Tindakan bersara juga adalah sumbangan besar kepada negara - Aspan Alias


Rencana


October 05, 2013
Tidak ada lagi kita dengar yang baik disebut oleh masyarakat tentang kerajaan yang ada pada hari ini. Tetapi perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan sekarang ini adalah pilihan rakyat. Rakyat yang mempunyai kuasa untuk memilih mana-mana parti dan kerajaan yang lebih mantap daripada yang ada, tetapi kenapa kerajaan itu tidak juga berubah sampai ke hari ini. Sejak merdeka sampai ke hari ini kita ditadbir oleh Perikatan dan selepasnya ditukar nama ke BN dengan jumlah keahlian parti yang lebih besar dalam ‘coalition’ BN itu.

Dalam dua pilihan raya lalu kalau d pandang daripada sudut kemampuan BN, pihak pembangkang sudah sepatutnya menjadi pengganti kepada BN yang dianggap seperti parti yang tidak relevan kepada rakyat dan negara. Tetapi akhirnya BN tetap mendapat perhatian dan diberi kuasa untuk menjaga mandat rakyat walaupun ramai yang amat menyesali keadaan ini berlaku.

Bagi saya keadaan dan sistem yang kita guna pakai membuatkan Umno itu susah hendak diketepikan. Apa tidaknya? Dalam seburuk-buruk keadaan, Umno tetap sebuah parti yang akan memenangi kerusi terbanyak walaupun BN itu kalah dalam pilihan raya. Tidak ada satu parti dalam Pakatan akan berjaya memenangi setidak-tidaknya satu kerusi lebih daripada Umno.

Hasil keengganan untuk berubah dengan jujur maka Umno sudah tidak lagi memahami segala-galanya walaupun dalam keadaan dan sistem politik di negara ini parti itu akan tetap menjadi parti yang memenangi jumlah kerusi lebih daripada mana-mana parti sama ada dalam BN mahupun dalam Pakatan Rakyat. Maka jelas sistem yang ada kini mengorbankan rakyat yang tidak dapat pimpinan yang berusaha untuk kebaikan dan terpaksa duduk dalam tekanan jiwa yang begitu hebat sekali.

Najib dan kerajaan kini sudah tidak tahu lagi apa yang baik yang hendak dibuatnya. Saya percaya, baik Najib mahu pun Muhyiddin dan lain-lain, ingin melakukan kebaikan, tetapi mereka tidak tahu apa kebaikan hendak dilakukan selari dengan kehendak politik dan negara semasa. Mereka sudah tidak tahu mengenali yang mana satu baik dan buruk. Itu sebabnya kita melihat dan mendengar banyak perkara yang dilakukan mereka walaupun untuk kebaikan tetapi hasilnya tidak nampak perkara baik berlaku.

Hasilnya berlakulah polemik politik di serata tempat tidak kira di kedai kopi atau di masjid dan surau. Kita pun tahu oleh kerana perubahan itu hanya boleh dilakukan oleh kerajaan jika pemimpin tahu apa dan cara untuk berubah itu. Maka tidak henti-hentilah rakyat ramai berpolemik dan berbahas sesama sendiri yang tidak membawa apa-apa hasil kepada negara. Oleh kerana masing-masing tidak tahu masalah sebenar maka perbahasan tidak tepat dan sentiasa lari daripada isu sebenar yang mereka tidak memahaminya.

Buatlah pemilihan setiap bulan untuk Umno ini, keadaan tetap tidak berubah, kerana yang mengganti, yang ada pun tidak faham apa yang hendak diubahnya. Tetapi ia tetap berlaku kempen-mengempen di antara puak dalam Umno itu kerana mereka lebih mengejar kepentingan diri dan politik keluarga masing-masing. Mereka masih menganggap memegang jawatan yang besar dan glamor itu adalah ‘ultimate’ bagi mereka, tidak kira pihak kerajaan dan pembangkang.

Oleh kerana perubahan tidak juga akan berlaku jika diubah dan dianjak pimpinan dan parti mereka, maka inilah yang membuatkan Umno tetap menjadi parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum di negara ini.

Bagi saya sekarang ini realiti politik itu wajar diterima tanpa prejudis terhadap parti dan pihak. Tidak ada pihak yang boleh membetulkan keadaan hari ini. Contohnya jika kita mahu menyelesaikan masalah perkauman, kita perlu memilih DAP sebagai alternatifnya tetapi hasilnya DAP tetap dengan kecinaannya. Maka tidak wajar kita memilih pihak yang lain jika kita tahu masalah yang dicontohkan sekarang, iaitu perkauman tidak dapat diselesaikan oleh parti alternatif. Tidak akan ada pihak yang mahu mengalih dan menganjak yang ada jika menggantikannya itu tidak juga dapat menyelesaikan isu pokok dalam negara iaitu perpaduan kaum.

Blog ini selalu memberikan ‘input’ tentang apa masalah yang ada. Itu sebabnya blog ini percaya agar dimulakan negara baru dan memberikan seorang yang berpengalaman untuk menerajui dialog di antara semua kaum dan mengambil serius tentang perpaduan kaum yang sedang menjadi masalah besar kepada kita sekarang ini.

Kita perlu mengakui, apa yang sedang berlaku dalam Umno saat ini semata-mata politiking yang besar dalam mana pihak-pihak yang terlibat sedang berusaha untuk mengelirukan pimpinan yang sedang berusaha untuk menaiki tangga dan tahap kepimpinan dalam parti. Entah siapa yang memerangkap dan siapa yang terperangkap dan permainan setiap pemimpin yang memegang jawatan penting dalam Umno itu.

Struktur asas Umno dan kepimpinannya wajar dilakukan dalam masa terdekat jika tidak mahu melihat kebinasaan kepada Umno. Banyak orang berkata hendak berbuat baik itu susah, tetapi jika pimpinan besar Umno menerima hakikat yang pengorbanan terhadap kepentingan peribadi mereka itu juga merupakan kerja baik terhadap negara. Terlalu banyak disebut oleh rakyat tentang kelemahan Najib dan Muhyiddin.

Tetapi jika Najib benar-benar mahukan berbuat jasa kepada negara, beliau sepatutnya melakukan tin
dakan yang ‘unorthodox’ dengan memberikan kepimpinan kepada seseorang yang boleh berbuat kebaikan dan perubahan. Jika Najib melakukan perkara ini maka beliau akan dianggap sebagai penyumbang besar keada kepentingan negara dengan pengorbanan benar dan jelas yang dilakukan di hadapan mata rakyat yang ramai.


Bagi seorang pemimpin utama yang tidak berjaya membuat kebaikan, kelemahan ini akan dapat ditutupi dengan mengaku kelemahan dan menyerahkan kuasa untuk pembaikan negara itu kepada sesiapa yang berkemampuan. Orang ramai tidak akan mengambilnya sebagai kekalahan, tetapi sebaliknya rakyat akan menerima pimpinan sebegini sebagai pemimpin bertanggungjawab kerana memberikan kepimpinan itu kepada mereka yang lebih berkelayakan. Itu merupakan sumbangan besar kepada negara dan akan dikenang rakyat buat selama-lamanya. – aspanaliasnet.blogspot.com, 5 Oktober, 2013.