutan Daim dan Mahathir ini semakin jelas apabila Daim dikatakan terbang ke Kota Bahru memujuk MB Kelantan dan para pemimpin PAS tidak akan menyokong Anwar dari menjadi MB Selangor.
Tup tup – Khalid Ibrahim juga telah terbang Kota Baru selepas kepulangan Daim. Dilaporkan Khalid datang dengan tujuan menanda tangani perjanjian projek dua hala – Kelantan-Selangor. Kedatangan Khalid Ibrahim ini agak memeranjatkan kerana tetiba sahaja ada ‘projek’ yang perlu ditanda tangani bersama. Desas desus menyamakan niat Daim dengan Khalid mula tersebar. Tetapi kesampaian Si Khalid ini agak berbeza dengan Daim kerana Kelantan dan Selangor adalah bawah Pakatan. Ini tanda setiakawan dua negeri Pakatan. Untuk masa ini tak perlu kita berdesas dan berdesus.
Daim dan Mahathir terus merancang. Mereka sedar jika Anwar menjadi MB Selangor nyawa-nyawa ikan United Malays National Organisation di Selangor akan terus diancam. Selangor wilayah terkaya di Asia Tenggara kini bukan lagi milik United Malays National Organisation. Penyokong Parti Ketuanan Melayu ini telah kehilangan Selangor yang selama ini dijadikan lubuk kontrak.
Daim dan Anak Lelaki Iskandar Kutty sedar tentang apa yang akan dibawa oleh tim Anwar Ibrahim ke Selangor. Selangor yang dipimpin oleh MB Khalid Ibrahim ini jelas bukan pentadbiran yang korup. Ianya satu pentadbiran telus. Bayangkan pentadbiran Khalid ini akan ditambah dengan datangnya Tim Anwar Ibrahim ke pentadbiran Selangor. Tim Anwar ini akan membawa lincah politik baru yang selama ini tenggelam di Selangor. Lincah politik ini bertujuan untuk melahirkan ombak-ombak kecil sebelum satu tsunami pukul mati yang ditujukan kepada United Malays National Organisation.
Tim Anwar Ibrahim bukan hanya melihat Selangor sebagai Selangor tetapi akan dijadikan satu wilayah atau lebih tepat lagi satu kota untuk membuka dan meluaskan pentas dan laman perang. Selangor akan dijadikan basis untuk rujukan ekonomi, untuk rujukan politik dan untuk rujukan budaya anak muda. Ini adalah sebahagian dari projek Langkah Kajang.
Semua ini disedari oleh Daim dan Anak Lelaki Iskandar Kutty. Justeru tarikh bicara Anwar telah dibawa ke hadapan. Tarikh hari penamaan calon sengaja dilambatkan. Semua ini dirancang. Semua ini diatur. Jangan silap baca. Jangan silap congak. Anak Lelaki Iskandar Kutty dan para lanun yang kaya raya menjarah harta negara TIDAK akan membenarkan Anwar Ibrahim menjadi MB Selangor.
Para lanun yang selama ini menjarah harta kekayaan Malaysia sedar jika Anwar Ibrahim menjadi MB Selangor maka mereka kesemuanya berkemungkinan untuk dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa. Lima atau enam orang jahat yang merompak harta negara ini sedar, Selangor bawah pimpinan Anwar Ibrahim ialah tali gantung untuk mereka.
Justeru Mahkamah telah digunakan untuk menafikan Anwar Ibrahim dari bertanding. Semua ini cukup jelas. Adalah satu dongeng jika kita percaya bahawa mahkamah rayuan yang menjatuhkan hukuman kepada Anwar Ibrahim itu telah berlaku adil.
Lihat bagaimana Anwar telah cuba membuat rayuan bertulis setelah dijatuhkan hukuman. Peguam Anwar meminta masa untuk menuliskan rayuan mereka secara tersusun termasuk laporan dari doktor. Ini telah dinafikan.
Pihak yang didakwa telah diberi masa hanya 1 jam untuk membuat persediaan rayuan. Ini belum pernah terjadi dalam mana-mana mahkamah di dunia ini. Ini satu rekod baru dari segi kehakiman. Peguam Anwar tidak sempat menulis atau membuat rujukan. Maka rayuan hanya rayuan mulut.
Lihat juga bagaimana untuk pertama kalinya dalam sejarah Mahkamah Malaysia telah bersidang hingga jam 8:00 malam. Mahkamah biasanya bersidang hingga jam 4:30 atau selewat-nya jam 5:00 petang. Dalam kes Anwar Ibrahim ini semuanya TIDAK pelik dan TIDAK hairan. Semua ini dilakukan dengan tujuan untuk mengagalkan langkah Kajang.
Akhirnya Daim and Anak Lelaki Iskandar Kutty telah berjaya menggagalkan Anwar Ibrahim dari bertanding di N25 Kajang. Projek Daim telah memastikan Anwar tidak dapat bergerak. Pakatan menangkis dengan memunculkan Dr Wan Azizah Presiden Parti Keadilan Rakyat menjadi calon N25 Kajang.
Sayugia diingatkan kemenangan Wan Azizah ini bermakna Langkah Kajang babak pertama telah berjaya. Penafian Anwar Ibrahim dari bertanding di Kajang tidak bermakna Langkah Kajang ini tamat bagitu sahaja. Niat dan tujuan Langkah Kajang untuk menjadikan Selangor kawasan basis masih utuh. Diulangi - TIDAK ada apa-apa perubahan dalam Langkah Kajang.
Tim Anwar Ibrahim telah siap siaga untuk masuk ke pentadbiran Selangor. Niat dan cita-cita ini tidak pernah berundur dan tidak luntur. Dasar dan strategi telah mula diatur, dirancang dan disusun untuk memastikan Selangor akan menjadi pusat satu gerakan politik Pakatan Rakyat yang ampuh untuk menyerang negeri-negeri yang masih dicengkam oleh Parti Ketuanan Melayu.
Untuk meluaskan fikrah demi untuk memahami Langkah Kajang biar saya bawa pembaca ke Negara Filipina – negara jiran kita. Pada 21 Ogos 1982 Banigno Aquino bekas Senator telah pulang dari Amerika. Sesampai di lapangan terbang Manila Banigno Aquino telah ditembak mati. Dilaporkan Si Pembunuh dengan sekelip mata ditembak mati. Ini adalah sebahagian dari Projek Marcos.
Presiden Marcos sama seperti Daim dan Mahathir tidak mahu Anwar di Selangor. Presiden Marcos tidak mahu Aquino berada di Filipina. Banigno Aquino datang ke Manila untuk membawa Langkah Filipina Baru. Banigno ingin menggantikan Presiden Marcos yang korup. Justeru Daim dan Mahathir beri arahan gagalkan Anwar. Justeru Presiden Marcos beri arahan gagalkan Langkah Filipina Benigno Aquino.
Aquino telah dibunuh. Anwar didapati bersalah maka tidak boleh bertanding. Apakah Langkah Filipina Aquino gagal? Apakah Langkah Kajang gagal? Jawabnya pasti tidak. Muncul Sang Isteri – Cory Aquino untuk meneruskan projek pendemokrasian Filipina. Muncul Dr Wan Azizah untuk memimpin Selangor. Anwar berjaya digagalkan. Gantinya ialah Wan Azizah. Langkah Kajang tetap diteruskan.
Dr. Wan Azizah dan Cory Aquino berada dalam kancah yang sama. Apabila Sang Suami ke penjara Wan Azizh telah muncul untuk membina Parti Keadilan Nasional kemudian bergabung dengan Parti Rakyat untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat. Ketika Anwar Ibrahim menjadi TPM – Wan Azizah dibaca sebagai seorang isteri. Ketika Anwar Ibrahim dipenjara Wan Azizah mendewasa untuk menjadi pemimpin parti.
Ini sejarah. Ini fakta. Saya menulis fakta ini untuk memberi tahu generasi muda yang mungkin tidak sedar akan ‘timeline’ sejarah politik terkini Malaysia. Saya juga ingin memberikan fakta sejarah ini kepada sesiapa sahaja yang ada memiliki was-was tentang ketrampilan Wan Azizh untuk menjadi MB Selangor.
Jika ada sesiapa yang memiliki keraguan tentang ketrampilan Wan Azizah? Atau ada sesiapa yang akan mempertikai niat dan cita-cita Langkah Kajang? Untuk mereka yang mempertikaikan Langkah Kajang ini saya berani menyamakan mereka dengan niat jahat dan hati busuk yang dimiliki oleh Daim Zainuddin dan Anak Lelaki Iskandar Kutty.
Saya membuat rumusan ini dengan perhitungan yang paling senang. Dengan menggunakan perhitungan yang paling asas. Daim Zainuddin, Mahathir Muahamd, Zaid Ibrahim, Ibrahim Ali , Utusan Malaysia dan kaum-kaum yang lain – semuanya menentang Anwar Ibrahim dari menjadi MB Selangor. Jika mereka menentang bermakna Langkah Kanag itu betul dan tepat. Kalau tidak betul dan tidak tepat mustahil kesemua benggolan ini akan menentang.
Hukum politik di Malaysia ini cukup senang. Apa yang ditentang oleh Mahathir Muhamad ialah kerja baik. Apa yang disokong oleh Mahathir Muhamad ialah kerja salah. Apa yang disokong oleh Utusan ialah kerja jahat. Apa yang ditentang oleh Utusan ialah kerja betul.
Jika menggantikan MB Selangor dengan Dr Wan Azizah ditentang oleh Utusan maka Langkah Kajang wajib diteruskan. Kerana ini adalah kerja strategik yang tepat dan betul.