Teresa Kok Mengecam Tindakan Polis Berdiam Diri Dalam Protes Anti-Ambiga


SHAH ALAM, 16 MEI : Exco Selangor Teresa Kok mengecam sikap polis yang tidak mengambil tindakan terhadap beberapa NGO yang mengadakan demonstrasi berterusan di hadapan rumah Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0), Datuk Ambiga Sreenevasan beberapa hari lepas.
Teresa mempersoal kenapa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar membenarkan kumpulan terbabit mengadakan senaman punggung dan demonstrasi burger di hadapan rumah Ambiga.
Menurut Teresa, tindakan boleh diambil terhadap NGO tersebut di bawah Seksyen 506 dan 509 Akta Ugutan dan Gangguan Seksual kerana menganggu keharmonian kawasan perumahan dan mengugut keluarga Ambiga.
“Tindakan sedemikian ini hanya bertujuan memalukan Ambiga sekeluarga dan turut mengganggu ketenteraman kawasan rumah disekitarnya,” kata Teresa, yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.
Sebelum ini, sekumpulan peniaga burger dari Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) memasak burger di hadapan rumah Ambiga, seorang penganut agama Hindu, dan menggantung makanan tersebut di pintu pagar beliau.
Agama Hindu menganggap lembu sebagai haiwan yang suci.
Semalam, seramai 20 orang dari Kelab Kebajikan dan Veteran Tentera (PVTM) mengadakan senaman ‘punggung’ di hadapan kediaman Ambiga di Bukit Damansara.
Khalid mempertahankan sikap polis dengan mengatakan Akta Perhimpunan Aman 2011 (APA), membenarkan semua orang boleh berhimpun asalkan notis diberi notis kepada polis dan  tidak mengganggu ketenteraman awam.
Teresa juga mengesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut.
“Najib selaku Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat juga perlu bertindak terhadap polis kerana lepas tangan dari mengambil sebarang tindakan,” katanya yang juga MP Seputeh dan Adun Kinrara.
Katanya lagi, kerajaan pusat perlu menghentikan tindakan berdiam diri terhadap kumpulan itu untuk mengelak dari tanggapan bahawa mereka disokong kerajaan pusat.

SPRM Harus Siasat Shafie Dan Zahida Atas Pemberian Wang Yang Besar


PETALING JAYA,16 MEI : Pemimpin PKR mendesak Menteri Kabinet, Datuk Seri Shafie Afdal untuk menjelaskan penggunaan wang yang jumlahnya besar yang diberikan kepada pelakon Zahida Rafik.
PKR juga menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap Shafie yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Sivarasa Rasiah berkata ini bukan persoalan tentang hal peribadi antara Shafie, yang juga Naib Persiden Umno, dan Zahida.
“Kita bangkitkan isu ini kerana ia melibatkan pembayaran wang tunai yang bukan melibatkan RM1 atau RM2.
“Tetapi melibatkan ratusan ribu Ringgit Malaysia, di mana jumlahnya amat besar dan apakah puncanya wang ini,” kata Sivarasa yang juga MP Subang, di dalam satu sidang media Ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Dalam sidang media sama, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin mempersoalkan bagaimana Shafie memperolehi wang itu dan tujuan beliau memberikan kepada artis tersebut.
“Kita masih menunggu jawapan daripada Shafie Afdal mengenai penjelasan tentang daripada wang yang dia dapat untuk setiap kali pertemuan.
“Kita masih tidak memperolehi apa-apa jawapan lagi daripada Shafie Afdal selepas kita mendedahkan pada bulan lepas.
“Beliau kena tampil ke hadapan dan memberikan penjelasan samada menafikan ataupun tidak,” kata Zuraida.
Dalam sidang media itu, bekas pemandu Zahida mendakwa bahawa beliau pernah menemani aktres itu untuk membawa duit berjumlah RM 1 juta yang didakwa diberikan oleh Shafie.
Noor Azman Azemi, yang bekerja selama tiga tahun untuk Zahida,
mendakwa wang tersebut merupakan jumlah tertinggi yang pernah dibawa untuk dimasukkan dalam akaun milik Zahida pada tahun lalu.
Beliau mendakwa menteri itu menemui pelakon itu seminggu sekali di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur.
“Yang paling rendah sebanyak RM100,000, manakala RM200,000 itu biasa.
“Saya pernah sekali saya tak tahu dalam beg ada RM 1juta. Itu nilai paling tinggi,” katanya sambil mengesahkan ia dibawa masuk ke dalam bank dalam bentuk tunai.
Noor Azman menjadi perhatian selepas membuat laporan polis pada 13 Mac selepas Zahida menuduh beliau melarikan diri dengan wang sebanyak RM 200,000.
Selepas laporan Noor Azman, Zuraida mendedahkan di dalam kenyataan media bahawa transaksi wang itu berlaku antara Oktober 2011 hingga Januari 2012.
Pada Oktober, sebanyak dua transaksi dibuat dengan jumlah RM36,000 dan RM22,000. Manakala pada November 2011 sebanyak RM112,000 dimasukkan dalam akaun.
Disember sebanyak RM330,000 dan Januari tahun ini sebanyak RM510,000 telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi artis terbabit.
Polis menahan Noor Azman selama tiga hari daripada 13 – 16 Mac untuk siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Zahida.
Laporan polis itu didedahkan oleh Zuraida pada 18 April lepas. Zahida dan Shafie bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Zahida pula telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Zuraida.
Turut hadir dalam sidang media itu ahli keluarga Noor Azman, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid yang dikenali sebagai “Dayangku Intan” (ibu saudara), Rosman Yahil (bapa saudara) dan peguamnya, Lateefa Koya.
Tengku Intan, yang juga seorang artis terkenal era 80-an, mendakwa keluarganya mengalami gangguan daripada individu yang tidak dikenali menunggu depan rumah beliau sejak Noor Azman dibebaskan.
“Rumah kami diganggu kerana alamat kad pengenalan Noor Azman adalah alamat rumah saya.
“Saya tidak kenal individu yang buat gangguan itu, tapi sedar di antara jam 2.00 – 4.00 pagi mereka ada depan rumah. Tak tahu polis atau siapa,” kata Tengku Intan.
Menurut Tengku Intan, mereka sekeluarga tampil untuk membersihkan nama dan maruah mereka kerana ia juga membabitkan maruah pihak kerabat DiRaja Kedah.

Bekas pemandu pernah bawa RM1 juta untuk artis








PETALING JAYA: Bekas pemandu seorang artis popular, Noor Azman Azemi (gambar dua dari kanan) memberitahu beliau pernah diarah membawa wang tunai berjumlah RM1 juta untuk diberikan kepada artis tersebut.

Beliau juga mendakwa setiap kali pertemuan antara artis itu dengan seorang menteri, artis itu akan diberikan paling sedikit RM100 ribu.

Menurutnya lagi, beliau tampil mengadakan sidang media hari ini kerana mahu membersihkan namanya yang dituduh melarikan RM200 ribu wang artis itu yang juga bekas majikannya.

Beliau mengadakan sidang media itu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang ini dengan ditemani peguamnya Latheefa Koya dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Noor Azman juga turut memberitahu rumahnya sering diganggu oleh beberapa individu yang tidak dikenali hampir setiap malam selepas pendedahannya itu.

Turut menerima gangguan itu adalah makciknya Tengku Intan Tengku Abd Hamid yang lebih dekenali sebagai Dayangku Intan.

Noor Azman menjadi perhatian selepas membuat laporan polis pada 13 Mac sebagai reaksi atas dakwaan beliau melarikan diri dengan wang pelakon Zahida Rafik sebanyak RM200,000.

Laporan polis itu turut mengaitkan pemberian wang itu dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal.

Laporan polis itu didedahkan oleh Zuraida pada 18 April.

Zahida dan Shafie bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, Zuraida menegaskan PKR tidak berminat langsung dengan soal peribadi antara Shafie dengan Zahida tetapi apa yang perlu dijelaskan oleh Shafie dari manakah beliau memperolehi wang tunai untuk diberi kepada artis tersebut.

Sebelum ini, Zuraida dan Noor Azman telah menerima surat saman yang dikemukakan oleh Zahida melalui Shafee & Co.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Dayangku Intan dan suaminya, Rosman Yahil serta Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

BERSIH : Polis Diminta Keluarkan Senarai Nama 120 Individu Dijejaki


KUALA LUMPUR, 16 MEI: Polis diminta mengeluarkan senarai nama kepada pihak media sekiranya mereka benar-benar ingin menjejaki peserta yang didakwa mencetuskan keganasan pada hari perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, perkara ini perlu bagi mengelakkan kesilapan tangkapan meskipun ada beberapa perserta yang menyerah diri setelah melihat gambar yang dipaparkan oleh polis.
“Apa yang penting adalah kalau ada 100 orang yang diburu oleh polis senarai mesti dikeluarkan. Kalau saya tidak tahu saya ada dalam senarai bagaimana saya ingin menyerahkan diri kepada pihak polis,” katanya.
Maria Chin berkata awal minggu ini, seorang individu bernama Mohd Safuan Mamat @ Nordin, 25 telah menyerahkan diri kepada pihak polis di Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.
Mohd Safuan mendakwa dia dipukul oleh seorang aggota berpakaian biasa ketika dibawa ke lokap dan dipaksa untuk mengaku merosakkan kereta peronda polis.
Apabila beliau tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan itu Mohd Safuan mendakwa dia telah dipukul menggunakan batang paip hitam di bahagian badan dan ditendang.
Setelah dia dimasukkan ke dalam lokap, beliau mendakwa tahanan lain di dalam bilik tersebut menampar beliau sebanyak empat kali namun pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan.
Beliau dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 440 dan 174 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen  Jenayah (5), Jalan Duta Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.
Maria turut memaklumkan, setakat ini pihaknya sedang mengumpul segala maklumat berhubung mangsa kekasaran polis pada perhimpunan berkenaan dan akan berbincang bersama pihak guaman bagi menentukan tindakan seterusnya.

Rafizi : Hanya 20% Pengurusan Tertinggi Felda Sokong Penyenaraian FGHV


PETALING JAYA,16 MEI : Hanya 20 peratus dari pengurusan tertinggi Felda yang benar-benar menyokong proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia ,dedah Rafizi Ramli.
Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, lebih separuh dari pengurusan Felda atau 55 peratus tidak bersedia untuk melalui proses penyenaraian itu.
“Pendedahan ini mengesahkan bahawa proses penyenaraian yang cuba dilakukan kerajaan BN mendapat tentangan hebat dari kalangan pimpinan tertinggi Felda sendiri.
“Ini memberi gambaran bahawa mereka yang lebih arif dan mengikuti proses dalaman sepanjang keputusan menyenaraikan Felda berpandangan penyenaraian ini lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada Felda dan peneroka,” jelas Rafizi dalam sidang media di Pejabat PKR di sini hari ini.
Tambah Rafizi, tentangan pengurusan tertinggi Felda ini akan menyulitkan proses penyenaraian dan membawa risiko bahawa ia akan gagal kerana tidak mendapat kerjasama kakitangan Felda.
“Adalah menjadi tanggungjawab Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Isa Abdul Samad untuk memberikan penjelasan kenapa pandangan dan tentangan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil kira dan penyenaraian Felda diteruskan jua.
“Mereka juga perlu memberi jaminan bahawa pengurusan Felda sedia ada tidak diketepikan dan muka-muka baru yang lebih akur dengan kehendak BN akan dilantik mengisi sebahagian besar jawatan baru di dalam Felda,” tegas Rafizi.
Beliau juga mendedahkan kira-kira 65 peratus dari pengurusan tertinggi Felda percaya proses penyenaraian ini akan gagal kerana Felda masih belum bersedia.
Kesimpulan itu dibuat oleh Boston Consulting Group (BCG) setelah menemuramah dan mengadakan kaji selidik melibatkan 30 orang pengurusan tertinggi Felda dalam bulan Oktober tahun lalu.
Pada 18 Oktober 2011 , pengurusan FGVH mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyenaraian FGV yang ketiga dipengerusikan oleh Isa.
Antara lainnya, mesyuarat tersebut membincangkan kesediaan pengurusan Felda dan pandangan mereka mengenai penyenaraian FGV dan penstrukturan korporat yang akan berlaku berikutan penyenaraian tersebut.

PKR : Asas FGVH Lemah, IPO Didorong Politik Bukan Ekonomi


PETALING JAYA,16 MEI : PKR menggesa Felda dan Kerajaan Pusat untuk mendedahkan secara terperinci mengenai yuran-yuran yang bakal diterima oleh pihak bank dan penasihat, hasil daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia.
Pengerusi Biro Pelaburan Dan Perdagangan PKR, Wong Chen dalam sidang media di ibupejabat parti itu berkata, ‘Initial Public Offering’ (IPO) FGVH ini didorong oleh politik dan bukannya berdasarkan kekukuhan kewangan FGVH.

“Kami merujuk kepada laporan dari Wall Street Journal mengenai IPO FGVH, di mana kebimbangan dibangkitkan mengenai keuntungan FGVH kerana profil pokok kelapa sawit yang tersangat teruk,” kata Wong.
Wong menjelaskan sesebuah syarikat akan mencuba IPO di bursa apabila ia berada dalam kedudukan yang kukuh dan mempunyai prospek yang sangat cemerlang.
Menurut beliau, bisnes FGVH bukanlah berada didalam kedudukan yang kukuh dan masa hadapan untuk pertumbuhan yang tinggi adalah sangat terhad malahan Prospektus IPO mendedahkan bahawa kedudukan sebenar FGVH di dalam pengurusan perladangan adalah lemah.

“Pada asasnya, profil umur pokok sawit FGVH mendedahkan bahawa lembaga pengarah Felda tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada pengurusan penanaman pokok.
“Sangat mengejutkan adalah 53 peratus daripada pokok-pokok sudah tua, 31 peratus muda dan tidak matang dan hanya 16 peratus pokok sawit pada tahap matang perdana.
“Bayangkan sebuah syarikat yang berprestasi hanya pada tahap 16 peratus daripada potensi sebenarnya membuat percubaan IPO,” jelas beliau.

Tambah Wong, sebagai perbandingan am, sebuah ladang yang sihat diurus dengan baik akan mempunyai profil pokok berusia tujuh peratus pokok tua, dan 15 peratus muda dan belum matang dan 78 peratus matang perdana.
FGVH perlu menanam balik dan menunggu selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum majoriti pokok pokok sawitnya menjadi matang perdana.
“Jadi jika anda membeli saham FGVH pada hari ini, kemungkinan besar anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum FGVH pulih ke tahap pengurusan perladangan yang baik,” ujar beliau.
Justeru, Felda dan kerajaan perlu menjawab persoalan apakah tujuan utama mereka membuat penyenaraian itu yang mungkin mempunyai kepentingan politik.

“Adakah dorongan utama bertujuan untuk memperkayakan bank, dan penasihat, pengarah-pengarah Felda dan juga untuk menyediakan pembayaran durian runtuh kepada peneroka untuk membeli sokongan politik di dalam pilihanraya yang akan datang.
“IPO FGVH adalah satu IPO yang sebesar RM10.2 bilion, ianya yang kedua di dunia tahun ini dan pihak bank dan penasihat kepada IPO ini akan untung yuran berpuluh-puluh juta ringgit,” katanya.

Gelombang internet sebelum BERSIH 2.0 dan 3.0

Pengenalan
 
Dalam dunia kewartawanan, berita sering digambarkan sebagai naskhah kasar pertama sejarah.  Media merupakan wahana komunikasi yang menyalurkan sesuatu berita, justeru media juga mentakrifkan catatan asal sesuatu peristiwa sejarah.  Namun, proses kewartawanan yang kompleks dan dipengaruhi pelbagai faktor khususnya kuasa politik sering mengubah catatan asal sehingga berita yang dipaparkan dalam media terpesong daripada kebenaran.
 
Media wujud dalam pelbagai wahana.  Di Malaysia, media cetak dan penyiaran sering dianggap sebagai media tradisional.  Apabila kawalan media yang ketat dikenakan terhadap media tradisional, liputan berita atau siaran sesuatu peristiwa penting lebih merupakan "konstruk kompleks" mengikut acuan rejim kawalan, maka gambaran tertentu dipaparkan, persepsi tertentu ditonjolkan.  Dimensi kebenaran yang tertentu menjadi pilihan, dimensi kebenaran yang lain tersisip dalam kekaburan, kalau bukan kepalsuan.
 
Kini dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), media baharu sedang mencorakkan persekitaran sosio-politik semasa dalam negara dengan begitu rancak.  Kawalan terhadap media tradisional masih berterusan, tetapi rejim kawalan yang bersifat monolitik sedang berhadapan dengan cabaran besar media baharu yang bersifat interaktif dan bergerak pantas berentap dengan media tradisional dalam proses representasi sesuatu peristiwa.
 
Semenjak kewujudan media baharu termasuk portal berita atas talian seperti Malaysiakini, MerdekaReview dan The Malaysian Insider serta media sosial seperti blog dan mikroblog, ketegangan antara rejim pemerintah dengan media baharu dan juga antara media tradisional dengan media baharu tidak pernah reda.  Semasa perhimpunan BERSIH 2007, apabila media tradisional melaporkan angka empat ribu, media baharu melaporkan angka puluhan ribu.  Seterusnya semasa perhimpunan BERSIH 2.0 dan 3.0, warga siber mendapat manfaat dari segi perbandingan maklumat ekoran kewujudan media baharu lantas memikirkan tentang kesahihan berita berkaitan.
 
Lahirnya media baharu menjadikan perspektif bahawa "kebenaran menjadi pilihan" begitu menonjol sekali.  Maka perbandingan dapat dilakukan dan representasi media baharu khususnya portal berita atas talian dapat mencabar representasi media tradisional dengan kredibiliti yang setanding jika tidak lebih tinggi kredibilitinya.
 
Kredibiliti representasi sesuatu peristiwa tidak lagi dimonopoli oleh media tradisional, malahan kredibiliti media tradisional semakin terhakis. Contoh klasik ialah Utusan Malaysia yang mengalami kemerosotan sebanyak 31.12 peratus dari segi jumlah edarannya semenjak zaman Reformasi. (sila lihat Jadual 1 Bab 2 buku Membina Bangsa Malaysia penerbitan SIRD). Dalam hal ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berpendapat bahawa "kejatuhan edaran akhbar Utusan Malaysia disumbangkan atas beberapa faktor dan kebanyakannya disebabkan polisi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarang dan Pengarang-pengarang Kanan", antara lain termasuk "laporan berat sebelah" dan "tidak memberi peluang kepada orang yang dituduh untuk menjawab dan disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia".
 
Empat tahun selepas BERSIH 2007, gerakan BERSIH 2.0 menyaksikan fenomena kemunculan Generasi Facebook ekoran populariti jaringan media sosial dalam kalangan warga siber serta suasana politik yang dinamik dan memberangsangkan pasca 8 Mac 2008.  20 tahun selepas Tim-Berners Lee mengumumkan ciptaannya yakni jaringan seantero dunia yang juga dikenali dengan nama singkatan WWW (World Wide Web), kesan media sosial terhadap politik kebangsaan terserlah apabila Generasi Facebook mengemparkan bumi Malaysia dengan tuntutan
pembaharuan sistem pilihan raya dalam negara.  Semasa kemuncak gerakan BERSIH 2.0, sebahagian besar halaman Facebook diselubungi kekuningan apabila ramai pengguna Facebook memasang lencana BERSIH 2.0 pada gambar profil masing-masing. Begitu juga semasa BERSIH 3.0.
 
Jaminan tiada penapisan Internet
 
Apabila diimbas kembali perkembangan dalam negara kita, mungkin lebih sesuai jikalau tahun 1996 dan bukannya tahun 2000 diambil kira sebagai permulaan abad ke-21 Malaysia.  Tanggal 1 Ogos 1996, Perdana Menteri (PM) ke-4, Dr.Mahathir Mohamad yang kini bergelar Tun Mahathir telah mengumumkan projek mega Koridor Raya Multimedia (MSC) semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia.
 
Ekoran itu, Mahathir mengumumkan suatu Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantees) yang mengandungi sepuluh jaminan kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat berstatus MSC dan industri teknologi maklumat di Malaysia.  Antara jaminan penting yang menyediakan kerangka tatakelola dan mewujudkan persekitaran untuk perkembangan industri teknologi maklumat dan media ialah:
• Rang Jaminan ke-6: Menjadi pendahulu serantau dalam perlindungan hakmilik
intelektual dan undang-undang siber.
• Rang Jaminan ke-7: Tiada penapisan Internet.
• Rang Jaminan ke-8: Menyediakan tarif komunikasi yang kompetitif pada peringkat global.
 
Apa yang menarik ialah, atas andaian bahawa pembangunan MSC dapat mentransformasi masyarakat dan "melonjatkan" (leapfrog) pembangunan negara untuk mencapai tahap pembangunan sepenuhnya, sejajar dengan tesis masyarakat maklumat dan Wawasan 2020, paradigma pembangunan yang acap kali melegitimasikan tindakan rejim kawalan kini menjanjikan keterbukaan dari segi penapisan Internet.
 
Seterusnya, jaminan tiada penapisan Internet diketengahkan oleh masyarakat madani sebagai syarat penting pewujudan persekitaran kondusif untuk pengoperasian portal berita atas talian tanpa sekatan politik dalam dunia siber.  Perlu ditekankan di sini bahawa jaminan tiada penapisan Internet hanya diutarakan oleh Mahathir semasa beliau berucap di hadapan para pelabur Amerika Syarikat pada 14 Januari 1997, lima bulan selepas pengumuman MSC.  Seterusnya, Fasal 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengisytiharkan bahawa "tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet."
 
Jaminan tersebut dapat dilihat sebagai satu-satunya legasi penting Mahathir yang menyumbang secara tidak langsung dan "secara tidak diingini" (unintended) kepada ruang demokrasi dunia siber selepas tercetusnya gerakan massa bergelar Reformasi dua tahun selepas pelancaran MSC.
 
Setahun selepas pelancaran MSC, Malaysia mengalami krisis kewangan Asia 1997/98 yang bermula dari negara Thailand dan juga melanda negara-negara serantau termasuk Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Hong Kong.  Industri ICT berorientasikan MSC yang diagung-agungkan kelihatan lebih signifikan dari segi pembinaan projek mega seperti Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya, Putrajaya dan Cyberjaya yang kerja pembinaannya bermula sekitar pertengahan tahun 1990-an.
 
Dalam sebuah kajian ilmiah berkenaan pembangunan MSC, Tim Bunnell menyifatkan projek MSC sebagai suatu usaha penswastaan untuk mengecualikan rakyat terbanyak, sejajar dengan wacana dominan Mahathirisme yang cenderung mengaitkan slogan "Malaysia Boleh" dengan kehebatan pembangunan berorientasikan projek mega.
 
Faktor dorongan perkembangan ICT
 
Sementara pembangunan MSC kelihatan lemah tatkala krisis kewangan 1997/98, gelombang menuntut perubahan bergelar Reformasi memukul kuat politik tanah air lantas mendorong rakyat marhaen menerokai kemungkinan penyebaran maklumat tanpa sekatan menggunakan teknologi Internet.  Justeru, gerakan Reformasi banyak mendorong perkembangan ICT apabila potensi ruang siber dikenalpasti sebagai manifestasi baharu politik partisipasi supaya mobilisasi rakyat terbanyak dapat dicapai sepanjang zaman Reformasi.
 
Pelancaran laman sesawang zaman Reformasi yang pertama - Anwar Online - pada 1 September 1998, disusuli dengan pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap mantan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim keesokan hari, serta perisytiharaan Deklarasi Permatang Pauh olehnya di kampung halaman beliau, Cherok Tok Kun, Permatang Pauh pada 12 September 1998, bukan sahaja menandakan permulaan gelombang gerakan Reformasi 1998, tetapi juga menandakan permulaan masyarakat siber ketika Malaysia melangkah masuk ke abad ke-21 dan mengejar impian masyarakat berpengetahuan.
 
Selepas itu, fenomena media baharu mulai menyerlah selari dengan arus perkembangan industri teknologi maklumat peringkat global dan gerakan Reformasi 1998 yang menyaksikan kelahiran sebuah parti baharu bersifat massa - Parti Keadilan Nasional - yang berjaya memenangi lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu serta empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Perak melalui gabungan parti oposisi Barisan Alternatif yang memberikan cabaran kuat kepada Barisan Nasional (BN).  Komponen parti oposisi tatkala itu termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
 
Gelombang pertama fenomena media baharu berkisar sekitar kemunculan laman sesawang pro-Reformasi atau pro-Anwar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, bersama-sama dengan penerbitan cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), penerbitan berkala dan tidak berkala lidah rasmi parti oposisi dan masyarakat madani, serta pelancaran Malaysiakini selari dengan hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU Ke-10) pada 20 November 1999.
 
Jika sekiranya gerakan Reformasi 1998 dan PRU Ke-10 pada tahun 1999 dianggap sebagai petanda gelombang pertama fenomena media baharu, gerakan massa sekitar tahun 2007 khususnya gerakan BERSIH dan PRU Ke-12 pada tahun 2008 dapat dilihat sebagai permulaan gelombang kedua fenomena media baharu berikutan populariti media sosial seperti blog, Facebook dan YouTube. (Bahagian pertama, bersambung)
 
Bahagian kedua: Media Baru sebagai ruang awam
 
*Artikel ini merupakan kemaskini kepada sebahagian daripada penulisan Ooi Heng
pada bulan September 2011 yang dimuatkan dalam buku baharu penerbitan SIRD
berjudul "Membina Bangsa Malaysia" sebagai Bab 2 bertajuk "Media, Teknologi
Maklumat dan Cabaran Semasa".
 
**Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.