Mahathir biadap, buta sejarah- Prof Dr Aziz Bari

Mahathir biadap, buta sejarah- Prof Dr Aziz Bari

(Oleh: Rusnizam Mahat)
KUALA LUMPUR 20 Jan: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing, menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Menyifatkan kenyataan itu biadap dan mengarut, Aziz berkata, kewarganegaraan yang diberi oleh bapa kemerdekaan itu berbeza ketika Mahathir berkuasa sebagai perdana menteri.





“Tunku beri kewarganegaraan bukan dengan tujuan menipu pilihan raya. Apa yang Tunku buat sebahagian tuntutan dan persetujuan kemerdekaan. Ada syarat tertentu yang diakui undang-undang sebagaimana negara-negara lain,”

“Mereka tidak datang ke sini sebagaimana Pendatang Tanpa Izin (PATI) sekarang, tetapi kesan pentadbiran British. Faktor menipu dalam pilihan raya, tidak ada dalam kes Tunku,” katanya.
Menurutnya, prinsip Jus soli yang digunapakai pada masa itu membenarkan seseorang mendapat status warga negara di tempat mereka dilahirkan.


“Tunku mengenakan syarat tertentu yang sebahagiannya dimasukkan dalam peruntukan perlembagaan. Ia dilakukan secara terbuka, bukan mencuri-curi dan berselindung sebagaimana Mahathir,” ujarnya dalam satu kiriman emel kepada Keadilan Daily.
“Mahathir bukan sahaja biadab dan buta sejarah, tetapi mempersoalkan kedudukan orang Cina dan India yang diakui oleh perlembagaan,” tambah beliau.


Menurut pakar undang-undang ini, berbeza di zaman Tunku, kerakyatan diberi berasaskan kontrak sosial, dan syarat kewarganegaraan pula menjamin kedudukan istimewa orang Melayu.
“Kedudukan dan kuasa Majlis Raja-Raja juga diperkuatkan oleh isu tersebut. Ertinya, tolak ansur antara Melayu dan bangsa lain ketika kemerdekaan dirundingkan.

“Ia diperincikan dengan jelas oleh Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan jadual yang berkenaan. Perkara ini juga perlu dipantau oleh Majlis Raja-Raja,” tambah bekas Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini.
Ketika ditanya sama ada kerakyatan diberi Tunku selepas merdeka sah mengikut perlembagaan, beliau berkata “Soal lama atau baru tak timbul; ia boleh diberi kepada sesiapa pun. Yang penting ia mengikut prosedur ditetapkan perlembagaan.

“Tidak timbul ia diberi selepas merdeka asalkan ia mengikut prosedur berkenaan dan telus. Almarhum Prof Ahmad Ibrahim (seorang ahli politik Singapura) sendiri pun jadi warga Malaysia selepas merdeka. Beliau orang Singapura. Perkara ini berlaku di seluruh dunia,” tegas Aziz.
“Namun apa yang menjadi masalah dengan Mahathir adalah kewarganegaraan diberi secara borong, ribuan dan secara sembunyi.


“Seperti yang kita tahu dia sendiri nafikan sebelum ini. Baru sekarang setelah semua orang bercakap dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan, baru lah Mahathir mengaku. Tetapi seperti biasa, dia akan seret orang lain seperti Tunku,” ujarnya yang turut menyentuh isu itu dalam bukunya, Malaysian Constitution: A Critical Introduction.



TANGKAP MAHATHIR

Mahathir boleh disiasat bawah Akta Hasutan- Aziz Bari


KUALA LUMPUR 20 Jan: Bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Profesor Dr Abdul Aziz Bari, berkata, Akta Hasutan boleh dikenakan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mempersoal kedudukan orang Cina dan India yang diakui perlembagaan.

Beliau mengulas syor Mahathir agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat pemberian kerakyatan kepada sejuta ‘pendatang asing’ di Persekutuan Tanah Melayu, sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

“MCA dan MIC patut kutuk Mahathir sebab bekas PM itu mempertikaikan kedudukan orang Cina dan India. Mereka juga boleh buat laporan polis sebab Mahathir seperti berkata kedudukan warganegara mereka didapati secara tidak sah,

“Mahathir boleh disiasat di bawah Akta Hasutan sebab ini mempertikai kedudukan bangsa lain dan boleh menimbulkan rasa tak selesa (pelbagai kaum),” ujar pakar undang-undang ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bahawa media cuba mensensasikan prosiding RCI berhubung pemberian kewarganegeraan di Sabah.
“Apakah Musa merasa kedudukan Umno dalam bahaya maka dia mengatakan isu itu telah disensasikan?
“Tujuan suruhanjaya diraja itu sendiri adalah untuk menyiasat sesuatu isu penting. Prosidingnya sama seperti prosiding mahkamah, boleh dilaporkan dalam media tanpa sekatan,” tegas beliau.

“Apa guna sebuah RCI, yang dibiayai oleh wang rakyat, jika prosidingnya disembunyikan?,” tambah beliau.
Malah katanya, Musa boleh diheret ke depan RCI atas tuduhan menghina suruhanjaya itu, sekiranya tidak berhenti membuat sebarang kenyataan.

Terdahulu, Aziz berkata, pemberian kewarganegaraan kepada orang Cina dan India oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj adalah berdasarkan kepada kontrak sosial yang dipersetujui Umno sendiri.
“Ia adalah asas kepada penerimaan mereka terhadap kedudukan istimewa Melayu di bawah perkara 153 di bawah Perlembagaan Persekutuan,” .


“Mana dia MCA, MIC dan Gerakan? Mereka patut kecam Mahathir dan tinggalkan BN sekiranya pimpinan Umno tidak menegur kebiadaban Tun Dr Mahathir itu,” tegasnya.


MAHAZALIM .....MENGAKU SALAH

Mahathir terpaksa mengaku salah

 

Semakin hari semakin panas suhu politik di negara yang dikatakan pimpinan utama kita akan menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi. Entah apa kemajuan yang kita akan capai tidak pula kita ketahui. Tetapi apa yang kita lihat, kita semakin hari semakin ke belakang dan tidak maju ke hadapan. Isu bertambah rumit dan besar, dan semua isu ini berkait dengan tingkah laku dan salah gunakuasa oleh pucuk pimpinan negara dan UMNO.
Deepak pula memberikan reaksi marah-marah apabila Najib memperlekehkan tuduhannya (Deepak) terhadap terhadap Perdana Menteri yang ‘controversial’ itu. Deepak berjanji akan mengeluarkan lagi banyak isu yang belum diketahui umum yang  berkaitan dengan Najib suami isteri itu. Walau sebesar mana pun pawang dan dukun digunakan oleh Rosmah, isu terhadap mereka yang tinggal di Sri Perdana itu tetap datang bertalu-talu.
Nampaknya satu demi satu perkara yang disorokkan oleh pucuk pimpinan sejak tiga puluh tahun dahulu mula keluar dan ia memeranjatkan kepada setengah pihak. Tetapi tidak pula memeranjatkan kepada setengah pihak yang telah melihat dengan dekat perubahan nilai dalam UMNO dan kepimpinannya sejak dari masa itu.
Isu yang terakhir ialah berhubung dengan Suruhanjaya Pendatang Asing (RCI) Sabah yang telah di tubuhkan oleh kerajaan. Akhirnya Dr Mahathir mengakui yang beliau lah yang terlibat dan membenarkan pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah dahulu.
Dalam pada beliau mengakui kerja yang tidak baik itu, Mahathir cuba mencari tempat sandaran untuk meringankan perasaan bersalah beliau dengan membabitkan Tunku Abdul Rahman Putra yang pada kononnya telah memberikan sejuta orang Cina taraf kerakyatan semasa sebelum kita mencapai kemerdekaan dahulu.
Ternyata Mahathir ini semakin hari semakin kusut pemikirannya kerana tidak lagi dapat melihat isu ini dari perspektif yang betul. Sekarang baru kita sedar kenapa beliau (Mahathir) tidak menyokong penubuhan RCI ini kerana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap isu pendatang asing di Sabah dahulu.
Membabitkan nama Bapa Kemerdekaan negara oleh Dr Mahathir ini amat memalukan bagi kita yang mendengarnya. Jawapan beliau tidak melambangkan yang beliau seorang yang jujur. Memang benar lah pandangan setengah pihak, Mahathir ini tidak boleh berjalan dengan betul diatas jalan yang lurus.
Tunku Abdul Rahman telah memberikan kerakyatan kepada orang Cina dahulu kerana ia merupakan pra-syarat bagi negara mencari jalan untuk pencapaian kemerdekaan. Pemberian kerakyatan itu juga di berikan kepada kaum India yang datang dari India yang bekerja di ladang-ladang getah semasa kita dalam tadbiran penjajahan dahulu.
Bagaimana Dr Mahathir boleh tergamak membabitkan Tunku dalam hal ini dan menyamakan keadaan semasa itu dengan semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Menyamakan beliau dengan Tunku Abdul Rahman serupa lah menyamakan buah epal dengan buah sukun atau buah bacang. Pemberian kerakyatan kepada pendatang semasa itu adalah syarat yang telah di tetapkan oleh British bagi mencapai kemerdekaan untuk negara semasa itu. Setelah semua kaum bersatu maka Tunku dan rombongan untuk mencapai kemerdekaan itu terdiri dari rakyat Malaya yang berbilang kaum itu..
Pemberian kerakyatan itu adalah untuk membina sebuah negara baru yang merdeka. Di sebaliknya Dr Mahathir memberikan kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah itu adalah untuk meruntuhkan negara. Kad pengenalan yang di berikan kepada pendatang asing di Sabah itu ialah untuk memenangkan parti kerajaan yang sudah lemah dan ia meruntuhkan sistem demokrasi negara ini.
Dr Mahathir tidak dapat membezakan diantara belacan dengan cencaluk. Apa pun, kenyataan Dr Mahathir itu membuktikan tuduhan banyak pihak yang Mahathir akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihanraya semata-mata. Ada di antara mereka yang berpengaruh dalam negara ini memberikan pendapat apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ini merupakan satu tindakan ‘treason’ yang amat serius. Mereka berpendapat Mahathir perlu di siasat tentang kesetiaannya terhadap negara ini.
Jelas sekarang Mahathir tidak boleh lari dari segala kesalahan beliau terhadap orang Sabah yang asal. Dengan pemberian kad-kad pengenalan kepada rakyat asing semata-mata kerana hendak menjaga kepentingan politik kepartian itu, sememangnya satu tindakan yang ‘treason’ yang sangat besar. Kita berharap RCI yang masih dalam peringkat penyiasatan itu, akan melaksanakan tugas dengan jujur dan baik untuk kepentingan Sabah khususnya dan negara amnya. Kita berharap Suruhanjaya itu akan membuat cadangan tindakan terhadap pelaku kesalahan ini tanpa memilih bulu.
Bagi saya , apa yang saya idamkan bersama dengan ramai yang lain ialah, sebuah negara demokrasi yang benar-benar jujur dan tidak menyelewengkan asas demokrasi itu secara sengaja semata-mata kerana kuasa. Rakyat mengharapkan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi dan cara untuk membina keyakinan rakyat kita.
Saya berharap Pakatan Rakyat akan mampu melakukan perubahan itu.
 
ASPAN ALIAS
 
 

Kami ke jalan raya jika PRU tipu"

Kami ke jalan raya jika PRU tipu"

Harakahdaily, 20 Jan 2013

(Penonton yang mengikuti ceramah Mohamad Sabu malam tadi)

SELAYANG: Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112), Mohamad Sabu berjanji akan menghimpunkan lebih ramai rakyat lagi jika berlaku sebarang penipuan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Jika berlaku demikian, beliau berjanji, rakyat tidak akan pulang selagi kerajaan yang naik secara penipuan itu tidak turun.

"Kita janji, jika kerajaan tak turun, kita tidak akan pulang," katanya dengan disambut tepukan gemuruh para hadhirin.

Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS itu berkata demikian ketika memberikan ceramah di tapak Uptown, Bandar Tasik Puteri malam tadi.

Turut serta memberikan ceramah bersama beliau adalah Dr Dzulkefly Ahmad (anggota Parlimen Kuala Selangor), Datuk Mohd Arif Sabri (bekas Ketua Penerangan Umno Pekan) dan Faris Musa (Pengerusi Jingga 13.)

Lebih 1,000 menyertai ceramah anjuran PKR itu.

Sudah beberapa himpunan dibuat untuk mendesak agar pilihan raya umum diadakan dengan bersih.

Bersih, Bersih 2 dan Bersih 3 dibuat bagi menuntut pilihan raya yang bersih dilakukan.

Segala perkara yang dibangkitkan dalam himpunan itu kini terbukti melalui siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) yang dibuat di Sabah.

Pelbagai pihak membuat pengakuan mengenainya termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya yakin, perkara yang berlaku di Sabah inilah yang dibuat di Terengganu menjelang pilihan raya 2004 lalu dan kini sedang dibuat di Selangor," kata Mohamad Sabu (gambar).

Dalam pilihan raya 2004, kerajaan PAS Terengganu ditumbangkan selepas hanya satu penggal mentadbir apabila berlaku kenaikan mendadak pengundi di Terengganu.

Di beberapa kerusi DUN dan Parlimen, jumlah pengundi yang keluar mencecah hampir 90 peratus yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Dalam masa yang sama, pusat-pusat pengundian di Selangor telah dilanjutkan tempohnya melebihi jam 5 petang untuk membolehkan mereka yang pergi mengundi ke Terengganu sempat pula mengundi di Selangor.

Menjelang PRU 13 ini, peningkatan pengundi mendadak berlaku di Selangor iaitu sehingga hampir setengah juta.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendakwa, usaha telah dibuat untuk membawa balik pengundi yang didaftarkan di Terengganu itu ke Selangor.

Baru-baru ini kerajaan negeri Selangor mengeluarkan satu laporan penuh Projek Pendemokrasian Negeri Selangor yang mendapati 497,084 baru didaftar dalam Daftar Pemilih Induk di Selangor.

Sejumlah 28 peratus (134,675) dari pemilih itu tidak dapat dikenal pasti siapa mereka.

MB Selangor mendakwa peta pilihan raya tidak lengkap dalam kawasan dewan undangan negeri (Dun) adalah punca kerajaan negeri Selangor menghadapi situasi terkini itu.

Kajian-kajian yang dibuat pula mendapati pelbagai perkara berlaku termasuk sejumlah besar pengundi yang didaftar di bawah satu alamat.

Lebih 79,000 pengundi yang didaftarkan dalam lebih 350 alamat yang sama, di mana setiap alamat itu merekodkan lebih dari 100 pengundi.

Anak muda berperanan awasi penipuan SPR pada PRU 13 – Anwar

Anak muda berperanan awasi penipuan SPR pada PRU 13 – Anwar

KAJANG 19 JANUARI: Anak muda termasuk mahasiswa perlu berperanan sebagai ‘mata’ bagi menyekat penipuan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berlangsung, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Masa PRU 13, kita mahu puluhan ribu mahasiswa turun bantu di luar, bukan kacau orang, bukan sekat orang tapi pastikan jangan ada penipuan.

“Penipuan akan ada tapi kita kena kurangkan. Insya-Allah kita tawan Putrajaya,” kata yang mengakui meletakkan harapan tinggi kepada generasi muda.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, anak muda boleh memain peranan sebagai alat penerangan ke peringkat bawah, selain mengesan penipuan melalui kecanggihan teknologi.




“Ada orang beritahu, buat apa buang masa dengan anak-anak muda, lagi pun mereka tidak mengundi. Saya kata – walaupun tak mengundi tapi mereka boleh beri penerangan kepada ramai orang.
“Malah, saya dapati anak-anak muda mempunyai kepakaran IT. Mereka buat kerja ini, semak balik dan dapat puluhan ribu bukti,” katanya disambut sorakan kira-kira 300 anak muda.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada program “Meet Anwar” – Dialog Anak Muda Bersama Anwar Ibrahim di Hotel Oriental Crystal di sini, petang semalam.
Anwar percaya penipuan undi akan berulang pada PRU 13 berdasarkan peningkatan luar biasa jumlah pengundi baru selain kekeliruan daftar pemilih berikutan kekangan butiran peribadi dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Adakah pilihan raya akan datang bebas dan adil? Tidak. Saya bagi contoh angka penipuan – pengundi baru Selangor 450,000 tapi yang tidak dapat dikesan berdasarkan nama dan alamat rumah – 130,000.
“SPR kata tak apa tidak ada pun asalkan daftar, ada. Jadi boleh mengundi. Bagi contoh penipuan, tarikh lahir 20 Ogos 1939, pohon Januari 1950. Jadi siapa yang mendaftar?” katanya.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43518