Manifesto PR: “Pakatan Harapan Rakyat” fokus empat teras utama
PETALING
JAYA, 19 FEB: Majlis Presiden Pakatan Rakyat sudah meluluskan manifesto
bersama untuk Pilihan Raya Umum ke-13 yang dinamakan Manifesto Rakyat
dan bertemakan “Pakatan Harapan Rakyat” yang akan dilancarkan pada
Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam, 25
Februari ini.
Manifesto itu mengandungi empat teras utama iaitu Rakyat Bersaudara,
Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat adalah
rangkuman holistik semua dasar berlandaskan dasar Bersama Pakatan Rakyat
2009, Buku Jingga pada 2010 dan program khusus yang diumumkan dalam
Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dan 2013.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pelancaran manifesto
pilihan raya itu antara lain membuktikan komitmen PR terhadap
tanggungjawab mengangkat permasalahan rakyat dan dasar untuk menentang
politik perkauman dan fitnah yang dibawa Barisan Nasional (BN).
“Ia adalah dasar yang matang. Sebelum ini PR sering dituduh tidak
mempunyai dasar yang kukuh. Kini, kami mempunyai satu dasar yang
progresif berbanding BN.
“Kami mengambil masa yang lama untuk merangka manifesto ini dan saya
rasa inilah pertama kali oposisi memulakan kempen mereka,” katanya pada
sidang media bersama di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, PR mengambil
inisiatif politik dengan mengangkat pandangan dan suara rakyat.
“Manifesto kali ini mudah untuk difahami rakyat dan ia bukan dasar
‘politik longkang’. Tawaran PR kali ini adalah atas kejayaan pencapaian
kita sejak lima tahun memerintah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala
Selangor.
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching pula
menyeru pengundi agar tidak mengundi PR kerana benci kepada BN,
sebaliknya mereka mengundi sebab menyokong dasar yang ditawarkan PR,”
ujar Ahli Parlimen Serdang itu.
Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat dianggotai Datuk
Husam Musa (Naib Presiden PAS), Dr Dzulkefly Ahmad (AJK Kerja PAS
Pusat), Dr Hatta Ramli (Ketua Pengarah Pilihanraya PAS), Salahuddin Ayub
(Naib Presiden PAS), Liew Chin Tong (Pengarah Pendidikan Politik DAP),
Dr Ong Kian Ming (Pakar Strategi Pilihanraya DAP), Teo Nie Ching
(Penolong Setiausaha Publisiti DAP), Charles Santiago (Naib Pengerusi
DAP Selangor), Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden PKR), Rafizi Ramli, Wong
Chen (Pengerusi Biro Pelaburan PKR), Sivarasa Rasiah (Ahli Majlis
Pimpinan Pusat PKR), Baru Bian (Pengerusi Pimpinan PKR Sarawak) dan
Ahmad Thamrin Jaini (Pengerusi Pimpinan PKR Sabah).