Ketua Dewan Urusan Ulamak Pas Harun Taib membuat cadangan supaya Pas
mengkaji semula kerjasama (tahaaluf syiasi) dengan PKR. Beliau
dilaporkan mengemukakan cadangan itu semasa merasmi Mutlaqa Ulamak
se-Malaysia yang berlangsung sehari suntuk di Kedah
.
Alasan
itu katanya kerana banyak perkara menerusi tahaaluf syiasi itu boleh
melemahkan Pas. Beliau tidak menyebut apakah bentuk kelemahan-kelemahan
secara spesifik dan ilmiah, hanya menyebut salah satu kelemahannya
menyebabkan sokongan Melayu terhadap Pas berkurangan berdasarkan kepada
pilihan raya lepas. Tentunya andaian ini silap sebab tahaaluf syiasi itu
bukan bersifat macam ayam mengawan tetapi bersifat anjing berjimak
(lama).
Pandangan Harun ini adalah subjek yang akan menggemakan
muktamar Pas yang akan berlangsung di Shah Alam pada November depan.
Sudah tentu muktamar akan datang akan memberi fokus kepada cadangan itu
dan ia akan menjadi agenda utama muktamar. Apabila Harun melontarkan isu
itu, ia menjadi isyarat kepada ahli-ahli Pas terutamanya golongan
merasakan diri mereka 'ustaz, hafiz atau mendapat pendidikan Timur
Tengah dan lebih bangsa 'Melayu' akan membahas perkara berkenaan.
Apa
yang dapat dibayangkan di sini, sekiranya agenda itu dibahas dan
diterima sudah tentu Pas akan mempamirkan satu langkah baru yang lama
dan sekaligus Pas akan menunjukkan ia dikuasai oleh 'pedagang-pedagang'
politik Islam. Kemungkinan yang boleh disuluh di sini Pas akan mencari
rakan politik baru dalam projek 'tahaaluf syiasinya' untuk masa depan
bagi meletakkan Pas sebagai sebuah parti dominan seperti diharap Harun.
Bolehkah Pas menjadi dominan dengan pendekatannya tanpa menuruti 'sungai
peralihan' kerana politik itu sendiri bersifat pragmatik?
Mungkin
di sini Pas akan berpaling tadah bekerjasama dengan Umno atas alasan
untuk memperkuatkan Melayu dan Islam. Tetapi selalu yang disoalkan,
apakah Umno akan bersikap jujur dan ikhlas dengan Pas? Dan sejauh
manakah Pas menyakini Umno memperjuangkan Islam dan Melayu sedangkan
dasar-dasarnya yang jelas bertentangan dengan kehendak dasar
perlembagaan Pas.
Cadangan untuk mendekati Umno ini tidak
menghairankan kerana agenda Unity Gorvenment masih berjalan tetapi
dengan sedikit perubahan dan bertukar pemainnya. Kalau dahulu ia
dimainkan oleh bekas timbalan presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan
beberapa yang lain, tetapi kini ada watak lain yang mengambil alih baton
kerajaan perpaduan itu dengan melarikannya dalam kabus.
Sekiranya
muktamar menerima cadangan itu; Pas memutuskan kerjasama dengan PKR
khasnya Anwar Ibrahim sedikit sebanyak ia akan menjejaskan Pas dari segi
kepercayaan umum. Orang akan melihat Pas tidak konsisten didalam akidah
politiknya (kerjasama) atau berbuat sesuatu tanpa berfikir. Golongan
muda profesional tentu akan tergencat menyebabkan mereka menarik diri
dari Pas.
Pemansuhan kerjasama itu juga boleh menyebabkan orang
Cina konfius dengan Pas dan hilang kepercayaan. Kerusi-kerusi bandar
yang dimenangi Pas atas sokongan pengundi Cina akan hilang. Implikasi
ini kena diterima, sumbangan orang Cina juga dalam hubungan kerjasama
ini tidak banyak, sikit menguntungkan Pas.
Secara umumnya
cadangan Harun agar dikaji semula kerjasama itu tidak boleh
dikesampingkan begitu saja dengan syarat ia dibuat secara menyeluruh.
Kajian itu bukan saja melihat kelemahan atau pun kenegatifan Pas dengan
kerjasama itu sahaja, sebaliknya kaji juga mengenai kesan positifnya
seperti salah satu dinyatakan di atas tadi.
Kalau hendak buat
kajian jangan melihat cemarnya PKR sahaja, tetapi kena juga lihat
kelemahan Pas itu sendiri serta kesalahan-kesalahan dilakukan Pas
disepanjang tahalul syiasi itu sendiri. Sebab Pas juga parti yang tidak
sesuci namanya dari segi amalinya. Bila ditengok memang Pas menjadi
terlalu toleransi dan anjal dalam aspek-aspek yang perlu dipetegakkan,
misalnya mengenai soal agama dan bangsa, tetapi siapa yang salah. Apakah
PKR yang menekan Pas agar bersikap begitu atau siapa?
Misalnya
dalam layanan liberalisasi keagamaan Pas menjadi tersangat baik dan
terbuka sampai Presiden dan Mursyidul Am sendiri sanggup masuk ke gereja
demi menarik perhatian dan simpatis politik? Apakah pemergian presiden
dan mursyidul am itu atas paksaan PKR atau Anwar? Jawabnya tidak. Ia
adalah kehendak dan ijtihad mereka sendiri. Jadi dalam hal ini PKR atau
DAP tidak boleh disalahkan atas toleransi keterlaluan itu sehingga
menyebabkan Pas rugi melainkan kesalahan Pas sendiri juga.
Bagaimana
pun, cadangan Harun itu juga dilihat bakal menjadi polemik baru didalam
Pas. Cadangan itu sudah tentu akan bertentangan dengan pandangan (pola
fikrah politik) Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Nik Aziz yang melihat
tahalus syiasi dengan PKR itu memberi ruang baru kepada Pas sendiri
untuk memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam. Perwujudan Dewan
Himpunan Penyokong (DHPP) Pas sedikit sebanyak ia bertolak dari roh
tahalu syiasi. Sebelum mengkaji kebehasilan tahalus syiasi itu kaji dulu
apakah untung dan rugi DHPP Pas itu.
Boleh jadi juga isu itu
akan digunakan untuk muktamar November nanti bagi menyingkir mereka yang
tidak sebulu dan sepasukan dengan mereka, iaini golongan merasakan
mereka alim ulamak. Golongan profesional yang selama ini membawa anjakan
baru dalam politik Pas; mempolitikan ulamak dan mengulamakkan politik,
telah membawa perubahan besar kepada pentadbiran dan sistem politik Pas
serta memecahkan 'bongol-bongol' pejal dalam rangka kepelbagaian
citarasa politik berversiasi negara ini.
Seharus dikaji dengan
mendalam dan panjang lebar. Penolakan kerjasama dengan PKR itu sudah
tentu ia akan membawa kepada penolakan kerjasama dengan DAP juga dan
menolak kerjasama dengan mereka yang benci kepada lapok UBN. Penerimaan
itu nanti menyebabkan orang ramai khasnya generasi baru merasakan Pas
mundur ke belakang semula. Pandangan itulah yang dimahui Umno bagi
melihat Pakatan Rakyat yang kini menguasai suara majoriti menjadi lemah
'kumbali'. Umno sedang berdoa siang dan malam dengan mendupakan asap
kemenyen Islam dan bangsa bagi mempengaruhi Pas.
Apakah langkah
dewan ulamak yang ingin membawa Pas kembali ke belakang dalam tribulasi
ini kerana mereka sudah termakan cacing dalam mee Umno? Nauzubilah.
Paling menakut dan membimbangkan gara-gara cadangan Harun Taib dan
begitu ghairahnya golongan merasakan mereka alim itu menyebabkan Pas
akan berpecah dua.
Peristiwa yang berlaku penghujung 1982
menyebabkan Mohd Asri Muda dan rakan-rakan meninggalkan Pas kemudian
menubuhkan Hamim tahun 1986 disebabkan diperlakukan demikian rupa dan
kejinya, perlulah disedari dan diambil iktibar. Tempoh untuk Pas
berpecah juga sebenarnya sudah sampai selepas, iaini Pas tenang selama
30 tahun. Perhatilah Pas sudah tidak berpecah dan kalut sesudah 30 tahun
setelah kekalutan terakhirnya 1982. [wm.kl.3:35 pm 14/09/13]