Rafizi gempur Parlimen Zahid Hamidi, dedah penyelewengan LTAT
Rafizi gempur Parlimen Zahid Hamidi, dedah penyelewengan LTAT
(Oleh Arif Juhani)KUALA LUMPUR 28 Jan: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli bakal gempur Bagan Datoh, Parlimen Datuk Zahid Hamidi Februari ini bagi menerangkan isu salahguna dan penyelewengan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah pentadbiran Menteri Pertahanan itu.
“Saya bersetuju beberapa tarikh untuk turun ke Bagan Datoh dalam bulan Februari.
“Saya juga masih menunggu saman Zahid Hamidi yang belum dihantar kepada saya. Tapi saya dah setuju turun habis-habisan gempur Bagan Datoh,” tulis Rafizi pada twitternya hari ini.
Zahid 25 Januari lalu memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung satu artikel di dalam laman blognya.
Tegas Rafizi, saman Zahid akan dijawab di mahkamah kerana isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota tentera yang diabai tidak boleh dipadam dengan tipu helah teknologi.
Rafizi semalam turut menolak keras laporan mendakwa beliau memohon maaf kepada Zahid dalam laman facebooknya.
“Kenyataan palsu dan berniat jahat itu dirancang laman pro-Umno dengan tujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat.
“Saya menafikan sepenuhnya kenyataan maaf dan tetap dengan pendirian membawa perkara ini ke mahkamah.
“Saya tidak akan berganjak membawa isu salahguna dana Angkatan Tentera Malaysia,” katanya pada kenyataan.
Rafizi berkata, tindakan menggodam akaun dan laman pro-Pakatan Rakyat, termasuk laman web dan facebook pimpinan Pakatan berpunca kegagalan Umno BN berdepan pendedahan memalukan.
“Ini kejadian kedua dalam tempoh dua hari selepas laman facebook Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.
“Saya mengutuk muslihat dan tipu helah yang digunakan cybertrooper Umno kerana tidak beretika,” tegasnya.