Kenaikan kos sara hidup jejas kenaikan gaji dan bonus, kata DAP
December 30, 2013
Setiausaha
Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) mendakwa tindakan kerajaan menaikkan
kos sara hidup termasuk membiarkan korupsi menyebabkan negara bukan
sahaja berdepan inflasi bahkan terpaksa menerima hakikat bahawa ia akan
menjejaskan peluang kenaikan gaji dan bonus kepada 14.4 juta pekerja
pada tahun 2014.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kenaikan harga tol, tarif elektrik dan
sebagainya memberikan kesan negatif hingga mengakibatkan inflasi.
Menurut Lim, biarpun berlakunya kenaikan gaji dan bonus namun ia tidak
seiring peningkatan kos yang akhirnya menyebabkan kehidupan rakyat
Malaysia semakin sukar."Berdasarkan kajian Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), ia mendedahkan
daripada 257 buah syarikat yang mempunyai lebih daripada 13,000 majikan,
pekerja berjawatan eksekutif boleh menjangkakan kenaikan sebanyak 5.63%
secara puratanya dan 5.65% bagi bukan eksekutif," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Memburukkan lagi keadaan, korupsi yang semakin kronik di negara ini
juga menyumbang kepada kesengsaraan rakyat apabila ia telah merencatkan
penjanaan ekonomi negara.
Beliau berkata, penyelewengan itu menyebabkan negara kehilangan wang
berjumlah RM1.2 trilion pada 2012 sepertimana yang dinyatakan dalam
laporan Kewangan Global Intergriti (GFI).
"Kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low menafikan
hakikat aliran keluar wang haram sebagai hanya RM1 bilion daripada
rasuah dan RM34 bilion bagi jenayah membuktikan beliau telah hilang
kredibiliti setelah menjadi menteri," katanya.
Lim turut menyelar pelaksanaan polisi gaji minimum pada 2014 yang
meletakkan kadar RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan
Sarawak.
Bagaimanapun polisi tersebut akhirnya telah menyamakan gaji yang diterima pekerja asing dan tempatan.
Tambahan pula kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Malaysia mengalami
kerugian akibat pekerja asing yang menghantar duit pulang ke negara
asal.
"Ini berikutan jumlah yang diberitahu Timbalan Menteri Kewangan Datuk
Ahmad Maslan, menyatakan kiriman wang ke luar negara meningkat sekali
ganda iaitu daripada RM10 bilion pada 2009 kepada RM20 bilion.
"Dan angka tersebut dijangka naik apabila gaji minimun dilaksanakan dan pertambahan itu amat membimbangkan," katanya.
Beliau pada masa yang sama berkata, rakyat Malaysia membuat keputusan
betul menolak kepimpinan kerajaan BN dengan memberi peluang Pakatan
Rakyat (PR) meraih undi popular sebanyak 51% berbanding BN yang hanya
memperoleh 47%.
Tindakan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sekaligus meningkatkan
kos sara hidup telah menghancurkan kepercayaan yang diberikan olej 47%
pengundi BN.
Lim turut membidas kerajaan BN yang berterusan membiarkan gejala rasuah
dan kroni parti tersebut mengaut keuntungan hasil negara.
"Apakah etika kuasa dan justifikasi kerajaan persekutuan apabila
bertindak menaikkan kos sara hidup walhal mereka enggan melaksanakan
pembidaan tender secara terbuka dan kompetitif malah tidak mahu
mendedahkan berapa aset yang dimiliki.
"Di manakah moralnya apabila kerajaan BN dilihat tidak mempunyai
kemahuan politik memerangi rasuah membiarkan kroni dan keluarga BN terus
mencuri duit rakyat ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan harga
dan hutang sebanyak 83.5 % daripada hasil Keluaran Kasar Dalam Negara
(KDNK) yang merupakan antara kedua tertinggi di Asia?" soalnya. – 30
Disember, 2013.