Penyata minoriti Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya

1.0 Pendahuluan

Ketiga-tiga wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya iaitu Ahli bagi kawasan Gombak Mohamed Azmin Ali, Ahli bagi kawasan Rasah Loke Siew Fook dan Ahli bagi kawasan Kuala Krai Dr.Hatta Md Ramli telah mencadangkan supaya satu Penyata Minoriti dilampirkan bersama Laporan Akhir Jawatankuasa semasa mesyuarat terakhir Jawatankuasa dijalankan pada 29 Mac 2012.

Namun, cadangan tersebut telah ditolak dengan satu undian belah bahagi. Keputusan ialah tiga undi bersetuju dengan cadangan tersebut (Gombak, Rasah dan Kuala Krai) manakala enam undi tidak bersetuju (Kota Marudu, Kangar, Alor Gajah, Kapit, Hulu Selangor dan Wangsa Maju). Adalah mustahak untuk ditegaskan bahawa sepanjang perjalanan dan prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, ahli jawatankuasa dari Pakatan Rakyat telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyempurnakan tugas mereka.

Penyata Minoriti adalah penting untuk memberikan ruang kepada suara minoriti dalam Jawatankuasa melaporkan pandangan dan cadangan mereka yang tidak dipersetujui oleh majoriti dalam Jawatankuasa. Walaupun tidak mendapat undi majoriti, namun cadangan dan pandangan minoriti dalam sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas wajib direkod dan dilaporkan bersama Laporan Akhir Jawatankuasa.

Tujuan tiga wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa tersebut mencadangkan Penyata Minoriti ialah kerana kami berpendapat perkara yang paling asas dan penting dalam soal penambahbaikan sistem pilihanraya iaitu memastikan Daftar Pemilih yang bersih dan telus masih belum mendapat perhatian yang sepatutnya dan tindakan yang serius daripada pihak Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR). SPR gagal memberikan komitmen yang penuh untuk memastikan segala kepincangan dalam Daftar Pemilih akan diatasi dan menjamin satu Daftar Pemilih yang bersih yang bakal digunakan pada Pilihan Raya Umum yang ke-13 nanti.

2.0 Isu-isu berkenaan Daftar Pemilih yang gagal ditangani oleh SPR

2.1 Membetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen

Di antara bulan Mac 2008 dan suku ketiga 2011, SPR telah memindahkan seramai 31,294 pemilih keluar dari kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen dimana mereka mengundi pada PRU ke-12 tanpa keizinan mereka. Alasan yang diberikan oleh SPR ialah mereka menjalankan proses memperbetulkan sempadan kawasan pilihanraya ke kawasan yang sepatutnya. SPR menggunakan peruntukan undang-undang di dalam seksyen 7 Akta Pilihan Raya iaitu memperbetulkan kawasan daerah mengundi dan lokaliti di dalam aktiviti belah bahagi untuk melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang iaitu memindahkan pengundi tanpa izin mereka dan memperbetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa melalui persetujuan Parlimen.

Prinsip Belah Bahagi di bawah tajuk Sempadan Pilihanraya jelas menyatakan:

"Urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah ditumpukan dan terhad dalam satu-satu Bahagian Pilihanraya Negeri sahaja. Oleh itu, urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah TIDAK BOLEH sama sekali melampaui sempadan Bahagian Pilihanraya Negeri apatah lagi Parlimen termasuklah urusan untuk mencantumkan dua daerah mengundi yang kecil atau sebahagiannya yang terletak di sempadan dua bahagian Pilihan Raya yang berlainan."

Aduan rasmi daripada Ahli Parlimen Subang kepada SPR berhubung isu tersebut yang melibatkan kawasan Parlimen Subang adalah dilampirkan dalam Apendiks 1.

Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengakui bahawa proses yang mereka telah lakukan adalah menyalahi peruntukan undang-undang dan mengambil tindakan serta-merta untuk mengembalikan pengundi-pengundi yang terjejas dalam proses tersebut kebahagian pilihanraya DUN dan Parlimen yang mereka mengundi pada PRU ke-12. Proses ini perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2.2 Isu berkenaan 42,000 pengundi ragu yang masih belum dibersihkan oleh SPR

Pada penghujung tahun 2011, SPR telah mempamerkan 42,000 nama pengundi ragu yang dikatakan status kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan oleh JabatanPendaftaran Negara. Proses pameran tersebut telah tamat beberapa bulanyang lepas namun sehingga kini, SPR gagal membersihkan nama-nama tersebut daripada Daftar Pemilih Induk (DPI).

Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan membersihkan senarai tersebut dan mengeluarkan nama-nama pengundi ragu tersebut dalam tempoh 15 hari daripada Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2.3 Nama pengundi yang melebihi 100 tahun

Dalam Daftar Pemilih Induk SPR, terdapat 65,000 pengundi yang berumur 85 tahun keatas dan lebih 1,000 pengundi yang berumur lebih 100 tahun! Terdapat 19 nama pengundi yang lahir sebelum tahun 1900. Walaupun kebanyakan pengundi yang berumur 85 ke atas dipercayai masih hidup namun pengundi-pengundi yang melebihi 100 tahun adalah sangat diragui.

Contoh seorang pengundi yang lahir pada tahun 1853 (berumur 159 tahun sekarang) adalah dilampirkan dalam Apendiks 2.

Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyiasat dengan terperinci nama-nama warga emas yang berumur lebih 100 tahun ini dan seterusnya membersihkan nama-nama tersebut daripada Daftar Pemilih dalam tempoh 30 hari.

2.4 Senarai pengundi ragu yang menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina

Terdapat kajian yang mendapati bahawa lebih 15,000 nama pengundi yang didaftarkan dengan menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina. Maksudnya ialah terdapat nombor kad pengenalan yang berakhir dengan nombor genap (yang sepatutnya untuk wanita) didaftarkan sebagai pengundi lelaki. Terdapat juga kes nombor kad pengenalan yang berakhir dengan nombor ganjil (yang sepatutnya untuk lelaki) didaftarkan sebagai pengundi perempuan.

Contoh-contoh kes tersebut adalah dilampirkan dalam Apendiks 3.

Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyemak nama-nama tersebut dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan seterusnya membersihkan senarai tersebut daripada Daftar Pemilih dalam tempoh 30 hari dari Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2.5 Isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos

Satu kajian bebas ke atas Daftar Pemilih mendapati bahawa terdapat lebih kurang 4,500 nama isteri kepada anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos. Isteri kepada anggota polis sepatutnya tidak layak menjadi pengundi pos. SPR telah memaklumkan kategori anggota keselamatan yang layak menjadi pengundi pos ialah anggota tentera dan pasangan mereka serta anggota polis sahaja.

Contoh senarai isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos adalah dilampirkan di Apendiks 4.

Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengeluarkan semua nama isteri anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos dan dimasukkan semula dalam Daftar Pemilih sebagai pemilih biasa dalam tempoh 15 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

3.0 Rumusan

Makanya keputusan kami untuk tidak memperakui Laporan Akhir Jawatankuasa sebagai laporan yang konklusif serta menekankan keperluan dibentangkan bersama penyata minoriti adalah kerana kegagalan SPR sehingga kini untuk bertindak sesuai dengan mandat Perlembagaan demi memastikan perjalanan pilihanraya yang bersih dan adil. Ma lah sepanjang perjalanan mesyuarat Jawatankuasa, berdasarkan penjelasan yang diberikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, tambah meyakinkan kami bahawa SPR kian hilang kewibawaan menyempurnakan mandat tersebut secara bebas dan adil.

Baca: Catatan seorang ahli dewan: Kecoh tentang laporan minoriti

*Oleh Mohamed Azmin Bin Ali (tengah, Ahli Parlimen Gombak), Loke Siew Fook (kanan, Ahli Parlimen Rasah) dan Dr Mohd Hatta Md Ramli (kiri, Ahli Parlimen Kuala Krai). Dipetik dari Kajian Politik Untuk Perubahan.

Catatan seorang ahli dewan: Kecoh tentang laporan minoriti

Hari ini kecoh dewan sebab pada pukul 3.30 hari ini Tuan Speaker telah menangguhkan sidang sehingga jam 10 pagi keesokannya. Tuan Speaker juga telah membuat keputusan untuk meluluskan laporan Jawatankuasa Penambahbaikan Proses Pilihanraya dalam keadaan kekecohan di dewan petang tadi dan sebelumnya telah mengarahkan tiga Ahli Parlimen untuk keluar dewan dalam keadaan yang penuh kegawatan di Parlimen. Saya boleh angkat topi kepada Tuan Speaker kerana dapat melakukan semua keputusan tersebut dalam masa tak sampai 15 minit. Tapi apakah sebenarnya yang berlaku di dalam dewan sebentar tadi pada saat semua pihak menanti-nanti laporan JK untuk memperbaiki sistem pilihanraya negara kita?

Sebenarnya Dewan telahpun kecoh sebelum berhenti rehat pukul 1 tengahari tadi apabila Speaker telah menolak usul awal dari pembangkang supaya minority report dibentangkan berserta dengan laporan JK kerana ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh anggota JK dari pembangkang yang berpendapat ia tidak menyentuh isu dasar tentang kepincangan SPR dari sudut Daftar Pemilih yang masih tempang. Speaker bertugas sebelum rehat tengahari iaitu Pandikar Amin Mulia (gambar kiri) menolak dengan alasan bahawa telah cukup laporan JK tanpa perlu pembentangan minority report. Apabila Speaker berhujah bahawa tidak ada kes awalan yang membenarkan minority report dibentangkan, di sinilah belengu kekecohan pun terlepas dan bermulalah perbalahan. Ramai dari Ahli Parlimen menghujahkan bahawa ada kes awalan (preceding cases) yang membenarkan laporan minoriti dibentangkan lalu menolak itu sebagai alasan menolak minority report.

Untuk pengetahuan pembaca minority report adalah istilah yang digunakan untuk laporan dari kalangan anggota sesebuah jawatankuasa yang mempunyai pandangan yang berbeza dari pandangan majoriti dalam jawatankuasa tersebut. Ia diperakui sebagai satu laporan untuk merakamkan pandangan yang berbeza dalam sesebuah jawatankuasa.

Namun persoalan yang diperdebatkan ialah adakah perlu dibentangkan dalam mesyuarat penuh? Pastinya laporan minority report itu adalah pandangan anggota pembangkang dalam JK yang menyentuh persoalan daftar pemilih yang masih lagi dipertikaikan dari sudut pembersihan nama dari warga asing yang tidak diselesaikan dan dijelaskan. Tujuan kami meminta untuk dibentangkan ialah supaya pandangan ini dirakamkan untuk diminitkan dalam dewan bahawa kami masih tidak berpuashati dengan laporan JK yang tidak menyelesaikan masalah pokok iaitu Daftar Pemilih.

Hanya waktu rehat sidang telah menyelamatkan keadaan apabila keputusan Speaker waktu itu ialah meneruskan perbahasan ahli tentang laporan JK tersebut tanpa menerima usul laporan minoriti dibentangkan bersama. Semasa sesi bersidang selepas rehat, Ronald Kiandi bertugas. Kebetulan saya sempat menyapa beliau di cafeteria Parlimen dan kami berseloroh tentang bagaimana Pandikar Amin Mulia pagi tadi berada dalam keadaan sukar untuk membuat keputusan, saya memberitahu Ronald Kiandi yang akan ambil alih sesi petang bahawa dia mesti bersiap sedia untuk mengawal keadaan kerana kami belum berpuas hati. Rupanya sapaan saya secara berseloroh terhadap beliau menjadi kenyataan apabila dia turut didesak seperti tengahari tadi untuk membenarkan minority report dibentangkan.

Semasa Ronald Kiandi berada dalam keadaan tertekan itu, Pandikar Amin masuk ke dewan lalu dengan gaya seorang "pendekar" ambil alih tempat Ronald Kiandi untuk mengawal keadaan. Malangnya tindakan "kependekaran" beliau itu hanya memburukkan lagi keadaan apabila Pandikar mengarahkan beberapa Ahli Parlimen keluar dewan. Ketua Pembangkang berdiri untuk menyelamatkan keadaan dengan meminta Speaker supaya tidak menggunakan kuasanya dalam keadaan kekecohan ini hanya kerana ada pandangan dari ahli parlimen yang lain berhujah bahawa keputusan awalnya berlandaskan kepada kes awalan sudah tidak boleh diterima kerana ada kes yang membenarkan minoriti report dibentangkan. Suasana semakin tegang dengan bunyi hiruk pikuk Ahli Parlimen di kedua-belah pihak sehingga kedengaran suara dari pembangkang "Leave the Chair, Leave the Chair!" (semacam menghalau keluar) terhadap Pandikar.

Dalam kekecohan itulah Pandikar terus meluluskan laporan dalam keadaan tidak ada sesiapa pun yang mendengar apa yang diucapkan, hanya bunyi penukul speaker yang kedengaran meminta semua diam. Kekecohan berakhir dengan semua kami keluar dewan dan Ketua Pembangkang bersama pipimpinan PAS dan DAP serta PKR mengadakan sidang media dan semua mata tertumpu kepada Anwar Ibrahim kerana ingin mengetahui apa yang berlaku di dalam dewan tadi. Sememangnya hari ini hari yang bersejarah apabila Speaker yang diarahkan keluar dewan setelah menggunakan kuasanya untuk memerintahkan beberapa ahli keluar hanya kerana menganggap Tuan Speaker tidak melakukan keadilan untuk mendengar pandangan dan hujahan pembangkang supaya minority report dibentangkan.

oleh: Muahid Yusof Rawa

Keengganan Speaker Benarkan Usul Laporan Minoriti Dibahaskan Disifatkan Sebagai Angkuh

KUALA LUMPUR, 3 APR : Tindakan Speker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang enggan memberi ruang kepada MP Pakatan Rakyat bagi membahaskan usul kenyata minoriti PSC disifatkan sebagai angkuh dan tunduk kepada tuntutan Umno-Barisan Nasional (BN) semata-mata.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Speaker enggan mengesahkan kenyata minoriti tersebut kerana ia menjelaskan isu pokok berhubung kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membersihkan senarai daftar pemilih yang sah.

Menurutnya, Speaker tidak mahu melayan perbahasan tersebut sedangkan beliau (Speaker) mencabar ahli Parlimen Pakatan sebanyak tiga kali untuk mengemukakan amalan berhubung alasan amalan ini.

“Daripada awal sidang, ketiga-tiga ahli jawatankuasa yang mewakili Pakatan Rakyat menegaskan keperluan mengemukakan laporan minoriti.

“Speaker menolak dengan alasan tidak pernah ada amalan dalam negara Komanwel berhubung perkara berkenaan.

“Speaker baca amalan di New Zealand, tetapi dia hanya baca separuh, tidak lengkap. Sedangkan negara-negara seperti Australia, New Zealand, United Kingdom dan Jamaica membenarkan amalan ini.

“Bila beberapa ahli Parlimen bangkitkan isu amalan ini, dia tidak hadir, dia masuk terus gantung (ahli Parlimen),” katanya di dalam sidang media di lobi Parlimen.

Anggota PSC Pakatan pagi tadi memohon satu Laporan Minoriti dimasukkan dalam laporan akhir PSC untuk mengetengahkan lima perkara yang tidak selesai.

Usul itu dikemukakan oleh MP Gombak, Azmin Ali, MP Rasah Loke Siew Fook dan MP Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Walaubagaimanapun, usul mereka ditolak oleh Pandikar Amin dan apabila tiga MP Pakatan enggan mematuhi arahan beliau, ke-tiga-tiga MP itu diarahkan keluar.

Meraka adalah Azmin, MP Subang, R.Sivarasa dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Speaker dilihat enggan menerima pandangan yang dikemukakan ahli Parlimen Pakatan berhubung amalan tersebut, sedangkan beliau sendiri meminta mereka berbuat demikian.

“Bagi saya, Speaker akan dilihat lebih berjiwa besar sekiranya dia boleh memperbetulkan kesilapan apabila kita telah mengemukakan hujah yang cukup konkrit.”

Mahfuz berkata, ia adalah sesuatu yang memalukan apabila laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC) ini diterima dalam keadaan yang jelas membuktikan terdapat banyak lagi kepincangan dalam sistem pilihanraya.

Kenyataan itu turut dipersetujui Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan kejadian sedemikian rupa adalah insiden paling memalukan dalam sejarah 53 tahun Parlimen di Malaysia.

Menurutnya, Speaker dilihat gagal mengawal dewan sehingga berlaku kekecohan dan huru-hara dalam Parlimen.

“Kejadian yang berlaku hari ini jelas menunjukkan Speaker telah melakukan kesilapan, bersikap berat sebelah dan tidak rela memperbetulkan kesilapan beliau.”

MP Umno-BN Tolak Cadangan Bersihkan Daftar Pemilih

KUALA LUMPUR 03 APR : Gagasan Umno-BN yang menguasai Dewan Rakyat hari ini menolak cadangan untuk memperbetulkan sistem pilihanraya Malaysia dengan membersihkan daftar pemilih dari lebih 50,000 pengundi yang statusnya diragukan.

Majoriti MP Umno-BN juga telah menolak cadangan yang dibawa MP Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk memgembalikan lebih 30,000 pengundi-pengundi yang dipindahkan tanpa pengetahuan mereka ke lokasi mengundi yang asal.




Ini berlaku setelah Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul bagi memasukkan penyata minoriti dari Ahli Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dari Pakatan ke dalam laporan rasmi PSC itu.

Kenyata minoriti itu ditulis tiga ahli panel PSC Untuk Penambahbaikan Pilihanraya dari Pakatan yang tidak puas hati terhadap gerak kerja ahli panel PSC yang terdiri dari MP Umno-BN.

Mereka ialah MP Gombak Azmin Ali, MP Rasah Loke Siew Fook dan MP Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Menurut kenyata minoriti itu, ahli PSC Pakatan berpendapat perkara yang paling asas dalam penambahbaikan pilihanraya, iaitu satu daftar pengundi yang bersih dan telus, masih tidak dapat perhatian yang sepatutnya.

Malah, Pandikar Amin Ahli bertindak mengarahkan Azmin, MP Subang R. Sivarasa dan MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad keluar dari Dewan selepas mereka mempertikaikan keputusan Pandikar Amin untuk menolak kenyata minoriti itu.

Azmin berkata tiada peraturan mesyuarat Parlimen yang menghalang Pandikar Amin untuk memasukkan laporan minoriti ke dalam laporan terakhir PSC tentang penambahbaikan pilihanraya.

Oleh itu kata Azmin, Pandikar Amin tiada sebarang alasan kukuh untuk menolak laporan minoriti itu yang memuatkan cadangan bagi membaiki kelemahan di dalam sistem pilihanraya negara.

“Walaupun di peringkat awal, Speaker telah mengaitkan dengan amalan daripada beberapa buah negara, tetapi kita juga telah mengemukakan beberapa amalan yang telah dilaksanakan, namun pandangan ini diketepikan begitu sahaja.

“Sebagai contoh, saya nak bawa perhatian kepada Parlimen New Zealand. Speaker boleh membenarkan laporan minoriti dimasukkan dalam laporan terakhir PSC. Oleh itu, kalau dikatakan tiada amalan dalam negara Komanwel adalah tidak benar sama sekali,” tegas Azmin di dalam satu sidang akhbar di luar Dewan.

Kenyata minoriti Pakatan antara lain mendesak SPR supaya memindah kembali 31,294 pengundi yang telah dipindahkan kawasan tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

Ia juga mahu SPR membersihkan daftar pemilih dari 42,000 pemilih yang status kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Ahli PSC Pakatan juga mengesyorkan SPR supaya menyiasat nama pemilih warga emas yang lebih 100 tahun dan 15,000 pemilih yang menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina.

“Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengeluarkan nama isteri anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos dan dimasukkan semula dalam daftar pemilih sebagai pemilih biasa,” kenyata itu berkata.

Najib membuat jenaka kepada demokrasi yang telus

SOROTAN

Isu mereformasikan perjalanan proses pilihanraya di negara ini bermula sejak dari awal lagi namun kesedaran secara massa tercetus seiring dengan kesedaran rakyat terhadap tanggunggungjawab demokratik mereka untuk menentukan masa depan politik melalui proses berpilihanraya.

Selama ini proses perjalanan pilihanraya tidak sangat diambil berat oleh rakyat namun setelah usaha menyedarkan orang ramai melalui tindakan BERSIH sejak Julai 2005 kesedaran mula tercetus. Objektifnya mudah iaitu mendesak sebuah reformasi dalam proses pilihanraya di Malaysia. Pada September 2006 dalam resolusi "bengkel reformasi politik" jawatankuasa menyatakan beberapa objektif jangka pendek dan jangka panjang. Pada 10 November 2007 satu perhimpunan besar-besaran diadakan untuk menuntut reformasi pilihanraya disertai dengan memorandum kepada Agung bagi menyatakan kepincangan SPR yang tidak menjalankan tugasnya secara adil dan saksama. Tuntutan BERSIH ketika itu terbatas kepada EMPAT perkara:

1. Penyemakan semula daftar pengundi yang dikatakan tidak bersih
2. Pengundian menggunakan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda
3. Mansuhkan undi pos dan
4. Akses media yang bebas untuk setiap parti politik yang bertanding

Kehadiran dalam perhimpunan tersebut mencecah hampir puluhan ribu itu menjelaskan kesedaran yang tinggi rakyat terhadap reformasi pilihanraya yang amat-amat diperlukan. Pada 9 Julai 2011 iaitu empat tahun kemudian satu lagi perhimpunan BERSIH yang dinamakan BERSIH 2.0 diadakan kali ini dengan tuntutan LAPAN perkara iaitu tambahan kepada 4 perkara yang telah disebut dalam BERSIH 1.0.

1. Tempoh berkempen 21 hari
2. Kukuhkan institusi awam supaya bertindak bebas
3. Hentikan rasuah politik dengan sogokan kepada pengundi
4. Hentikan politik kotor melalui fitnah dan pembohongan

LATARBELAKANG JAWATANKUASA KHAS

Di sebalik tuntutan yang keras dibuat oleh BERSIH 2.0 dan mesej orang awam terhadap kepincangan SPR, isu-isu yang terus memalit SPR menjadi kudis kepada usaha rakyat untuk memulihkan proses demokrasi di Malaysia. Walaupun telah mula berpilihanraya sejak 1955 dan kemudian selepas Merdeka 1959, cara berpilihanraya tidak menuju ke arah yang lebih baik dan keterbukaan malah keadaan menjadi lebih rigid dan semakin disukarkan. Sepatutnya dengan berlalunya masa dan kejayaan kita mendidik orang ramai tentang perlunya satu pilihanraya yang bebas, perjalanan pilihanraya di negara kita seharusnya menuju kepada garis yang lebih telus dan terbuka serta memudahkan proses berlangsung.

Tetapi apa yang berlaku ialah SPR sebagai institusi yang bertanggungjawab menjalankan pilihanraya menjadikan prosedur-prosedur pilihanraya menjadi sukar, pendaftaran pengundi, bantahan yang hendak dibuat mestilah dibayar dan lain-lain. Tempoh berkempen semakin singkat, pemantauan SPR menjadikan jurukempen dan calon-calon berada dalam ketakutan kerana terlalu banyak yang dikenakan syarat yang tidak masuk akal, begitu juga manipulasi daftar pemilih yang melibatkan pendaftaran warga asing. Kesemua ini menandai bagaimana SPR badan yang lemah dan tidak bebas serta menjadi mangsa rakus pihak tertentu yang terdesak untuk kekal berkuasa walaupun dengan cara yang kotor.

Malah cakap-cakap bahawa PRU ke-13 akan menjadi yang paling kotor hanya akan mengiyakan tanggapan rakyat terhadap SPR selama ini. Berlatarbelakangkan semua keadaan inilah maka Parlimen Malaysia tertekan untuk bertindakbalas dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Proses Pilihan Raya pada sidangnya bulan Oktober tahun lalu. Penubuhan Jawatankuasa ini menurut pimpinan PR sebagai sesuatu yang tidak dirundingkan lebih awal dengan pembangkang walaupun PR bersetuju untuk berada dalam jawatankuasa tersebut dengan menghantar wakil masing-masing dari PAS, DAP dan PKR.

PERKEMBANGAN


Sejak ditubuhkan JK ini telah membentang laporan interim bagi menjelaskan apakah aktiviti yang telah mereka lakukan dan feedback awal yang mereka dapat dari orang awam. Bagi Pakatan Rakyat tuntutan BERSIH sudah memadai untuk dijadikan sebagai panduan dalam membaikpulih perjanlanan pilihanraya di negara ini. Tuntutan BERSIH tidaklah sebesar mana malah ia selari dengan keperluan satu proses pilihanraya yang adil dan bersih. SPR berdolak-dalik dengan mengatakan bahawa ia tiada kuasa dalam bidang kebebasan media dan instituisi awam dan sering memulangkan bola kepada orang politik yang berkuasa. Dakwaan terhadap SPR yang membiarkan daftar pemilih dimasukkan warga asing di dalamnya serta terdedahnya SPR kepada manipulasi JPN tanpa pengetahuannya amat memalukan instituisi yang sepatutnya tegas dalam soal daftar pemilih yang menjadi pertikaian.

Hari ini akan dibentangkan laporan kepada penemuan-penemuan dan cadangan-cadangan yang boleh diterima dan tidak boleh diterima oleh SPR. Format laporan mudah di mana ruang-ruang dibahagikan kepada laporan, bilangan, syor, ulasan dan tindakan. Ada beberapa belas isu dikenalpasti dan hampir 80% dapat dipenuhi tuntutan-tuntutan dalam isu tersebut. Walaupun 20% tidak dapat disempurnakan namun ia dilihat sebagai isu-isu besar yang menimbulkan masalah selama ini. Seolah-olah jika tidak dipenuhi tuntutan ini penyelewengan akan tetap berlaku dan rakyat sekali lagi akan kecewa. Walaupun Najib merasakan laporan JK ini boleh menunujukkan komitmen kerajaannya tentang reformasi pilihanraya namun, Najib akan dilihat sebagai membuat jenaka kepada sebuah demokrasi yang telus.

ISU YANG BELUM SELESAI


Nampaknya isu daftar pemilih tidak memberi jaminan kepada kita tentang ianya sudah bersih. Pendaftaran warga asing yang meragukan tidak diselesaikan, begitu juga tentang pemindahan pengundi tidak diberi jawapan yang memuaskan dan isu akses media yang bebas gagal ditangani. Apakah ertinya sebuah pilihanraya yang bebas jika rakyat tidak boleh mendapat akses kepada manifesto parti yang bertanding untuk mereka membuat perbandingan lalu memilih yang terbaik? Bagaimana satu pilihanraya yang asasnya ialah pengundi dapat berjalan dengan baik jikalau berlaku "rasuah" mendapat kerakyatan dengan memasukkan pengundi yang tidak layak dan sebagai balasan hendaklah mengundi parti tertentu?

Pakatan Rakyat merakamkan kekecewaan di atas nama rakyat yang mahukan demokrasi yang telus dan adil bahawa JK Parlimen hanyalah satu persembahan magik untuk menggabui mata rakyat dan gagal dengan tulus ikhlas menampakkan komitmen untuk menjadikan SPR sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati. Inilah antara sebab mengapa berlaku Kebangkitan Arab kerana agensi yang mengendalikan pilihanraya menjadi tunggangan pemimpin diktator mereka.

Walaupun kita tidak boleh mengatakan negara kita mempunyai pimpinan diktator namun apa yang dibentangkan hari ini mengisyaratkan tentang kediktatoran pilihanraya dan prosesnya yang tetap terkongkong oleh rangkulan regim BN. Terdesak untuk terus berada di persada kuasa, kita semua tertanya-tanya apalah nasib Jawatankuasa Khas Membaikpulih SPR melainkan hanya satu sandiwira bagi Najib memulakan paluan gendang PRU 13.

Baca: Kerajaan yang tentukan sama ada BERSIH 3.0 ke jalan raya

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kanan) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Bersih 3.0 dijangka berlaku bulan ini, kata sumber

Pengerusi Bersih Ambiga: “Tiada pilihan lain.”
KUALA LUMPUR, 3 April — Bersih dijangka akan mengumumkan esok tarikh perhimpunan ketiganya untuk pilihan raya yang bersih dan adil, yang mana menurut sumber badan pemerhati pilihan raya itu akan berlaku hujung bulan ini.

Salah seorang jawatankuasa pemandu Bersih yang enggan mendedahkan identitinya berkata kepada The Malaysian Insider butiran berkenaan “Bersih 3.0” akan didedahkan sewaktu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) di sini.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran walaupun laporan di Internet menyebut 28 April ini sebagai tarikh untuk perhimpunan berikutnya, dan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan tersebut.

Sumber lain yang dihubungi juga tidak mengesahkan dan menidakkan khabar angin tersebut, namun mengakui semalam bahawa kumpulan tersebut telah bergerak untuk menuntut perubahan pilihan raya yang lebih besar.

Perkara itu jelas sumber tersebut, berlaku akibat daripada kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan pilihan raya (PSC) menyelesaikan isu pokok dan menunaikan tuntutan Bersih sebelum ini di samping pilihan raya yang bakal berlaku.

Sumber itu menambah, lebih banyak bukti penipuan sistem pilihan raya akan didedahkan, yang akan membuktikan PSC adalah sekadar hiasan pentadbiran Najib untuk menunjukkan keikhlasannya melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.

“Kami telah menemui bukti penipuan sistem pilihan raya yang lebih banyak dan menimbulkan tanda tanya sama ada keseluruhan PSC itu hanyalah sekadar satu penipuan,” kata sumber berkenaan.

“Melalui perhimpunan, kamu boleh sebut saya tidak mengesahkan, atau menafikan perkara itu.

“Tapi apa yang saya boleh katakan adalah bukti penipuan tersebut adalah sangat jelas.”

Sembilan ahli bipartisan PSC telah diumumkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu setelah berbulan lamanya pentadbiran beliau menerima kritikan ketika menguruskan perhimpunan Bersih kedua pada 9 Julai.

Selepas enam bulan perbincangan, panel berkenaan telah menyiapkan 22 hasil laporan akhir dan akan diserahkan kepada wakil rakyat di Parlimen semalam.

Perbahasan berkenaan laporan itu dijadualkan berlangsung 11.30 pagi hari ini namun, Pakatan Rakyat (PR) telah menyatakan kekecewaan mereka terhadap hasil laporan tersebut.

Selain itu, tiga ahli PR dalam PSC sejak minggu lalu sering mengkritik panel kerana dikatakan gagal menyelesaikan isu utama bagi membersihkan pilihan raya, terutamanya dakwaan kurangnya komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan sistem pilihan raya.

SPR, yang mana ahli PR telah berulangkali mendedahkan terdapatnya kehadiran 42,000 pengundi hantu di dalam daftar sistem mereka, namun mereka tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Tambahan lagi, mereka menyatakan suruhanjaya berkenaan gagal mengemukakan kaedah yang sesuai untuk membenarkan rakyat Malaysia di luar negara untuk turut mengundi, walaupun telah didesak untuk dikemukakan dalam laporan interim PSC Disember lalu.

Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga, pada 18 Mac telah memberi amaran kepada Putrajaya kemungkinan berlakunya Bersih3.0, ekoran penambahbaikan pilihan raya sengaja dilambat-lambatkan dan penambahan pengundi secara mendadak di sesetengah kawasan Parlimen.

“Melihatkan kepada keadaan sekarang, kami tiada pilihan lain. Selain Bersih 3.0,” kata Ambiga kepada The Malaysian Insider.

“Sekiranya kerajaan tidak serius berkenaan penambahbaikan pilihan raya, biar rakyat jadikan perkara itu didengari,” tambahnya.

Pemimpin PR turut menyatakan sokongan mereka terhadap perhimpunan berkenaan kerana kerajaan gagal memenuhi tuntutan untuk pilihan raya yang lebih adil.

Ribuan rakyat Malaysia telah menyertai perhimpunan 9 Julai Bersih 2.0 yang kemudiannya menjadi ganas apabila polis melancarkan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Situasi berkenaan menyaksikan 1,000 orang telah ditangkap termasuk sebelum perhimpunan berlangsung, dan Najib menerima kritikan daripada media antarabangsa.

Berdasarkan tekanan tersebut, kerajaan telah menjanjikan reformasi, yang mana turut melibatkan pembentukan PSC dan enakmen yang menerima kritikan hebat, Akta Perhimpunan Aman tahun lalu.

Panel mahu SPR bersihkan daftar pengundi

Panel mahu SPR bersihkan daftar pengundi


KUALA LUMPUR, 3 April — Panel khas Parlimen menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan keutamaan bagi membersihkan daftar pemilih daripada sebarang kegiatan manipulasi.

Panel berkenaan dalam laporan akhir mereka yang dibentangkan di Dewan Rakyat pagi ini turut mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) diteruskan bagi memantau dan memastikan daftar pemilih terus bersih dan bebas.

Cadangan tersebut dikemukakan selepas dakwaan berterusan pemimpin pembangkang dan kumpulan pemerhati seperti Bersih 2.0 terhadap kegiatan manipulasi dalam daftar pemilih, termasuk kewujudan pengundi bertindih dan peningkatan mencurigakan di sesetengah kawasan pengundian.

“Jawatankuasa mencadangkan agar SPR dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan kerjasama berterusan untuk membersihkan daftar pengundi bagi memastikan daftar pengundi yang digunakan di dalam pilihan raya adalah sah,” kata panel dalam laporan tersebut.

Panel berkenaan turutt mendedahkan sehingga 20 Mac ini, sejumlah 483 anggota polis telah memohon untuk kad MyKad atau MyTentera.

“Jawatankuasa mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh 60 hari selepas laporan lengkap ini dibentangkan di Parlimen,” kata panel.

Turut dicadangkan agensi yang bebas seperti Mimos Berhad ditugaskan untuk bekerjasama dengan SPR untuk mengemaskini daftar pengundi berkenaan.

Panel berkenaan turut mendedahkanpengesahan daripada Mimos menunjukkan sejumlah 324 alamat dengan lebih 100 individu didaftarkan sebagai pengundi dan 938 alamat antara 51 dan 100 pengundi berdaftar.

Menurut panel, punca kepada masalah tersebut adalah alamat yang tidak lengkap, seperti alamat yang menggunakan perkataan “kampung”, “rumah pangsa”, “rumah panjang”, dan “jalan” tanpa nombor rumah, alamat bersama, dan alamat pengundi “peminjam”, yang mana alamat digunakan oleh individu lain yang membolehkan mereka berdaftar di kawasan spesific.

Sehubungan itu, panel berkenaan mengarahkan SPR untuk menggunakan tempoh 45 hari untuk menunjukkan senarai pengundi di mana lebih 50 didaftarkan di bawah satu alamat.

“Ini bagi membolehkan mereka (pengundi) tampil dan membolehkan SPR membersihkan senarai daftar pengundi. Hasilnya kemudian harus di laporkan kepada jawatankuasa khas Parlimen yang dilantik,” kata panel.

Antara cadangan lain, panel turut menuntut pemindaan peruntukan undang-undang yang membolehkan SPR memadamkan nama daripada senarai daftar pengundi, apabila menerima bukti individu berkenaan bukan pengundi sah.

Laporan PSC itu sedang dibahaskan di Parlimen.

Sembilan ahli bipartisan PSC telah diumumkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu setelah berbulan lamanya pentadbiran beliau menerima kritikan ketika menguruskan perhimpunan Bersih kedua pada 9 Julai.

Selepas13 mesyuarat, enam pendengaran awam, dan lawatan ke beberapa negara luar, panel berkenaan mengemukakan 22 22 hasil laporan akhir dan akan diserahkan kepada wakil rakyat di Parlimen semalam. Daripada kesemua hasil laporan tersebut, terdapat empat perkara yang tidak dipersetujui panel.

PTPTN Kerajaan Pusat Amal Dwi- Standard


SHAH ALAM 2 APRIL : Sikap dwi-standard Kerajaan Pusat terhadap isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menimbulkan kecurigaan dan kemarahan rakyat yang kini terbeban dengan hutang berkenaan.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria berkata demikian bagi mengulas pendirian Kerajaan Pusat berhubung cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk memansuhan pinjaman PTPTN.

Memberi contoh sikap pemurah Perdana Menteri, Datuk Seri NajibRazak menghapuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli berjumlah RM589 juta sedangkan graduan diburu dengan pelbagai cara untuk melunaskan hutang PTPTN mereka.

“Sikap kerajaan seperti ini yang sewajarnya dipersoalkan, mana lagi releven jika dibandingkan dengan kita (PR) untuk memperjuangkan hak rakyat dengan memansuhkan PTPTN.

“Ini bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk membina minda rakyat kelas pertama, ia jelas tidak releven sedangkan dalam perlembagaan sendiri menjanjikan hak bumiputra untuk menerima pendidikan secara percuma,”jelas Nasir.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menghapuskan PTPTN sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat menjadi kerajaan selepas pilihanraya umum akan datang.

Sebagai respon terhadap cadangan itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemansuhan PTPTN tidak akan dilakukan selain menyifatkan cadangan PR itu sebagai suatu yang tidak releven.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini, Nasir berkata adalah tidak wajar untuk meletakkan beban hutang dibahu mahasiswa seawal umur 22 tahun untuk melangsaikan hutang pendidikan mereka sekitar RM25,000 hingga RM80,000 sedangkan banyak sumber dana tiris akibat amalan urus tadbir yang korup.

“Kita yakin untuk melaksanakannya sekiranya benar-benar mentadbir kerajaan, kita juga melihat perkara ini sebagai suatu yang serius apabila FOMCA sendiri menyatakan 41 rakyat dibawah umur 30 tahun setiap hari bakal bergelar muflis akibat beban hutang, PTPTN adalah salah satu daripada puncanya,”jelasnya.

Sebagai rekod, pada tahun 2011 sahaja sudah 1.87 juta penuntut membuat pinjaman PTPTN membabitkan peruntukan RM41.6 bilion.

Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah sehingga Oktober 2011, kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka.