Isu penutupan pasar malam Kampung Kerinchi -Nong Chik bertanggungjawab


Isu Penutupan Pasar Malam Kampung Kerinchi yang setelah hampir 30 tahun bertapak dan memberikan khidmat kepada masyarakat sekitar akan tinggal lipatan sejarah selepas ini. Peniaga-peniaga di kawasan tersebut telah diarah untuk menutup perniagaan mereka tujuh bulan lalu.

Pada 2 April 2012, permohonan saya untuk penundaan penguatkuasaan penutupan pasar tersebut diluluskan oleh Pengarah Jabatan Pemudahcara Perniagaan dan Pengurusan Penjaja. Perniagaan para peniaga diteruskan di kiri dan kanan bahu jalan, Lorong Kerinchi Kiri 1.

Perniagaan berjalan seperti biasa sehinggalah pada 7 September 2012, bila para peniaga memaklumkan saya tentang kehadiran pihak Penguatkuasa DBKL untuk kerja penutupan. Perbincangan diadakan pada hari yang sama, dan diputuskan penyelesaian menerusi satu tapak alternatif berdekatan buat peniaga yang sudah berniaga berdekad lamanya di Kampung Kerinchi.

Malang, kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pada 9 September 2012, hanya menyebut tentang peluang yang diberi kepada peniaga yang masih ingkar terhadap arahan tutup tujuh bulan lalu. Sekali lagi, pada 10 September 2012, saya hadir mengadakan sidang media berkenaan isu yang sama yang turut dihadiri Pengerusi JMB Flat PKNS 14 Tingkat, En Zamri dan Peniaga-peniaga yang menyatakan pihak DBKL perlu memberikan masa dan waktu penangguhan bagi menutup pasar malam berkenaan.

Sedang perbincangan berlangsung untuk mendapatkan penyelesaian terbaik, para peniaga dikejutkan dengan berpuluh pegawai penguatkuasa DBKL pada 5 Oktober 2012. Rundingan dengan pihak DBKL menghasilkan pembatalan sebarang kompaun dan saman keatas peniaga yang terus beroperasi. Hari ini, nasib para peniaga masih lagi tidak terjawab. Walau Projek Pembangunan Semula Flat 4
Tingkat PKNS sedang berjalan dan jika tapak pasar malam berkenaan menjadi penghalangnya, pihak berwajib bersama DBKL perlu melunaskan perkara-perkara berikut:

i. Laporan impak persekitaran dan tahap keselamatan di kawasan terbabit untuk diteliti dan dinilai oleh peniaga dan penduduk di kawasan tersebut, sekiranya benar menghalang pembangunan semula yang sedang berlaku. Ketelusan sebegini akan membantu peniaga-peniaga juga mendapatkan tapak alternatif yang selamat, tidak menghalang laluan dan memanfaatkan semua pihak. Hal ini juga penting memandangkan ada dua laluan masuk ke tapak projek selain laluan yang digunakan peniaga-peniaga pasar malam Kampung Kerinchi.

ii. Pengesahan dan kelulusan tapak alternatif bagi semua peniaga yang sedia ada. Para peniaga sudahpun memberi cadang balas untuk tapak alternatif bagi mereka meneruskan perniagaan. Sehingga tapak tersebut memuatkan para peniaga, maka saya meminta agar mereka diberi laluan untuk meneruskan aktiviti perniagaan di Kampung Kerinchi tanpa dihalau, ataupun disaman. Permohonan dibuat memandangkan kenyataan Menteri Wilayah sendiri untuk tapak alternatif buat peniaga. Lunaskan janji tersebut, jangan menghalau dan menuduh sembarangan.



Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN

8 Oktober 2012

Skandal PKFZ berjaya bawa Tun M ke mahkamah

Pepatah Inggeris ada mengatakan, "Birds of a feather flock together,' yang membawa maksud, burung-burung yang memiliki bulu yang serupa, akan berhimpun bersama-sama. Inilah yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan umno/BN selama ini. 

Yang paling ketara, bermula semasa era Mahathir hinggalah ke era Najib sekarang. Burung yang berhimpun bersama-sama ini akan melakukan perkara-perkara yang serupa. Apa yang kamu makan, itu yang aku makan. Cuma yang membezakannya, kuantiti makanan. Ada yang makan besar, makan sederhana, makan kecil. 

Bacaan seterusnya di sini:   Jika Ling sangkut, Dr M pun sangkut...