Najib dan era sukar Umno — Anuar Mohd Nor

December 30, 2012
31 DIS — Semakin banyak yang mula diperkatakan mengenai PRU 13 yang semakin hampir sungguhpun belum ada penetapan kepastian dibuat oleh kerajaan. Semakin hampir kita kepada PRU 13 semakin banyak bom-bom yang mahu diletupkan oleh parti politik yang kini pantas dan lantang untuk memastikan kemenangan. Akhirnya semua parti politik yang mahu bertanding berlaga-laga untuk mencari kesalahan masing-masing. Satu resam politik tidak sihat. Semua akur bahawa PRU 13 ini merupakan PRU yang paling sengit yang mampu menggoncang BN dan Umno sendiri.

Akhir-akhir ini isu yang dibawa oleh pembangkang adalah isu Zahid Hamidi — Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan memasuki gelangang untuk menyelesaikan masalah Deepak Jaikishan — peniaga karpet yang telah membuat berbagai tuduhan terhadap Najib — Rosmah dan isu pembelian kapal selam serta isu pembunuhan Altantuya. Namun isu itu tidak sekuat isu spekulatif bahawa Najib harus di keluarkan dari senario politik Umno bagi membersihkan Umno dan memberi ruangan kembali untuk BN berkuasa. Isu yang meletakkan Najib — Rosmah sebagai liabiliti Umno semakin kuat kedengaran sealiran dengan nada Tan Sri Muhyiddin Yassin — Timbalan Perdana Menteri mengakui — PRU kali ini amat sengit sungguhpun beliau yakin BN akan menang.

Adakah benar wujud suara-suara dalam Umno sendiri yang mahu Najib disingkirkan sebelum PRU 13 nanti atau suara ini adalah suara perang saraf media oleh pembangkang. Apa pun adakah benar Najib menjelang PRU 13 ini sudah mula terpalit dengan berbagai isu yang memberi kesan besar terhadap peluang BN/Umno dalam PRU 13 nanti. Adakah transformasi politik Najib yang mahu dibawa dalam Umno menemui jalan buntu dengan perubahan yang tidak dapat dilangsungkan kepada ahli Umno sendiri?

Semakin deras suara-suara peringkat bawahan mengenai isu calon, isu siapa yang sepatutnya menjadi calon mampu menang dan apakah ini akan diterima baik sekiranya calon tempatan tersingkir dengan calon pilihan Najib. Semakin membiak isu-isu Najib tiba-tiba wujud dengan kehadiran tuduhan yang melibatkan isteri beliau sendiri. Semakin galak pendedahan baru dibuat dan yang pasti isu yang menghentam Najib semakin lantang dan semakin terbuka.

Adakah mampu Najib bertahan sekiranya isu khusus seperti kapal selam, Deepak, Balasubramaniam dan peranan menutup cerita oleh Dato Zahid Hamidi serta kehadiran berita-berita spekulasi SUARAM mengenai sidang mahkamah di Perancis terus membengkak. Adakah Najib dapat bertahan dengan masalah dalaman Umno dengan pemilihan calon, kehadiran broker kuasa dalam Umno yang tidak dapat ditepis kehadirannya dan hasrat dan matlamat individu dalam Umno sendiri.

Najib terus dihadapkan dengan berbagai tuduhan dan ini semakin galak dengan kehairanan kita mengenai pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh pembangkang terhadap isu yang melibatkan Najib. Apa yang jelas kelihatan dalam pusingan akhir sebelum pengumuman PRU 13 ini, Najib menjadi isu utama — seakan diserang bertubi-tubi dan menjadi fokus pembangkang. Suara penentangan dalaman dengan kehadiran broker kuasa dalam Umno juga menjadi penumpuan utama dan kehadiran broker kuasa ini amat benar mengambil insiden penentangan Pak Lah dahulu.Adakah Najib dapat bertahan – sebagai Presiden Umno dan adakah Umno/BN dapat bertahan dalam PRU 13 seolah-olah menjadi persoalan utama dalam Umno waktu ini. Melihat cara pembangkang menghentam Najib serta kerunsingan kepimpinan Umno/BN mengenai isu khianat dalam Umno/BN memberi isyarat kepada kita bahawa Umno/BN sedang meneliti sebarang kemungkinan yang akan berlaku sewaktu isu pengumuman calon BN/Umno nanti.


Tanggungjawab Najib semakin berat dalam keadaan sekiranya beliau turut ditentang oleh dalaman Umno. Ahli Umno seakan masih terpingga-pingga dalam mendefinisikan transformasi politik dalam Umno. Ahli Umno perlu mengisyaratkan perubahan termasuk apa yang dipanggil kematangan politik yang perlu ada dalam Umno sendiri. Orang Umno — seperti yang ditekan oleh Najib perlu menyerapkan kematangan berpolitik — menyedarkan diri bahawa politik hari ini bukan dalam proses penuaan tetapi dalam proses perubahan – menjadikan ianya baru — lebih terperinci dan lebih intelektual. Cara-cara usang akan hanya menjadikan BN/Umno ketinggalan dan akhirnya amat jauh dari keremajaan politik yang diharapkan oleh rakyat. Persoalan yang sering ditanya dalam sirkulasi perjumpaan Umno — adakah BN/Umno mampu bertahan?. —

ANUAR MOHD NOR


* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Siasat siapa paksa LTAT beli syarikat Deepak

Abdul Aziz Mustafa,
KUALA LUMPUR: Satu siasatan menyeluruh mesti dibuat untuk mengenal pasti siapa yang memaksa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membeli syarikat milik Deepak Jaikishan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


"Bukan sahaja mesti dibuat siasatan menyeluruh untuk mengenalpasti siapa paksa Deepak jual syarikatnya, Astacanggih Sdn Bhd, tetapi lebih dari itu, mesti juga disiasat siapa yang memaksa LTAT membeli 80 peratus saham syarikat Deepak itu.

"Siasatan juga mesti dibuat bagaimana kedua-dua pihak dipaksa termasuk sejauh mana ia melibatkan penyalahgunaan kuasa mana-mana pemimpin negara," kata beliau.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Deepak yang membuat pelbagai pendedahan yang dilihat akan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau dipaksa menjual syarikatnya itu kepada sebuah agensi di bawah Kementerian Pertahanan.

Deepak berkata, penjualan syarikat tersebut hanya untuk menampung wang yang telah dibelanjakannya dalam urus niaga tanah dengan Awan Megah Sdn Bhd yang tidak menjadi.

"Ianya benar bahawa saya dan pemegang saham saya telah menjual saham kami dalam Astacanggih untuk RM30 juta yang merupakan harga kos sebenar kami RM13 juta untuk Raja Ropiaah, RM8 juta untuk sumbangan politik, RM7 juta kos kewangan dan RM2 juta untuk kos guaman dan pelbagai kos.

"Ini adalah kata dua yang telah dipaksa ke atas kami," Malaysiakini memetik beliau.

Mahfuz mempersoalkan, adakah paksaan ke atas Deepak sama seperti paksaan ke atas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam untuk membuat akuan bersumpah (SD) kedua bagi membatalkan SD beliau yang pertama yang mengaitkan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena itu, rakyat terutama tentera dan bekas tentera berhak untuk tahu semua yang berlaku dalam skandal itu terutama termasuk siapakah yang menerima sumbangan politik dari urusniaga itu.

"Ia tidaklah terlalu kompleks kepada rakyat untuk membuat kesimpulan bahawa kepentingan anggota tentera dan bekas tentera diperjudikan untuk menutup mulut Deepak yang membuat pelbagai pendedahan mengenai Najib termasuk pendedahan bagaimana pakatan dibuat untuk memaksa Bala menandatangani SD keduanya," kata beliau.


Urusniaga mengejut itu bukan sahaja melibatkan pembayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih malah ia juga melibatkan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah.

"Bagaimana orang seperti (Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk) Raja Ropiaah (Raja Abdullah) membuat pelbagai keuntungan dengan transaksi Astacanggih dan tanah 200 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan yang masih belum lagi dipindahmilik kepada Awan Megah itu.


"Saman Deepak ke atasnya digugurkan dan duit pula dapat berpuluh juta.

"Yang peliknya keuntungan dibuat dengan transaksi jual beli tanah milik Kementerian Pertahanan dan kesemua ini mewajibkan satu siasatan menyeluruh dibuat," kata Mahfuz.


Jika rakyat tidak yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) berani dan bersedia membuat siasatan ke atas skandal tutup mulut Deepak itu, kerajaan baru mestilah dipilih untuk membongkar penganiayaan ke atas hasil titik peluh anggota tentera itu.