Desak Najib jelaskan senarai hitam peguam Scorpene – Tian Chua

Desak Najib jelaskan senarai hitam peguam Scorpene – Tian Chua

KUALA LUMPUR 18 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak menjelaskan tindakan kerajaan menyenarai hitam nama tiga peguam Scorpene daripada memasuki negara ini, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.


Tegasnya, arahan kerajaan supaya penyelia Imigresen menahan tiga peguam terbabit di pintu masuk lapangan terbang membuktikan ada perkara yang mahu disembunyikan.

“Memang terbukti apa yang kita (Pakatan Rakyat) persoalkan, ada rahsia tersembunyi di sebalik pembelian kapal selam Scorpene. Kalau tidak, kenapa kerajaan sanggup senarai hitamkan peguam Perancis.
“Walaupun mereka (kerajaan) nafikan dengan pelbagai alasan, tapi sebenarnya rakyat tahu apa yang mereka sembunyikan,” katanya kepada Keadilan Daily.

Inilah surat didakwa pekeliling yang menyenarai hitam tiga peguam Perancis daripada memasuki Malaysia.


Beliau mengulas penyebaran satu senarai pekeliling khas di internet yang didakwa diberikan kepada semua kakitangan terutama penyelia di Jabatan Imigresen Malaysia.
Pada pekeliling bertarikh 3 Disember 2012 itu, tercatat nama tiga peguam Perancis yang disenarai hitam memasuki negara ini.


Mereka seperti yang dinyatakan adalah William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham.
Ditanya berhubung tarikh pekeliling itu dan mengapa ia dikeluarkan selepas taklimat Scorpene dibuat di Singapura pada November lalu, Tian berkata, ini adalah satu lagi halangan kerajaan kepada pendedahan itu.
“Kerajaan terpaksa mengambil tindakan tersebut untuk menjaga nama baik Najib sebelum pilihan raya umum tahun ini.




“Akibat takut tembelang terbongkar, NGO yang mengetengahkan isu ini turut diganggu demi politik Najib dan Umno BN,” kata Ahli Parlimen Battu itu.
Pada 27 November lalu, taklimat Scorpene oleh peguam Perancis kepada Ahli Parlimen Malaysia dari Pakatan Rakyat dan pengamal media terpaksa diadakan di sebuah hotel di Singapura ekoran dihalang oleh kerajaan.


Ia terpaksa diubah ke negara itu berikutan halangan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tanpa alasan munasabah.
Mengikut jadual asal, William dan seorang lagi peguam Perancis, Joseph Breham yang sepatutnya memberi maklumat terperinci mengenai perbicaraan Scorpene di Mahkamah Perancis, tetapi menghantar rakan kongsi mereka, Apoline Cagnate.


Kapal selam Scorpene yang dibeli dari DCNS di Perancis – melibatkan komisen lebih RM500 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat milik rakan baik Perdana Menteri – Abdul Razak Baginda.
Skandal ini dikatakan turut berhubung kait dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang dibunuh mengguna bom C4 pada 2006.


Hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire kini sedang meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan di Mahkamah Tribunal deGrande Instance Perancis.
Tujuh saksi dinamakan termasuk Najib, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi; penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, Abdul Razak Baginda, isteri Razak, Mazlinda Makhzan, pembantu kanan beliau, Jasbir Singh Chahl serta ahli perniagaan, Lodin Wok Kamaruddin.


Azmin jangka Parlimen bubar hujung Februari

Azmin jangka Parlimen bubar hujung Februari

 

(Oleh Sidiqin Omar)
PETALING JAYA 17 Jan: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menjangkakan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan selepas perayaan Chap Goh Meh, hujung Februari ini.


“Saya jangkakan DUN dan Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja selesainya perayaan Chap Goh Meh pada 24 Februari akan datang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai rundingan kerusi DUN dan Parlimen di Sabah melibatkan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Kata Azmin, pendirian SAPP untuk bertanding 40 kawasan DUN di Sabah tidak munasabah kerana perlu mempertimbang peranan Pakatan Rakyat dan ‘sahabat baru’ iaitu Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

“Di Sabah ada 60 DUN. Kalau 40 sudah diwakili SAPP, di mana peranan KEADILAN, DAP dan PAS ? Sekarang kita ada ‘sahabat baru’ iaitu APS dan PPS,” katanya.
“Saya sendiri terlibat dengan beberapa perbincangan bersama Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.
“(Namun) SAPP harus lebih munasabah dalam permintaan kerusi untuk kita boleh meneruskan perbincangan. Ia harus dimuktamadkan segera,” kata Azmin.


“Kita ambil sikap terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang bersedia untuk mewujudkan muafakat untuk berhadapan BN di Sabah khususnya,” tambah Ahli Parlimen Gombak itu.
Parlimen Malaysia automatik akan bubar apabila tempoh mandat kerajaan semasa berakhir pada 28 April tahun ini.