Dr Dzulkifly: Lebih Baik Kerjasama Dengan DAP Dari Umno

SHAH ALAM, 29 FEB: "Lebih baik saya minum kopi dengan DAP daripada minum arak dengan Umno," demikian tempelak Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dr Dzulkefly Ahmad ketika menjawab soalan Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ruslan Kassim.

Menurut Dr Dzulkefly, meskipun Umno dianggotai oleh orang-orang Melayu, tetapi parti itu mengamalkan budaya yang mampu merosakkan rakyat dan negara ini.

"Walaupun DAP dianggotai majoriti sahabat kita bangsa Cina yang bukan Islam tetapi mereka tak ajak saya edar video lucah, luluskan lesen judi, ambil rasuah, kroni, salah guna kuasa dan macam-macam lagi.

"Tetapi dengan Umno, mereka suruh edar video lucah, rasuah, galakkan rakyat main judi, samseng dan macam-macam budaya lain yang merosakkan rakyat dan negara ini.

"Jadi mana lebih baik? Saya berkawan dengan Melayu Umno atau Cina DAP?," ujar Dr Zulkefly.

Terdahulu dalam pusingan soal jawab, Ruslan Kassim telah bertanyakan kepada Dr Dzulkefly mengapa Pas memilih untuk berkerjasama dengan DAP yang majoritinya dianggotai orang Cina tetapi bukannya orang Melayu dalam Umno.

Selain Dr Dzulkefly dan Ruslan Kassim, wacana Sinar Siri ke-11 yang membincangkan tajuk 'Mengapa Undi Melayu Berpecah' itu turut menampilkan Ahli Parlimen Pandan, Ong Tee Keat dan Pengerusi PKR Johor dan Datuk Chua Jui Meng.

Rafizi: Pendedahan Skandal NFC Adalah Tepat

SHAH ALAM, 29 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh maklumat terbaru bahawa pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menerusi Farmhouse Supermarkets Pte Ltd (Farmhouse Supermerkets) membuat pelaburan berjuta ringgit dari dana rakyat disalurkan dan beroperasi di Rochester Mall bersebelahan kompleks membeli belah Star Vista di Singapura.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, siasatan dilakukan pihaknya dengan maklumat diperoleh daripada rakyat Malaysia di republik itu memang menyatakan penyewaan dibuat syarikat tersebut di Rochester Mall.

"Farmhouse Supermarkets dikatakan menyewa unit-unit bernombor #02-08 hingga #02-35 di kompleks membeli belah yang dibangunkan bersama-sama kondominium mewah di alamat 35, Rochester Drive, Singapura. Projek itu dibangunkan oleh pemaju UE One-North Developments Private Limited.

"Semakan di laman rasmi Rochester Mall jelas menyenaraikan Farmhouse Supermarket sebagai salah satu penyewa mereka seperti yang dilaporkan di laman http://www.rochestermall.com.sg/#02-08to35," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rafizi mengulas mengenai penafian dibuat CapitalMalls selaku pemaju kompleks membeli belah Star Vista yang sedang dimajukan di mana mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Farmhouse Supermarket yang dimiliki keluarga Menteri Wanita, Kelaurga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Selanjutnya Mohd Rafizi berkata, maklumat di laman rasmi Roshester Mall juga mengesahkan bahawa Farmhouse Supermarket adalah penyewa terbesar di tingkat 2 kompleks itu berbanding kedai-kedai lain.

"Saya juga berpendapat oleh kerana lokasi Rochester Mall adalah bersebelahan dengan Star Vista, anggaran sewa seperti yang didasarkan kepada laporan Competition Commission of Singapore tidaklah banyak berbeza," katanya.

Oleh yang demikian, jelasnya, beliau percaya selain dari kesilapan alamat sebenar kompleks seperti yang disebut, keseluruhan pendedahan yang dibuat sebelum ini adalah tepat.

Tambahnya, kenyataan Pengarah Eksekutif NFC yang juga suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail yang disiarkan sebuah akhbar Inggeris pada 29 Februari lalu turut mengesahkan bahawa NFC tidak menafikan kewujudan pasaraya mewah itu malah masih mempertahankan hak mereka untuk menceburi apa-apa perniagaan yang dirasakan sesuai.

"Saya memohon maaf secara terbuka kepada CapitalMall dan NFC atas kesilapan fakta yang berlaku, walaupun ia tidak memadamkan pelbagai persoalan yang timbul mengenai pembabitan NFC di dalam operasi pasaraya mewah di Singapura,"

Abdul Khalid : Pelantikan Khairy Jamaluddin Tidak Menguntungkan Bumiputera




SHAH ALAM, 29 FEB : Perlantikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah membawa masyarakat Bumiputera ke belakang di mana fahaman dan kepentingan politik menjadi asas kepada pelantikan ke jawatan profesional.

Menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, perlantikan Khairy menghantar isyarat yang salah kepada komuniti Bumiputera yang sekarang digalakkan untuk meningkatkan standard profesionalisme setanding yang terbaik di dunia.

Ini kerana perlantikan MP Rembau itu jelas menunjukkan fahaman politik menjadi kriteria utama untuk dilantik ke jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan, bukannya berdasarkan kemampuan dan pengalaman.

"Sebagai salah seorang pengasas PUNB iaitu syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) di mana saya berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), saya berbangga dengan pencapaian PUNB yang selama ini diterajui oleh golongan profesional dan berkebolehan.

"Walaupun peringkat pengubal dasar terdiri daripada ahli ahli politik tetapi mereka tidak campur tangan dalam operasi. Malah Ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada golongan profesional berpengalaman yang tidak mempunyai kepentingan politik atau kumpulan berkaitan dengan politik," tegasnya.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya mensia-siakan usaha masyarakat Bumiputera dengan melantik Khairy Jamaluddin yang tidak berkeupayaan dan tidak berpengalaman dalam menguruskan badan korporat yang sudah berjaya.

Tegasnya, tindakan Najib sekali lagi membuktikan bahawa beliau gagal mengutamakan antara kepentingan dengan profesionalisme.

Malah Abdul Khalid menyifatkan perlantikan tersebut sebagai petanda yang buruk bagi bumiputera dan Malaysia khasnya.

"Bagi pembangunan negara, pemimpin sepatutnya melihat dalam konteks lebih luas dan berfikir di luar fahaman politik di mana ciri-ciri ini telah diketepikan menerusi pelantikan Khairy Jamaluddin," jelasnya.