ARTIKEL YANG PATUT DIBACA: KISAH KADUK NAIK JUNJUNG

‘Macam kaduk naik junjung’, macam mana rakyat tak marah? – Aspan Alias

“It’s scary!” kata seorang rakan saya yang sememangnya seorang yang serius dalam hidup beliau apabila beliau bercakap mengenai keadaan negara pada hari ini. “What is frightening you bro?” tanya saya kepadanya  semasa beliau minum kopi di Bangsar Village dua hari lepas.

Katanya dia takut dengan masa depan negara yang tidak terurus dengan betul mengikut taraf sebuah negara yang mengaku akan menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Politiknya tidak menentu, keselamatan negara tidak meyakinkan dan segala-gala urusan samada perniagaan dan lain-lain sudah tidak mempunyai budaya lagi.

Isu rasis amat menakutkan sesiapa yang faham tentang semua ‘consequence of events’ jika cara permainan politik negara sekarang ini masih tidak berubah. Perhubungan di antara kaum tidak sebaik dahulu dan semua pemimpin politik di setiap peringkat bercakap tentang perkauman yang menebal.

Orang seperti saya dan ramai yang lain di bawah ini faham maksud rakan saya tadi. Maksud beliau ialah ‘uncertainties’ yang dirasai oleh rakyat kerana mereka tidak nampak apa-apa perubahan kepada kerajaan selepas diberi sambungan mandat dalam pilihanraya lalu.

Mana kesejahteraan yang dijanjikan oleh BN sejak 30 tahun dahulu? Mana peluang untuk semua terutamanya ‘the big chunks of the unfortunate Malays’ yang dilihat oleh kaum bukan Melayu sebagai kaum yang diberikan keistimewaan itu? Kaum bukan Melayu tidak juga boleh dipersalahkan kerana pemimpin kerajaan teraju Umno tidak henti-henti bercakap memperjuangkan bangsa Melayu sejak berdekad-dekad dahulu.

Tetapi sebahagian besar Melayu tidak juga dapat menikmati apa yang dikatakan sebagai bangsa yang diberikan keutamaan dan keistimewaan itu. Memang ada Melayu atau Bumiputera yang mendapat kekayaan kerana keistimewaan yang diperuntukan oleh perlembagaan itu. Tetapi Melayu macam mana? Jawapannya semua orang tahu Melayu yang menjadi pemimpin Umno dan kroni-kroninya sahaja yang mendapatkan keistimewaan itu. Bilangannya terlalu kecil.

Ada lagi Melayu dan Bumiputera yang menggunakan peruntukan keistimewaan orang Melayu itu. Mereka dianggap sebagai ‘Super Bumi’ seperti Ananda, Arumugam, Mohzani Mahathir, Mirzan Mahathir, Syed Mokhtar, Vincent Tan dan beberapa orang yang lain. Jumlah mereka ini boleh dikira dengan jari. Lain-lainnya terdiri daripada anak-anak menteri, menantu dan adik-beradik menteri, anak-anak dan menantu MB, kaum kerabat pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Di kawasan dan daerah pula kaum keluarga wakil-wakil rakyat Parlimen dan DUN mendapat banyak peluang kerana mereka Bumiputera dan Melayu. Pegawai-pegawai kerajaan di daerah pula ramai yang mempunyai lesen kontraktor kelas F dengan menggunakan nama isteri dan keluarga masing-masing. Hampir kesemua kerja kecil-kecilan diambil oleh mereka ini.

Semua ini kalau dikaji dengan teliti adalah mereka yang rapat dengan Umno dan parti-parti pemerintah. Dengan kata lain jika ingin mendapat peluang melalui peruntukan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera ini, mereka mestilah menjadi aktivis atau penyokong kuat Umno.

Kalau kita tegur, mereka akan melenting dan marah. Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri marah-marah apabila ditanya media tentang penglibatan anak-anaknya dalam perniagaan menggunakan pengaruh beliau. Dengan berang Dr Mahathir menjawab, “Takkan anak-anak saya nak jadi tukang kebun pula?” Semuanya ini masih tidak hilang daripada ingatan ramai orang.

Sebahagian kecil yang mendapat peluang ini akhirnya gagal kerana terlalu banyak tol dalam perniagaan kerana budaya rasuah dalam kerajaan. Ramai yang bungkus dan gulung tikar kerana tiada pembelaan. Namun, anak Perdana Menteri apabila gagal dalam perniagaan perkapalan, boleh pula mendapatkan wang rakyat untuk membeli syarikat yang kerugian itu daripada beliau dengan jumlah hampir RM2 bilion pada tahun 1996 dahulu.

Anaknya selamat daripada kerugian dengan menggunakan wang rakyat, malahan dapat pula sedikit keuntungan hasil daripada kerugian perniagaannya itu. Pada masa yang sama membidas peniaga Melayu kerana kelemahan dalam perniagaan dan mengkritik mereka kerana terlalu bersandar kepada kerajaan. Beliau lupa yang kerugian perniagaan anaknya itu adalah kerana kelemahan dalam perniagaan juga dan akhirnya kerajaan Umno juga yang menyelamatkan anaknya itu.

Sekarang kepimpinan yang diwarisinya kepada rakyat adalah kepimpinan yang lemah dengan di saluti oleh isu rasuah dan pelbagai isu yang menakutkan rakyat seperti yang disebut oleh rakan saya tadi. Harga barangan yang bertambah tinggi membuatkan kos kehidupan sangat tinggi. Dalam pada itu dinaikkan pula harga minyak, diesel dan gas. Alasannya kerana kerajaan mengurangkan jumlah subsidi kepada rakyat.
Kenapa dikurangkan subsidi itu sedangkan ia melibatkan puluhan juta rakyat sedangkan subsidi yang begitu tinggi diberikan kepada orang berkuasa melalui rasuah dan sebagainya. Jika benar pimpinan prihatin terhadap kesengsaraan rakyat, kenapa Perdana Menteri menggunakan hampir RM100 juta dalam tiga tahun untuk sewaan jet peribadi Perdana Menteri?

Mengapa Perdana Menteri berbelanja dengan boros? Presiden XI Jinping dari China pun terbang dengan pesawat komersil dari negara itu ke mana-mana pemimpinnya melawat. Perlu diingat China  bukan sahaja negara besar tetapi ia juga adalah ‘civilisation by itself’. Kenapa pemimpin negara sekangkang kera ini mengada-ngada sampaikan tidak boleh lagi menggunakan pesawat komersil? Kenapa bersifat si kudung dapat cincin pula sehinggakan mereka tidak layak lagi terbang menggunakan pesawat komersil kelas pertama?

Dari mana asal usul pemimpin ini sampaikan tidak lagi seronok naik pesawat komersil sekarang? Perdana Menteri lahir di Kuala Lipis pada tahun 1953 dahulu. Adakah beliau sejak kecil sememangnya sudah biasa naik jet peribadi terbang dari Kuala Lipis ke Pekan atau Kuala Lumpur?

Semuanya ini membuatkan rakyat tidak lagi berkeyakinan terhadap kepimpinan negara sekarang. Sikap ‘kaduk naik junjung’ ini membuatkan rakyat meluat kerana rakyat sedang bertarung untuk hidup dalam keadaan inflasi yang begitu tinggi.

Jika Najib meminta rakyat mengubah cara hidup, kenapa beliau dan barisan pimpinan beliau tidak berbuat perkara yag sama? Ia amat menjijikkan rakyat. Untungnya Umno hanya disebabkan satu perkara, iaitu rakyat belum nampak kejujuran pimpinan pembangkang sendiri.

Pembangkang masih terkial-kial untuk menunjukkan sikap jujur dalam usaha menjadi kerajaan alternatif. Rakyat juga nampak jika pihak pembangkang mendapat mandat baru-baru ini tidak akan banyak perubahan sikap mereka jika berada dalam kepimpinan negara.

Rakyat sangat prihatin terhadap segala-galanya sekarang. Mereka sudah terlalu lama dibuai oleh permainan politik pemimpin-pemimpin politik yang hanya menggondolkan perut mereka dan keluarga mereka sahaja. –

 aspanalias 11 Oktober, 2013.


 CA

DSAI ZIARAH HJ SUHAIMI




Dato Seri Anwar Ibrahim telah melakukan lawatan terhadap sahabat lama beliau , Hj Suhaimi Said yang terlantar sakit akibat kanser  tulang. Hj Suhaimi yang mula sakit 5 hari sebelum hari pembuangan undi pilihanraya lepas , kini hampir 2 bulan terlantar sakit setelah keluar dari HUKM.Beliau merupakan calon DUN Jenderak,Pahang.

Siapa Hj Suhaimi ?  lawat sini

DSAI  melawat beliau di rumahnya di Temerloh baru-baru ini bersama rakan-rakan lain termasuk  YB Dato Fauzi Abdul Rahman Ahli Parlimen Indera Mahkota , YB Sivarasa Ahli Parlimen Subang ,YB Syed Mohammed ADUN Semantan, Temerloh, Latifa Koya,Nizam hamid,penyokong dan ahli parti.


Nak mudah menang jawatan dalam Umno, bergaduhlah dengan Cina - Shahbudin Husin

Nak mudah menang jawatan dalam Umno, bergaduhlah dengan Cina. Saingan merebut jawatan Naib Presiden Umno kali ini mulai membahang panasnya. Sementara Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dilihat adalah calon yang paling dikehendaki oleh majoriti perwakilan bagi menduduki kerusi nombor tiga itu dan Hishammuddin Hussein, seorang lagi anak bekas Perdana Menteri berada dalam kedudukan cemas dalam mempertahankan jawatannya, Zahid Hamidi pula terus meniti populariti terutama setelah menunjukkan permusuhan yang ketara dengan kaum Cina.

Jika sebelum ini ketegasan dan pendirian tidak berkomprominya dalam beberapa isu berkaitan keselamatan, jenayah, polis dan undang-undang telah mengangkat namanya, tetapi penampilan sikapnya yang berlebih-lebihan seperti mempertahankan "tiga line" tetapi tidak berkompromi dengan kaum lain, ternyata lebih meningkatkan imejnya.

Walaupun ketegasan Zahid itu menjerumuskannya ke kancah perkauman yang sebenarnya tidak begitu baik untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia ini dan beberapa laporan polis juga sudah dibuat oleh DAP terhadapnya, tetapi gerafnya sama-sekali tidak menurun di hati para perwakilan Umno. Umno amat menyenangi sikap Zahid itu.

Malah, dengan adanya laporan polis yang dibuat oleh DAP terhadapnya seolah-olah parti pembangkang itu turut sama berkempen membantu kemenangan Zahid.

Terbaru, sokongan terbuka yang disuarakan oleh Mahathir terhadap kenyataannya berkaitan isu menembak penjenayah oleh pihak polis, secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukannya yang sudah sedia terjamin itu untuk mengekalkan jawatan Naib Presidennya.

Di mata perwakilan Umno, sikap dan keberanian yang ditunjukkan Zahid adalah menepati kehendak dan selera mereka. Lebih-lebih lagi selepas keputusan pilihanraya yang menyaksikan pengundi Cina tidak memihak kepada BN, sikap dan pendirian yang ditunjukkan oleh Zahid adalah penawar kepada kekecewaan Umno terhadap pendirian pengundi Cina itu.

Walaupun ada percubaan untuk menggugat kedudukan Zahid, termasuk menyebarkan rakaman yang bertajuk Jenayah Zahid Hamidi di youtube (kini telah disekat daripada ditonton) iaitu berkaitan insiden pukul dan laporan polis yang melibatkan seorang ahli perniagaan, Ahmad Bazli yang difahamkan sudah diselesaikan di luar mahkamah dan tindakan Karpal Singh mahu membuka semula kes itu, namun ia dipercayai tidak menggoncang keimanan politik majoriti perwakilan yang bakal mengundi pada 19 Oktober ini terhadapnya.

Bersama-sama dengan Mukhriz Mahathir yang dianggap tokoh muda yang dikehendaki sebagai pelapis masa depan, Zahid Hamidi dipercayai sudah meletakkan sebelah kakinya beriringan dengan anak bekas Perdana Menteri itu untuk menempah dua slot kerusi Naib Presiden Umno. Cuma siapa yang bakal mendapat undi tertinggi saja yang akan membezakan mereka nanti.

Dengan itu, perebutan satu lagi kerusi Naib Presiden Umno yang masih tinggal nampaknya bakal menjadi rebutan antara Hishammuddin, Shafie Apdal, Ali Rustam dan Isa Samad.

Dari segi kedudukan sebagai penyandang, berusia masih muda dan berjawatan menteri dalam kerajaan, Hishammuddin dan Shafie dirasakan mempunyai peluang paling cerah untuk mengisi slot ketiga itu. Namun perkembangan di hari-hari terakhir ini menunjukkan Ali Rustam bakal menggugat peluang mereka itu.

Ali Rustam yang kalah di Bukit Katil dalam pilihanraya lalu kerana pengundi Cina tidak memihak kepadanya, kini sedang meningkatkan gerafnya di mata perwakilan dengan taktik yang sama dengan Zahid iaitu bersikap perkauman, memusuhi orang Cina dan bergaduh dengan DAP.

Bersama sakit hati yang masih berbekas terhadap pengundi Cina, Ali Rustam yang kini berjawatan Senator dan Pengerusi PUNB menyerang kejayaan kaum Cina dalam perniagaan dengan mengatakan mereka berjaya kerana boleh berniaga apa saja, termasuk yang haram di sisi agama Islam.

Kemudiannya beliau juga mencadangkan supaya sekolah vernakular ditutup dan digantikan dengan sekolah satu aliran untuk semua kaum untuk menangani sikap mereka yang dianggapnya tidak tahu mengenang budi kerajaan itu. Meski digelar Nazi oleh Lim Guan Eng dan Ali tidak berganjak daripada pendiriannya itu, keadaan ini menjadikan popularitinya makin melonjak lagi.

Meski dikategori sebagai orang pencen dan sudah berusia 64 tahun, kepintaran Ali merebut peluang dengan turut menunjukkan dirinya bersifat rasis, menyerang orang Cina dan bergaduh dengan DAP, telah memberi nafas semula kepadanya sedangkan sebelum ini penyertaannya bersama dengan Isa Samad dianggap sebagai "kacau daun" semata-mata.

Jika Ali terus meningkatkan mementumnya dalam hal ini, peluangnya untuk mengiringi Zahid dan Mukhriz ternyata lebih cerah lagi. Malah jika beliau berjaya memerangkap DAP atau pihak-pihak lain agar turut membuat laporan polis terhadapnya, tidak diragui lagi slot ketiga kerusi Naib Presiden itu pasti akan menjadi miliknya.

Kelebihan dalam menggunakan isu perkauman dan bergaduh dengan DAP itu pula nampaknya tidak dimiliki oleh Hishammuddin, Shafie dan Isa Samad dalam jawatan masing-masing. Ini menjadikan ketiga-tiga mereka itu semakin ketinggalan walaupun sedang giat menjelajah ke seluruh negara meraih undi dan sokongan.
Selain mengekalkan hubungan baik dan keramahannya dengan pemimpin UMNO di seluruh negara yang memang sudah dipupuknya sejak sekian lama, Ali Rustam dipercayai akan terus menunjukkan sikap rasis dan permusuhannya dengan kaum Cina sehingga 19 Oktober ini kerana beliau tahu itulah yang secara umumnya disukai oleh perwakilan Umno.

Dengan beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini, beberapa pemimpin lain yang bertanding pelbagai jawatan juga telah mula mengambil sikap yang sama iaitu menunjukkan jiwa Melayu masing-masing dan menyerang DAP yang dikuasai kaum Cina dengan ekstrem sekali. Ini dianggap cara paling mudah menarik perhatian perwakilan memandangkan kaedah kempen tradisional dalam waktu yang terbatas ini tidak lagi memadai.

Namun kemaraan Ali Rustam ini tentunya membuatkan Hishammuddin yang sedia dalam keadaan cemas, bertambah kencang lagi degupan jantungnya menjelang 19 Oktober nanti. Dan Najib yang diketahui tidak mahu sepupunya itu kecundang turut tidak gembira dengan imej bekas Ketua Menteri Melaka yang tiba-tiba meningkat itu. - shahbudindotcom, 10 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.