Manifesto Rakyat: BN bakal tumbang pada PRU-13 Oleh Noor Jaafar




KALAU diteliti betul-betul kandungan Manifesto Rakyat yang bertemakan “Pakatan Harapan Rakyat” tidak ada alasan lagi bagi rakyat Malaysia untuk mengelak daripada memberi mandat kepada Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Walaupun kebanyakan pemimpin UMNO-BN memperlekeh dan menganggap manifesto itu tidak realistik atau seperti ‘menanam tebu di bibir’, realitinya rakyat sudah lama tahu hati budi dan perangai jahat UMNO-BN.
Kelebihan manifesto itu yang pentingnya ia dirangka bagi menjamin keadilan, kesejahteraan dan kesaksamaan rakyat.

Kalangan pemimpin PR memang sudah menjangka komen sedemikian akan dikeluarkan dan media arus perdana kawalan UMNO-BN terutama Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 pasti akan menyiarkan komen pedas segelintir mereka yang seolah dipaksa supaya tidak menyokong manifesto berkenaan.
Setakat ini rakyat belum tahu apa kelebihan pada manifesto BN, tetapi yang pasti memang ‘tanam tebu di bibir’ yang boleh membuatkan hutang negara bertambah dan semakin berleluasa rasuah, salah guna kuasa dan memperkayakan kroni.

Rakyat mahu ubah

Kebanyakan rakyat mahu memberi sokongan untuk memberi peluang PR daripada mengekalkan BN yang sudah lama bermaharajalela melakukan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.
Jika rakyat Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah  (dan Perak pada 2008 sebelum kuasa dirampas secara haram oleh UMNO-BN) berani menukar kerajaan yang ditadbir BN, tidak ada sebab bagi rakyat negeri lain untuk mengikuti langkah sama bagi menjamin sebuah kerajaan yang lebih berintegriti, bersih, adil dan tidak salah guna kuasa.

Kecemerlangan yang dicapai empat negeri berkenaan, tidak ada alasan lagi bagi rakyat Malaysia merasa takut, ragu dan bimbang  untuk melakukan perubahan sama supaya negara boleh diterajui dengan lebih baik tanpa penyelewengan, salah guna kuasa dan korup kepada kepemimpinan parti dalam PR iaitu PKR, DAP dan PAS.

Tidak mungkin masih ada lagi rakyat yang meragui kemampuan pemimpin PR kerana empat negeri yang diperintah pemimpin daripada parti komponen PR berjaya ditadbir dengan baik dan cemerlang serta memberi banyak manfaat kepada rakyat

Kejayaan Kelantan sebagai teladan

PAS yang menerajui Kelantan sejak 22 tahun ini terbukti mampu mentadbir negeri dengan amanah, tidak melakukan rasuah dan salah guna kuasa. Begitu juga Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, masing-masing diterajui DAP, PKR dan PAS.

Rekod kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, selama 22 tahun gagal ditandingi pemimpin lain di negara ini dan jauh panggang daripada api jika dibandingkan dengan pemimpin BN termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang paling lama memerintah serta Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mana pentadbiran mereka bergelumang dengan rasuah dan salahguna kuasa.

Setakat ini tidak ada pemimpin seperti Tuan Guru Nik Aziz yang begitu hebat daripada segi integriti berbanding negeri yang diperintah UMNO-BN yang hanya pandai menambahkan hutang, bukannya mengurangkan hutang. Malah kerajaan negeri yang ditadbir PR sekarang terpaksa menyelesaikan hutang yang ditinggalkan menteri besar dan ketua menteri BN sebelum ini.

Ramai penyokong BN mengatakan tidak mungkin Najib yang bijak ekonomi akan menyebabkan negara muflis. Apa tidaknya selama Najib mentadbir negara kini hutang negara sudah mencecah lebih RM500 bilion dan rezab Bank Negara juga semakin susut.

Tidak mungkin rakyat Malaysia yang semakin bijak dan matang sanggup membiarkan negara dan negeri terus diperintah BN yang mana pemimpin hanya tahu berbelanja boros bukannya tahu berjimat demi faedah rakyat.

Guan Eng membuktikan peluang saksama untungkan Melayu

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut dianggap seorang pemimpin yang hebat terutama cekap dan telus mentadbir negeri Pulau Mutiara itu.

Guan Eng berani mengakui kesilapan dan kelemahan serta memahami keperluan orang Melayu di Pulau Pinang. Kerana itulah teras pembangunan beliau ialah memastikan hapusnya kemiskinan tegar di negeri itu yang selama ini dibiar melarat oleh UMNO dan rakan komponen BN. Kerana itu juga Guan Eng menambah peruntukan bagi memajukan syiar Islam dan menyediakan perumahan rakyat di negeri itu.

Kerana itu jugalah, UMNO melalui media massa yang mereka kuasai hanya mampu menabur fitnah terhadap Guan Eng, DAP dan PR di Pulau Pinang. Memang resmi orang berniat jahat; apabila tak mampu berhujah, dia hanya menipu, berbohong dan menuduh orang lain.

Kedah ditadbir penuh hemah

Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak juga seorang pemimpin yang bersih, tidak rasuah dan salah guna kuasa, sebaliknya mementingkan nasib rakyat walaupun dia sering difitnah UMNO-BN dengan pelbagai penyelewengan, termasuk isu pembalakan.

Kedah yang ditinggalkan BN dengan hutang sebanyak RM2,095 bilion pada 2008 dan pertambahan hutang selepas itu sebahagian besarnya  adalah untuk pembesaran Taman Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan pengurusan bekalan air terawat untuk rakyat.

Ini bermakna hutang yang dibuat itu bukan untuk projek mewah, hiburan atau membeli cincin dan beg tangan isteri pemimpin negeri. tetapi betul-betul untuk faedah rakyat.
Dalam masa lima tahun pentadbiran PR di Kedah jumlah pelaburan ke KHTP adalah sebanyak RM10.8 bilion berbanding dalam mtempoh sama ketika zaman BN cuma RM4.7 bilion.

Selangor terus cemerlang di bawah PR

Begitu juga dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang cekap melakukan perancangan hinggakan ekonomi Selangor begitu membanggakan dan dinikmati rakyat.
Kerajaan PR Selangor berjaya menyumbang 30 peratus pelaburan di Malaysia, melepasi sasaran purata pelaburan negeri itu bagi tempoh Januari hingga Oktober 2012.

Pencapaian memberangsangkan ini sekaligus mencatatkan rekod tertinggi berbanding negeri-negeri lain dengan nilai melebihi RM10.5 bilion melibatkan 211 projek perkilangan yang telah diluluskan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor menjadi negeri tertinggi menerima pelaburan dengan jumlah keseluruhan RM48.53 bilion dalam tempoh tersebut.

PR sedia tadbir Malaysia

Semua empat negeri yang diperintah PR menunjukkan kemampuan yang membanggakan sehingga mendapat pujian dalam laporan Ketua Audit Negara hampair setiap tahun sejak memerintah.

Justeru, dakwaan BN kononnya manifesto PR itu tidak munasabah dan boleh menyebabkan negara muflis tidak boleh diterima, sebaliknya jika rakyat membiarkan negara terus diterajui BN akan mencepatkan negara muflis kerana dalam masa empat tahun saja Najib mentadbir, hutang negara sudah mencecah lebih RM500 bilion.

Bayangkan jika rakyat memberi peluang lagi kepada BN, hutang negara mungkin mencecah berlipat kali ganda dan membolehkan negara muflis. Bila itu berlaku, habislah kehidupan seharian rakyat kerana kenaikan gaji dibeku, harga barang naik, ekonomi merosot, menyebabkan sengsara hidup.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini juga sudah merayu supaya rakyat memberi peluang kepada PR memerintah negara bagi membuktikan model pemerintahan kerajaan yang adil berlandaskan nilai Islam dapat dilakukan.

BN yang sudah memerintah lebih 55 tahun tidak wajar lagi terus diberi peluang kerana dalam tempoh yang begitu parti itu gagal memajukan Malaysia, sekurang-kurangnya setanding dengan Korea Selatan.

Rakyat sedia terima PR sebagai kerajaan baru

Ramai yang menyambut baik manifesto rakyat itu dan mereka mahu menjadi realiti apabila PR memerintah nanti demi meringankan beban rakyat.
Ramai menyokong janji menghapuskan tol, menurunkan harga petroleum, kereta, hapuskan PTPTN, saman AES, caj elektrik dan air lebih rendah selain beberapa tawaran membantu ekonomi rakyat.

Ini tidak termasuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan baru di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing. memperkenal gaji minima RM1,100 sebulan, melatih sejuta lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pelajaran, membina lima universiti dan 25 sekolah vokasional, Tabung inovasi IKS RM500 juta, menyelaras cukai rakyat- kadar cukai tertinggi 26% untuk cukai pendapatan hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,00 berbanding RM250,000 sekarang.

Menyediakan pengangkutan awam percuma kepada golongan berbeza upaya, tambah bilangan bas, merangka untuk membina sistem keretapi laju antara bandar.
Menerusi empat teras utama manifesto itu, PR memastikan setiap isi rumah akan membawa pulang pendapatan isi rumah RM4,000 sebulan.

PR juga komited memastikan harga minyak diturunkan, caj elektrik lebih rendah, caj air lebih rendah, penghapusan tol, cukai eksais dan harga kereta serendah RM25,000 sebuah.

(Bagaimanapun PR mengakui ‘terlepas pandang’ isu tuntutan bayaran royalti minyak untuk negeri pengeluar minyak yang didapati tidak dimasukkan dalam manifesto ‘Pakatan Harapan Rakyat’ versi cetak. Semakan ke atas manifesto versi digital yang dimuatkan di laman Pakatan Rakyat mendapati ia memuatkan janji untuk “menaikkan royalti kepada negeri  pengeluar minyak dan gas dari 5 peratus ke 20 peratus”.)


Apapun pilihan sudah terlalu jelas. Sama ada terus dengan UMNO-BN yang korup dan semakin tidak peduli rakyat (kecuali untuk memberi habuan BR1M sekali dua kali seumur hidup) atau PR yang benar-benar komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengembalikan harga diri dan maruah rakyat. – Roketkini.com


Pakatan menang besar jika Melayu undi DAP, kaum-kaum lain undi PAS, PKR

Pakatan menang besar jika Melayu undi DAP, kaum-kaum lain undi PAS, PKR

JOHOR BAHRU, 27 FEB: Pakatan Rakyat akan mampu membentuk kerajaan melalui pilihanraya umum ke-13 nanti apabila orang Melayu berani mengundi DAP manakala kaum-kaum lain sanggup mengundi PAS dan PKR.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata formula itu amat penting di banyak negeri di Malaysia, khususnya di Johor, yang selama ini menjadi kubu buat UMNO-BN.

“Hanya dengan cara ini kita dapat menang di Johor dan membantu ubah kerajaan pusat dengan memberi mandat kepada Pakatan Rakyat,” katanya apabila merasmikan Wisma DAP Johor di Nusajaya di sini petang ini.

Biasanya trend pengundian di Malaysia berasaskan kaum. Dengan pola yang sama dijangka terus kekal tetapi ditambah pula Melayu mengundi DAP manakala kaum lain mengundi PAS atau PKR, peluang Pakatan untuk menang besar semakin terserlah.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut merasmikan treler Ubah Johor di tempat yang sama. Treler itu menjadi antara sumber logistik DAP dan Pakatan Rakyat di Johor dalam usaha untuk Jom Ubah Johor.

Antara yang hadir di majlis itu ialah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Penasihat Seumur Hidup DAP Dr Chen Man Hin, Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau dan bekas Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw.

Tetamu Pakatan Rakyat terdiri daripada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mahfodz Mohamed.
Menurut Guan Eng, beliau gembira kerana DAP Johor, walaupun ada perbezaan pandangan, tetap rapat dengan PAS dan PKR dalam usaha untuk ubah Johor.

Beliau berharap kesemua pimpinan dan ahli-ahli komponen Pakatan saling memesan kepada kaum keluarga untuk keluar mengundi sewaktu PRU nanti, dengan sasaran 85% keluar mengundi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata kemampuan DAP Johor memiliki bangunan sendiri mungkin membawa tuah yang tersendiri.

“Pada akhir 2007, DAP Perak telah membeli bangunan sendiri. Lima bulan selepas itu, DAP bersama PAS dan PKR menang dalam PRU 2008.

“Kini 60 hari sebelum Parlimen bubar secara automatik, DAP Johor pula ada bangunan sendiri. Mungkin ini petanda BN akan tumbang di Johor. Ini petanda rakyat Johor mahu kepada Pakatan Rakyat,” ujarnya. –

Roketkini.com

MarhainTua: Perlukah Khalid bubarkan DUN? (LM)

Perlukah TS Khalid membubarkan DUN Selangor tergesa-gesa?

Tan Sri Khalid Ibrahim. Menteri Besar Selangor mahu berbincang dengan pemimpin PKR tentang hasratnya membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Cap Goh Mei.

Kenapa terburu-buru sedangkan kita belum tahu bilakah DS Najib akan membubarkan parlimen dan mengisytiharkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Aqidah Harun Din dan Mustafa Ali Adalah Assabiyyah Melayu-Tulang Besi


Penolakan Ketua Dewan Ulama PAS terhadap projek lantik Ku LI sebagai Perdana Menteri membuat TUlang Besi berfikir panjang.

Mengapa dalam hal ini, tiba2 Ustaz Harun Taib berubah arah dan tidak bersama2 dengan puak perpaduang yang lain?

Kepada yang mengenali Ustaz Harun Taib ini, beliau seorang yang suka menampilkan diri sebagai pejuang Islam ataupun pengamal Islam.

Beliau juga berimej seorang yang iltizam dengan Islam. Dengan kata lain, apa sahaja yang beliau lakukan adalah di atas nama Islam.

Walaupun acuan Islam yang diikuti oleh Harun Taib ini lebih kepada realiti beliau di Terengganu dan secara khas nya di DUN Manir. Apabila ada realiti lain dari apa yang beliau biasa, maka terus itu dianggap tidak islamik.

Maka, Ustaz Harun Taib menolak Anwar Ibrahim kerana beliau anggap Anwar tidak cukup Islam nya seperti acuan yang beliau fahami.

Adapun orang-orang seperti Ustaz Harun Din serta Mustafa Ali ini hati mereka masih tebal dengan aqidah assabiyyah Melayu.

Walaupun Islam lekat di mulut Ustaz Harun Din sepanjang masa, tapi ia hanya setakat kerongkong beliau sahaja. Di dalam hati Ustaz Harun Din hanya ada ruang untuk assabiyyah atau kebangsaan Melayu.

Ini kerana sepanjang perbincangan beliau menolak Anwar Ibrahim tidak sekali pun Islam itu dijadikan rujukan atau asas. Mana mungkin Islam boleh dijadikan asas. Kalau dibandingkan amal islami Anwar Ibrahim berbanding Ku LI adalah ibarat langit dengan bumi. Kalau dibuka apa sahaja kitab pun pasti Anwar Ibrahim itu lebih baik dari Ku Li.

Maka, pencalonan Ku Li sebagai PM itu tidak lain berasaskan sebab musabbab berkaitan dengan assabiyyah Melayu semata-mata.

Amat malang nasib ahli2 PAS yang mempunyai kepimpinan yang tidak beraqidah kepada Islam tetapi kepada kebangsaan Melayu.

Isu Kalimah Allah tu pun mendedahkan sikap Ustaz Harun Din yang menebal fahaman beliau kepada assabiyyah Melayu. Ini kerana Islam sendiri tidak pernah mengharamkan orang Kristian menggunakan kalimah Allah. Hanya orang2 dan kepimpinan UMNO sahaja yang tidak suka dan mengajak rakyat jelatan ikut sama.

Tempat yang paling layak bagi setiap pejuang kebangsaan Melayu adalah dalam UMNO dan bukannya dalam PAS. Seeloknya Mustafa Ali dan Ustaz Harun Din isytihar masuk UMNO terus.

Syukur alhamdulillah majoriti rakyat Melayu sudah boleh menilai dengan baik. Mereka tidak sanggup dipimpin oleh perompak atau penyamun walaupun perompak atau penyamun itu berbangsa Melayu tulin. Mereka mahu MElayu yang memimpin mereka itu Melayu yang amanah lagi fathanah.

HURU HARA DAN UBI KAYU FANTASI Umno

“Huru-hara dan makan ubi kayu” cuma fantasi liar BN Oleh Hafiz Zainuddin

LENGGOK dan rentak pilihan raya umum makin memnas, daripada rentak inang sudah bertukar zapin. Hanya waktu yang menentukan bila rentak akan berubah kepada punk rock. Menang atau kalah parti yang bertanding adalah soal kedua, paling penting; apa dan bagaimana hala tuju negara ini selepas pilihan raya umum kelak.

Bagi Barisan Nasional (BN), negara akan huru-hara dan ekonomi akan tersembam jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah. Sehingga ada yang masih percaya, kita akan makan ubi kayu seperti zaman penjajahan Jepun di bawah kerajaan PR. Maka oleh itu, tidak kira samada pemimpin BN itu korup dan jahat sekalipun, parti itu perlu dikekalkan pemerintahannya sehingga kiamat.

Sama seperti tahun kegemilangan BN yang lampau, mitos sebegini terus dizikir saban hari biarpun tidak masuk akal waras. Maka, tidak hairanlah jika ada segelintir masyarakat kita yang lebih gemar membaca berita hantu penanggal tersangkut di tiang elektrik daripada membaca berita derita kemiskinan golongan terpinggir di Sabah dan Perak.

Akan tetapi, lain pula halnya dengan PR. Dengan pengalaman panjang melayan karenah birokrasi dan dizalimi pemerintah BN, ia tidak menjadikan gabungan oposisi ini lupa diri.
PR berpegang kepada prinsip meraikan kepelbagaian pendapat, gabungan oposisi ini percaya dan mahu masyarakat Malaysia dan negara dibebaskan daripada belenggu pembodohan, hegemoni kaum dan agama, rasuah dan salah guna kuasa yang dibudaya kerajaan BN selama ini.


PR mahu dasar ekonomi, kebajikan rakyat, kesihatan, keselamatan dan demokrasi diperbaiki. Maka, untuk itu, rakyat harus diyakinkan untuk melakukan tsunami kedua. Merubah pentadbiran Kerajaan Persekutuan BN kepada Kerajaan Persekutuan PR.
Jauh panggang daripada api: huru hara sekadar fantasi
Mahu atau tidak, mitos huru-hara dan makan ubi kayu yang diiya-iyakan BN itu memaksa kita untuk berfikir sejauh mana kebenaran dakwaan itu berdasarkan fakta.

Pertama, apabila PR berjaya membentuk kerajaan di lima negeri pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu, negeri itu terus ditadbir seperti biasa, tidak ada kakitangan kerajaan yang dipecat semata-mata kerana perbezaan fahaman politik. Orang yang sama juga sebagai kerani dan pegawai itulah sebagai PTD.
Kedua, negeri PR mencipta rekod pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan serta diperakui Jabatan Audit Negara sendiri. Pertumbuhan ekonomi negeri PR jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ketika ditadbir kerajaan BN. Paling penting, negeri semakin makmur malah hutang negeri semakin berkurang.

Ketiga, rakyat di negeri PR menerima lebih banyak manfaat seperti air percuma, peluang pekerjaan bertambah, bantuan masuk ke universiti, skim usia emas, khairat kematian, skim mikro kredit untuk peniaga kecil dan pelbagai lagi sehingga ia memaksa BN sendiri meniru dasar kebajikan negeri PR. Langsung, ia memaksa kerajaan Persekutuan BN ‘mengorek tabung’ dan menambah lagi hutang negara untuk memberi insentif ekspress kepada rakyat seperti BR1M, tayar teksi, kedai murah, baucher buku dan lain-lain.
Hanya bersandarkan tiga fakta itu tanpa perlu dipanjanglebarkan lagi, kita tidak dapat melihat bagaimana mungkin huru-hara akan tercetus jika PR memerintah? Atau, sememangnya BN dikejar dosa silam yang mereka lakukan sehingga tercetusnya fantasi liar ini.

PR setia pada Malaysia, daulatkan Perlembagaan Persekutuan

Himpunan Mansuh ISA, Himpunan Hijau, Himpunan Bersih, Himpunan Kebangkitan Rakyat dan sebagainya bukanlah huru-hara seperti yang dimomok media kawalan BN. Ini adalah hak yang diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada rakyat Malaysia. Himpunan aman cuma menjadi kacau bilau apabila pihak keselamatan digunakan untuk kepentingan BN. Lihatlah dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 baru-baru ini, semuanya berjalan lancar jika tiada kanister yang berterbangan.

Melihat kembali sejarah negara, tukang buat kecoh, budaya samseng dan huru-hara dikepalai BN sendiri. Sebagai contoh mudah, lihatlah bagaimana BN meyalahguna kuasa melancarkan kudeta (rampasan kuasa) menggunakan Akta Darurat terhadap Kerajaan Kelantan yang baru dimenangi PAS pada 1978 dan kita juga takkan lupa dengan apa yang berlaku di Perak pada 2009.  Mujurlah di sini bukan Afghanistan. Rakyat Perak masih mampu bersabar dan tidak melancarkan ‘jihad’ ke atas BN.


Bagaimanapun, kita juga percaya, ahli biasa BN sendiri (UMNO-MCA-MIC dan lain-lain) dan seluruh rakyat Malaysia amnya mahu negara ini terus berada dalam keadaan aman dan damai, mengamalkan prinsip rukunegara, menjunjung Demokrasi Berperlembagaan dan menumpahkan taat setia ke bawah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.  Jadi, persoalan mudah telahpun dijawab, kalau bukan PR, gerangan siapa pula yang mahu mencetuskan huru-hara? Hantu susu? – Roketkini.com