KALAU
diteliti betul-betul kandungan Manifesto Rakyat yang bertemakan
“Pakatan Harapan Rakyat” tidak ada alasan lagi bagi rakyat Malaysia
untuk mengelak daripada memberi mandat kepada Pakatan Rakyat mentadbir
Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Walaupun kebanyakan pemimpin UMNO-BN memperlekeh dan menganggap
manifesto itu tidak realistik atau seperti ‘menanam tebu di bibir’,
realitinya rakyat sudah lama tahu hati budi dan perangai jahat UMNO-BN.
Kelebihan manifesto itu yang pentingnya ia dirangka bagi menjamin keadilan, kesejahteraan dan kesaksamaan rakyat.
Kalangan pemimpin PR memang sudah menjangka komen sedemikian akan
dikeluarkan dan media arus perdana kawalan UMNO-BN terutama Utusan
Malaysia, Berita Harian dan TV3 pasti akan menyiarkan komen pedas
segelintir mereka yang seolah dipaksa supaya tidak menyokong manifesto
berkenaan.
Setakat ini rakyat belum tahu apa kelebihan pada manifesto BN, tetapi
yang pasti memang ‘tanam tebu di bibir’ yang boleh membuatkan hutang
negara bertambah dan semakin berleluasa rasuah, salah guna kuasa dan
memperkayakan kroni.
Rakyat mahu ubah
Kebanyakan rakyat mahu memberi sokongan untuk memberi peluang PR
daripada mengekalkan BN yang sudah lama bermaharajalela melakukan
penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.
Jika rakyat Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah (dan Perak
pada 2008 sebelum kuasa dirampas secara haram oleh UMNO-BN) berani
menukar kerajaan yang ditadbir BN, tidak ada sebab bagi rakyat negeri
lain untuk mengikuti langkah sama bagi menjamin sebuah kerajaan yang
lebih berintegriti, bersih, adil dan tidak salah guna kuasa.
Kecemerlangan yang dicapai empat negeri berkenaan, tidak ada alasan
lagi bagi rakyat Malaysia merasa takut, ragu dan bimbang untuk
melakukan perubahan sama supaya negara boleh diterajui dengan lebih baik
tanpa penyelewengan, salah guna kuasa dan korup kepada kepemimpinan
parti dalam PR iaitu PKR, DAP dan PAS.
Tidak mungkin masih ada lagi rakyat yang meragui kemampuan pemimpin
PR kerana empat negeri yang diperintah pemimpin daripada parti komponen
PR berjaya ditadbir dengan baik dan cemerlang serta memberi banyak
manfaat kepada rakyat
Kejayaan Kelantan sebagai teladan
PAS yang menerajui Kelantan sejak 22 tahun ini terbukti mampu
mentadbir negeri dengan amanah, tidak melakukan rasuah dan salah guna
kuasa. Begitu juga Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, masing-masing
diterajui DAP, PKR dan PAS.
Rekod kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul
Aziz, selama 22 tahun gagal ditandingi pemimpin lain di negara ini dan
jauh panggang daripada api jika dibandingkan dengan pemimpin BN termasuk
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang paling lama
memerintah serta Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak
yang mana pentadbiran mereka bergelumang dengan rasuah dan salahguna
kuasa.
Setakat ini tidak ada pemimpin seperti Tuan Guru Nik Aziz yang begitu
hebat daripada segi integriti berbanding negeri yang diperintah UMNO-BN
yang hanya pandai menambahkan hutang, bukannya mengurangkan hutang.
Malah kerajaan negeri yang ditadbir PR sekarang terpaksa menyelesaikan
hutang yang ditinggalkan menteri besar dan ketua menteri BN sebelum ini.
Ramai penyokong BN mengatakan tidak mungkin Najib yang bijak ekonomi
akan menyebabkan negara muflis. Apa tidaknya selama Najib mentadbir
negara kini hutang negara sudah mencecah lebih RM500 bilion dan rezab
Bank Negara juga semakin susut.
Tidak mungkin rakyat Malaysia yang semakin bijak dan matang sanggup
membiarkan negara dan negeri terus diperintah BN yang mana pemimpin
hanya tahu berbelanja boros bukannya tahu berjimat demi faedah rakyat.
Guan Eng membuktikan peluang saksama untungkan Melayu
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut dianggap seorang
pemimpin yang hebat terutama cekap dan telus mentadbir negeri Pulau
Mutiara itu.
Guan Eng berani mengakui kesilapan dan kelemahan serta memahami
keperluan orang Melayu di Pulau Pinang. Kerana itulah teras pembangunan
beliau ialah memastikan hapusnya kemiskinan tegar di negeri itu yang
selama ini dibiar melarat oleh UMNO dan rakan komponen BN. Kerana itu
juga Guan Eng menambah peruntukan bagi memajukan syiar Islam dan
menyediakan perumahan rakyat di negeri itu.
Kerana itu jugalah, UMNO melalui media massa yang mereka kuasai hanya
mampu menabur fitnah terhadap Guan Eng, DAP dan PR di Pulau Pinang.
Memang resmi orang berniat jahat; apabila tak mampu berhujah, dia hanya
menipu, berbohong dan menuduh orang lain.
Kedah ditadbir penuh hemah
Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak juga seorang pemimpin
yang bersih, tidak rasuah dan salah guna kuasa, sebaliknya mementingkan
nasib rakyat walaupun dia sering difitnah UMNO-BN dengan pelbagai
penyelewengan, termasuk isu pembalakan.
Kedah yang ditinggalkan BN dengan hutang sebanyak RM2,095 bilion pada
2008 dan pertambahan hutang selepas itu sebahagian besarnya adalah
untuk pembesaran Taman Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan pengurusan
bekalan air terawat untuk rakyat.
Ini bermakna hutang yang dibuat itu bukan untuk projek mewah, hiburan
atau membeli cincin dan beg tangan isteri pemimpin negeri. tetapi
betul-betul untuk faedah rakyat.
Dalam masa lima tahun pentadbiran PR di Kedah jumlah pelaburan ke
KHTP adalah sebanyak RM10.8 bilion berbanding dalam mtempoh sama ketika
zaman BN cuma RM4.7 bilion.
Selangor terus cemerlang di bawah PR
Begitu juga dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang cekap melakukan
perancangan hinggakan ekonomi Selangor begitu membanggakan dan dinikmati
rakyat.
Kerajaan PR Selangor berjaya menyumbang 30 peratus pelaburan di
Malaysia, melepasi sasaran purata pelaburan negeri itu bagi tempoh
Januari hingga Oktober 2012.
Pencapaian memberangsangkan ini sekaligus mencatatkan rekod tertinggi
berbanding negeri-negeri lain dengan nilai melebihi RM10.5 bilion
melibatkan 211 projek perkilangan yang telah diluluskan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan
Malaysia (MIDA), Selangor menjadi negeri tertinggi menerima pelaburan
dengan jumlah keseluruhan RM48.53 bilion dalam tempoh tersebut.
PR sedia tadbir Malaysia
Semua empat negeri yang diperintah PR menunjukkan kemampuan yang
membanggakan sehingga mendapat pujian dalam laporan Ketua Audit Negara
hampair setiap tahun sejak memerintah.
Justeru, dakwaan BN kononnya manifesto PR itu tidak munasabah dan
boleh menyebabkan negara muflis tidak boleh diterima, sebaliknya jika
rakyat membiarkan negara terus diterajui BN akan mencepatkan negara
muflis kerana dalam masa empat tahun saja Najib mentadbir, hutang negara
sudah mencecah lebih RM500 bilion.
Bayangkan jika rakyat memberi peluang lagi kepada BN, hutang negara
mungkin mencecah berlipat kali ganda dan membolehkan negara muflis. Bila
itu berlaku, habislah kehidupan seharian rakyat kerana kenaikan gaji
dibeku, harga barang naik, ekonomi merosot, menyebabkan sengsara hidup.
Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini juga
sudah merayu supaya rakyat memberi peluang kepada PR memerintah negara
bagi membuktikan model pemerintahan kerajaan yang adil berlandaskan
nilai Islam dapat dilakukan.
BN yang sudah memerintah lebih 55 tahun tidak wajar lagi terus diberi
peluang kerana dalam tempoh yang begitu parti itu gagal memajukan
Malaysia, sekurang-kurangnya setanding dengan Korea Selatan.
Rakyat sedia terima PR sebagai kerajaan baru
Ramai yang menyambut baik manifesto rakyat itu dan mereka mahu
menjadi realiti apabila PR memerintah nanti demi meringankan beban
rakyat.
Ramai menyokong janji menghapuskan tol, menurunkan harga petroleum,
kereta, hapuskan PTPTN, saman AES, caj elektrik dan air lebih rendah
selain beberapa tawaran membantu ekonomi rakyat.
Ini tidak termasuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan baru di
samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing. memperkenal gaji
minima RM1,100 sebulan, melatih sejuta lepasan sekolah yang tidak
melanjutkan pelajaran, membina lima universiti dan 25 sekolah
vokasional, Tabung inovasi IKS RM500 juta, menyelaras cukai rakyat-
kadar cukai tertinggi 26% untuk cukai pendapatan hanya mula dibayar bagi
pendapatan boleh cukai melebihi RM400,00 berbanding RM250,000 sekarang.
Menyediakan pengangkutan awam percuma kepada golongan berbeza upaya,
tambah bilangan bas, merangka untuk membina sistem keretapi laju antara
bandar.
Menerusi empat teras utama manifesto itu, PR memastikan setiap isi
rumah akan membawa pulang pendapatan isi rumah RM4,000 sebulan.
PR juga komited memastikan harga minyak diturunkan, caj elektrik
lebih rendah, caj air lebih rendah, penghapusan tol, cukai eksais dan
harga kereta serendah RM25,000 sebuah.
(Bagaimanapun PR mengakui ‘terlepas pandang’ isu tuntutan bayaran
royalti minyak untuk negeri pengeluar minyak yang didapati tidak
dimasukkan dalam manifesto ‘Pakatan Harapan Rakyat’ versi cetak. Semakan
ke atas manifesto versi digital yang dimuatkan di laman Pakatan Rakyat
mendapati ia memuatkan janji untuk “menaikkan royalti kepada negeri
pengeluar minyak dan gas dari 5 peratus ke 20 peratus”.)
Apapun pilihan sudah terlalu jelas. Sama ada terus dengan UMNO-BN
yang korup dan semakin tidak peduli rakyat (kecuali untuk memberi habuan
BR1M sekali dua kali seumur hidup) atau PR yang benar-benar komited
untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengembalikan harga diri dan
maruah rakyat. – Roketkini.com