Bersih: Berhimpun di 6 lokasi sebelum ke Dataran Merdeka


Peserta perhimpunan Aman Bersih 3.0 pada Sabtu ini diarah berhimpun di 6 lokasi sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Bersih mara!
Enam lokasi ialah Central Market, Masjid Negara, KLCC, Brieckfield, Jalan Sultan dan Masjid India.

Demikian dijelaskan Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0, Maria Chin Abdullah.

Selain itu, katanya, perhimpunan Hijau di KLCC juga akan menyertai  Duduk Bantah Bersih 3.0.

Menurut beliau, Himpunan Hijau tidak terpisah dengan Perhimpunan Aman Bersih 3.0 kerana kesemua mereka yang menyertai kedua-dua perhimpunan itu mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya dengan bersih, adil dan telus di negara ini.

"Mengikut perancangan, Perhimpunan Aman Bersih 3.0 akan diadakan di Dataran Merdeka. Enam tempat berkenaan adalah tempat perhimpunan awal sebelum para peserta menuju ke Dataran Merdeka.
Maria Chin

“Tetapi kalau orang ramai tak dapat sampai ke Dataran Merdeka, mereka hendaklah berkumpul dengan duduk bantah di enam tempat itu yang sekali gus menjadikannya sebagai tempat alternatif,” katanya dipetik harakahdaily.

Pada himpunan Bersih 2.0 tiga tempat dijadikan kawasan alternatif; Sogo, Masjid Negara dan Masjid Kampung Baru. Bagaimanapun semua lokasi tersebut disekat polis pada pagi 9 Julai.

Bersih menukar lokasi pada saat akhir menyaksikan ia bermula di KL Sentral dan disekat oleh FRU

Sementara di tengah-tengah kota bermula di stesen LRT Masjid Jamek dan bergerak ke Menara Maybank serta Pudu Sentral.

Himpunan Bersih 2.0 menyaksikan 100,000 peserta. Sekiranya peserta lebih ramai kali ini maka wajarlah lokasi berhimpun ditambah.

BERSIH 3: Lara Jiwa Merangkul Damba Sebuah Kebangkitan



 Aiman Athirah Al Jundi

pada rasa nan sendu
pada hati nan pilu
pada lidah yang keluh
pada pasrah yang patuh
pada mata nan sayu
pada jiwa-jiwa yang luluh
pada hati budi yang lumpuh….

dalam kemilaunya kebangkitan malam ini
intropeksi 5 dekad kemerdekaan Malaysia
dalam kalutnya para warga menongkah arus deras kehidupan
dalam kalutnya para warga usaha melakar wajah manis sebuah perjalanan
yang penuh gerimis luka, duka dan suka…silih nan berganti

ketika kekayaan kini hanya menjadi milik para elit kuasa
ketika kesenangan ini hanya layak buat para proksi kapitalis derhaka
ketika kemewahan kini menjadi saudara kembar
para bangsawan dan negarawan
yang lahir daripada sistem PEMILU yang tempang
ketika mereka kini usai membina segala gedung hatta mahligai
daripada kerahan keringat, airmata dan darah
rakyat marhaen yang ada kalanya lupa
bahawa mereka itulah
jagoan dan juragan yang sebenarnya….

dalam kemilaunya kebangkitan malam ini
demi maruah negara yang sedang digugat
demi hak bersuara yang sedang diikat
demi hak berhimpun yang sedang dihambat
Nah….
buat adik-adik kami generasi pewaris legasi ummat
tanah air tercinta…
ayuh! kita teruskan mara dan ammarah ini..

28 APRIL - Ini derap dan langkah kita
28 APRIL - Ini tarikan dan hembusan nafas kita
malam ini bersaksilah segala kegelapan
malam ini bersaksilah segala keinginan, kemahuan dan keberanian
kuninglah walau di mana-mana
kuninglah dan bersihlah kita

buangkan rasa takut, buangkan peribadi pengecut
kita adalah wira-wira baru
kita adalah wira-wira rakyat yang berani bangkit menyatakan
KAMI MAHU BERUBAH
KAMI MAHU BERSIHKAN PILIHANRAYA!
TUNAIKAN 8 TUNTUTAN
BARULAH PRU13!!!

duhai generasi pewaris legasi ummat…
hulurkan tangan memalu genta…kelangsungan merdeka
rapatkan soff keramat
berbekal azimat muafakat
segera cantaskan pucuk-pucuk angkuh – rusuh - layu
dengan minda mereka yang rapuh…poyo…

bangkitlah generasi pewaris legasi ummat
jadilah sejarah
tempahi namamu agar bisa dilakar mekar
menjadi sebahagian daripada nama-nama para pejuang
tegar dan segar melakar tuntas dan pantas kebangkitan baru
pada zaman yang sangat butuh, pada zaman yang sudah sangat perlu

bangkitlah generasi pewaris legasi ummat
kita sulam iltizam kedaulatan negara,
keindahan dan ketinggian islam
pada neraca kewajaran hatta kewajipannya…
bersatu menyusun azam - memakmurkan rakyat
berpadu menggenggam tekad - solidariti ummat.

kita mulakan langkah baru
mengisi visi tak terbatas
mewarnai reformasi yang jangan sampai culas
dari mata jiwa seorang pejuang, wira-wira pembebas
dari mata jiwa seorang pejuang, srikandi tak terbatas
demi tanah tumpah darah ini…

kita dukung misi ke martabat tertinggi
dunia dengan tapak yang teguh
perpaduan, persaudaraan, kasih sayang

dipandang hormat kawan dan lawan….

28 APRIL….Ini tugas kita
hasrat membina kebangkitan baru

kita kembalikan keadilan, kebenaran, kewarasan, kejujuran
kita kembalikan keamanan, keselamatan ketenangan para warga
kita kembalikan kebersihan dalam sistem dan segala perjalanan
kita bersihkan segala kekotoran, pengkhianatan, jijik rasuah dan salah guna kuasa

bersih dan terus kita bersihkan
dengan kudrat pengalaman
keberkatan yang terhimpun lama
azam tak terpadam
semangat hangat
panas membara…
demi masa depan kita
dan anak cucu kita

Nah…
jika masih ada lagi manusia waras yang bertanya
MENGAPA BERSIH 3?
jawapan kita mudah…
warga asing tidak boleh merampas hak kita, rakyat tempatan
untuk tentukan masa depan negara!

adik-adikku…generasi pewaris legasi ummat…
bangkitlah…
bangkit itu..tidak ada …
tidak ada kata menyerah
tidak ada kata putus asa

bangkit dan kebangkitan itu…adalah kita…
harapan baru untuk Malaysia!

*Puisi oleh Aiman Athirah Al Jundi selaku Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, akan dideklamasikan pada malam satira politik, Dataran Shah Alam.