Tiada gunanya berdolak dalih lagi — Mohd Rizal Jaafar
8 FEB — Apabila Umno mengajak orang ramai berhimpun, tidak
kiralah samada di Stadium Bukit Jalil atau di Pusat Dagangan Dunia
Putra, media disana-sini pasti gegak-gempita dengan laungan kejayaan
kerajaan serta sorakan rakyat terhadap parti bertuah ini.
Manakala kita golongan serba daif dan tertekan sesekali termakan
umpan juga, terpaksa bersetuju dengan pendapat Umno kadang-kadang. Kita
terpaksa menjadi pak turut. Saban minit kita dipertontonkan dengan
berita sokongan tidak berbelah-bagi rakyat dari segenap pelusuk dan
ceruk rantau negara.
Media cetak dan media elektronik pun nampaknya begitu bernafsu sekali
mendedahkan kebijaksanaan pemimpin Umno, keperihatinan serta kewarasan
isteri-isteri mereka. Mereka pastinya tidak akan melepaskan peluang
untuk menelanjangkan gelagat terlampau pembangkang dan para penyokongnya
dengan matlamat mahu melabel mereka sebagai pelampau bangsa,
pengkhianat dan ekstremis agama.
Begitu teruk sekali pembantaian media kerajaan ini, sampai ke satu
peringkat kita sendiri pun sudah tak tertahan lagi dengan sandiwara
berpanjangan, lalu mengambil keputusan untuk menutup terus televisyen
dan radio. Cukup-cukuplah!
Kita pun pandai juga membuat ramalan politik. Kita fikir kalau
benarlah Umno dan sahabat Persatuan Cina Malaysia dan Kongres India
Malaysianya sudah cukup hebat, maka tidak perlulah mereka bimbang lagi.
Jangan ditunggu lama-lama, teruskan sahaja dengan pembubaran Parlimen
dan jalankan segera Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).
Kita pun tahu, jikalau media televisyen dan akhbar arus perdana
dijadikan sandaran, maka pembangkang pasti akan terkencing-kencing
ketakutan, terberak-berak bertempiaran menyorok setelah hilang segala
harga diri dan wang pertaruhan.
Media yang pro-Barisan Nasional memang sudah lama kita boikot. Bukan
kerana benci sangat pun, tetapi kerana sudah jemu menonton wajah-wajah
yang sama (cuma mutakhir ni wajah Muhyiddin semakin kerap keluar TV dan
semakin berseri pula nampaknya); dan kita bosan betul mendengar
ucapan-ucapan badut-badut yang tidak lawak, mendatar, tong kosong dan
berbelit-belit.
Kita pun bukan selalu sangat membaca media alternatif. Bukan kerana
meluat, tetapi kerana naskhahnya yang terhad dan sering kehabisan. Laman
sosial sudah lama kita nyahkan dari dunia maya ini, tetapi sekali
sekala kita intai jugalah laman web buat melepas rindu dendam.
Kita sudah nyaris mengaku kalah pun sebenarnya. Kita sudah bersedia
menerima kemenangan Umno dan Barisan Nasionalnya. Kita akui hakikatnya
yang nasib anak bangsa tidak akan berubah, kita masih terpaksa bekerja
cukup makan tatkala Datuk-Datuk, Tan Sri-Tan Sri dan segala Tan Tin dan
Tun nya akan terus menerus menyedut isi perut bumi Malaysia.
Kita hampir menerima hakikat bahawa Anwar Ibrahim tidak akan mampu
bangkit lagi menentang kerajaan; manakala gagasan Pakatan Rakyat bakal
berkubur dalam satu liang lahad, memandangkan sokongan umum yang sudah
tawar leweh. Memang kita sendiri pun sedih tetapi nak buat macam mana,
terimalah seadanya. Esok terpaksalah menghantar anak ke sekolah macam
biasa.
Bak kata bekas penjajah kita dari negara atas angin, "Life Goes On!".
Kita tahu perubahan itu sukar dan menuntut pengorbanan yang besar. Kita
belum cukup kuat untuk berubah. Kita takut untuk berubah. Kita takut
tak cukup makan, takut hilang stail dan status Bumiputeranya, kita takut
dijajah semula, takut pemerintahan baru yang mungkin lebih terseleweng.
Kita takut pada manusia. Kita takut mati.
Namun pada 12 Januari yang lalu, kita terkejut betul apabila terlihat
beberapa keping gambar yang menunjukkan betapa api kebencian rakyat
terhadap ketidak-adilan sebenarnya masih belum padam, bahkan semakin
marak menyala-nyala. Ianya begitu mengesankan sekali sehingga kita
membuat keputusan untuk mengambil pendirian baru yang lebih berani; kita
menuntut kerajaan baru yang lebih bersih dan bertanggungjawab.
Gambar-gambar berikut walaupun hampir sama dengan yang gambar-gambar
“gelombang merah” yang pernah diterbitkan media Umno, memiliki perbezaan
jelas iaitu semangat dan harapan.
Anda boleh saksikan sendiri:
Wah... ramai sekali umat manusia dari Malaysia yang sanggup bersusah
payah sebegitu rupa. Untuk apa? Tak mungkin untuk suka-suka mencari
pasal dengan pihak berkuasa, atau suka-suka menghabiskan masa berhujan
berpanas berpeluh berhabis? Stadium Merdeka pada hari keramat tersebut
penuh sendat sampai termuntah-muntah ke jalanraya. Laluan utama motokar
dan keretapi ke pusat bandaraya Kuala Lumpur sudah tersumbat, dibanjiri
anak-anak muda yang bermatlamat suci. Mereka tak mahu bantuan sementara,
mereka mahu hak warganegara yang kekal selamanya.
Umno dan Barisan Nasional sebenarnya sedang terketar-ketar mencari
alasan. Langkah mereka sudah mengontot dan sumbang, bunga silat dan
kuntau mereka sudah keras, kaku dan hodoh. Seri pada wajah-wajah mereka
sudah hilang dikotori nawaitu yang sudah tersongsang. Mereka membebel
dan merapu bagai orang mengigau siang. Isteri-isteri pak-pak menteri ini
sudah tidak muncul-muncul lagi. Mereka benar-benar kaget dan takut
untuk berdepan dengan gelombang baru yang bakal menghadapkan mereka ke
mahkamah terbuka tajaan anak-anak Malaysia.
Kesimpulannya, kita masih ada peluang, bahkan peluangnya semakin
cerah. Sudah tiba masanya rakyat memberanikan diri, membuka mata dan
melihat sendiri yang mana nyata dan jujur, dan yang mana pula lakonan
dan drama semata. Sudah tiba masanya para pemimpin Umno yang telah
dipilih dan ditanggung rakyat jelata kembali bermuhasabah and kembali
memperbetulkan niat anda sebagai wakil rakyat.
Berundurlah dengan
terhormat jika tidak terdaya memikul beban suci ini. Masa untuk
berlakon-lakon sudah tiada, filemnya sudah lama tamat, kembalilah kepada
diri anda yang sebenar. Kembalilah ke alam nyata dan kepada warganya
yang pernah berkorban demi anda. Jangan sombong dengan kuasa anda yang
sedikit kerana kuasa yang ada ditangan saya jauh lebih berbisa.
Kuasa kita dan kuasa 27 juta rakyat Malaysia!