SHAH ALAM 1 OKT: Datuk Seri Noh Omar dinasihati agar tidak cuba lari
daripada isu pokok dan bukannya mempersoalkan kelulusan mesyuarat exco
dan Borang 5A bagi tanah 30 ekar yang dimilikinya kini
“Noh tidak boleh alih isu ini, rakyat tertanya dia sebagai pemimpin
Umno dapat tanah 30 ekar, sedangkan rakyat biasa sekangkang kera pun tak
dapat,” dakwa Adun Sekinchan, Ng Sue Lim.
Kedudukan dan pengaruh Noh dalam Umno juga dikatakan mampu mempengaruhi keputusan mesyuarat exco Kerajaan Umno-BN ketika itu.
“Walaupun ketika keputusan mesyuarat exco dibuat Noh belum jadi Ahli
Parlimen, tetapi saya percaya dia menjawat jawatan berpengaruh dalam
Umno Tanjong Karang dan juga mengenali dengan baik ahli-ahli exco
mesyuarat tersebut.
“Sekurang-kurang pun mesti sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian, kalau
tidak tak kanlah dia dipilih jadi calon Ahli Parlimen Tanjong Karang,”
kata Sue Lim lagi.
Sue Lim juga mendakwa Menteri Pertanian dan Asas Tani itu yang
memiliki tanah seluas 30 ekar sebelum borang 5A dikeluarkan merupakan
suatu amalan yang salah.
Menurut Sue Lim mengikut amalan lazim, seseorang rakyat biasa hanya
dapat mengesahkan permohonan tanah mereka diluluskan setelah menerima
borang tawaran terima iaitu Borang 5A.
Beliau juga memberitahu, keputusan meluluskan permohonan tanah dalam
mana-mana mesyuarat sebelumnya juga boleh dipinda selagi borang tawaran
itu tidak dikeluarkan oleh Pejabat Tanah.
“Sebelum Borang 5A yang sah dari Kanun Tanah Negara tidak berada
dalam tangan, selagi itulah rakyat di bawah tidak dapat mengatakan
‘sipolan bin sipolan’ dapat tanah.
“Melalui mesyuarat exco, dari segi pentadbiran dan pengurusan
mengiktiraf mereka memiliki tanah tersebut apabila Borang 5A dikeluarkan
kepada rakyat,” kata Sue Lim.
Sue Lim turut memberitahu, rakyat biasa hanya mengetahui permohonan
tanah mereka sudah diluluskan apabila mereka menerima Borang 5A kecuali
bagi pihak yang mempunyai hubungan atau pengaruh dengan pihak yang
membuat keputusan tersebut.